Restoran-restoran Mamak cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Tidak kira anda berbangsa Cina, Melayu mahupun India, restoran Mamak pasti termasuk dalam senarai restoran-restoran kegemaran anda, bukan?

Bagi yang menetap di KL atau bercadang untuk berkunjung ke KL, adakah anda masih tercari-cari restoran Mamak manakah yang patut anda kunjungi untuk meluangkan masa bersama kawan atau keluarga? Kami yakin restoran ini pasti sesuai dengan citarasa anda!

Restoran ZK

Imej via Foursquare

Restoran ZK merupakan antara restoran Mamak yang cukup terkenal di KL. Bukan seperti restoran Mamak yang biasa-biasa, ianya juga menyajikan menu-menu yang cukup menarik. Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang menu-menu yang istimewa di sini!

Kari Kepala Ikan @ Restoran ZK

Imej via Foursquare

Kari Kepala Ikan, Kegemaran Ramai Pengunjung

Sebut sahaja tentang restoran Mamak, sudah tentulah menu Kari Kepala Ikan termasuk dalam senarai! Di Restoran ZK, Kari Kepala Ikan merupakan antara menu yang cukup terkenal di sini.

Kari Kepala Ikan ini mempunyai saiz dan harga yang berbeza, cukup bervariasi! Kuah karinya juga pekat dan berempah. Dimakan bersama nasi panas-panas dan sayur campur, sedapnya dijamin sehingga menjilat jari!

Ayam Madu @ Restoran ZK

Imej via Foursquare

Ayam Madu, Manis dan Berempah

Menu ini juga cukup sinonim dengan restoran Mamak – Ayam Madu! Di Restoran ZK, Ayam Madu juga merupakan antara lauk yang boleh bikin pengunjungnya berebut sesama sendiri untuk mendapatkannya!

Mana tidaknya, rasa manis Ayam Madu ini tidak keterlaluan dan ayamnya juga besaiz besar. Cukup enak terutamanya apabila dikenakan bersama papadom dan sayur campur!

Ayam Goreng @ Restoran ZK

Imej via Foursquare

Ayam Goreng, Kegemaran Ramai Pelanggan di Restoran ZK

Menu ini juga merupakan antara menu yang cukup laku di Restoran ZK. Ayam Goreng sememangnya menu yang kerap didengari tetapi di Restoran ZK, anda akan merasai kelainannya yang tersendiri.

Ayam yang digoreng rangup ini tidak terlalu masin seperti ayam goreng di gerai-gerai lain. Rasanya juga berempah dan aromanya cukup memikat, boleh bikin sesiapa sahaja kecur air liur!

Kari Sotong @ Restoran ZK

Imej via Foursquare

Kari Sotong, Sotong Bersaiz Besar dan Banyak Kuantitinya

Menu istimewa seterusnya ialah Kari Sotong. Mungkin kedengaran biasa sahaja kerana menu ini selalu ada di mana-mana restoran Mamak, namun jika anda merasainya sendiri di Restoran ZK, anda pasti terkejut!

Seperti Kari Kepala Ikan, sotongnya juga mempunyai saiz dan harga yang berbeza. Yang pasti, menu ini menajanjikan kekenyangan walaupun anda mengambil hanya sejenis lauk sahaja!

Menu Sampingan @ Restoran ZK

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Untuk menu sampingan pula, antara menu sampingan yang anda boleh cuba ialah papadom, sayur kobis dan salad bawang timun . Sememangnya menjadi pelengkap menu yang terbaik, kami berani jamin!

Tosei @ Restoran ZK

Imej via Foursquare

Menu-menu lain yang cukup sinonim di mana-mana restoran Mamak seperti Roti Canai, Roti Telur, Tosei dan Roti Sardin juga turut dihidangkan di Restoran ZK. Dihidangkan bersama kuah dal, kari dan sambal, anda pasti akan berpuas hati dengan keenakannya!

Banyak juga menu-menu yang cukup istimewa di Restoran ZK ini. Andai kami senaraikan satu-persatu, pasti tidak akan habis! Jadi, kami cadangkan agar anda cuba sendiri menu-menu ini, hanya di Restoran ZK.

Bertempat di Kampung Attap di Kuala Lumpur dan beroperasi setiap hari bermula dari jam 11 pagi hingga 4 petang, anda digalakkan untuk datang awal kerana selalunya, pelanggan-pelanggan di sini memang akan beratur panjang. Jadi, cepat-cepatlah serbu Restoran ZK ya!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.