Mencari resepi ikan keli?

Ikan keli merupakan antara jenis ikan yang kerap digunakan dalam masakan orang kita. Ianya juga sesuai dinikmati bersama apa jenis kuah atau sambal, jadi tidak hairan lauk ini memang menjadi sajian utama di kebanyakan kedai makan.

Tiada idea untuk memasak ikan keli? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 aneka resepi ikan keli untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Masak Lemak Putih Daun Cekur Ikan Keli

resepi ikan keli - masak lemak putih cekur ikan keli
Imej via Facebook

Hidangan yang berlemak rasanya ini memang sangat enak dinikmati panas-panas bersama nasi dan ulam-ulaman. Resepinya juga mudah untuk dicuba. Resepi ini dikongsikan oleh Shiqin Sukur di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 8ekor ikan keli(disalai sedikit garing)
  • Santan kelapa
  • 3 batang serai (diketuk)
  • 15 helai daun cekur(dihiris)
  • Sebiji bawang merah
  • Seulas bawang putih
  • 10 biji cili api hijau+merah (ikut tahap kepedasan masing-masing)
  • Asam keping
  • Garam
  • Bahan perasa

Cara-cara:

  1. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili.
  2. Masukkan bahan kisar ke dalam kuali atau periuk yang dicampurkan sekali dengan santan dan serai.
  3. Masuk menggunakan api perlahan dan pastikan sentiasa dikacau.
  4. Setelah mendidih, masukkan daun cekur, asam, garam dan serbuk perasa.
  5. Tunggu beberapa minit (1-2 minit) dan masukkan ikan keli.
  6. Setelah masukkan ikan sekitar 4-5 minit, matikan api. Jangan masak terlalu lama dikhuatiri ikan akan hancur.
  7. Sedia untuk dihidang.

#2 Ikan Keli Bakar

resepi ikan keli bakar
Imej via Facebook

Satu lagi resepi ikan keli yang mudah untuk anda cuba ialah ikan keli bakar. Jika anda menggunakan ikan keli yang segar, pasti rasanya lebih lazat. Resepi ini dikongsikan oleh Azirah Hj Rahim di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan keli
  • Serbuk cili
  • Serbuk kari ikan
  • Serbuk kunyit   
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan air asam:

  • Cili
  • Belacan
  • Garam

Cara-cara:

  1. Lumur ikan dengan serbuk cili, serbuk kari ikan, serbuk kunyit dan perasakan dengan garam dan gula. Gaul sebati.
  2. Bakar ikan sehingga masak.
  3. Untuk air asam, tumbukkan semua bahan hingga lumat dan kacau sebati.
  4. Sedia untuk dihidang.

#3 Ikan Keli Goreng Berlada

resepi ikan keli berlada
Imej via Facebook

Ada penggemar makanan pedas di sini? Jika ya, anda boleh cuba resepi yang khusus untuk pencinta makanan pedas berapi ini – ikan keli berlada berapi. Resepi ini dikongsikan oleh Dayah Mamat di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ikan keli (digoreng kunyit + garam)
  • 2 labu bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • Lada jarum (ikut kepedasan yang disukai)
  • Sedikit belacan
  • Perasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Kisar bahan-bahan kecuali ikan.
  2. Panaskan minyak & tumis bahan kisar.
  3. Masukkan bahan perasa secukupnya.
  4. Tumis dengan api perlahan supaya tidak hangit.
  5. Bahan masak sempurna & agak garing tutup api
  6. Curahkan atas ikan yang digoreng tadi.
  7. Sedia untuk dihidang.

#4 Ikan Keli Goreng Rangup

resepi ikan keli goreng rangup
Imej via Facebook

Bagi yang sibuk tetapi masih mahu menyediakan hidangan yang enak, anda boleh cuba resepi ini – ikan keli goreng rangup. Sangat mudah dan bahan-bahannya juga ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Sarifah Arieta di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan keli (dibasuh dengan cuka untuk membuang lendir)
  • Air tepung gandum yang pekat
  • Garam
  • Serbuk kunyit
  • Bahan perasa
  • 1 ketul asam keping

Cara-cara:

  1. Setelah ikan keli dibasuh, rendamkan ikan keli dalam air tepung gandum yang pekat selama 5 – 10 minit. Tips ini supaya ikan keli tidak meletup semasa digoreng.
  2. Setelah itu, buangkan air tepung tetapi jangan dibilas.
  3. Letakkan garam, serbuk kunyit dan bahan perasa. Gorengkan.
  4. Masukkan asam keping semasa menggoreng.
  5. Sedia untuk dihidang.

#5

kari ikan keli - resepi ikan keli
Imej via Facebook

Ikan keli juga sangat sesuai dibuat kari. Kuahnya yang pekat serta aroma kari yang harum pasti menggamit selera anda. Resepi ini dikongsikan oleh Ana Mariana Ismail di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4-5 ekor ikan keli dipotong dua
  • 1 biji bawang merah (dihiris)
  • 1 ulas bawang putih (dihiris)
  • Halba campur
  • Daun kari
  • 2 paket rempah ikan (dibancuh dan dijadikan pes)
  • Air asam jawa secukupnya
  • 1 biji timun (dipotong serong)
  • Daun kesum

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, halba campur dan daun kari hingga naik bau.
  2. Masukkan pes kari dan masak sehingga pecah minyak. Kacau sekali sekala supaya rempah tidak berketul.
  3. Setelah pecah minyak, masukkan air asam jawa dan biarkan mendidih.
  4. Setelah mendidih, masukkan timun dan masak sehingga timun menjadi agak lembut.
  5. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  6. Masukkan ikan keli dan biar mereneh sekitar  minit.
  7. Masukkan daun kesum dan matikan api.
  8. Sedia untuk dihidang.

#6 Ikan Keli Goreng Berempah

ikan keli berempah
Imej via Facebook

Selalunya kita terdengar ayam goreng berempah, kali ini apa kata anda cuba hidangan ikan keli goreng berempah pula? Resepi ini dikongsikan oleh Mariana Zainal di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 ekor ikan keli (dibasuh dengan cuka, limau nipis atau air asam jawa untuk hilangkan hanyir ikan. Toskan)
  • 2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh membukit garam(boleh tambah jika kurang)
  • 2 cubit gula
  • 1 sudu teh serbuk cili *optional
  • 2 sudu besar tepung beras atau tepung jagung

Bahan kisar:

  • 1½ sudu besar jintan manis
  • 1½ sudu besar biji ketumbar
  • 2 batang serai (setiap batang dipotong tiga)  

Cara-cara:

  1. Kisar sekejap sahaja bahan kisar.
  2. Lumurkan ikan keli dengan bahan kisar, serbuk kunyit, garam, gula dan serbuk cili. Gaul rata.
  3. Perapkan selama 1 jam supaya bahan kisar meresap elok.
  4. Panaskan minyak dan lumurkan ikan keli yang diperap dengan tepung beras. Gaul rata.
  5. Setelah minyak panas, goreng ikan sehingga garing.
  6. Sedia untuk dihidang.

#7 Masak Lemak Keli Salai

masak lemak keli salai negeri sembilan
Imej via Facebook

Satu lagi resepi masak lemak ikan keli yang pasti anda suka ialah masak lemak keli salai style Negeri Sembilan. Pedas dan berlemak, semestinya melazatkan. Resepi ini dikogsikan oleh Murni Rahmat di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan keli (disalai)
  • Santan pekat
  • Kunyit hidup
  • Asam keping
  • Serai
  • Cili api

Cara-cara:

  1. Kisarkan cili api dan kunyit hidup.
  2. Sediakan periuk dan masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama santan dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan keli yang disalai, serai dan asam keping. Biarkan mendidih lagi.
  4. Perasakan dengan garam dan bahan perasa.
  5. Sedia untuk dihidang.

#8 Ikan Keli Bakar Percik

ikan keli percik
Imej via Facebook

Pernah cuba hidangan ikan keli bakar percik? Hidangan ikan percik ini cukup popular di negeri Pantai Timur dan anda juga boleh cuba sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Shafiq di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan keli (dibakar ¾ masak)

Bahan kuah percik:

  • Cili kering (dikisar)
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Sos
  • Susu
  • Minyak
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula

Cara-cara:

  1. Gaul bahan kuah percik supaya menjadi pekat.
  2. Lumurkan pada ikan yang dibakar ¾ masak di kedua-dua belah bahgian.
  3. Bakar ikan hingga sepenuhnya masak.
  4. Sedia untuk dihidang.

#9 Ikan Keli Sambal Serai

ikan keli sambal serai
Imej via Facebook

Hidangan ikan keli sambal serai ini juga sesuai dijadikan makanan tengah hari. Bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah terlajak sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Husreezal Rushdee Husin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 ekor ikan keli bersihkan (digaul dengan garam, kunyit dan goreng garing)
  • 4 sudu air asam jawa
  • Garam & gula
  • ½ cawan minyak masak
  • 1 biji bawang besar hiris bulat

Bahan kisar:

  • 20 tangkai cili kering
  • 1 biji bawang besar  
  •  2 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 2 inci belacan

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga betul-betul masak.
  2. Masukkan air asam jawa gula & garam.
  3. Masukkan bawang besar yang dipotong bulat, masak seketika hingga bawang layu. Matikan api.
  4. Tunggu sambal sejuk dan letakkan di atas ikan yang digoreng.
  5. Sedia untuk dihidang.

#10 Gulai Terengganu Ikan Keli Salai

gulai terengganu
Imej via Facebook

Pernah cuba gulai Terengganu? Gulai ini selalunya disediakan menggunakan rempah gulai dari Cap Ros. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ain Mahmadi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan keli salai
  • Sedikit kerisik
  • Santan
  • 1 sudu besar Rempah Masak Cap Ros
  • 1 sudu besar Rempah Gulai Cap Ros
  • Daun kesum
  • Asam keping
  • Air

Bahan kisar:

  • Bawang kecil
  • Bawang putih
  • Lengkuas
  • Kunyit
  • Cili boh
  • Sedikit cili padi

Cara-cara:

  1. Campurkan rempah dan bancuh dengan sedikit air.
  2. Dalam periuk, tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  3. Masukkan rempah yang dibancuh. Kacau-kacaukan sehingga naik minyak sedikit dan masukkan sedikit air.
  4. Tambahkan garam dan bahan perasa.
  5. Masukkan asam keping, ikan keli salai, kerisik dan daun kesum.
  6. Tambahkan santan dan sedikit air.
  7. Kecilkan api dan biarkan ikan mereneh sekejap supaya rempah meyerap dalam ikan. Jangan terlalu lama.
  8. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan keli, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.