Mencari restoran nasi kukus di Selangor yang terlajak sedap dan murah?

Nasi kukus merupakan menu yang sudah lama diperkenalkan di negara kita dan ianya masih terkenal sehingga kini. Buktinya, hampir di setiap kawasan pasti ada lambakan gerai yang menyajikannya.

Mahu menikmati nasi kukus yang enak rasanya & berpatutan harganya? Berikut kami senaraikan 10 restoran nasi kukus sekitar Selangor yang boleh anda kunjungi.

Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

#1 Nasi Kukus Sotong Besar Klang

Alamat: No.2 Tingkat Bawah, Jalan Harmoni 1A/KU3,Kristal Klang Commercial Centre, Kampung Batu Belah, 41050 Klang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 12 tengah hari – 11 malam

Selalunya, lauk yang disajikan bersama nasi kukus ialah ayam goreng berempah. Kali ini, restoran ini mempunyai kelainan yang tersendiri kerana mereka menggunakan sotong goreng untuk lauknya.

restoran nasi kukus selangor

Imej via Foursquare

Tertanya-tanya bagaimana rasanya? Semestinya sedap tak terhingga. Sotong yang digunakan memang segar dan besar. Ianya digoreng rangup menggunakan adunan ‘rahsia’ yang membuatkan menu ini begitu istimewa.

Selain sotong, anda juga boleh mencuba lain. Berita baik buat peminat tegar lauk kambing, kerana nasi kukus sup kambing dan kambing bakar boleh didapati di sini.

Harga yang ditawarkan juga sangat berbaloi dengan kualiti yang dijanjikan. Yang pasti, harga untuk setiap menu nasi kukus di restoran ini tidak melebihi RM 15. Sudahlah enak, berpatutan pula harganya!

#2 Nasi Kukus Ilham @ Mutiara Damansara

Alamat: Jalan PJU 7/16, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 11.30 pagi – 10 malam

Memang tak sahlah senarai restoran nasi kukus di Selangor ini jika kami tidak senaraikan restoran Nasi Kukus Ilham ini. Ianya merupakan antara restoran yang top di Petaling Jaya, sangat popular!

Bila anda datang ke sini, benda pertama yang akan anda lihat ialah barisan pelanggan yang beratur panjang. Fuh, bukan biasa-biasa ya penangan nasi kukus di restoran ini!

restoran nasi kukus selangor

Imej via Foursquare

Yang istimewanya, nasi kukus di restoran ini menyajikan lauknya iaitu ayam goreng berempah bersama nanas yang manis. Nanas ini membantu untuk menaikkan rasa sambal belacan yang pedas.

Ayam goreng berempahnya pula memang dipuji ramai. Rangup di luar dan lembut isinya, serta harum aromanya. Harga yang ditawarkan juga lebih kurang RM 7, sangat berpatutan!

#3 Restoran Maliki Nasi Kukus

Alamat: 20, Jalan PJS 8/17, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 2 pagi

Di Bandar Sunway, nama restoran ini sudah tidak asing lagi bagi penduduk sekitar situ. Jumlah pelanggan yang tak pernah tak ramai jelas membuktikan betapa terkenalnya Restoran Maliki Nasi Kukus ini.

restoran nasi kukus selangor

Imej via Instagram

Jadi, apa yang membuatkan nasi kukus di sini begitu istimewa sekali? Nasinya memang banyak dan kuahnya secukup rasa. Ianya disajikan bersama kuah kari, sambal dan acar.

Ayamnya digoreng rangup, namun isinya masih lembut dan juicy. Setiap suapan menjanjikan kelazatan yang tidak terkira, kami yakin anda pasti akan ketagih dengannya!

#4 Nasi Kukus Cik Ros

Alamat: Kanchong Darat, 42700 Banting, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 11 pagi – 10 malam

Kalau dah nama pun restoran viral, pasti anda sangkakan yang menu di sini harganya melebihi RM 10, bukan? Tanggapan anda salah, kerana kebanyakan menu di restoran Nasi Kukus Cik Ros harganya sekitar RM 5 sahaja.

restoran nasi kukus selangor

Imej via Foursquare

Termasuk nasi kukus ayam berempah yang juga merupakan menu terlaris di sini. Saiz hidangannya besar, nasinya banyak dan ayam yang digoreng rangup juga bersaiz besar.

Sedikit tips, kalau anda sukakan kuah banjir, minta sahaja kuah lebih. Kerana di samping harga yang murah dan jumlah nasi yang banyak, kuahnya juga cukup lazat.

#5 Nasi Kukus Boss @Setia Alam

Alamat: 107G Jln Gemilang U13/BG, Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pagi – 12 tengah malam

Nasi Kukus Boss ini juga merupakan antara port nasi kukus terbaik di Selangor. Terletak di Setia Alam, restoran ini juga kerap dibanjiri dengan ramai pelanggan terutamanya pada waktu kemuncak.

nasi kukus bos setia alam

Imej via Foursquare

Yang membuatkan nasi kukus di restoran ini begitu terkenal ialah ayam gorengnya rangup dan lembut, manakala kuahnya pula ada rasa lemak-lemak. Lagi best  kalau anda minta kuah banjir!

Restoran ini juga menggunakan resepi turun-temurun dan rempah ratus yang asli bagi memastikan kualiti ayam goreng mereka sentiasa terbaik. Patutlah begitu ramai pelanggan ketagih dengan ayam gorengnya!

#6 Nasi Kukus Malaya Ayam Cincang Putra Perdana

Alamat: 16, Jalan Putra Perdana 5d/1, Taman Putra Perdana, 47100 Puchong, Selangor

Waktu Operasi: 24 jam

Mula berkeroncong perut kerana terbayangkan keenakkan nasi kukus pada jam 3 pagi? Tak menjadi masalah, singgah sahaja di restoran Nasi Kukus Malaya Ayam Cincang ini, kerana ianya dibuka 24 jam!

nasi kukus malaya ayam cincang putra perdana

Imej via Foursquare

Berbeza dengan restoran nasi kukus yang lain, restoran ini menyajikan ayam cincang goreng sebagai lauknya. Jumlah ayam cincangnya banyak dan ianya digoreng rangup. Enak dimakan panas-panas!

Jangan lupa pesan sambal lebih ya. Memang berganda kelazatannya jika ayam goreng cincang ini dibanjiri dengan sambal dan kuahnya yang istimewa.

#7 Dapur Mama Original Nasi Kukus

Alamat: Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pagi – 10 malam

Restoran yang beroperasi sejak tahun 2010 ini mempunyai beberapa cawangan di seluruh Malaysia. Nampaknya memang hebat penangan nasi kukus di restoran Dapur Mama ini!

dapur mama

Imej via Foursquare

Ianya juga mempunyai sebuah cawangan di Bandar Baru Bangi. Nasi kukus ayam berempah yang disediakan di restoran ini telah berjaya menambat perhatian ramai.

Kuahnya pekat dan kaya dengan rasa. Ayamnya bersaiz besar dan cukup rangup, namun masih juicy. Pendek kata, nasi kukus ayam berempah di restoran ini memang luar biasa sedapnya!

#8 Nasi Kukus RZ

Alamat:  2, Jalan Plumbum Aa 7/Aa, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10 pagi – 12 tengah malam

Satu lagi restoran nasi kukus di Selangor yang wajib anda serbu ialah restoran Nasi Kukus RZ. Terletak di Shah Alam, restoran ini merupakan antara restoran nasi kukus yang paling popular sekitar situ.

nasi kukus rz

Imej via Foursquare

Kuah karinya telah berjaya memikat hati ramai pelanggan. Nasinya yang lembut serta ayam goreng yang lazat juga merupakan antara keistimewaan utama nasi kukus di sini.

Harganya juga sangat berpatutan, cuma RM 6.50 sahaja. Berbaloi dengan kualiti nasi kukusnya yang cemerlang, anda wajib cuba!

#9 Nasi Kukus Lejen

Alamat: 3, Ground Floor, Jalan SS21/56B, Damansara Utama, 47000 Petaling Jaya, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pagi – 9 malam manakala Ahad bermula 10 pagi – 7 malam

Sesetengah restoran selalunya menyajikan sambal belacan yang pedas, namun tidak sepedas yang diidamkan. Tambahan pula jika anda peminat tegar makanan pedas, mestilah nak sambal yang pedas ‘kaw kaw’!

restoran nasi kukus lejen

Imej via Foursquare

Untuk itu, cabarlah diri anda untuk mencuba sambal belacan yang disajikan bersama nasi kukus di restoran Nasi Kukus Lejen ini. Sambal belacannya dikatakan pedas habis, boleh bikin anda menangis!

Selain itu, nasi kukusnya juga sangat menyelerakan. Aroma ayam goreng berempah yang digoreng rangup mampu buat sesiapa sahaja terliur sebaik terhidunya. Rugi kalau tak cuba!

#10 Nasi Kukus Kak Ma

Alamat: 12, Jalan 3/1, Bandar Teknologi Kajang, 43500 Semenyih, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 pagi – 8 malam

Kalau dilihat dari luar, nampak seperti gerai nasi kukus biasa sahaja. Namun, jangan nilai sesebuah restoran dari luarannya, kerana restoran Nasi Kukus Kak Ma ini agak terkenal di Semenyih.

restoran nasi kukus selangor

Imej via Facebook

Semestinya menu yang laku keras di restoran ini ialah nasi kukus. Selain ayam goreng berempah, anda juga boleh cuba ikan keli goreng & ikan talapia goreng. Sambalnya memang pedas, namun tidak terlampau.

Harga untuk nasi kukus di sini sekitar RM 5 sahaja. Berbaloi dengan jumlah nasi yang banyak dan lauk yang enak!

Kesimpulan

Sudah tak sabar-sabar mahu serbu restoran nasi kukus yang kami senaraikan ini? Jangan lepaskan peluang ini, singgah sahaja jika anda berada sekitar Selangor.

Kami juga ingin nasihatkan agar anda datang pada waktu yang sesuai, kerana pada waktu kemuncak selalunya ramai pelanggan yang menyerbu. Takut nanti terlepas peluang pula.

Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.