Mencari jenis rendang yang boleh dicuba?

Rendang adalah hidangan Minang yang berasal dari wilayah Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia.

Hidangan ini telah tersebar dan menjadi popular di negara-negara Asia Tenggara yang berdekatan seperti Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Disebabkan itu, jenis rendang ini juga ada bervariasi. Tertanya-tanya apakah jenisnya? Berikut kami senaraikan 10 jenis rendang untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Rendang Tok

jenis rendang - rendang tok
Imej via Facebook

Jika anda menetap di Perak, pasti hidangan ini sentiasa meniti di bibir ramai orang di situ kerana ianya memang berasal dari Perak.

Rendang Tok ini bukan sahaja dihidangkan semasa sambutan hari raya, malah ianya turut disajikan di kenduri-kendara, sangat versatil!

Antara bahan utamanya ialah daging lembu atau daging kerbau, bawang, santan, lada, kunyit dan daun limau purut.

Ianya mempunyai rasa yang berempah dan kerap disajikan dengan nasi, ketupat atau lemang.

#2 Rendang Cili Padi

jenis rendang rendang cili padi
Imej via Facebook

Jika anda penggemar tegar makanan pedas, anda pasti akan menggemari variasi rendang ini – rendang cili padi.

Rendang cili padi ini berasal dari Negeri Sembilan, negeri yang sememangnya sudah popular dengan makanan pedas.

Bahan-bahan utamanya hampir sama seperti rendang, namun ianya menggunakan cili padi berbanding cili kering.

Semestinya rasa rendang ini pedas dan secukup rasa. Ianya boleh dinikmati dengan lemang dan ketupat yang pasti menggamit selera.

#3 Rendang Ayam Lengkuas

jenis rendang - nasu likku saba
Imej via Tokopedia

Ayam liku atau rendang ayam lengkuas ini merupakan jenis masakan yang berasal dari Sabah. Nama ‘nasu likku’ ini bersempena dengan bahasa Bugis.

Sekali imbas, ayam liku ini kelihatan hampir sama dengan ayam ungkep. Bezanya, ianya menggunakan lengkuas yang banyak.

Antara bahan yang digunakan ialah lengkuas, bahan-bahan asas rendang seperti serai, kerisik dan santan.

Hidangan ini enak dinikmati berasama nasi, ketupat atau burasak, sejenis masakan Bugis yang berasaskan beras dan santan.

#4 Rendang Minang

rendang minang - jenis rendang
Imej via Facebook

Satu lagi jenis rendang yang wajib anda kenali ialah Rendang Minang yang juga merupakan masakan Negeri Sembilan.

Rendang ini boleh dikatakan senang untuk dibuat dan bahannya juga tidak terlalu banyak dan rumit. Tidak hairanlah ia kerap menjadi pilihan ramai.

Antara bahan utama untuk Rendang Minang ialah halia, lengkuas, cili kering, santan dan serai. Rendang ini juga tidak menggunakan kerisik.

Rendang Minang sesuai disajikan dengan nasi, pulut kuning, lemang dan ketupat.

#5 Rendang Ayam Johor

rendang johor
Imej via Resepi Mudah

Rendang memang ada pelbagai variasinya di Malaysia. Salah satu jenis yang popular ialah rendang ayam Johor.

Beza rendang ayam Johor dengan rendang negeri lain terletak kepada penggunaan bahan utamanya.

Bahan-bahan utama rendang iaitu daun kunyit dan daun limau purut digunakan dengan banyak sebagai penambah rasa.

Semestinya rasanya lebih berempah. Disebabkan oleh teksturnya yang sedikit kering, rendang ini sesuai dinikmati dengan lemang dan ketupat.

#6 Rendang Sarawak

rendang sarawak
Imej via Facebook

Satu lagi variasi rendang daging yang wajib anda cuba ialah Rendang Sarawak yang rasa dan teksturnya berbeza dengan rendang di Semenanjung.

Rendang ala Sarawak ini teksturnya lebih berkuah berbanding rendang lain. Ianya juga menggunakan jumlah bawang yang banyak.

Disebabkan teksturnya yang berkuah, rendang ini sesuai dinikmati bersama nasi putih dan pulut kuning, pasti menyelerakan!

#7 Rendang Ayam Kelantan

rendang kelantan
Imej via Facebook

Teringin untuk mencuba rendang versi negeri Pantai Timur? Anda wajib cuba Rendang Ayam Kelantan ini.

Sama seperti kebanyakan rendang di negeri-negeri lain, rendang ini juga tidak menggunakan kerisik.

Antara bahan utama hidangan ini yang membezakannya dengan rendang negeri lain ialah asam gelugor.

Tekstur rendang ini berkuah, jadi ianya sesuai dinikmati bersama pulut kuning, lemang dan ketupat.

#8 Rendang Pahang / Opor

opor - jenis rendang pahang
Imej via Facebook

Satu lagi rendang negeri Pantai Timur yang patut anda kenali ialah Opor, sejenis rendang yang sangat terkenal di Pahang.

Opor ini bukan sahaja dinikmati semasa Hari Raya, malah ia juga sesuai dijadikan juadah harian dan disajikan di kenduri-kendara.

Kelazatan hidangan ini terletak kepada tempoh memasaknya yang lama dan juga rempah ratus yang digunakan.

Antara bahan utama Opor ialah belacan, air asam jawa, rempah Opor, serai, halia, kerisik, santan, lengkuas, gula nise dan cili kering.

#9 Rendang Dendeng

rendang dendeng
Imej via Facebook

Kami yakin pasti ramai pembaca menggemari hidangan ini – Rendang Dendeng yang cukup terkenal di negeri Perak ini.

Perbezaan utama rendang ini dengan rendang negeri lain terletak kepada cara penyediaannya.

Untuk menyediakannya, anda perlu mengetuk setiap potongan daging dan mencampurkannya dengan bahan-bahan lain.

Rendang Dendeng ini sesuai dinikmati bersama nasi putih, ketupat dan nasi impit. Ianya juga sering dihidangkan semasa sambutan hari raya.

#10 Rendang Maman Gemencheh

rendang maman gemencheh
Imej via Facebook

Bagi yang tidak tahu, maman merupakan sejenis sayuran yang kaya dengan khasiat dan sedikit pahit rasanya.

Maman ini juga sesuai dibuat rendang. Bahan-bahannya juga cukup ringkas dan cara penyediaannya juga mudah.

Antara bahan asasnya ialah santan, asam keping, kunyit hidup, cili api dan perasa seperti garam.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa jenis rendang yang ingin anda cuba? Atau rambang mata kerana semuanya kelihatan lazat untuk dinikmati?

Tidak mengapa, cuba sahaja satu-persatu, kerana setiap jenis yang disenaraikan ini mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Selamat mencuba!

Artikel Menarik Lain

Mencari artikel lain untuk dibaca? Klik sahaja pada pautan di bawah.

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.