Johor Bahru sememangnya merupakan antara ibu negeri yang paling terkenal di Malaysia. Sebut sahaja Johor Bahru atau lebih dikenali dengan JB, anda pasti teringat tentang Legoland, Danga Bay, pusat membeli belah Johor Premium Outlet dan bermacam-macam daya tarikan lagi!

Anda bercadang untuk berkunjung ke Johor Bahru? Atau anda sudah menetap di Johor Bahru tapi anda masih tercari-cari restoran apa yang patut anda singgah untuk mengisi perut yang kosong pada waktu pagi? Kami faham, dek kerana kesibukan bekerja kadang kala anda sampai terlupa untuk menyediakan sarapan di rumah. Jadi, jom terjah restoran yang kami cadangkan ini!

Restoran Pondok Santapan Larkin

Imej via Facebook

Restoran Pondok Santapan Larkin yang terletak di Larkin Jaya, JB merupakan restoran yang menghidangkan sarapan yang berbagai. Sebut sahaja apa yang terlintas di minda, roti canai, nasi lemak, lempeng kelapa, kuih-muih, semuanya ada! Mari kita lihat apa yang istimewa di Restoran Pondok Santapan Larkin ini!

roti arab @ pondok santapan larkin

Imej via Foursquare

Roti Arab, Hidangan ‘Laku Keras’ di Restoran Pondok Santapan Larkin

Anda pernah mencuba roti Arab? Bagi yang tertanya-tanya tentang menu ini, Roti Arab merupakan roti dari Timur Tengah yang berbentuk bulat dan isinya tebal. Dimakan bersama kuah kari atau bersama kaya, menu ini sememangnya menu yang terbaik untuk sarapan dan makan petang.

Roti Arab merupakan antara menu yang paling banyak dipesan di Restoran Pondok Santapan Larkin. Terkenal dengan kualiti rotinya, kesedapan kuah karinya, tidak hairanlah menu ini merupakan antara menu yang paling ‘hangat’ di restoran ini! Bukan sahaja sedap, malah mengenyangkan. Memang berbaloi!

laksa johor @ pondok santapan larkin

Imej via Foursquare

Laksa Johor, Enak dan Asli

Bila anda singgah ke Johor, tidak sahlah jika anda tidak mencuba menu yang cukup terkenal di Johor ini – Laksa Johor! Laksa Johor di Restoran Pondok Santapan Larkin ini sememangnya enak dan memikat. Disediakan dengan menggunakan resepi Laksa Johor yang asli yang menggunakan spagetti sebagai mi dan kuah yang pekat, menu ini memang cukup terkenal di restoran ini. Kami yakin anda pasti sudah mula terliur!

lempeng kelapa @ pondok santapan larkin

Imej via Foursquare

Lempeng Kelapa, Enak Dimakan Bersama Apa Sahaja

Kalau dah namanya sarapan, menu ini pasti akan termasuk dalam senarai! Restoran Pondok Santapan Larkin turut menyediakan lempeng kelapa. Memang sedap dicicah bersama kuah kari atau yang istimewanya di restoran ini, sambal telur puyuh dan asam pedas! Jarang didengari tapi dijamin enak sehingga menjilat jari!

nasi ambeng @ restoran pondok santapan larkin

Imej via Foursquare

Nasi Ambeng, Menu Jawa yang Istimewa Lagi Mengenyangkan

Anda pernah terdengar atau mencuba menu ini? Jika dilihat di dalam gambar, anda pasti tertanya-tanya bagaimana rasanya, bukan? Nasi Ambeng merupakan hidangan Jawa yang mencampurkan nasi putih bersama mi atau bihun goreng, ikan asin, sambal goreng dan urap. Dihidangkan bersama daun pisang yang menambahkan keenakan nasinya, menu ini wajib anda cuba jika anda berkunjung ke sini!

Banyak Lagi

berbagai menu @ restoran pondok santapan larkin

Imej via Foursquare

Kuih Muih @ Restoran Pondok Santapan Larkin

Imej via Facebook

Menu sarapan lain juga turut dihidangkan di sini, antaranya roti canai, nasi lemak, roti jala, lontong kering, mi rebus dan banyak lagi! Menu sarapan di sini cukup beraneka, kami yakin anda pasti teringin merasai kesemuanya! Kuih-muih juga turut dijual di sini, lebih cocok dimakan sebagai hidangan sampingan, pasti mengenyangkan. Harganya juga sangat berpatutan, murah-murah belaka!

Ada yang sudah mula berkeroncong perut ke tu? Anda pasti sudah mula mengidam Laksa Johor dan Roti Arab, bukan? Haa, cepat-cepatlah serbu Restoran Pondok Santapan Larkin ya! Tempat parkir di sini juga agak terhad dek kerana jumlah pelanggan yang cukup ramai, jadi anda digalakkan untuk datang awal. Kalau tidak, melepaslah peluang nak merasa menu sarapan terbaik di JB!

Penulis: Nurul Hani Muhamad Sabri

Nurul Hani Muhamad Sabri

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.