Mencari resepi nasi yang ringkas dan mudah dibuat?

Nasi merupakan makanan ruji orang Asia, ditambah pula jika anda menetap di Malaysia. Saat tinggal berjauhan dari Malaysia, semestinya anda merindui nasi, bukan?

Tidak mengapa, anda juga boleh masak nasi sendiri. Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 resepi nasi yang simple dan mudah dibuat untuk anda.

#1 Nasi Butter

resepi nasi

Imej via Facebook

Bayangkan keenakan nasi butter yang lembut, dimakan pula bersama ayam goreng yang garing. Memang padu gabungannya! Resepi ini dikongsikan oleh Syue Haida di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 cawan beras
  • 4 biji bawang putih(diketuk dan dipotong halus)
  • 1 biji bawang merah (optional) (dihiris halus)
  • 125 g mentega
  • Halia (ketuk biar pecah sikit)
  • 1 cawan susu segar krim penuh
  • 1 kiub pati ayam
  • Garam

Cara-cara:

  1.  Panaskan kuali dan masukkan mentega.
  2. Tumis bawang hingga naik bau.
  3. Masukkan halia
  4. Masukkan susu segar dan kacau selama 2 minit.
  5. Masukkan beras yang dah dibasuh. Kemudian, masukkan kiub pati ayam dan gorengkan beras sekejap dalam 3minit.
  6. Alihkan beras ke dalam periuk nasi dan masukkan air. Sukatan air ditambahkan bersama secawan susu tadi.
  7. Masukkan sedikit garam dan masak sepertit biasa (sukatan air bergantung pada jenis beras)

#2 Nasi Tomato

resepi nasi

Imej via Facebook

Nasi Tomato ini memang cukup enak dimakan bersama ayam masak merah. Ianya selalu dimasak semasa jamuan, tetapi anda pun boleh buat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Fatin Elina di laman Facebook.

Cara-cara:

  • 5 cawan beras biasa
  • 5 cawan air
  • 2 batang kulit kayu manis
  • ¼ cawan minyak masak
  • 2 sudu besar mentega
  • ½ cawan susu cair
  • 1 sudu besar gula
  • ½ sudu besar garam
  • 3 sudu besar tomato puri
  • 4 biji tomato (kisar dengan sedikit air)
  • 2 biji bawang besar*
  • 8 ulas bawang putih*
  • 2 ketul halia sebesar ibu jari*
    Bahan bertanda * dikisar atau dihiris halus

Cara-cara:

  1. Mula-mula rendamkan beras selama 15-20 minir supaya beras masak elok bila dah dicampur dengan bahan-bahan lain.
  2. Kemudian, basuh dan toskan.
  3. Cairkan mentega dan minyak masak dalam sebuah periuk di atas api yang sederhana. Tumiskan kayu manis.
  4. Seterusnya masukkan bahan yang dihiris dan kacau hingga berbau wangi.
  5. Kecilkan api dan masukkan beras. Kacau rata-rata selama 1 hingga 2 minit.
  6. Seterusnya masukkan air, susu cair, tomato puri, gula dan garam secukup rasa.
  7. Akhir sekali, pindahkan semua bahan dalam periuk ke rice cooker dan masak seperti biasa. (boleh juga masak di atas api)

#3 Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol

resepi nasi

Imej via Wikipedia

Nasi Dagang merupakan makanan negeri Pantai Timur yang terkenal. Ianya cukup enak dimakan bersama gulai ikan tongkol. Resepi ini dikongikan oleh Aku Zackh di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan nasi:

  • Beras
  • Santan
  • Halia
  • Halba
  • Bawang kecil
  • Garam

Bahan gulai ikan:

  • Ikan tongkol (dipotong 1 inci)
  • Asam keping
  • Garam
  • Air
  • Cili Kering
  • Lengkuas
  • Kunyit hidup
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Santan
  • Telur rebus
  • Lada merah
  • Lada hijau
  • Timun (dibuang biji)
  • Perencah

Cara-cara:

  1. Rendam beras dagang semalaman, tos dan kemudian dikukus separuh masak. Angkat.
  2. Campur santan, halia dan bawang kecil hiris, halba, garam dan gula. Kacau sebati.
  3. Campur santan bersama beras, biarkan sehingga santan meresap ke dalam beras lebih kurang 10 minit.
  4. Kukus semula beras hingga masak. Jangan terlalu lama.
  5. Untuk gulai ikan,  rebus ikan berama asam keping bersama sedikit garam dan air sehingga ikan kecut.
  6. Kisar cili kering, lengkuas, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah.
  7. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  8. Masukkan santan, kacau sebati.
  9. Masukkan ikan dan air rebusan ikan bersama telur rebus, asam keping, lada merah dan lada hijau.
  10. Masukkan timun yang dibuang biji.
  11. Perasakan bersama garam, gula dan perencah.
  12. Kacau rata dan sedia untuk dihidang.

#4 Nasi Ulam

nasi ulam

Imej via Facebook

Sesiapa yang kurang menggemari ulam pun pasti menggemari nasi ini –  nasi ulam. Selain daripada enak dimakan bersama lauk-pauk berkuah, ianya juga menyihatkan. Resepi ini dikongsikan oleh Zurida Hassan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Ulam-ulaman:

  • Daun mengkudu
  • Putat
  • Selom
  • Sekentut
  • Bebuas
  • Tebengau
  • Beluntas
  • Janggus
  • Pucuk kari
  • Daun kesum
  • Peria pantai
  • Kaduk
  • Bunga kantan

Bahan lain:

  • Serai
  • Halia
  • Lengkuas
  • Cili padi *optional (dihiris nipis)
  • Kerisik
  • Ikan masin
  • Lada hitam
  • Nasi (dimasak)

Cara-cara:

  1. Kisar kering atau tumbuk lumat serai, halia dan lengkuas.
  2. Masukkan bawang merah dan bahan kisar tadi bersama ulam-ulaman.
  3. Masukkan kerisik dan ikan masin. Gaul sebati dan ketepikan.
  4. Taburkan lada hitam ke atas nasi.
  5. Masukkan bahan ulam tadi bersama nasi yang sudah dimasak. Gaul sebati.
  6. Sedia untuk dihidang.

#5 Nasi Ayam Thai

resepi nasi

Imej via Facebook

Satu lagi resepi nasi yang menarik untuk dicuba ialah nasi ayam, tetapi kali ini versi Thai. Resepi ini dikongsikan oleh Cik Puan Sarah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan nasi:

  • Ayam
  • Kiub pati ayam
  • Akar ketumbar
  • Halia
  • Garam
  • Beras
  • Minyak/mentega*optional
  • Air

Bahan sos:

  • Cili besar merah (dikisar)
  • Cili padi merah (dikisar)
  • Sos
  • Perasa
  • 1 ketul gula batu

Bahan sambal kicap:

  • bawang putih (dipotong)
  • ketumbar (dipotong)
  • cili padi (dipotong)
  • kicap masin
  • kicap kipas udang
  • air limau
  • sedikit air

Cara-cara:

  1. Rebus ayam bersama halia dan akar ketumbar.
  2. Setelah mendidih, letakkan kiub pati ayam.
  3. Setelah ayam masak, ketepikan.
  4. Basuh beras, kemudian masukkan dalam periuk dan tambah air.
  5. Perasakan bersama garam.
  6. Setelah itu, masukkan daun ketumbar.
  7. Boleh tambah minyak/mentega jika mahu.
  8. Masak nasi.
  9. Untuk sos, tumis bahan kisar tanpa minyak.
  10. Masukkan sos, perencah dan gula batu.
  11. Untuk sambal kicap, campurkan sahaja semua bahan.
  12. Tambah sedikit air jika perlu.

#6 Nasi Lemak

resepi nasi

Imej via Facebook

Siapa sahaja yang tidak menggemari nasi lemak? Ianya merupakan hidangan tempatan yang digemari orang kita, tidak kira bangsa. Resepi ini dikongsikan oleh Wan LuQman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan nasi:

  • beras (3 pot)
  • santan (2 pot)
  • air (3 pot)
  • daun pandan
  • 1 sudu kecil garam

Bahan sambal:

  • Ikan bilis (dikupas dan boleh juga digoreng)
  • minyak masak
  • 3 sudu besar bawang kisar
  • 2 sudu besar cili kisar
  • hirisan bawang (disyorkan bawang rose/siam)
  • 100ml air asam jawa
  • garam
  • gula (lebih sedap gula melaka)
  • daun pandan

Cara-cara:

  1. Masak nasi menggunakan nisbah 3:2:3 untuk beras, santan dan air.
  2. Jangan lupa tambahkan daun pandan dan 1 sudu kecil garam.
  3. Setelah nasi masak, ketepikan.
  4. Untuk sambal, tumis bawang kisar.
  5. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
  6. Kemudian, masukkan hirisan bawang. Boleh guna apa-apa jenis bawang tapi bawang rose/siam lebih disyorkan.
  7. Masukkan air asam jawa.
  8. Perasakan dengan garam dan gula.
  9. Masukkan daun pandan.
  10. Akhir sekali, masukkan ikan bilis yang dikupas. Boleh juga digoreng tetapi masukkan bila sambal hampir masak.

#7 Nasi Arab

resepi nasi

Imej via Facebook

Anda teringin untuk menikmati makanan Arab? Cubalah buat nasi Arab! Ianya mengenyangkan dan sangat sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Nur Aisya di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan nasi:

  • beras basmathi (direndam 20 minit)
  • marjerin/mentega/minyak sapi
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 1 inci halia (dihiris)
  • 3 sekawan (kayu manis/bunga cengkih/bunga lawang)

Bahan rebusan ayam:

  • Ayam
  • 1 bii bawang besar
  • 1 biji tomato
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 1 sudu kecil biji ketumbar
  • 3 biji buah pelaga
  • 1 kiub pati ayam
  • ½ sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil rempah kurma
  • 2 sudu minyak masak
  • sedikit garam

Bahan perapan ayam:

  • Serbuk cili
  • Serbuk kari
  • Sos tiram
  • Garam
  • Perasa
  • Madu/gula 1 sudu
  • Minyak masak 2 sudu

Bahan salsa:

  • Cili api
  • Cili besar
  • Tomato
  • Bawang putih
  • Daun ketumbar
  • Sedikit garam

Bahan salatoh:

  • Tomato
  • Timun
  • Bawang besar
    (potong kiub bahan2 diatas)
  • Pudina hiris

Cara-cara:

  1. Rebus ayam bersama semua bahan rebusan ayam sehingga masak.
  2. Simpan air rebusan ayam untuk dimasak bersama nasi dan dibuat sup.
  3. Angkat ayam dan perap dengan semua bahan perapan ayam.
  4. Panggang dan bakar pada suhu 150°C menggunakan api atas sahaja selama 30 minit.
  5. Pada 15 minit pertama, bawa keluar ayam dan sapu lagi bahan perapan. Sambung bakar.
  6. Untuk nasi, panaskan majerin/mentega atau kalau mahu lebih sedap, minyak sapi.
  7. Masukkan bahan-bahan hiris dan 3 sekawan. Tumis hingga garing.
  8. Masukkan beras dan gaul bersama bahan tumis. Tumis hingga garing.
  9. Masukkan air rebusan ayam tadi.
  10. Pastikan nisbah beras basmathi dan air ialah 2:1.
  11. Setelah nasi kering, boleh tambah pewarna jika suka.
  12. Hias dengan daun ketumbar.
  13. Untuk salsa, kisar semua bahan salsa dan perah bersama jus lemon. Siap.
  14. Untuk salatoh, gaul semua bahan sebati.
  15. Perasakan dengan gula dan garam, dan perah jus lemon di atasnya.
  16. Sedia untuk dihidangkan.

#8 Nasi Kari Kambing

nasi kar kambing

Imej via Facebook

Kali ini kita cuba resepi yang lain daripada yang lain, tapi sedapnya sungguh tak terkata – nasi kari kambing. Resepi ini dikongsikan oleh Ila Syat di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan beras basmathi (rendam 15-20 minit)
  • 1sudu butter/minyak sapi
  • 2 tin kari kambing Adabi
  • ½ susu cair
  • 4 cawan air
  • 1 biji bawang besar
  • Rempah 4 sekawan
  • 1 biji tomato (dipotong dadu)

Cara-cara:

  1. Panaskan mentega atau minyak sapi.
  2. Masukkan rempah 4 sekawan dan bawang besar. Tumis hingga naik bau, Ketepikan.
  3. Masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk nasi.
  4. Masukkantomato, kari kambing dan air ke dalam periuk bersama beras basmathi.
  5. Tutup periuk dan tunggu hingga masak.

#9 Nasi Hujan Panas

nasi hujan

Imej via Facebook

Nasi hujan panas ini sentiasa dihidangkan semasa jamuan, namun anda juga boleh buat sendiri di rumah. Mudah sahaja resepinya! Resepi ini dikongsikan Mohd Nubli Kumkum bin Mohd Nor di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Rempah 4 sekawan
  • Bawang merah (dikisar)
  • Bawang putih (dikisar)
  • Halia (dikisar)
  • 1-2 sudu minyak sapi
  • Daun pandan
  • 4 cawan beras
  • 4 cawan air
  • 1 cawan susu cair
  • Kiub pati ayam/garam
  • Pewarna
  • Daun sup *optional
  • Gajus *optional
  • Kismis *optional

Cara-cara:

  1. Tumis rempah 4 sekawan dengan bawang merah, bawang putih dan halia yang sudah dikisar dengan 1-2 sudu minyak sapi.
  2. Bila dah naik bau, masukkan daun pandan. Biarkan seketika.
  3. Masukkan bahan-bahan yang ditumis tadi ke dalam periuk nasi.
  4. Masukkan air, kiub ayam/garam, susu cair dan beras. Kacau rata.
  5. Masak nasi seperti biasa.
  6. Setelah nasi masak, titikkan pewarna dan biar sekejap.
  7. Gaul hingga pewarna tadi bercampur dengan nasi.
  8. Tabur nasi dengan gajus, kismis dan daun sup.

#10 Nasi Uduk

resepi nasi

Imej via Facebook

Nasi uduk ialah sejenis hidangan nasi kukus Indonesia yang enak dimakan bersama lauk bergoreng atau berkuah. Ianya juga senang untuk dibuat. Resepi ini dikongsikan oleh Makcik Ratu di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 cawan beras Basmathi)
  • 1 kotak kecil santan
  • 4 cawan air.
  • Daun pandan
  • Daun jeruk/daun limau purut
  • Daun salam *optional
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 1 ruas jari lengkuas (diketuk)
  • 2 ruas jari halia
  • 3 ulas bawang merah (dihiris)
  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • Garam

Cara-cara:

  1. Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam periuk nasi. Kemudian, dimasak sehingga air kering.
  2. Setelah air nasi dah kering terus kukus lagi sehingga masak.
  3. Kacau sekali sekala.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi nasi, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.