Mencari resepi ikan bakar untuk dicuba?

Ikan bakar adalah hidangan yang bukan sahaja menyihatkan, malah menyelerakan. Cara masakannya juga ada perbagai, ada yang menggunakan pes, rempah dan banyak lagi. Tidak hairanlah ianya berjaya mencuri hati ramai.

Masih kekeringan idea memikirkan tentang cara masakannya? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 resepi ikan bakar beraneka cara untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Ikan Pari Bakar

ikan pari bakar - resepi ikan bakar
Imej via Facebook

Ikan pari bakar ini sememangnya jenis masakan ikan pari yang sangat digemari. Kelembutan dan kelembapan isi ikan pari serta aromanya harum memang menggamit selera. Resepi ini dikongsikan oleh Erma Azizie di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 ekor ikan pari sedang (dipotong dua dan dicuci bersih)
  • 2 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 10 batang cili kering (dibuang biji dan direbus)
  • 3 batang cili besar
  • 4 batang cili padi
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa
  • Asam keping
  • Daun limau purut (dimayang halus)
  • Daun kunyit (dimayang halus & dibuang urat tengah)
  • Daun pisang
  • Kerajang aluminium

Cara-cara:

  1. Kisar bawang besar, bawang putih, cili kering, cili besar, dan cili padi.
  2. Ambil kuali bersih, masukkan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga garing.
  3. Masukkan asam keping, garam, gula, serbuk perasa.
  4. Masukkan daun limau purut dan daun kunyit.
  5. Ambil kerajang aluminium dan lapikkan daun pisang.
  6. Ambil sambal dan letak sikit atas daun pisang.
  7. Letakkan ikan dan letak lagi sambal. Balutkan.
  8. Bakar sehingga ikan masak (boleh guna oven atau pemanggang ajaib).
  9. Sedia untuk dihidang.

#2 Ikan Bakar Garing

resepi ikan bakar garing
Imej via Facebook

Lebih menggemari ikan bakar yang garing? Cuba sahaja resepi ikan bakar garing yang cukup mudah dan ringkas ini. Resepi ini dikongsikan oleh Syahirah Sidek di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan kembung (dilumurkan kunyit dan garam)
  • Kicap manis
  • Sedikit serbuk lada hitam/lada putih
  • Sedikit minyak masak

Bahan sapuan atas ikan (ditumbuk lumat):

  • Bawang putih
  • Halia
  • Cili padi
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit  serbuk perasa
  • Kunyit

Cara-cara:

  1. Gorengkan ikan yang disapukan garam dan kunyit hingga separuh masak dan sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Untuk bahan sapuan atas ikan, campurkan bahan tumbuk dengan kicap manis dan serbuk lada hitam atau lada putih.
  3. Masukkan sedikit minyak masak dan kacaukan.
  4. Sapukan bahan ini ke atas ikan yang digoreng separuh masak tadi. Sapu rata bahagian depan dan belakang.
  5. Bakar ikan atas kuali atau penggoreng udara (air fryer).
  6. Jika menggunakan oven, bakar sekitar 10-15 minit.
  7. Sedia untuk dihidang.

#3 Ikan Bakar Kunyit

resepi ikan bakar kunyit
Imej via Facebook

Ini pula variasi ikan bakar yang selalu kita jumpa di kebanyakan kedai makan. Anda juga boleh membuat sendiri kerana resepinya mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Ben Safwan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Kunyit hidup
  • Sedikit garam
  • Daun pisang untuk melapik

Bahan sambal hijau:

  • 2 ulas kecil bawang putih
  • ½ inci gula melaka
  • 3- 4 tangkai cili burung
  • 1 akar ketumbar beserta batang
  • Air perahan lemon/limau nipis
  • Sedikit serbuk perasa
  • Hirisan daun ketumbar

Bahan sambal kicap

  • ½ biji tomato (dipotong dadu)
  • 2-3 tangkai cili burung
  • Sedikit bawang merah (dihiris)
  • Sedikit daun bawang (dicincang)
  • Kicap manis

Cara-cara:

  1. Untuk ikan bakar, lumurkan ikan dengan garam dan kunyit hidup yang ditumbuk lumat.
  2. Lapikkan daun pisang di bahagian bawah untuk mengelakkan hangit dan menaikkan aroma.
  3. Bakar ikan dan jangan terlalu garing. Ketepikan.
  4. Untuk sambal hijau, tumbuk bawang putih, gula melaka, cili padi dan akar ketumbar hingga 80% lumat.
  5. Masukkan air perahan lemon atau limau nipis.
  6. Tambahkan serbuk perasa dan hirisan daun ketumbar. Ketepikan.
  7. Untuk sambal kicap, masukkan semua bahan dan sesuaikan kuantiti.
  8. Tekan dengan sudu sedikit supaya jus bawang, tomato dan cili keluar. Ketepikan.
  9. Sedia untuk dihidang.

#4 Ikan Percik Bakar

ikan percik bakar
Imej via Facebook

Ikan percik bakar atau ikan bakar golek Terengganu merupakan resepi Pantai Timur yang sangat terkenal. Anda juga boleh menyediakannya sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Rosziema Ibrahim di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan kembung / ikan selar
  • 200ml atau sekotak kecil santan
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 1 keping asam keping
  • Garam dan gula secukupnya

Bahan kisar

  • 10 biji bawang merah
  • 1 biji bawang besar
  • 1 cm lengkuas
  • 1cm kunyit
  • 10 tangkai cili kering

Cara-cara:

  1. Kelar ikan dan perapkan seketika dengan garam dan kunyit.
  2. Menggunakan api sederhana, panggang atau bakar ikan hingga masak dan ketepikan.
  3. Masukkan bahan kisar dalam kuali dan tumis sebentar.
  4. Setelah agak mendidih, masukkan santan, serai dan asam keping. Kacau sebati.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukunya.
  6. Kacau dan biarkan mendidih hingga kuah menjadi agak pekat.
  7. Masukkan ikan yang dipanggang ke dalam kuah dan gaul sekata.
  8. Angkat ikan dan bakar sekali lagi. Matikan api dan masukkan ikan kembali ke dalam kuah.
  9. Sedia untuk dihidang.

#5 Ikan Siakap Bakar

resepi ikan bakar ikan siakap bakar
Imej via Facebook

Hidangan ikan siakap bakar ini pasti anda akan jumpa di kebanyakan kedai makan, bukan? Tak keluar pun tak apa, anda boleh buat sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Hajar Mohd di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan siakap (dibelah bahagian belakang dan dibersihkan)

Bahan perapan (dikisar):

  • 1 genggam cili kering (ikut tahap kepedasan)
  • 1 biji bawang besar
  • 3-4 ulas bawang putih
  • Kunyit hidup (serbuk kunyit pun boleh)
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai
  • Sedikit minyak masak atau minyak kelapa
  • Sedikit air
  • Garam dan serbuk perasa
  • Sedikit madu (jika suka) atau gula kelapa
  • Daun pisang untuk mengalas

Cara-cara:

  1. Sapu rata bahan perapan yang dikisar lumat ke atas ikan siakap yang dibelah.
  2. Alaskan ikan dengan daun pisang yang disapukan sedikit minyak.
  3. Bakar ikan hingga masak. Untuk tekstur ikan yang garing, elakkan tutup kuali pembakar.
  4. Lebihan bahan perapan boleh simpan dan digunakan dengan memanaskannya hingga pekat. Boleh curah di atas ikan bakar semasa makan nanti.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

#6 Ikan Cencaru Bakar Sambal Kelapa

resepi ikan cencaru bakar sumbat sambal kelapa
Imej via Facebook

Ada peminat ikan cencaru di sini? Ikan ini sangat enak dibakar, tambahan pula jika disumbat dengan sambal kelapa. Resepi ini dikongsikan oleh Zarina Md Saad Nana di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan cencaru (dibakar)

Bahan sambal kelapa (dikisar):

  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Cili kering
  • Halia
  • Serai
  • Serbuk kunyit
  • Daun kunyit
  • 1 biji kelapa parut

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak dan perasakan.
  2. Masukkan kelapa parut dan gaul rata. Kacau dalam kuali hingga kering.
  3. Setelah kelapa kering, masukkan daun kunyit.
  4. Belahkan cencaru yang telah dibakar di bahagian belakang dan sumbatkan sambal kelapa.
  5. Sedia untuk dihidang.

#7 Ikan Bakar Ala Kuala Perlis

resepi ikan bakar kuala perlis
Imej via Facebook

Jika anda pernah ke Kuala Perlis, anda pasti tahu yang ikan bakar di situ memang mencuri tumpuan ramai. Tak perlu jauh-jauh ke sana, anda juga boleh buat sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Maya Miera di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan (digaul bersama kunyit dan garam, kemudian dibakar)

Kuah:

  • Marjerin atau mentega
  • Santan
  • Susu pekat manis
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Cara-cara:

  1. Menggunakan api perlahan, masak bahan kuah hingga menjadi agak pekat.
  2. Kemudian, tuangkan kuah ke atas ikan yang siap dibakar tadi.
  3. Sedia untuk dihidang.

#8 Ikan Kembung Bakar Sumbat Sambal

ikan kembung bakar sumbat sambal
Imej via Facebook

Satu lagi resepi ikan bakar yang mudah dan wajib anda cuba ialah resepi ikan kembung bakar sumbat sambal. Bahan-bahannya cukup ringkas dan cara penyedian juga mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Fatimah Ahmad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg ikan kembung

Bahan sambal (dikisar kasar):

  • Cili kering
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Sedikit belacan
  • 1 batang serai

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga cili masak dan sedikit pecah minyak, kemudian matikan api.
  2. Sumbatkan sambal ke dalam perut ikan.
  3. Bakar ikan sehingga masak.
  4. Sedia untuk dihidang.

#9 Ikan Talapia Bakar

Imej via Facebook

Ikan talapia merupakan jenis ikan yang sangat sesuai dibakar. Tambahan pula jika menggunakan pes buatan sendiri, lebih berganda kelazatannya. Resepi ini dikongsikan oleh Norakmawati Sabudin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • 2 paket pes ikan bakar Adabi
  • Air asam jawa
  • Garam
  • Gula melaka
  • 4-5 sudu besar gula pasir
  • Daun limau purut (dibuang tulang daun)

Bahan kisar:

  • 3 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 6 batang serai
  • 3 helai daun limau purut muda
  • 4 helai daun limau purut
  • 3 sudu besar cili kisar (boleh tambah jika mahu lebih pedas)
  • 2 sudu kecil udang kering
  • Belacan

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  2. Kemudian, masukkan pes ikan bakar.
  3. Masukkan air asam jawa, garam, gula melaka, gula pasir dan daun limau purut. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Sapu rata pes di atas ikan.
  5. Bakar ikan sehingga masak.
  6. Sedia untuk dihidang.

#10 Ikan Bakar Petai

ikan bakar petai
Imej via Facebook

Melihat namanya sahaja pasti sudah boleh buat anda terliur. Ikan bakar petai ini memang hidangan yang cukup digemari oleh orang kita. Resepi ini dikongsikan oleh Adnan Bin Mat Abu di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 sudu besar gula
  • 5 sudu besar air asam jawa
  • Petai              
  • Ikan
  • Daun pisang untuk mengalas

Bahan kisar:

  • 3 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang besar
  • 3 batang serai
  • 1 inci halia
  • 5 biji cili padi
  • 1 inci belacan bakar

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  2. Masukkan gula dan air asam jawa. Masak hingga pecah minyak.
  3. Perlahankan api, kemudian masukkan petai.
  4. Letakkan ikan di atas daun pisang dan tuangkan bahan tumis tadi.
  5. Bakar ikan di atas kuali hingga masak.
  6. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan bakar, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.