Mencari resepi rendang yang boleh dicuba?

Rendang adalah hidangan Minang yang berasal dari wilayah Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia. Hidangan ini popular di negara-negara Asia Tenggara yang berdekatan dan ini termasuklah dengan Malaysia.

Disebabkan itu, jenis rendang ini ada bervariasi. Tertanya-tanya tentang resepinya? Berikut kami senaraikan 10 resepi rendang untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Rendang Siat

resepi rendang siat
Imej via Facebook

Sekali pandang, hidangan ini kelihatan seperti serunding. Tetapi, ianya sebenarnya rendang siat, sejenis hidangan rendang yang teksturnya kering dan dagingnya disiat-siat. Resepi ini dikongsikan oleh Ida Alina Salleh di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg daging
  • Santan cair
  • Sedikit garam
  • Bawang merah (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Cili kering (direbus dan dikisar halus) (jumlah mengikut tahap kepedasan)
  • 800 g santan pekat
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Kerisik 1 biji kelapa
  • Hirisan daun limau purut / hirisan daun kunyit

Bahan kisar:

  • 1 labu bawang putih
  • Halia sebesar ibu jari
  • Lengkuas sebesar ibu jari
  • 5 batang serai
  • 3 bunga lawang
  • 5 bunga cengkih
  • 5 butih buah pelage
  • Sedikit kulit kayu manis
  • 2 sudu kecil biji ketumbar
  • 2 sudu kecil biji jintan putih
  • 2 sudu kecil biji jintan manis

Cara-cara:

  1. Rebus daging dalam santan cair dengan sedikit garam sehingga empuk. Simpan air santan lebihan rebusan daging.
  2. Sejukkan daging yang direbus, kemudian siat-siat halis daging tersebut. Ketepikan.
  3. Tumiskan bahan kisar hingga garing, wangi dan pecah minyak.
  4. Setelah bahan kisar sudah garing, masukkan cili kering.
  5. Setelah cili sudah garing, masukkan bawang hiris. Kacau sehingga bawang bersalut rempah dan menjadi lembut.
  6. Bila bawang dah mula lembut dan wangi, Masukkan santan pekat dan air santan lebihan rebusan daging.
  7. Kacau hingga bawang menjadi lembut dan mula hancur.
  8. Tambah garam jika perlu dan sedikit gula.
  9. Masukkan daging yang dah di siat. Kacau-kacau, masak lagi hingga bawang mula tak berapa nampak dan kuah makin mengering.
  10. Masukkan kerisik dan kacau rata.
  11. Bila dah mula kering, masukkan hirisan daun limau purut atau hirisan daun kunyit.
  12. Kacau hingga kering dan garing.
  13. Sedia untuk dihidang.

#2 Rendang Ayam

resepi rendang ayam
Imej via Facebook

Ini adalah juadah wajib semasa Hari Raya – rendang ayam. Memang enak dimakan bersama nasi putih, ketupat, lemat dan pulut kuning. Resepi ini dikongsikan oleh Senz Ahmad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam
  • 4 sudu cili kisar
  • 2 asam keping
  • 5 sudu besar kerisik
  • 500 g santan (jumlah mengikut kesukaan)
  • 2 sudu rempah kari ayam
  • 1 sudu serbuk jintan manis
  • ½ sudu serbuk kunyit
  • 4 helai daun kunyit
  • 2 tangkai daun limau
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa

Bahan kisar halus

  • 8 batang serai
  • 5 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bahan kisar halus dan cili kisar. Biarkan seketika. Masak dengan api yang perlahan.
  2. Masukkan serbuk kari, serbuk jintan manis, serbuk kunyit dan perasakan dengan garam, gula dan aji.
  3. Boleh tambahkan secawan air. Tumis sehingga pecah minyak dan sedikit kering.
  4. Masukkan daun limau dan kerisik.
  5. Masukkan ayam dan asam keping. Biarkan dalam 5 minit dan terus masukkan santan.
  6. Setelah masak taburkan daun kunyit yang telah dihiris halus. Kaup balik dengan perlahan dan biarkan dalam 3 minit.
  7. Sedia uuntuk dihidang.

#3 Rendang Minang

resepi rendang minang
Imej via Facebook

Pernah cuba resepi rendang asli dari Minang? Hidangan ini cukup popular di Indonesia dan Malaysia kerana keraslian resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Ayu Susanti di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Daun kunyit
  • Daun limau purut
  • Daun salam
  • Santan
  • Daging

Bahan kisar:

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Cili kering
  • Halia lengkuas

Cara-cara:

  1. Panaskan kuali dan masukkan bahan kisar, daging, daun salam dan daun limau purut. Tak perlu gunakan minyak untuk menumis.
  2. Setelah menggelegak, masukkan santan, garam dan bahan perasa. Untuk 1 kg daging, anda perlu guna 1 kg santan.
  3. Sedia untuk dihidang.

#4 Rendang Pucuk Ubi Kayu

resepi rendang pucuk ubi kayu
Imej via Facebook

Pucuk Ubi Kayu juga sesuai dibuat rendang. Rasanya yang berlemak dan berempah pasti akan mencuri hati sesiapa sahaja yang mencubanya. Resepi ini dikongsikan oleh Puan Siti Mariyatul Chiptiah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Pucik ubi kayu (dipotong halus)
  • 10 helai daun kunyit (dipotong halus)
  • 6 batang serai (diketuk)
  • Ikan bilis halus (jumlah ikut kesukaan)
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • 4 biji kelapa santan

Bahan kisar:

  • 1 genggam cili api
  • 6 biji bawang besar
  • 6 ketul besar kunyit hidup

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar dalam kuali.
  2. Masukkan serai yang diketuk.
  3. Setelah wangi, masukan santan.
  4. Setelah santan menggelegak, masukkan ikan bilis, pucuk ubi dan daun kunyit.
  5. Masukkan serbuk perasa dan garam, kacau sehingga betul-betul kering (sekitar 2 jam).
  6. Sedia untuk dihidang.

#5 Rendang Daging

rendang daging
Imej via Facebook

Rendang daging juga merupakan hidangan wajib semasa sambutan Hari Raya atau majlis. Resepi ini dikongsikan oleh Norafyda Yahya di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 9 kg daging (direbus hingga kering airnya)
  • Sedikit lada hitam (jika suka)
  • Santan
  • Gula melaka
  • Gula pasir
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Air asam jawa
  • Kerisik
  • Daun kunyit (dihiris halus)

Bahan kisar:

  • Bawang besar
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Lengkuas
  • Serai
  • Cili kering
  • Cili api (mengikut kesukaan)
  • Bunga lawang
  • Kayu manis

Bahan rempah:

  • Jintan manis
  • Jintan putih
  • Biji ketumbar

Cara-cara:

  1. Gorengkan bahan rempah tanpa minyak. Setelah naik bau, kisar kering hingga halus.
  2. Dalam periuk berasingan, tumis bahan kisar.
  3. Masukkan daging dan gaul sebati sehingga hampir kering.
  4. Masukkan bahan rempah tadi dan gaul rata.
  5. Masukkan santan dan masak hingga agak kering.
  6. Perasakan dengan gula melaka, gula pasir, garam dan serbuk perasa.
  7. Masukkan air asam jawa.
  8. Masukkan kerisik dan masak menggunakan api perlahan hingga kering.
  9. Hiaskan dengan daun kunyit.
  10. Sedia untuk dihidang.

#6 Opor / Rendang Pahang

resepi rendang pahang
Imej via Facebook

Opor juga merupakan jenis rendang yang berasal dari Pekan, Pahang. Jenis daging yang digunakan untuk hidangan ini ialah daging kerbau. Resepi ini dikongsikan oleh Syarifah Nabilla Sayed Harun di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 kilo daging kerbau
  • 2 paket kecil rempah opor Puteri Ayu (1 paket untuk 1 kg daging)
  • 7 biji bawang besar (sebiji dimayang, 6 biji dikisar/ boleh kisar semua)
  • 7 ulas bawang putih (seulas dimayang, 6 biji dikisar / boleh kisar semua)
  • 7 ulas bawang kecil (dikisar)
  • Halia (sebesar setengah ibu jari)
  • Lengkuas
  • 7 batang serai (dikisar)
  • Belacan
  • Lada kering (dikisar)
  • Rempah 4 sekawan
  • Santan (kelapa parut/kotak)
  • Asam jawa/asam keping
  • Gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • Gula pasir secukup rasa

Cara-cara:

  1. Tumiskan rempah 4 sekawan hingga naik bau.
  2. Masukkan bahan-bahan yang sudah dimayang.
  3. Masukkan bahan-bahan yang dikisar.
  4. Masukkan  rempah opor yang sudah dibancuh.
  5. Tambahkan belacan dan kacau hingga naik bau. Sentiasa kacau rempah agar ia tidak hangit dan pahit.
  6. Setelah itu, masukkan daging yang potongannya tidak terlalu nipis dan tidak terlalu tebal.
  7. Masukkan gula melaka (untuk 2 kg daging, masukkan 3 keping gula melaka).
  8. Masukkan santan.
  9. Masukkan asam jawa atau asam keping.
  10. Perasakan dengan garam dan masak hingga lembut.
  11. Sedia untuk dihidang.

#7 Rendang Tok

rendang tok
Imej via Facebook

Ini juga merupakan antara resepi rendang yang wajib anda cuba – rendang tok. Ianya merupakan hidangan yang berasal dari negeri Perak. Resepi ini dikongsikan oleh Mastura Mohamed di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 sudu minyak sapi
  • 2 sudu minyak masak
  • 2 kulit kayu manis
  • 4 kuntum bunga lawang
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 8 biji buah pelaga
  • 2 helai daun pandan
  • Daging (potong ukuran 2 x 2 inci)
  • Air kelapa daripada 2 biji kelapa (jika mahu)
  • Santan daripada 2 biji kelapa
  • 5 sudu kerisik
  • 5 sudu gula merah
  • 2 keping asam keping
  • 4 biji buah kurma
  • Gula
  • Garam
  • 1 kiub pati daging
  • Daun limau purut (jika mahu)
  • Serai (dititik)
  • Sedikit air
  • Kelapa (disangai)

Bahan perap daging (kiraan utk sekilo daging) (dikisar):

  • 20 tangkai cili kering
  • 4 biji bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 4 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • Seinci kunyit hidup
  • 4 batang serai
  • 2 sudu jintan manis
  • 2 sudu jintan putih
  • 2 sudu ketumbar
  • 2 sudu lada hitam
  • 4 biji buah keras

Cara-cara:

  1. Perap daging dengan bahan perapan daging selama 1 jam.
  2. Panaskan minyak dan tumis kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, pelaga dan daun pandan hingga naik bau.
  3. Masukkan daging yang diperap dan masak hingga pecah minyak.
  4. Kemudian, masukkan air kelapa dan santan.
  5. Masukkan kerisik, gaul rata kemudian masukkan gula merah dan asam keping.
  6. Masukkan buah kurma dan perasakan dengan garam dan gula.
  7. Tambahkan kiub pati daging dan daun limau purut jika mahu.
  8. Jika daging masih belum lembut, tambahkan air dan masak hingga rending kering.
  9. Kemudian, masukkan kelapa yang sudah disangai. Kacau rata dan matikan api.
  10. Bila dah sejuk, pindahkan rending ke dalam mangkuk atau bekas.
  11. Sedia untuk dihidang.

#8 Rendang Negeri Sembilan

resepi rendang
Imej via Facebook

Pernah cuba resepi rendang Negeri Sembilan? Bagi yang lebih menggemari hidangan yang pedas, ini adalah resepi rendang yang tepat untuk selera anda. Resepi ini dikongsikan oleh Shida Ambok di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg daging
  • 500 g santan
  • 4 batang serai
  • Segenggam cili api kampung
  • 1.5 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit
  • 1 paket kerisik
  • 2 keping asam keping
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Rebus daging yang telah dipotong dadu sebesar ibu jari sampai airnya kering. Air tu biarlah menutupi paras daging.
  2. Kisarkan cili api, kunyit, serai dan lengkuas. Kemudian tuangkan pada daging yag telah direbus tadi.
  3. Setelah sedikit kering, masukkan santan.
  4. Kacau sehingga daging dan santan kering, kemudian masukkan kerisik.
  5. Masukka garam dan serbuk perasa.
  6. Kacau lagi sehingga tekstur betul-betul kering.
  7. Sedia untuk dihidang.

#9 Rendang Kacang Panjang

resepi rendang kacang panjang
Imej via Facebook

Selalu cuba resepi rendang daging dan ayam sahaja, teringin juga untuk cuba yang sayur. Jadi, cuba sahaja resepi ini – rendang kacang panjang. Resepi ini dikongsikan oleh Noratiqah Nordin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Pedal, hati atau sedikit isi ayam
  • Kacang panjang
  • 1 asam keping
  • 1 kotak santan
  • Serbuk kunyit (jika mahu)
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • 4 helai daun kunyit (dihiris nipis)
  • Minyak untuk menumis

Bahan kisar:

  • Cili padi
  • 3 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 4 batang serai
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci halia

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga masak.
  2. Masukkan hati, pedal dan isi ayam. Kacau rata.
  3. Masukkan asam keping dan santan. Masak hingga pecah minyak.
  4. Masukkan kacang panjang.
  5. Masukkan daun kunyit yang dihiris.
  6. Perasakan dengan gula dan garam.
  7. Sedia untuk dihidang.

#10 Rendang Sarawak

rendang sarawak
Imej via Facebook

Rendang Sarawak juga merupakan antara hidangan tempatan yang sangat menyelerakan. Bahan-bahannya ringkas dan cara penyediannya juga cukup mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Putra Bugis Temasek di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 1 ekor ayam/ 1 kg daging
  • Santan (1 biji kelapa)
  • 4 helai daun kunyit (dihiris halus)
  • Kerisik (½ biji kelapa)

Bahan B:

  • 1 inci halia (dikisar)
  • 4 biji bawang merah (dikisar)
  • 10 biji bawang putih (dikisar)
  • ½ sudu besar tepung kunyit
  • 1 sudu besar serbuk jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis
  • 2 batang serai (ditumbuk)
  • Beberapa tangkai cili padi (ikut selera sendiri)

Cara-cara:

  1. Cuci ayam/daging sampai bersih. Toskan.
  2. Gaulkan semua bahan B dengan ayam/daging.
  3. Masak ayam/daging sehingga keluar air ayam/daging itu sendiri.
  4. Masukkan santan sedikit demi sedikit.
  5. Selepas itu, masukkan kerisik dan daun kunyit.
  6. Pastikan ayam/daging masak sampai empuk.
  7. Masukkan garam dan serbuk perasa mengikut citarasa sendiri.
  8. Akhir sekali biarkan air santan kering dan matikan api apabila ayam/daging sudah betul-betul masak.
  9. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi rendang, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.