Para pengunjung yang tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah tradisional, boleh lah datang ke Rumah Makan Sri Mualim yang terletak di Tanjung Malim ini. Rumah Makan Sri Mualim ini telah pun berusia lebih 100 tahun dijadikan tempat makan buat para pengunjung. Anda boleh menikmati hidangan yang disajikan di rumah ini.
Bagi yang belum pernah menikmati hidangan di dalam rumah tradisional, bersantap di rumah tradisional ini boleh menjadi pengalaman yang baharu buat anda. Lokasinya terletak di simpang empat berhampiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi satu kelainan buat pengunjung yang datang menjamu selera.
Pengusaha Rumah Makan Sri Mualim ini menyajikan hidangan masakan kampung yang begitu tradisional. Set Nasi Tampi yang diperkenalkan di Rumah Makan Sri Mualim ini bukanlah hidangan yang baru. Ia merupakan menu hidangan tradisional yang pernah diamalkan oleh masyarakat Melayu terdahulu di mana makanannya dilambakkan sahaja di dalam tampi.
Rumah Makan Sri Mualim ini telah memperkenalkan semula hidangan tradisional ini buat para pengunjung yang datang. Nasi Tampi ini mempunyai tiga menu utama yang boleh dipilih oleh pelanggan. Samada inginkan hidangan kari kambing, kari kepala ikan atau asam pedas kambing. Terdapat juga menu lain yang boleh dipilih iaitu gulai daging salai, ikan keli salai, sambal udang, rebung dan bermacam lagi.
Ulam – ulaman segar seperti ulam raja, pucuk ubi, petai, kacang botol serta sayur rebus turut dihidangkan bersama sambal belacan dan budu, tempe goreng dan juga sambal jawa. Sambal buruk yang menggunakan resepi turun temurun disediakan buat santapan pelanggan.
Pisang muda rebus ataupun ubi kayu rebus disajikan bersama kelapa parut dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut yang sangat menyelerakan. Sukar untuk mendapatkan hidangan sebegini di tempat lain. Tapai juga turut menjadi pencuci mulut buat pengunjung. Anda boleh juga mencuba air tapai dan air serai yang juga sedap dan berkhasiat.
Rumah tradisional dua tingkat ini pada asalnya merupakan Bangunan Sri Perak. Ia dibina menggunakan teknik tebuk dan solok tanpa menggunakan sebarang paku untuk mencantumkan kepingan papan dan kayu antara satu sama lain.
Rekabentuk rabung, tangga, tetingkap, kekisi serta siling rumah masih mengekalkan binaan asal tanpa sebarang perubahan dilakukan. Bahagian atas rumah pula diperbuat daripada kayu membolehkan udara keluar masuk dengan mudah serta memberikan rasa yang nyaman.
Bahagian anjung rumah dijadikan tempat menikmati secangkir kopi sambil bersantai, berborak bersama rakan taulan. Setiap pengunjung yang datang menjamu selera di sini boleh menjamu selera sambil bersila di atas tikar mengkuang yang dihamparkan.
Terdapat juga meja makan disediakan buat para pelanggan yang datang menjamu selera di sini. Pelanggan yang datang ke sini sangat suka kepada suasana di dalam rumah tradisional ini yang menyebabkan pelanggan terubat rindu pada kampung halaman.
Rumah Makan Sri Mualim ini dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga jam 8.00 malam setiap hari.
Alamat: Simpang empat UPSI, Tanjung Malim, Perak