Pasti ada yang tercari-cari resepi nasi minyak yang mudah dan sedap. Nak tunggu kenduri entah bila. Rasa teringin untuk makan pasti mengatasi segala-galanya lebih-lebih lagi buat ibu mengandung.

Nak cari di kedai makan memang susah kerana bukan semua kedai makan menjual menu istimewa ini. Apa kata buat sendiri di rumah pasti lebih puas. Boleh buat mengikut kuantiti yang diingini beserta lauk-lauk pilihan.

Melalui artikel ini, kami sediakan resepi-resepi nasi minyak buat anda. Paling menarik, ada resepi nasi minyak yang pasti anda tak pernah cuba dan ada juga resepi yang kami sertakan bersama resepi lauk-pauk yang sesuai untuk dimakan bersama nasi minyak.

Jom pilih resepi yang mudah dan menarik buat anda!

Nasi Minyak, Ayam Masak Merah & Jelatah

Jalilah JJ Homemade telah berkongsi resepi nasi minyak milik Kama Raudhah di Facebooknya. Beliau telah mencubanya sendiri dan memang menjadi. Cukup set nasi minyak, pasti menambah selera seisi keluarga.

Bahan-bahan:

  • 4 cawan beras Moghul Faiza (basuh dan rendam selama 10 minit)
  • 1 cawan susu cair
  • 5 cawan air
  • 1 kiub ayam
  • Garam
  • 4 sekawan
  • Pewarna kuning
  • Minyak untuk menumis (guna minyak sapi juga boleh untuk lebih wangi)
  • Kismis tanpa biji

Bahan hirisan:

  • Bawang putih
  • Bawang besar
  • Halia

Cara-cara memasak:

1. Panaskan minyak dan tumis 4 sekawan, bawang putih, bawang merah dan halia.

2. Apabila sudah layu, masukkan susu cair, air, kiub ayam dan sedikit garam.

3. Biar mendidih dan kemudian masukkan beras yang sudah di rendam tadi.

4. Masak hingga air hampir kering lalu tutup api.

5. Alihkan beras dalam loyang dan titikkan dua sudu besar pewarna kuning di atas nasi.

6. Kukus nasi sehingga masak.

7. Letak daun sup, bawang goreng dan kismis untuk hiasan nasi.

* Titikkan pewarna kuning dan jangan gaul. Selepas titik baru terus kukus.

Bahan-bahan Ayam Masak Merah:

  • Ayam goreng
  • Semangkuk lada kering
  • 2 inci halia
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 6 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar kicap manis
  • Garam
  • Gula
  • Ajinomoto
  • 4 tangkai daun kari

Cara memasak:

1. Kisar semua bahan.

2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.

3. Letak garam, gula, ajinamoto, sos dan kicap.

4. Tumis lagi sehingga pekat.

5. Masukkan dua cawan air.

6. Masukkan ayam goreng lalu masak sehingga kuah pekat dan letak daun kari.

7. Kacau ayam dan tutup api.

8. Sedia dihidangkan.

Cara membuat jelatah:

1. Potong timun, nenas, bawang besar dan lada merah.

2. Masukkan ke dalam bekas dan letak garam, gula dan oren sunquick secukup rasa.

3. Gaul dan siap dihidangkan.

Nasi Minyak Kampung Simple

Nasi minyak yang sering kita lihat dan makan semestinya nasi yang bewarna kuning. Lain pula nasi minyak cara kampung ini yang berwarna putih. Caranya memang cukup mudah, lebih-lebih lagi jika mengikuti resepi dari Amy Anuar di Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 pot beras Basmathi
  • 4 pot air (1 pot diguna untuk kisar bawang goreng)
  • 2 sudu makan planta
  • Kulit kayu manis
  • Bunga lawang
  • Buah pelaga
  • 1 sup bunjut Adabi
  • 1 genggam bawang goreng (dikisar)
  • 1 sudu makan kismis
  • Garam dan perasa
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • Daun pandan untuk memberikan aroma harum

Cara memasak:

1. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia.

2. Panaskan rice cooker lalu masukkan planta.

3. Tumis rempah 3 serangkai.

4. Masukkan bahan kisar.

5. Masukkan rempah sup bunjut, kismis, garam dan perasa.

6. Masukkan bawang goreng yang dah dikisar dengan 1 pot air.

7. Masukkan beras, daun pandan  dan akhir sekali masukkan lagi 3 pot air.

8. Tutup periuk dan biar hingga masak.

9. Apabila sudah masak, kaiskan dengan garfu untuk elakkan nasi jadi patah.

Nasi Minyak Hujan Panas Simple

Sekiranya anda mahukan resepi nasi minyak dengan sedikit kelainan, ikut saja resepi nasi minyak hujan panas yang dikongsikan oleh Hidayati Hana. Beliau turut berkongsikan resepi ayam masak merah serta dalca telur.  Resepinya seperti berikut:

Bahan-bahan nasi minyak:

  • 3 cawan beras Basmathi
  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • Rempah 3 sekawan (kulit kayu manis, 1 biji bunga lawang, 2 biji pelaga)
  • 2 sdb mentega / minyak sapi
  • 1 kiub pati ayam
  • 1/2 cawan susu cair
  • Air secukupnya ( 1 cawan beras bersamaan 1.5 cawan air)
  • 2 helai daun pandan
  • Pewarna ( hijau, merah, kuning )
  • Kismis
  • Bawang goreng

Cara memasak nasi minyak:

1. Rendam beras lebih kurang 30 minit dan toskan airnya.

2. Panaskan mentega lalu tumiskan bawang dan halia yang telah dikisar.

3. Masukkan 3 sekawan dan daun pandan.

4. Apabila bawang sudah garing, masukkan susu cair, air, kiub pati ayam dan garam.

5. Tuangkan dalam periuk nasi dan biarkan nasi masak.

6. Apabila nasi sudah masak, titikkan pewarna dan biarkan selama 5 minit baru gembur-gemburkan nasi menggunakan garfu supaya nasi tidak patah.

7. Taburkan kismis dan bawang goreng.

8. Siap untuk dihidangkan.

Bahan-bahan Ayam Masak Merah:

  • 1/2 ekor ayam
  • 2 cawan cili kisar
  • 4 ulas bawang merah (dihiris halus)
  • Rempah 3 sekawan (kulit kayu manis, pelaga & bunga lawang)
  • 2 sdb sos cili
  • 1 sdb sos tiram
  • 1 sdb sos tomato
  • 1 cawan air
  • Garam dan gula secukupnya
  • Hiasan- daun bawang/daun ketumbar

Bahan kisar:

  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Cara memasak:

1. Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit serta garam lalu goreng hingga masak.

2. Guna minyak goreng ayam tadi dan goreng bawang merah  yang sudah dihiris. Goreng seketika  dan angkat.

3. Tumiskan bahan kisar dan rempah 3 sekawan.

4. Apabila sudah naik bau, masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.

5. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.

6. Masukkan air lalu perasakan dengan garam dan gula.

7. Apabila sudah mendidih, masukkan ayam dan biarkan seketika.

8. Taburkan bawang merah yang telah digoreng lalu tutup api.

9. Hiaskan dengan daun ketumbar dan daun bawang.

Bahan-bahan Kari Dalca Telur:

  • 5 biji telur – direbus
  • 2 biji kentang
  • 1 biji lobak merah
  • 1 biji tomato
  • 1 biji terung
  • 1/2 cwn kacang dal (rendam lebih kurang 2-3 jam)
  • 1/2 kotak santan
  • 2 sdb rempah kari
  • Minyak
  • Gula dan garam
  • Air secukupnya

Bahan tumis:

  • 1 tangkai daun kari
  • 5 biji bawang merah (hiris halus)
  • 3 ulas bawang putih (hiris halus)
  • 1/2 inci halia (hiris halus)

Cara memasak:

1. Tumis bahan-bahan hirisan dan biarkan hingga naik bau.

2. Masukkan rempah kari dan sedikit air.

3. Masukkan rempah kari dan masak sehingga naik minyak.

4. Masukkan kacang dal, ubi kentang, carrot dan terung.

5. Masukkan santan dan biarkan mendidih.

6. Masukkan garam dan gula.

7. Jika anda mahukan kuah yang banyak, letakkan air lagi sedikit.

8. Akhir sekali masukkan telur rebus.

9. Biarkan kuah masak hingga pekat.

10. Dalca siap untuk dihidangkan. Anda juga boleh masukkankacang panjang, cili merah atau cili hijau jika suka.

Resepi Nasi Minyak Dan Daging Beriani

Resepi ini pula dikongsikan oleh Ruelbiz Legazy di Facebooknya. Ada yang suka makan nasi minyak dengan daging beriani? Ikut saja resepi ini pasti membuatkan anda bertambah nasi. Jom cuba!

Bahan-bahan Nasi Minyak:

  • 3 cawan beras Basmathi
  • ½  cawan margerin atau planta
  • 3 ½  cawan air
  • 1 cawan susu cair
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 helai daun pandan
  • Garam secukupnya
  • 1 kuib stok ayam
  • Pewarna kuning

Bahan Kisar:

  • 6 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 cm halia

Bahan Hiasan:

  • Bawang goreng
  • Daun bawang (dihiris)

Cara memasak:

1. Panaskan marjerin dalam periuk dan tumis bahan yang dikisar.

2. Masukkan bahan tumis bersama rempah 3 sekawan dan daun pandan sehingga naik bau.

3. Masukkan beras yang siap dicuci, garam, air, susu cair dan stok kiub ayam.

4. Apabila nasi telah kering masukkan pewarna kuning. Letakkan bercapuk atau setompok-setompok. Tutup dan biarkan seketika.

5. Setelah kering, kacaukan dengan rata. Biarkan seketika dan setelah masak, bolehlah dihidang bersama bahan hiasan. Siap!

Bahan-bahan Daging Beriani:

  • 1 kilo daging (rebus hingga lembut)
  • ½ cawan minyak
  • 1 cawan air
  • 125 gm rempah beriani (agak-agak)
  • 2 tangkai daun ketumbar
  • Sedikit garam
  • 2 biji kentang dipotong 4
  • Sedikit susu cair (agak-agak)
  • 2 sudu cili kisar

Bahan kisar:

  • 7 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 labu bawang besar
  • 1 ½  cm halia

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan rempah beriani dan cili kisar.

2. Masukkan daging dan daun ketumbar yang telah dipotong bersama kentang.

3. Tambahkan air, garam dan perasa.

4. Masak sehingga pekat.

5. Hias dengan tomato ceri. Siap!

Nasi Minyak Resepi Tradisional

Jika anda tak pernah merasai nasi minyak dengan sentuhan orang terdahulu, apa kata cuba resepi milik SygQu Eyda Rania ini. Bahan-bahannya mudah didapati dan pasti menjadi.

Bahan-bahan:

  • 3 pot beras Basmathi (basuh dan toskan)
  • 5 pot air
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 1 sudu besar butter
  • 1/2 cawan susu cair
  • 1 rempah sup bunjut
  • 1 genggam kismis
  • 1 biji bawang besar*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 1 inci halia*
  • ½  sudu teh serbuk kunyit / pewarna kuning
  • Kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
  • Garam dan perasa

Cara memasak:

1. Kisar bahan bertanda *.

2. Panaskan rice cooker dan masukkan minyak sapi dan butter.

3. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.

4. Tumis bahan kisar dan kismis.

5. Masukkan garam, serbuk kunyit dan perasa.

6. Masukkan susu cair dan rempah sup bunjut.

7. Masukkan air dan beras.

8. Tutup periuk dan biar hingga nasi masak.

Nasi Minyak Bersama Daging Masak Hitam

Nurul Ateekah telah berkongsi resepi set nasi minyak dengan daging masak hitam dan acar timun tumis. Pernah rasa acar timun tumis? Jika tidak, ikuti resepi pasti menjilat jari ini. Oh ya, resepi ini menggunakan 2kg beras Basmathi serta 3kg daging. Kurangkan kuantiti jika anda mahu makan untuk kuantiti yang sedikit.

Bahan-Bahan Daging Masak Hitam:

  • 3 kg daging kambing atau lembu
  • 1 botol kecil kicap manis (cap kipas udang)
  • ½ cawan bancuhan air asam jawa
  • 6 biji bawang besar (dihiris)
  • 3 helai daun pandan (disimpul)
  • 3 batang serai (dikatok)
  • 6 batang daun kari
  • 6 batang cili hijau
  • 3 sudu besar kismis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 6 kuntum bunga cengkih
  • 6 biji buah pelaga
  • 3 batang kayu manis
  • 1 cawan kismis
  • 1 tin kacang pea
  • 3 ketul gula melaka
  • Gula pasir (agak-agak)
  • Garam (agak-agak)
  • Serbuk perasa (jika mahu)
  • Minyak secukupnya

Bahan rempah:

  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar

Bahan kisar:

  • 6 batang serai
  • 30-40 tangkai cili kering (dibasuh dan direbus)
  • 4 @ 5 inci halia
  • 9 biji bawang besar
  • 3 biji buah keras
  • 2 labu bawang putih

P/s: Bila nak menumis, pastikan minyaknya perlu banyak

Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan masukkan 4 sekawan, daun pandan, serai, daun kari dan tumis bawang sehingga naik bau.

2. Masukkan bahan yang telah dikisar dan masak sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana supaya ianya masak dengan sempurna (warna minyak akan jadi kemerahan).

3. Apabila sudah pecah minyak, masukkan daging kambing atau daging lembu. Masak sehingga daging empuk (jika nak rebus daging dahulu pun boleh). Masukkan ke dalam cili yang telah dimasak tadi.

4. Kemudian, masukkan gula melaka, bahan-bahan rempah, cili hijau, kismis dan kicap. Masak seketika dan masukkan kacang pea.

5. Apabila daging betul-betul sudah empuk dan kuah menjadi sedikit kering, masukkan garam, gula pasir dan serbuk perasa.

P/s: Jika dagingnya direbus dahulu, jangan dibuang air rebusannya tetapi buat untuk memasak nasi minyak.

Bahan-bahan Nasi Minyak:

  • 2kg beras Basmati (rendam selama 30-45 minit dan toskan)
  • 3 batang serai (dikatok)
  • 3 helai daun pandan disimpul
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 6 ulas bawang putih (dikatok)
  • Halia sebesar ibu jari (dihiris)
  • 3 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 1½ tin susu cair
  • ½ sudu kecil serbuk kunyit
  • 1½ sudu kecil garam
  • 3 sudu besar minyak sapi
  • 5 sudu besar minyak masak
  • Pewarna kuning@safron

P/S: Sukatan air untuk beras (1 cawan beras basmati= 1 ½ cawan air termasuk susu cair)

Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan minyak sapi di dalam rice cooker. Tumiskan serai, daun pandan, 4 sekawan, bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau.

2. Masukkan serbuk kunyit dan garam.

3. Masukkan sukatan air dan susu cair untuk memasak nasi.

4. Akhir sekali, masukkan beras dan gaul rata.

5. Biarkan ianya masak dengan sempurna.

6. Apabila sudah masak, lubangkan beberapa tempat untuk letak sedikit pewarna kuning atau safron. Biarkan rehat seketika baru gaul dengan rata.

Bahan Acar Timun Bertumis:

  • 4 biji timun (dipotong)
  • 4 biji lobak merah (dipotong)
  • Cili hijau (dihiris kasar)
  • Cili merah (dihiris kasar)
  • 30 biji bawang kecil
  • 30 biji bawang putih
  • 3 cm halia (dihiris halus)
  • 2 sudu besar biji sawi
  • 4 sudu besar cili kisar
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • Gula putih (agak-agak)
  • Garam (agak-agak)
  • Serbuk perasa (jika mahu)
  • 1 cawan kismis
  • 4 sudu besar cuka
  • 4 sekawan
  • Minyak masak

Cara memasak:

1. Panaskan minyak masak dan masukkan biji sawi serta  4 sekawan.

2. Tumis cili kisar sehingga pecah minyak.

3. Masukkan serbuk kari dan masak seketika.

4. Masukkan halia, bawang kecil dan bawang putih lalu masak sehingga lembut dengan api yang perlahan.

5. Apabila sudah lembut, masukkan cuka, garam, gula melaka, gula putih, serbuk perasa dan kismis.

6. Masukkan lobak merah dan timun lalu masak seketika.

7. Siap untuk dihidang.

Nasi Minyak, Ayam Masak Merah dan Kurma Ayam Kentang

Amirah Mohd telah berkongsi resepi nasi minyak dengan dua jenis lauk iaitu ayam masak merah dan kurma ayam kentang. Beliau turut berkongsi resepi acar timun. Lengkap satu set menu, bolehlah memasak jika mahu adakan jamuan kecil-kecilan. Berikut merupakan resepinya:

Bahan-bahan Nasi Minyak:

  • 3 cawan beras Basmathi
  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • Rempah 3 sekawan (kulit kayu manis, 1 biji bunga lawan dan 2 biji pelaga)
  • 2 sdb mentega / minyak masak
  • 1 kiub pati ayam
  • ½  cawan susu cair
  • 2 helai daun pandan
  • Bawang goreng hiasan

Cara memasak:

1. Rendam beras terlebih dahulu lebih kurang 30 minit dan toskan airnya.

2. Panaskan mentega lalu tumis bawang dan halia yang telah dikisar.

3. Masukkan 3 sekawan dan daun pandan.

4. Apabila bawang sudah garing, masukkan susu cair, air, kiub pati ayam dan garam.

5. Tuangkan dalam periuk nasi.

6. Biarkan nasi masak seperti biasa dan biarkan 5 minit baru gembur-gemburkan nasi menggunakan garfu supaya nasi tak patah.

7. Taburkan bawang goreng dan siap.

Bahan-bahan Ayam Masak Merah:

  • ½  ekor ayam
  • 2 cawan cili kisar
  • 4 ulas bawang merah (dihiris halus)
  • Rempah 3 sekawan (kulit kayu manis, pelaga dan bunga lawang)
  • 2 sdb sos cili
  • 1 sdb sos tiram
  • 1 sdb sos tomato
  • 1 cawan air
  • Garam dan gula secukupnya
  • Hiasan – daun bawang/daun ketumbar

Bahan kisar:

  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Cara memasak:

1. Gaul ayam dengan serbuk kunyit, garam dan goreng hingga masak.

2. Guna minyak goreng ayam tadi untuk menggoreng bawang merah  yang telah dihiris lalu angkat dan ketepikan.

3. Tumiskan bahan kisar dan rempah 3 sekawan.

4. Apabila sudah naik bau, masukkan cili kisar.

5. Tumis hingga cili garing.

6. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.

7. Masukkan air dan perasakan dengan garam dan gula.

8. Apabila sudah mendidih, masukkan ayam dan biarkan seketika.

9. Taburkan bawang merah yang telah digoreng tadi lalu tutup api.

10. Hiaskan dengan daun ketumbar atau daun bawang.

Bahan-bahan Kurma Ayam:

  • Beberapa ketul ayam dipotong kecil
  • 2 biji kentang
  • 1 biji lobak merah
  • 1 biji tomato
  • 1/2 kotak santan
  • 1 peket rempah kurma
  • Minyak untuk menumis
  • Gula dan garam
  • Air secukupnya

Bahan tumis Kurma:

  • 1 biji bunga lawang, sedikit kulit kayu manis
  • 5 biji bawang merah (hiris halus)
  • 3 ulas bawang putih (hiris halus)
  • 1/2 inci halia (hiris halus)

Cara memasak:

1. Tumis bahan-bahan hiris dan biarkan sehingga naik bau.

2. Masukkan rempah kurma dan sedikit air.

3. Masak hingga naik minyak.

4. Masukkan ayam, ubi kentang dan carrot.

5. Masukkan santan dan sedikit air. Tunggu hingga mendidih.

6. Masukkan garam secukup rasa.

7. Biarkan kuah masak hingga pekat sedikit.

8. Masukkan cili merah atau cili hijau sebagai hiasan jika suka.

9. Siap untuk dihidangkan.

Bahan-bahan Acar Mentah (Jelatah):

  • 1 biji timun
  • 1 biji carrot
  • 1-2 biji cili merah
  • 2 biji bawang merah
  • Sedikit cuka makan
  • Garam dan gula

Cara-cara:

1. Masuk dan gaulkan semua bahan.

2. Siap untuk dihidangkan.

Dah ada pilihan resepi nasi minyak yang mencuri tumpuan anda? Kalau sudah ada, apa tunggu lagi? Cepat cari bahan-bahannya dan memasak mengikut resepi tersebut. Pasti terlunas rasa teringin makan nasi minyak seperti yang terdapat di kenduri.

Dah jemu makan nasi putih setiap hari? Jom cuba resepi nasi lain yang sedap dan pasti menjilat jari seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.