Ada penggemar laksa di sini? Anda masih tercari-cari restoran mana yang patut anda singgah untuk mencuba laksa yang asli, unik dan sedap tak terhingga? Kami berani jamin, restoran ini pasti menjanjikan kepuasan kepada anda!

laksa pak ngah @ kuala kangsar

Imej via Foursquare

Laksa Pak Ngah merupakan salah sebuah restoran yang cukup popular di Kuala Kangsar. Laksa yang menggunakan resepi asli Pak Ngah ini digilai ramai semenjak tahun 1955 lagi! Dahulunya, Laksa Pak Ngah terkenal kerana keunikannya yang menggunakan tepung gandum sebagai bahan utamanya untuk membuat laksa. Menarik, bukan?

laksa telur sarang @ laksa pak ngah

Imej via Foursquare

Laksa Telur Sarang, Bikin Ramai Jatuh Cinta!

Menu ‘panas’ ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di restoran Laksa Pak Ngah. Laksa Telur Sarang merupakan laksa yang dihidangkan bersama telur dadar yang digoreng sehingga bentuknya menjadi seakan-akan seperti sarang burung!

Dihidangkan bersama bebola ikan, bebola ketam dan sayur-sayuran, rasa masam, pedas dan masin laksa ini sememangnya seimbang. Saiz hidangannya juga agak besar, sangat menyelerakan dan mengenyangkan!

Laksa Goreng Special @ Laksa Pak Ngah

Imej via Instagram

Laksa Special, Istimewa Bukan Sahaja Pada Nama

Menu seterusnya yang cukup laku di restoran Laksa Pak Ngah ialah Laksa Special. Laksa Special ini sama sahaja seperti laksa biasa, yang membezakannya ialah cara ianya dihidang!

Laksanya disaluti dengan telur dadar, bila dilihat semula persis seperti Nasi Goreng Pataya, tapi versi laksa. Rata-rata pengunjungnya juga menggemari rasanya yang sedap, sekali makan memang tak puas!

 Laksa Goreng Banjir @ Laksa Pak Ngah

Imej via Instagram

Laksa Goreng Banjir, Lain Daripada Yang Lain

Kalau anda pernah cuba laksa goreng, pernahkah anda cuba laksa goreng banjir? Haaa, ini yang menarik tentang Laksa Pak Ngah! Kelainan dan keunikan yang dibawa oleh Laksa Pak Ngah ini sememangnya menjadi punca ianya masih relevan sehingga kini.

Laksa Goreng Banjir ini merupakan  laksa yang goreng yang dibanjiri dengan kuah laksa, memang cukup sesuai buat sesiapa sahaja yang menggemari kuah banjir, memang lain daripada yang lain!

laksa goreng @ laksa pak ngah

Imej via Foursquare

Laksa Goreng, Mengenyangkan, Murah dan Berbaloi

Bagi yang kurang menggemari laksa yang berkuah, Laksa Goreng pasti menjadi pilihan yang tepat buat anda! Laksa Goreng ini kelihatan seakan-akan mi goreng, tetapi penggunaan laksa yang menjadi keistimewaan menu ini.

Laksa di Laksa Pak Ngah ini cukup kenyal dan tebal, jadi menu ini cukup mengenyangkan. Harganya juga murah, cukup berbaloi dengan keenakan dan kekenyangan yang dijanjikan. Bagi yang suka masakan pedas, anda juga boleh meminta lada untuk rasa Laksa Goreng yang lebih ‘kaw’ pedasnya!

mi kari @ laksa pak ngah

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Laksa Pak Ngah bukan sahaja menghidangkan hidangan laksa sahaja. Di sini juga ada menyajikan menu lain seperi Mi Kari dan Bihun Sup. Antara menu selain laksa yang digemari pengunjungnya ialah Mi Kari.

Walaupun kuahnya tidak terlalu pekat, rasa karinya cukup kuat. Dihidangkan bersama limau nipis yang menambah rasa dan aroma kepada menu ini, bagi yang teringin merasai menu selain laksa di Laksa Pak Ngah, kami cadangkan anda cuba Mi Kari, pasti puas hati!

Cendol Special @ Laksa Pak Ngah

Imej via Facebook

ABC Special @ laksa pak ngah

Imej via Foursquare

Bukan itu sahaja, Laksa Pak Ngah juga turut menyajikan minuman yang kami yakin menjadi kegemaran ramai – Cendol dan ABC! Cukup menyegarkan tekak apabila dinikmati bersama laksa saat matahari terik, kami berani jamin!

Antara minuman yang patut anda cuba ialah Cendol Special. Melihat gambarnya sahaja sudah mula kecur air liur, inikan pula setelah merasainya. Cendol yang dihidangkan bersama jagung, kacang merah, pulut dan aiskrim di atasnya, hidangan ini sememangnya menyegarkan tekak. Rasanya juga tidak terlalu manis, memang ‘tip top’!

Kami yakin anda pasti sudah mula teringin untuk mencuba semua menu ini, bukan? Bagi yang sudah mula merancang untuk menerjah restoran Laksa Pak Ngah, restoran ini terletak di belakang Sekolah Menengah Tsung Wah di Jalan Dato Sagor, Kuala Kangsar, Perak.

Beroperasi setiap hari kecuali Rabu bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam, copek-copeklah mengkome serbu restoran Laksa Pak Ngah ye!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.