Langkawi merupakan satu destinasi pelancongan yang terkenal tempat – tempat menarik dan juga keunikan makanannya yang tersendiri. Jika anda pertama kali mendengar hidangan bronok, jangan terkejut kerana tidak semua orang mengenali hidangan tersebut. Hidangan bronok merupakan hidangan eksotik yang boleh anda cuba jika berkunjung ke Langkawi dan ia merupakan hidangan istimewa buat penduduk Langkawi.
Bronok ini kelihatan seakan – akan timun laut, mempunyai tekstur kulit yang sangat licin serta lembik seperti sotong. Ia terdapat dalam beberapa warna iaitu coklat kehitaman dan juga merah muda. Isinya adalah sangat kenyal dan agak masin.
Bagi masyarakat Langkawi, bronok sering dijadikan sebagai kerabu dan merupakan makanan tradisi masyarakat Langkawi. Antara restoran yang menyajikan bronok sebagai menu hidangan adalah Restoran Siti Fatimah yang terletak di kawasan Kuah tetapi tidak di pusat bandar utama. Ia terletak di Kampung Mata Air dan sebelum Tok Senik Resort.
Biarpun popular dengan hidangan makan tengahari, namun restoran ini turut menyajikan hidangan sarapan buat para pelanggan. Restoran ini menyajikan pelbagai hidangan sarapan pagi buat para pelanggan yang datang.
Antara menu yang sering menjadi pilihan para pelanggan adalah roti bakar telur goyang yang sememangnya sangat menyelerakan. Ia juga antara menu pilihan kanak – kanak yang datang bercuti bersama keluarga di Langkawi.
Restoran ini menyajikan pelbagai masakan tempatan Melayu utara semasa makan tengahari. Waktu yang terbaik untuk menikmati hidangan makan tengahari di sini adalah pada jam 11.30 pagi kerana ketika itu masih belum ramai pelanggan yang datang.
Pelbagai menu masakan kampung dihidangkan buat para pelanggan. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba hidangan kerabu bronok yang sememangnya popular di Langkawi. Hidangan ini sering mendapat perhatian para pelanggan kerana ia sukar didapati di tempat lain.
Selain bronok, masakan kampung yang disajikan di sini ternyata membuka selera para pelanggan. Menunya yang begitu banyak membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilihnya. Ikan bakarnya juga mempunyai pelbagai jenis ikan yang boleh dipilih sebagai lauk hidangan tengahari.
Lauk pauk lain juga begitu memikat hati. Tambahan pula ulam – ulaman segar dihidangkan bersama pelbagai sambal belacan yang begitu matching sekali. Restoran ini sering mendapat kunjungan pelancong luar kerana kebiasaannya pengusaha pelancong akan membawa pelancong datang menjamu selera di sini.
Kalau ke Langkawi ibarat syurga membeli belah, makan di restoran ini terasa seperti syurga makanan. Harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan adalah sangat murah dan berbaloi dengan keenakan menu yang tersedia di sini.
Alamat : Batu’5,Kg.Mata Air,Jln Makam Mahsuri, 07000 Langkawi