Rumah Makan Jebat menjanjikan pengalaman istimewa anda menjamu selera dengan suasana yang berbeza. Apa yang ada di sini? Jom teroka Rumah Makan Jebat!

Rumah Makan Jebat terletak di Langkawi, Kedah dimana menjadi lokasi percutian ramai orang jika sebut tentang pulau. Tak kira penduduk tempatan mahupun luar negara, pasti ramai yang menjadikan Pulau Langkawi sebagai lokasi percutian yang mesti dikunjungi untuk merehatkan mental dan fizikal.

Sewaktu bercuti, semestinya kita mahu mencari tempat makan yang istimewa. Jadi jika anda berada di Langkawi, kami cadangkan anda untuk ke Rumah Makan Jebat yang terletak di perkarangan Royale Riviera Eco-Resort di Kuala Sungai Melaka. Sebelum merancang ke sini, ini perkara yang anda perlu tahu.

Apa Yang Menarik Di Sini?

Satu keistimewaan di tempat makan ini adalah suasana yang pasti memberikan kelainan, yang sukar didapati di tempat lain. Pasti anda tertanya-tanya mengapa kami katakan begitu. Hal ini kerana, anda dapat merasakan ketenangan dan kesegaran di sini.

Masuk sahaja kawasan Rumah Makan Jebat, anda dapat lihat tempatnya yang dikelilingi dengan tumbuhan semula jadi yang menghijau. Mana tidaknya, sebenarnya tempat makan ini berada di kawasan paya bakau.

Dekorasi restoran ini juga memukau. Keadaan restoran yang bersih, kemas dan selesa menampakkan lagi kemewahan tempat makan ini.

Anda boleh memilih untuk bersantap di kawasan terbuka atau kawasan dalam. Makan di kawasan terbuka di luar pasti terasa lebih nyaman kerana dapat makan dengan santai, sambil ditiup angin yang mendayu lembut.

Apa yang lebih istimewa, setiap ruang makan berlatarkan permandangan yang cantik dan unik. Dekorasi khas tampil di setiap sudut, sesuai untuk kaki ootd.

Menu Terbaik

Dibuka bermula 7.30 pagi hingga 11.30 malam, pelbagai menu menarik disediakan untuk sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Jika anda datang untuk bersarapan, American Breakfast Platter, Club Sandwich, Mix Sandwiches, Nasi Lemak Jebat, Lontong dan English Pancake antara menu yang pasti dapat memulakan hari anda dengan senyuman.

Untuk makan tengah hari pula, masakan lauk kampung dengan nasi panas pasti menjadi pilihan ramai. Jangan risau, anda juga boleh nikmatinya di sini. Dengar cerita Asam Pedas Jebat, Gulai Panas Jebat dan Tom Yam Makanan Laut memang padu!

Nak senaraikan kesemua menu dari sarapan hingga makan malam memang tiada penyudah. Yang pasti, ada juga masakan panas, masakan klasik dan makanan barat. Ramai yang pernah ke sini mengatakan Kuey Teow Kantonis, Bubur Sum Sum dan Mi Goreng Mamak antara menu sedap dan perlu dicuba. Mungkin ini boleh membantu anda untuk membuat pilihan menu!

Tak tahu nak minum apa? Antara minuman istimewa yang perlu anda cuba adalah Kopi Kampung, Teh Tarik Jebat dan Fresh Fruit Juice. Cukup menyegarkan tekak! Pesan bersama aneka pemanis mulut seperti kek dan pengat pisang, menjadikan set santapan anda lengkap!

Rata-rata pengunjung memang berpuas hati menjamu selera di sini. Persembahan makanan, kuantitinya, layanan dari staff serta suasana yang dinikmati amat berpatutan dengan harga yang ditawarkan.

Kemudahan

Buat pengetahuan anda, Rumah Makan Jebat sangat mudah diakses oleh pengunjung. Bahkan ada yang membuat rombongan bas untuk menjamu selera di sini. Ia terletak kira-kira 5 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Dari segi fasiliti, parkir sangat luas dan berada di perkarangan restoran. Tandas serta surau juga disediakan buat pengunjung, bersih dan cantik sehinggakan pasti ada yang akan bergambar di sini.

Rumah Makan Jebat sangat sesuai untuk dijadikan lokasi untuk sebarang majlis seperti sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan mahupun reunion. Bukan sahaja tempatnya menarik, malah dapat memuatkan ramai orang dalam satu masa.

Tak cukup dengan itu, Rumah Makan Jebat sering mengadakan promosi dengan pakej berbaloi. Promosi ini diadakan setiap kali ada hari istimewa seperti Sambutan Hari Bapa, Hari Guru dan Hari Jadi. Pakej yang ditawarkan lebih berpatutan!

Maklumat Lanjut

Alamat: Royal Riviera Eco Resort, Lot PT503 Kuala Sungai Melaka, Padang Mat Sirat, Langkawi, Kedah.

Waktu operasi: Setiap hari (7:30 am-11.30 pm)

No telefon: 04-955 8688

Facebook: Rumah Makan Jebat

TikTok: Rumah Makan Jebat

Secara ringkasnya, Rumah Makan Jebat memang berbaloi untuk dikunjungi. Bukan sahaja pelbagai menu ditawarkan, malah anda dapat menenangkan fikiran kerana suasana keliling yang nyaman.

Jangan lupa singgah makan di sini jika ke Pulau Langkawi. Ajak pasangan, keluarga mahupun rakan-rakan untuk menikmati makanan dan pemandangan istimewa. Selamat mencuba!

Tahukah anda, pelbagai tempat makan sedap yang perlu anda cuba jika menjejakkan kaki di Pulau Langkawi. Tidak sah jika ke Langkawi tetapi tidak makan di sini:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.