Sedap, Murah dan Halal merupakan slogan utama yang menjadi pegangan Restoran Nasi Ulam D’Pondok dan Kafe D’Pondok ini. Ia terletak berhadapan dengan Masjid Bukit Setongkol dan setiap kali seusai solat Jumaat, ramai pelanggan menyerbu dan beratur di restoran ini.

Keistimewaan restoran ini terletak pada lauk pauknya yang begitu banyak. Sebanyak 75 jenis masakan disediakan buat para pelanggan yang datang. Restoran ini menyajikan hidangan tradisional masyarakat Pahang semestinya menyediakan banyak lauk pauk terutama semasa makan tengahari.

Lauk Pauk Silih Berganti

Lauk pauk bersilih ganti pasti membuatkan anda teruja untuk memilih. Tambahan pula aroma masakan yang terhidang menusuk kalbu. Warung ini menyediakan pelbagai masakan kampung untuk para pelanggan yang datang.

Ikan Patin Tempoyak

Imej via instagram

Paling tidak boleh tahan aroma ikan patin tempoyak yang cukup menawan hati. Di tambah pula haruman hidangan ikan siakap stim, gulai lemak daging salai dan juga tempoyak pucuk ubi ikan bilis yang memang membuatkan perut begitu kelaparan. Kecur liur dibuatnya tidak dapat ditahan – tahan lagi.

Penyediaan lauk pauk ini agak mudah dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Pemilik restoran Abd Majid Abd Wahid memperuntukkan sebanyak 40 kilogram ikan patin, kerapu, tilapia serta 30 hingga 40 kilogram ikan laut. Ia dijadikan pelbagai jenis masakan berkuah, bergoreng dan juga bakar.

Antara menu lain yang pasti menyelerakan adalah ikan keli goreng berlada, cencaru berlada dan masak lemak daging salai.  Terdapat juga ikan tilapia goreng masam manis, kari kambing, kerapu tiga rasa, ayam goreng percik dan juga ayam goreng berempah.

Sambal Udang

Imej via facebook

20 Jenis Sayuran

Terdapat sebanyak 20 jenis menu sayuran bergoreng serta berkuah seperti lemak taugeh, masak lemak labu, rebung masak lemak kuning, lemak cekur manis campur keledek, kerabu mangga, jantung pisang dan juga sambal bilis tempoyak.

Hidangan berasaskan masakan tradisional Pahang ini kebanyakan menggunakan resepi asli terutamanya yang menggunakan ikan sungai. Ilham membuka restoran berasaskan masakan tradisional Pahang ini dibuat kerana permintaan terhadap masakan ini mendapat permintaan ramai.

Selain patin tempoyak, patin goreng berlada turut menjadi pilihan ramai. Setiap hari juga sebanyak 12 kilogram ikan patin digunakan untuk sajian patin goreng berlada.

Pucuk ubi tempoyak bilis dan juga masak lemak pisang putik juga merupakan kegemaran ramai pelanggan. Beberapa jenis sambal juga turut disediakan untuk dimakan bersama nasi putih.

Antara sambal yang disediakan adalah seperti sambal belacan, sambal kicap, sambal tempoyak, sambal bawang potong yang sedap dimakan bersama ulam raja, pokok sambung nyawa, salad, timun dan petai.

Daging Goreng

Imej via facebook

Harga Serendah RM 0.50

Harga hidangan untuk makan tengahari di sini bermula serendah RM 0.50 hingga RM 1.50 untuk sayuran manakala harga lauk berasaskan ikan dan ayam bermula dari RM 3.50 hingga RM 7.00 sahaja.

Restoran ini tidak hanya menyediakan hidangan makan tengahari, namun turut menyajikan sarapan pagi buat para pelanggannya. Anda boleh mencuba hidangan lontong, bubur nasi, pulut sambal, nasi lemak dan pelbagai jenis roti di sini.

Waktu operasi restoran ini bermula pada jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari kecuali hari Ahad untuk hidangan makan tengahari. Mulai jam 6.00 petang hingga jam 12.00 tengah malam restoran ini turut menyediakan hidangan makanan barat.

Alamat : B-34 Lorong Tun Ismail 6, Sri Dagangan, 25000 Kuantan Pahang

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.