Selalunya jika sate dijadikan sarapan hanya di Muar. Namun di Baling juga ada peniaga yang menjual sate di waktu pagi. Sate mamak di pekan lama Baling, Kedah, memang tidak asing lagi bagi penggemar makanan Melayu popular itu. Apatah lagi ia satu-satunya perniagaan sate yang dipelopori oleh seorang peniaga India Muslim.
Peniaga yang berasal dari Padra, India, memulakan perniagaan hanya di waktu pagi dan kadang-kadang jualannya habis sebelum tengah hari. Pelanggan kena datang awal jika mahu menikmati sate ini.
Jika mahu menikmatinya, anda harus cepat kerana waktu perniagaannya cukup singkat iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari saja. Adakalanya, belum pun jam 12 tengah hari perniagaan sudah ditutup kerana sate yang dijual pada hari itu sudah habis. Itulah kehebatan Sate Mamak, di pekan Baling ini.
Menjual sate daging lembu, ayam, paru dan perut, perniagaan yang bermula sejak 1952 ini tidak jauh bezanya dengan sate yang dihidangkan di mana-mana. Namun, hidangan ini ringkas serta tidak dilengkapi dengan nasi himpit dan yang pasti punya rahsia tersendiri iaitu kuah kacangnya. Satenya pula dihiris nipis-nipis sekali gus menjadikan sajian itu lebih ringan dan boleh dimakan sebagai snek.
Penyediaan sate sama kerana daging lembu, ayam, paru dan perut diperap dulu menggunakan bahan asas iaitu kunyit, gula dan serai. Namun, rahsia dan keenakan hidangan sate mamak ini adalah kuahnya.
Kekuatan sate ini terletak pada kuah kacang yang dimasak menggunakan ramuan rahsia. Kuah kacang yang dimasak sendiri oleh isteri di rumah ini juga dihasilkan menggunakan resipi yang diajarkan arwah bapa.
Bagi menghasilkan sate yang enak, perlu dibakar dengan menggunakan bara kayu arang supaya sate tidak berbau asap. Bagi menambah keenakan rasa sate itu, sate yang dibakar direnjis dengan minyak kacang. Minyak kacang tersebut ditambah dengan sedikit bawang putih, serai dan santan.
Dijual dengan harga 60 sen secucuk, sate mamak ini memang berbeza dengan sate yang sering penulis nikmati.
Sebagai satu-satunya peniaga sate di pekan Baling ini, tidak sukar mencarinya. Cari sahaja Kedai Kopi Foh Hong, Pekan Lama Baling. Cuma anda perlu datang awal atau melepas dan terpaksa datang esok hari.