Bandar utama di negeri Perak iaitu Ipoh memang mempunyai banyak tarikan. Sebut sahaja tempat-tempat menarik untuk anda kunjungi – museum, tempat bersejarah seperti Kellie’s Castle, taman tema, semuanya ada!

Bagi yang merancang untuk berkunjung ke Ipoh  dan masih tercari-cari kafe manakah yang patut anda singgah yang menyajikan sarapan pagi yang terbaik di sana, kami tahu kafe apa yang patut anda terjah!

Nama Suhaimi Cafe yang bertempat di Taman Kledang Permai, Ipoh ini memang tidak asing lagi di Ipoh. Rata-rata pelanggan tetap Suhaimi Cafe sendiri ialah orang Ipoh sahaja! Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang menu-menu istimewa di sini!

roti telur goyang @ suhaimi cafe

Imej via Foursquare

Roti Telur Goyang, Terbaik Hanya di Suhaimi Cafe

Menu ini merupakan antara menu yang sedang viral di media sosial – Roti Telur Goyang! Bukan menu yang biasa-biasa, menu ini juga merupakan antara menu yang paling banyak dipesan di Suhaimi Cafe.

Menu ini sememangnya lain daripada yang biasa, kerana roti yang digunakan ialah Roti Benggali. Tekstur roti yang tebal dan lembut yang dibakar dengan sempurna yang dihidangkan bersama telur separuh masak ini semestinya menyelerakan dan mengenyangkan!

roti benggali kari ayam @ suhaimi cafe

Imej via Foursquare

Roti Benggali Kari Ayam, Sepinggan Memang Tidak Cukup

Siapa sahaja yang tidak menggemari menu sarapan ini? Bukan sahaja untuk sarapan malah ianya juga boleh dinikmati sebagai snek sambil anda bersantai!

Di Suhaimi Cafe, menu Roti Benggali Kari Ayam ini merupakan antara menu yang menjadi kegemaran ramai pelanggannya. Roti Benggali yang dicicah bersama kuah kari ayam yang pekat rasanya menambahkan keenakan menu ini, anda wajib cuba!

Kopi Vietnam @ Suhaimi Cafe

Imej via Foursquare

Kopi Vietnam, Bikin Pencinta Kopi Ketagih

Minuman ini pasti jarang didengari oleh sesetengah pembaca di sini, bukan? Walaupun jarang didengari, Kopi Vietnam merupakan minuman yang sangat terkenal di Suhaimi Cafe dan merupakan minuman yang paling laku di sini!

Rasa kopi yang pekat namun tidak terlalu pahit menjadikan kopi ini begitu istimewa. Selalunya dihidangkan bersama ais, ianya juga menyegarkan tekak. Tidak hairanlah ramai betul yang memesannya, sehinggakan ianya kadangkala habis terjual!

Banyak Lagi

Bukan Roti Benggali sahaja yang disajikan di sini, menu lain seperti Spaghetti Carbonara, Spaghetti Tomato dan Mi Kari turut disajikan sebagai menu sarapan di Suhaimi Cafe.

mi kari @ suhaimi cafe

Imej via Foursquare

Mi Kari di sini juga apa kurangnya, ianya juga merupakan antara menu yang digilai ramai selepas Roti Benggali! Kuahnya yang pekat mempunyai aroma yang cukup memikat, boleh bikin sesiapa sahaja kecur air liur!

Green Tea @ Suhaimi Cafe

Imej via Foursquare

Untuk minuman pula, selain Kopi Vietnam, minuman lain seperti Green Tea juga merupakan antara minuman yang cukup istimewa di Suhaimi Cafe.

Rata-rata pelanggan yang pernah merasainya sendiri mengakui yang rasanya cukup manis namun tidak keterlaluan. Walaupun dihidangkan dalam gelas yang bersaiz besar, kami jamin anda pasti takkan puas dengan segelas Green Tea sahaja!

sarapan @ suhaimi cafe

Imej via Foursquare

Kami yakin pasti anda sudah mula berkeroncong perut memikirkan tentang menu-menu istimewa yang dihidangkan di Suhaimi Cafe ini, bukan? Ini baharu sahaja sedikit yang kami senaraikan, jadi anda sendiri perlu terjah Suhaimi Cafe untuk meneroka menu-menu istimewa yang lain.

Bertempat di Taman Kledang Permai di Ipoh, Perak dan beroperasi seawal jam 7:45 pagi hingga 12 tengahari, bagi yang sudah mula mengidamkan Roti Benggali yang terbaik di Ipoh, cepat-cepatlah serbu Suhaimi Cafe ya!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.