Nasi Daging Air Asam merupakan resepi yang berasal daripada utara tanah air kita. Ianya jarang didapati di selatan tanah air. Walaupun begitu, jangan gusar! Kali ini, kami bawakan resepi nasi daging air asam yang amat lazat dan menyelerakan. Ianya juga mudah untuk dilakukan. Oleh itu, buat para amatur, anda juga boleh menyediakan resepi ini!
Resepi nasi daging air asam ini terdiri daripada nasi yang digabungkan bersama daging dan dimasak bersama serta air asam kerisik istimewa yang memberikan rasa lemak dan masam yang amat lazat. Sekiranya digabungkan bersama nasi daging, ianya merupakan kombinasi yang bikin sesiapa sahaja teringat – ingat!
Bahan – bahan untuk membuat nasi daging ini mudah untuk didapati. Daging akan direbus dahulu sebelum digaulkan bersama beras didalam bahan – bahan yang telah ditumis. Kemudian, beras tersebut dimasak seperti biasa. Ianya menghasilkan rasa rempah yang kuat serta rasa daging berjus yang amat lazat.
Resepi ini telah dikongsikan oleh Hannieys Noor dan telah mendapat ribuan perkongsian di media sosial. Apa tunggu lagi, mari kita lihat resepi ini!
Resepi Nasi Daging Air Asam
Bahan – bahan:
Nasi Daging:
3 pot Beras Brasmathi cuci, rendam 30 minit dan toskan
1/2 kg Daging (Rebus sehingga lembut) *Daging yang dah direbus, biarkan sejuk sekejap. Kemudian hiris dan potong panjang-panjang.
Bahan tumisan:
2 sudu besar majerin
3 sudu minyak masak
1 Sudu besar rempah sup (di campur air sedikit menjadi pes)
3 sudu besar rempah kurma (di campur air sedikit menjadi pes)
1 ulas bawang besar
3 ulas bawang putih (tumbuk)
Setengah ibu jari halia (tumbuk)
Kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dengan pelaga
2 helai daun pandan (simpul)
1/2 cawan susu cair
Garam secukup rasa
Air asam kerisik:
1 batang cili merah
5 batang cili padi hijau
1/2 ulas bawang holland
1 biji tomato
1 sudu besar kerisik
1/3 ibu jari belacan
Air asam (agak-agak)
1 biji limau nipis
1/2 sudu besar gula melaka
Garam
Bahan dipotong dadu
1 ulas bawang holland
1 biji tomato
4 biji cili padi hijau
1 senduk air daging
Cara – cara memasak:
Nasi daging:
Mula-mula rebus daging sehingga empuk. Simpan air rebusan daging ni.
Panaskan kuali, masukkan majerin dan minyak masak, masukkan bawang besar, bahan – bahan tumbuk dan 4 beradik sampai kekuningan.
Masukkan rempah kurma dan rempah sup, apabila rempah dah naik minyak, masukkan susu cair, daun pandan, gaul sebati sampai susu cair meresap dalam rempah tadi.
Kemudian, gaulkan beras sehingga sebati.
Nyalakan periuk nasi elektrik. Masukkan kesemua yang kita dah masak dalam kuali tadi.
Masukkan air rebusan daging ikut sukatan beras (3 pot nasi, 3 pot air), masukkan garam secukup rasa.
Reneh sekejap, letak daging di permukaan, tutup periuk.
Air asam kerisik:
Tumbuk cili padi hijau, cili merah, bawang holland, belacan dan tomato. Setelah lumat masukkan air asam dan perah limau.
Masukkan kerisik, garam & gula melaka secukup rasa.
Campur bahan tumbuk dengan bahan dipotong dadu dan gaul sebati.
Siap!
Untuk hiasan, boleh taburkan daun sup, daun bawang & bawang goreng .
Resepi – resepi lain yang boleh anda cuba:
Anda inginkan resepi yang lain? Ada beberapa lagi resepi yang anda boleh cuba dan hidangkan kepada yang tersayang. Jangan lupa untuk cuba, tangkap gambar dan hantarkan ke media sosial pilihan anda. Selain itu, pastikan anda kongsikan resepi ini bersama rakan – rakan anda!