Tercari-cari restoran masakan kampung yang terbaik di KL & Selangor?

KL & Selangor memang ada berbagai tempat makan menarik yang menyajikan variasi genre makanan. Restoran makanan Barat merupakan antara yang kerap dijumpai sekitar situ.

Restoran masakan kampung juga tidak terkecuali. Jadi, berikut kami senaraikan 10 restoran masakan kampung best di KL & Selangor yang boleh anda kunjungi.

Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

#1 Sambal Hijau

Alamat: 2990, Jalan Sungai Penchala, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 7.30 am – 12 am

Jika anda sebut sahaja nama restoran Sambal Hijau ini kepada orang KL, pasti mereka pernah terdengar tentangnya. Biasalah, kalau restorannya popular, siapa sahaja yang tak kenal?

Ada lebih 80 jenis lauk-pauk berasaskan masakan kampung yang boleh didapati di sini. Cara masakan juga berlainan, memang cukup beraneka. Patutlah ramai pelanggan rambang mata!

masakan kampung kl selangor sambal hijau

Imej via Foursquare

Sayur-sayuran dan ulam-ulaman juga boleh didapati di sini. Oh, jangan lupa cuba ayam bakar dan ikan bakar di sini. Sedap yang amat terutamanya bila dicicah bersama sambal kicap atau air asam!

#2 Restoran Mad Ayam Kampung

Alamat: Cyberjaya No.102-G, Biz Avenue II @NeoCyber, Lingkaran Cyber Point Barat, Cyber 12, 63000 Cyberjaya

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 11 am – 4 pm

Restoran Mad Ayam Kampung – dari namanya sahaja anda boleh teka lauk apa yang kerap dipilih oleh pelanggan di sini. Semestinya ayam kampung!

masakan kampung kl selangor

Imej via Foursquare

Bukan ayam kampung sahaja yang boleh didapati, lauk-pauk lain seperti sambal udang dan masak lemak lala  juga turut disediakan. Alanag-alang cuba sahaja kesemuanya sekali!

#3 Restoran Raso Omak Den

Alamat: Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 7.30 am – 5 pm

Melihat namanya sahaja anda boleh teka menu yang terlaris di sini ialah masakan apa – semestinya masakan Negeri Sembilah yang memang ‘podeh!

masakan kampung kl selangor raso omak den

Imej via Foursquare

Selain itu, hidangan lain yang berasaskan masakan kampung juga turut disediakan pada waktu tengahari. Kami sarankan agar anda cuba ayam kampung goreng, pucuk ubi masak tempoyak dan masak lemak daging salai.

Restoran ini dibuka seawal jam 7.30 pagi lagi, jadi boleh juga untuk anda singgah jika anda ingin menikmati sarapan pagi di sini.

#4 House of Patin Lipis di KL

Alamat:  No 5 , Jalan Liew Weng Chee, Off, Jalan Yap Kwan Seng, 50450 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 -10 pm

Anda menggemari masak tempoyak ikan patin? Tak perlu susah-susah ke Pahang untuk menikmati masak tempoyak ikan patin yang sedap, kerana di KL pun ada!

masakan kampung kl selangor

Imej via Foursquare

Restoran House of Patin ini bukan sahaja menyediakan masak tempoyak ikan patin, malah lauk-pauk lain juga boleh didapati. Sangat sesuai diserbu oleh peminat tegar masakan kampung.

Lauk seperti gulai ayam kampung, ikan bakar dan udang galah goreng kunyit juga boleh didapati di sini. Sangat enak dinikmati untuk makan tengah hari!

#5 Hassan Ayam Kampung

Alamat: Jalan Lawan Pedang 13/27, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 am – 4.30 pm

hassan ayam

Imej via Foursquare

Satu lagi restoran yang cukup terkenal dengan ayam kampung di Selangor ialah restoran Hassan Ayam Kampung. Bukan sahaja menyajikan hidangan yang enak, malah harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Selain ayam kampung, anda boleh mencuba masak lemak ketam, paru goreng dan sambal udang. Sayur-sayuran dan ulam-ulaman juga boleh didapati.

#6 Restoran Anis Puteri Gulai Kawah

Alamat: Kampung Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 6.30 am – 5.30 pm

Restoran Anis Puteri Gulai Kawah ini juga merupakan antara port restoran yang menyajikan masakan kampung di KL yang popular. Masakan Pantai Timur juga cukup laku keras di sini.

masakan kampung kl selangor

Imej via Foursquare

Antara lauk-pauk yang boleh didapati ialah ikan bakar, ayam goreng, masak lemak siput sedut, ayam percik dan pulut sotong. Jangan lupa menikmatinya bersama ulam-ulaman dan sambal tempoyak!

#7 Medan Ikan Bakar Bellamy

Alamat:  Lorong Bellamy & Jalan Istana, Bukit Petaling, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 am – 10.30 pm manakala Ahad 10 am – 4 pm

Ini pula restoran yang sangat terkenal dengan lauk yang dibakar. Bukan biasa-biasa tau ikan bakar dan sotong bakar di sini, boleh bikin ramai pelanggan berebut untuk menikmatinya!

masakan kampung kl selangor bellamy

Imej via Foursquare

Medan Ikan Bakar Bellamy ini menyediakan berbagai jenis ikan seperti ikan bakar, ikan cencaru dan ikan terubuk. Semuanya dibakar dengan sempurna, sehinggakan aromanya yang harum mampu bikin sesiapa sahaja tergoda.

#8 Restoran Rebung Dato Chef Ismail

Alamat:  5-2 Cascade Parking, Jalan Bukit Aman, 1, Jalan Tanglin, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari,8 – 10 am, 11:30 am – 3 pm, 3:30 – 5:30 pm, 6:30 – 10:30 pm

Pemilik restoran ini ialah Dato Chef Ismail, seorang chef tersohor di negara kita. Untuk mencuba hidangan masakan kampung yang dimasak khas menggunakan resepi beliau, anda wajib singgah di restoran ini.

rebung masakan kampung kl selangor

Imej via Foursquare

Antara lauk-pauk yang boleh anda cuba ialah masak lemak cili api siput sedut, asam pedas ikan pari, gulai daging dan masak tempoyak ikan patin. Memang berbagai, pasti pinggan akan penuh dengan makanan!

#9 Gobang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai

Alamat: Setapak Jaya, 53300 Kuala Lumpur,

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, Selasa – Khamis (11 am – 7 pm) manakala Jumaat – Ahad (11 am – 10 pm)

Nah, satu lagi restoran di KL yang menyajikan masak tempoyak ikan patin sesedap yang di Pahang- restoran Gobang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai!

masakan kampung kl selangor gobang maju

Imej via Foursquare

Bukan lauk itu sahaja yang boleh didapati, masakan kampung lain juga turut disediakan. Sambal paru, ikan bakar dan aneka jenis ulam-ulaman juga turut dihidangkan.

#10 D’Limau Nipis

Alamat:  No. 201 & 205, Jalan 8/1, Seksyen 8, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 am – 5.30 pm

Orang Bangi kalau tak tahu tentang restoran D’Limau Nipis, anda memang rugi. Restoran ini memang sangat terkenal dengan masakan kampung yang sedap-sedap!

d limau nipis

Imej via Foursquare

Lauk-pauk yang boleh didapati juga ada banyak. Sebut sahaja yang anda teringin – ikan, udang, ayam, ketam, kerang, semuanya ada! Cara masakan juga memang berbagai, sangat menarik!

Kesimpulan

Bagaimana? Anda pasti tergoda dengan gambar-gambar masakan kampung di KL & Selangor yang kami senaraikan ini, bukan? Baru sahaja melihat gambar, bayangkan lah merasainya sendiri!

Jangan lepaskan peluang ini, singgah sahaja jika anda berkunjung ke KL atau Selangor. Datang pada waktu yang sesuai ya, takut berebut ruang dalam restoran atau ruang parkir pula.

Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.