Pertama kali mendengar nama Restoran Kapal Terbang, terus terdetik jika konsepnya sama seperti The Dreamliner Airways Café yang terletak di Johor Bahru.

 

Restoran Kapal Terbang
Imej via Foursquare

 

Ini kerana restoran The Dreamliner amat hampir hiasan dalamannya dengan keadaan di dalam kapal terbang. Namun, Restoran Kapal Terbang yang saya ceritakan nanti bukan di Johor. Ia terletak di Kelantan.

Salah satu daya tarikan Restoran Kapal Terbang ini ialah sebuah kapal terbang jenis Cessna Diamond 401 yang menghiasi lamannya. Ini adalah kapal terbang sebenar yang dibeli dengan harga RM100,000! Kos membina restoran ini berjumlah RM5 juta di mana mereka juga turut bekerjasama dengan Pusat Pelancongan Negeri Kelantan.

Saya kira promosinya agak meluas. Ia dibuka pada bulan Julai 2015 dan mendapat liputan akhbar seperti Sinar Harian dan Harian Metro. Restoran Kapal Terbang juga muncul di dalam rancangan terkemuka TV3 iaitu Jalan-Jalan Cari Makan pada hujung tahun 2016.

 

Pelbagai Menu Masakan

Restoran Kapal Terbang menyediakan masakan dari kategori masakan berasaskan mee, nasi, dan barat. Mereka juga turut memiliki menu istimewa seperti kari kepala ikan, sup kepala ikan, dan asam pedas Johor.

Para pelanggan mempunyai komen yang bercampur mengenai makanan di restoran ini. Ada yang mengatakan ia sekadar biasa-biasa dan ada juga yang memuji.

 

Restoran Kapal Terbang

Restoran Kapal Terbang

 

Memang agak sukar juga untuk menemui komen pelanggan tentang makanan mereka. Apa yang sering dibincangkan adalah hiasannya selain kapal terbang yang menjadi mercunya. Namun, layanan adalah baik apa lagi kedatangan anda disambut oleh pelayan.

Menurut mereka, harga yang dikenakan juga tidak mahal jika dibandingkan dengan suasana di dalam restoran ini.

Restoran Kapal Terbang dihias supaya kelihatan santai. Kolam dan air terjun dibina untuk mendatangkan rasa tenang dan damai kepada para pelanggan. Kerusi dan meja pula kelihatan elegan.

Ini ditambah pula dengan lampu-lampu chandelier yang tergantung di siling. Melihat kepada hiasannya, anda boleh membayangkan RM5 juta itu telah dibelanjakan pada tempatnya.

 

Suasana dan Info Restoran

Restoran Kapal Terbang tidaklah kelihatan seperti kapal terbang walaupun namanya mengambil perkataan itu. Kapal Terbang hanya kelihatan di halamannya yang kini menjadi mercu tanda restoran tersebut. Malah, ada pelanggan yang singgah makan di Restoran Kapal Terbang setelah terlihat sebuah kapal di hadapannya.

Restoran ini pernah terpalit masalah apabila Majlis Bandaraya bertindak menyita Restoran Kapal Terbang sedangkan pada waktu itu restoran itu sedang gah namanya. Malahan, dikhabarkan bahawa pelanggan sentiasa memenuhi ruang. Namun mereka membukanya semula tidak lama selepas itu.

Restoran Kapal Terbang terletak di alamat Lot 2186, GM 1319, Jalan Sultan Yahya Petra, Kampung Lundang, Kubang Kerian, 16150 Kota Bahru, Kelantan. Restoran Kapal Terbang dibuka setiap hari bermula jam 3 petang sehingga 1 pagi. Untuk melihat perkembangan terbaru, sila lawati laman Facebook Restoran Kapal Terbang.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.