Apabila di Sarawak pastikan anda mencuba Mee Kolol Sarawak yang terletak di Kuching.

Negeri Sarawak memang merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai banyak tarikan. Bukan sahaja sentiasa dikunjungi oleh pelancong dari negara luar, malah orang negara kita juga sentiasa melancong ke sini dek kerana tarikan yang banyak di Sarawak!

Antara tarikan utama di negeri Sarawak ialah Taman Negara Bako, Pusat Hidupan Liar di Semanggoh, muzium dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, makanan tradisional Sarawak seperti kek lapis Sarawak, Ambuyat dan mi kolok juga cukup disukai ramai!

Bagi peminat tegar mi kolok yang bercadang mencubanya di Sarawak sendiri, adakah and2a masih tercari-cari restoran mana yang patut anda kunjungi? Kami ada senarainya, jadi teruskan membaca ya!

#1 Muhammad Lim’s Mushroom Mee

Anda tercari-cari warung yang menghidangkan Mi Kolok yang bukan sahaja halal dan enak, malah dibuat sendiri dan menggunakan resepi asli mi kolok Sarawak? Warung Muhammad Lim’s Mushroom Mee ini pasti menjadi pilihan yang tepat buat anda!

Mi Kolok @ Muhammad Lim'S Mushroom Mee

Imej via Foursquare

Restoran yang sudah lama beroperasi di kafe Ting ini masih berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai antara warung mi kolok yang agak popular di Kuching. Mi kolok cendawan yang menjadi kegemaran ramai juga antara menu yang wajib anda cuba di sini, dijamin enak!

Alamat: 18, Jalan Green Hill, 93100 Kuching, Sarawak

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Ahad, bermula dari jam 7:30 pagi hingga 6 petang

#2 Mee Kolok Mangkuk Merah

Sebut sahaja Mee Kolok Mangkuk Merah, pasti ramai penduduk di Kuching pernah terdengar tentangnya. Merupakan antara restoran yang menghidangkan mi kolok yang cukup terkenal di Kuching, harga yang ditawarkan di sini juga cukup berpatutan!

Mi Kolok Mangkuk Merah

Imej via Foursquare

Terletak di medan selera terbuka Benteng Satok, antara keistimewaan mi kolok di sini ialah sambalnya yang pedas. Cukup ‘kaw’ apabila dikenakan bersama mi kolok panas-panas. Harga semangkuk mi kolok di sini juga murah, memang berbaloi!

Alamat: Stall No. 53 Mee Kolok Mangkuk Merah, Medan Niaga Satok (Block E – Benteng), 93050 Kuching, Sarawak

Waktu operasi: Dibuka setiap hari, bermula dari jam 10 malam hingga 2 pagi

#3 Mee Kolok Tang

Ingin mencuba mi kolok yang dihidangkan bersama sambal yang cukup ‘padu’ kepedasannya? Bukan itu sahaja, kuantiti daging yang dihidangkan juga banyak dan isi dagingnya juga empuk dan lembut? Anda patut serbu restoran ini!

Mi Kolok @ Mee Kolok Tang

Imej via Foursquare

Mee Kolok Tang merupakan antara restoran yang menyajikan mi kolok yang halal dan enak. Bukan itu sahaja, harga untuk semangkuk mi kolok di sini juga sangat berpatutan dengan saiz hidangannya yang agak besar. Cukup enak dan mengenyangkan untuk dikenakan semasa bersarapan!

Alamat: 5, Jln Tanjung, Kampung Patingan, 93400 Kuching, Sarawak

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 7 pagi hingga 6 petang

#4 Kopi O Corner

Nama restoran ini sudah tidak asing lagi di kota Kuching. Menghidangkan pelbagai jenis makanan terutamanya makanan tradisi Sarawak, tidak hairanlah restoran ini sentiasa dipenuhi dengan pelanggan, terutamanya pelancong baik dalam mahupun luar negara.

Mi Kolok @ Kopi O Corner

Imej via Foursquare

Antara menu yang wajib anda cuba di sini ialah semestinya mi kolok. Dihidangkan bersama sambal yang pedas yang menaikkan rasa mi kolok tersebut, menu ini juga merupakan menu yang banyak dipesan oleh pelanggan di sini. Anda wajib merasainya sendiri, dijamin puas hati!

Alamat: No. 139B, Bangunan MARA, Jalan Satok, 93400 Kuching, Sarawak

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam

#5 Mi Kolok Haji Salleh @ Sepinang Sari Cafe

Mi Kolok Haji Salleh yang terletak di kafe Sepinang Sari ini merupakan antara mi kolok yang paling popular di kota Kuching. Bukan sahaja di kota Kuching, malah di seluruh Sarawak, cukup berpengaruh!

Mi kolok yang dihidangkan di Mi Kolok Haji Salleh ini cukup beraneka. Menggunakan resepi turun-temurun daripada pengasas restoran ini, keistimewaan utama Mi Kolok Haji Salleh ini ialah mi yang dibuat sendiri yang lembut, sup yang seimbang rasanya dan lauk yang cukup berbagai!

Mi Kolok Special Tendon @ Sepinang Sari Cafe

Imej via Foursquare

Antara mi kolok yang dihidangkan di sini ialah mi kolok yang dihidangkan bersama daging, ayam dan tendon. Mi kolok biasa juga turut dihidangkan bagi yang tidak menginginkan lauk.  Cukup enak dikenakan panas-panas, kami yakin anda pasti akan menyukainya!

Alamat: Kampung Bandarshah, 93400 Kuching, Sarawak

Waktu operasi: Setiap hari, dibuka seawal jam 5:30 pagi hingga 1 tengahari

#6 Mom’s Laksa Kopitiam

Teringin mencuba laksa Sarawak yang asli dan mi kolok? Nama restoran Mom’s Laksa Kopitiam ini tidak asing lagi di kota Kuching. Terkenal dengan menu laksa Sarawak, mi kolok di sini juga apa kurangnya, memang mengancam!

Mi Kolok @ Mom's Laksa Kopitiam

Imej via Foursquare

Tarikan utama mi kolok di sini ialah mi yang kenyal dan lembut, sup yang tidak terlalu masin mahupun tawar dan daging yang direbus dengan sempurna. Cukup enak dikenakan bersama laksa Sarawak yang merupakan salah satu menu istimewanya juga!

Alamat: Ground Floor, SL-2, Jalan Astana, Ave Astana, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak

Waktu operasi: Setiap hari, bermula seawal jam 5 pagi hingga 4:30 petang

Ada banyak lagi restoran dan warung yang menyajikan mi kolok yang asli resepinya dan enak rasanya. Tidak dapat kami senaraikan kesemuanya, namun restoran dan warung yang kami senaraikan ini merupakan antara yang terbaik!

Ada pembaca yang sudah mula berkeroncong perut membayangkan mi kolok yang resepinya asli dan enak? Sudah mula memasang niat untuk menerjah restoran-restoran yang kami senaraikan ini?

Jika ya, lekaslah serbu restoran-restoran ini sebelum terlepas peluang ya! Anda juga digalakkan untuk datang awal kerana dikhuatiri ruang parkir dan ruang dalam restoran dipenuhi ramai pelanggan. Selamat menjamu selera!

Jemput juga membaca artikel lain kami seperti port teh tarik dan kedai makan masakan Cina di KL.

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.