Mencari resepi ikan tenggiri?

Ikan tenggiri merupakan antara jenis ikan yang kerap digunakan dalam masakan tempatan. Ianya juga mempunyai pelbagai cara masakan, jadi tidak hairan lauk ini memang cukup popular di kebanyakan gerai.

Tiada idea untuk memasak ikan tenggiri? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 15 aneka resepi ikan tenggiri untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Ikan Tenggiri Masak Cuka

resepi ikan tenggiri - tenggiri masak cuka
Imej via Facebook

Ini merupakan antara menu makanan tengah hari yang cukup popular – ikan tenggiri masak cuka. Cara penyediaan yang mudah serta bahan-bahan yang ringkas merupakan antara keistimewaan menu ini. Resepi ini dikongsikan oleh Ina Nisa di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan digaul garam & kunyit (digoreng)
  • Bawang merah kecik (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Halba campur
  • Cili api merah & hijau
  • Cuka
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Bawang merah kecil/bawang putih (tidak perlu dihiris)

Cara-cara:

  1. Tumis bahan yang dihiris.
  2. Setelah naik bau, masukkan halba campur.
  3. Masukkan cuka dan air. Setelah agak mendidih, masukkan ikan tenggiri.
  4. Masukkan garam dan serbuk perasa. Sesuaikan rasa.
  5. Masukkan bawang merah kecil / bawang putih dan cili ciiapi.
  6. Tunggu mendidih sekejap dan matikan api.
  7. Sedia untuk dihidang.

#2 Masak Lemak Padang Ikan Tenggiri

masak lemak padang tenggiri - resepi ikan tenggiri
Imej via Facebook

Teringin untuk mencuba masak lemak Padang? Rasa kuah yang pedas dan berlemak ini pasti sesuai digandingkan dengan ikan tenggiri yang lembut isinya. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 atau 6 ketul ikan tenggiri (dibasuh bersih)
  • Sedikit kunyit
  • ½ kotak kecil santan
  • 2 cm halia
  • 2 cm lengkuas
  • 2 hirisan lengkuas
  • 1 cm kunyit hidup
  • ½ biji bawang besar atau 3 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 biji buah keras
  • 2 batang cili merah
  • 1 batang serai
  • 1 helai daun salam
  • 1 biji tomato
  • Minyak secukupnya
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • ½ cawan air

Cara-cara:

  1. Lumurkan ikan dengan kunyit dan garam. Goreng hingga ikan masak. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dan masukkan hirisan lengkuas, serai dan daun salam. Masak seketika.
  3. Masukkan bahan yang telah dikisar dan masak sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan air dan santan. Masak sehingga mendidih.
  5. Masukkan tomato dan ikan yang telah digoreng tadi.
  6. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Masak seketika dan matikan api.
  7. Sedia untuk dihidang.

#3 Ikan Tenggiri Berlado

tenggiri berlado resepi ikan tenggiri
Imej via Facebook

Bagi peminat masakan pedas, anda wajib cuna resepi ikan tenggiri berlado ini. Pasti menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas-panas. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 7-8 keping ikan tenggiri
  • 11 batang cili merah
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ biji bawang besar
  • 1 biji tomato (dibelah empat)
  • 1 batang serai (dititik)
  • 2 helai daun limau purut
  • 1 sudu kecil serbuk belacan
  • 1 sudu kecil serbuk perasa
  • Garam dan gula sebagai perasa
  • Daun ketumbar untuk hiasan

Cara-cara:

  1. Lumurkan kunyit dan garam pada ikan.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
  3. Menggunakan minyak yang sama, masukkan cili yang telah dikisar bersama serai dan daun limau purut. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian, masukkan tomato, serbuk belacan dan bahan-bahan lain. Gaul sebati dan perasakan.
  5. Masukkan ikan yang telah digoreng dan gaul sebati. Biarkan masak seketika.
  6. Angkat dan taburkan daun ketumbar sebagai hiasan.
  7. Sedia untuk dihidang.

#4 Masak Lemak Cili Api Negeri Sembilan Ikan Tenggiri

masak lemak negeri sembilan ikan tenggiri
Imej via Facebook

Tadi kita cuba resepi masak lemak Padang, kali ini apa kata anda cuba resepi masak lemak cili api Negeri Sembilan? Bahan-bahan dan cara penyediannya sangat ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh NuiSan Aliezsha di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri
  • Cili api (ditumbuk)
  • Kunyit hidup (ditumbuk)
  • Rebung (dicuci bersih dan diramas sedikit untuk buang bau air rendaman rebung. Toskan)
  • 1½ biji kelapa tua parut (diperah dan diambil pati sahaja)
  • Asam keping

Cara-cara:

  1. Sediakan kuali dan masukkan  cili, rebung, santan dan ikan.
  2. Biarkan mendidih dan pastikan sentiasa dikacau.
  3. Setelah kuah hampir pekat, masukkan asam keping dan perasan dengan garam.
  4. Sedia untuk dihidang.

#5 Asam Pedas Ikan Tenggiri

asam pedas ikan tenggiri
Imej via Facebook

Ikan tenggiri juga sesuai dibuat asam pedas. Rasa masam dan pedas untuk hidangan ini pasti akan mencuri hati anda. Resepi ini dikongsikan oleh Fauziah Daud di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri
  • Tomato
  • Bendi
  • Daun kesum
  • Kacang buncis jika suka

Bahan kisar:

  • 8 biji cili kering
  • 2 biji bawang besar merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • Sedikit kunyit hidup
  • Sedikit belacan jika suka

Cara-cara:

  1. Kisar bahan kisar dan tapiskan air. Gunakan air sebagai kuah nanti.
  2. Panaskan kuali dan tumis bahan yang ditapis hingga garing dan pecah minyak.
  3. Masukkan air yang ditapis dan asam jawa. Jumlah air mengikut kepekatan kuah yang diinginkan.
  4. Setelah mendidih, masukkan garam, gula dan serbuk perasa.
  5. Masukkan ikan dan biar menggelegak.
  6. Masukkan daun kesum, bendi dan tomato.
  7. Setelah sayur-sayuran sedikit layu, matikan api.
  8. Sedia untuk dihidang.

#6 Sup Sayur Bebola Tenggiri

sup berbola tenggiri - resepi ikan tenggiri
Imej via Facebook

Anda pasti biasa terdengar tentang bebola ikan, bukan? Apa kata kali ini anda buat bebola ikan tenggiri sendiri, pasti lebih sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Suzana Othman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 hirisan ikan tenggiri (dibuang tulang dan ditumbuk atau dikisar menggunakan pemproses makanan)
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • Sedikit garam
  • Serbuk perasa
  • Secubit lada hitam

Bahan sup sayur:

  • 3 biji bawang kecil (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • Ikan bilis
  • 3 pokok pakchoy (dipotong)
  • Lobak merah (dihiris)

Cara-cara:

  1. Goreng bawang kecil dan bawang putih hingga layu, angkat dan ketepikan. Kemudian goreng bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam periuk lain, didihkan air.
  3. Masukkan bawang dan bilis yang telah digoreng.
  4. Masukkan bebola ikan dan masak hingga bebola ikan timbul.
  5. Kemudian, masukkan sayur dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  6. Matikan api. Taburkan daun bawang atau daun sup sebagai hiasan.
  7. Sedia untuk dihidang.

#7 Jeruk Tenggiri Homemade

jeruk tenggiri
Imej via Facebook

Jeruk tenggiri memang agak susah untuk didapati, jadi tidak hairan adakalanya harga yang ditawarkan sedikit mahal. Namun begitu, anda juga boleh buat jeruk tenggiri sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Kak Yah Tahir di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri
  • Garam kasar
  • Cuka
  • Asam keping
  • Minyak masak

Cara-cara:

  1. Potong ikan tenggiri, bersihkan dan jemur bawah matahari.
  2. Letak garam, cuka dan asam keping.
  3. Lepas seminggu rendam dalamm minyak selama sebulan.

#8 Kola Urundai Ikan

kola urundai ikan tenggiri
Imej via Facebook

Kola urundai merupakan masakan yang berasal dari India Selatan. Ianya merupakan bebola daging atau ikan yang berempah, dijamin lazat! Resepi ini dikongsikan oleh Sheena Supramaniam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri (dikukus dan diambil isinya)
  • Bawang besar (dicincang)
  • Daun ketumbar (dicincang)
  • Daun kari (dicincang)
  • Garam
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Serbuk cili (jika mahu)
  • Serbuk lada hitam (jika mahu)
  • Jintan manis (ditumbuk kasar)
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu besar tepung beras
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Campurkan bawang besar, ketumbar dan daun kari. Kacau sebati dan tambahkan garam.
  2. Tambahkan serbuk kunyit, serbuk cili dan serbuk lada hitam.
  3. Masukkan jintan manis dan gaul sebati.
  4. Masukkan tepung jagung dan tepung beras. Gaul sebati.
  5. Bulat-bulatkan adunan.
  6. Panaskan minyak dan masukkan satu persatu bebola. Goreng hingga masak dan boleh angkat.
  7. Sedia untuk dihidang.

#9 Ikan Tenggiri Masak Merah

ikan tenggiri masak merah
Imej via Facebook

Selalunya kita terdengar hidangan ayam masak merah, tetapi pernahkah anda cuba tenggiri masak merah? Rasanya sangat sedap dan aromanya juga harum. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri (dipotong enam dan digoreng dahulu)
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 1 helai daun pandan (disimpul)
  • 4 ulas bawang putih (diketuk)
  • ½ biji bawang besar (dipotong bulat)
  • 5 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu kecil tomato pes
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 biji tomato (dibelah 6)
  • 1 sudu kecil serbuk belacan
  • Gula 1 sudu besar
  • Serbuk perasa (jika perlu)
  • Minyak secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan masukkan serai, bawang putih dan daun pandan. Masak sehingga naik bau dan sedikit keperangan.
  2. Masukkan bawang merah yang dipotong bulat. Masak sehingga layu .
  3. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak dan cilinya masak dengan sempurna.
  4. Apabila cili sudah pecah minyak,masukkan serbuk belacan, tomato, sos cili, sos tiram. Gaul rata.
  5. Kemudian,masukkan gula dan ikan yang telah digoreng. Gaul sebati.
  6. Sedia untuk dihidang.

#10 Ikan Tenggiri Masak Lada

masak lada ikan tenggiri
Imej via Facebook

Satu lagi resepi ikan tenggiri yang wajib anda cuba ialah ikan tenggiri masak lada. Walaupun kelihatan sama seperti asam pedas, ianya berbeza dari segi bahan-bahan utamanya. Resepi ini dikongsikan oleh Mazlinda Zakaria di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Daun kari
  • Halba campur
  • Ikan tenggiri
  • Kerisik
  • Air asam jawa
  • Bendi atau terung

Bahan A (dikisar):

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Kunyit hidup
  • Cili kering
  • Belacan

Bahan B (dikisar kasar):

  • 2 sudu jintan manis
  • 1 sudu jintan putih
  • Lada hitam 1 sudu lada hitam
  • ½ sudu kecil ketumbar

Cara-cara:

  1. Tumis halba campur dengan daun kari.
  2. Masukkan bahan A dan gaul-gaulkan.
  3. Kemudian, masukkan bahan B dan tumis hingga garing.
  4. Masukkan air asam jawa dan kerisik.
  5. Selepas mendidih, masukkan ikan tenggiri dan bendi / terung.
  6. Perasakan dengan garam.
  7. Sedia untuk dihidang.

#11 Kari Mamak Ikan Tenggiri

Imej via Facebook

Ikan tenggiri juga sesuai dibuat kari. Tambahan pula kari ala Mamak, memang sedap dimakan begitu sahaja! Resepi ini dikongsikan oleh Nourhayati Mat Saad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1.5 kg Ikan tenggiri
  • 4 labu bawang merah bombay (dimayang halus)
  • 5 ulas bawang puteh (dimayang halus)
  • 1 inci halia (dimayang)
  • 2 keping kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1 setengah sudu besar halba campur
  • 4 tangkai daun kari
  • 100 gm kari ikan
  • 30 gm serbuk cili

(serbuk kari dan serbuk cili digaul dengan air)

  • 1 sudu besar asam jawa
  • 200 g
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Sayur tomato, cili besar hijau atau merah
  • Bendi atau terung bulat
  • Sedikit gula dan garam

Cara-cara:

  1. Tumiskan halba campur, kulit kayu manis, bunga lawang dan halia, bawang yang dimayang.
  2. Setelah agak kuning kuahnya, masukkan pes kari dan serbuk cili.
  3. Setelah agak pecah minyak dan merah, boleh masukkan santan cair. Anda juga boleh guna susu cair.
  4. Masukkan daun kari, asam jawa, garam dan gula. Daun kari boleh juga tumis terlebih awal bersama bawang tadi.
  5. Dah nampak mendidih, boleh masukkan ikan. Kacau perlahan.
  6. Menggunakan periuk berasingan, rebus air terlebih dahulu. Kemudian celurkan terung bulat.
  7. Masukkan bendi, terung bulat yang dah dicelur, tomato dan cili besar.
  8. Sedia untuk dihidang.

#12 Botok-Botok Ikan Tenggiri

botok tenggiri resepi ikan tenggiri
Imej via Facebook

Botok merupakan hidangan Jawa yang merangkumi kelapa parut, sayur-sayuran dan ikan yang dibalut dengan daun pisang. Hidangan botok yang popular ialah botok-botok tenggiri. Resepi ini dikongsikan oleh Anida Azmi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri (dipotong keping, jangan terlalu tebal)
  • Daun pisang
  • Lidi
  • 1 cawan santan
  • 2 sudu besar kerisik
  • 3½ sudu besar rempah kari ikan
  • Sedikit minyak untuk menumis

Bahan kisar:

  • 10 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • ½ cawan cili giling
  • 3 batang serai
  • 1 inci kunyit hidup

Bahan daun:

  • Pucuk betik
  • Pucuk kaduk
  • Pucuk mengkudu (dihiris)
  • Pucuk ubi
  • Daun kunyit (dihiris)
  • Daun kesum
  • Daun selasih

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga garing.
  2. Masukkan rempah kari, kerisik dan santan.
  3. Masukkan garam, gula dan bahan perasa. Ketepikan dan biar sejuk.
  4. Masukkan hirisan daun kunyit dan kacau rata.
  5. Ambol daun pisang, lapiskan dan potong agak-agak muat ulam dan ikan. Layurkan daun pisang supaya daun lembut dan senang dilipat.
  6. Untuk lapisan pertama, letak ulam dan rempah.
  7. Untuk lapisan kedua, letak ikan dan tutup dengan rempah.
  8. Lapiskan bersama daun kesum dan daun selasih.
  9. Tutup bungkusan tadi dan kemaskan dengan lidi.
  10. Susun dalam periuk kukus dan kukus selama 30 minit atau hingga ikan masak.
  11. Sedia untuk dihidang.

#13 Ladu Ikan Tenggiri

dumplings tenggiri
Imej via Facebook

Dumplings atau ladu merupakan masakan Cina yang sangat digemari oleh orang kita. Salah satu jenis ladu yang popular ialah ladu ikan. Resepi ini dikongsikan oleh Mazita Awang di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Isi ikan tenggiri
  • Isi ayam
  • Isi udang
  • Bawang putih (dicincang dan digoreng)
  • Sebuku halia (ditumbuk dan diambil airnya)
  • Cendawan shitake (direbus dan dihiris halus)
  • 1 biji telur
  • Kulit ladu

Bahan perasa

  • Kicap cair
  • Air rebusan ayam
  • Lada sulah
  • Minyak bijan

Cara-cara:

  1. Untuk inti, kisar bersama isi ayam dan isi ikan.
  2. Masukkan daun bawang, telur dan cendawan Shitake. Perasakan ikut selera anda dan gaul sebati.
  3. Letakkan inti ke atas ladu dan bentukkan ladu.
  4. Untuk memasaknya, leetakkan sedikit minyak untuk garingkan bawah ladu dan letakkan sedikit air. Tutupkan.
  5. Biar masak cara stim sehingga kering air dan biarkan kulit bawah ladu agak garing. Masak menggunakan api yang perlahan.
  6. Sedia untuk dihidang.

#14 Ikan Tenggiri Masak Kicap

ikan tenggiri masak kicap chinese style
Imej via Facebook

Sukakan hidangan masak kicap yang rasanya masin dan manis? Jika ya, anda wajib cuba resepi ikan tenggiri masak kicap ala Cina ini. Resepi ini dikongsikan oleh Amanina Matali di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 6 sudu Sos tiram
  • 4 sudu kicap cair
  • 4 sudu kicap pekat
  • 2 sudu kicap manis
  • 300 g ikan tenggiri (digoreng terlebih dulu)
  • Tomato (dipotong )
  • 250 ml air

Bahan tumisan (dikisar)

  • 2 inci halia dipotong halus
  • 3 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang besar
  • Cili hijau dan merah (dipotong)

Cara-cara:

  1. Goreng bahan tumisan sehingga wangi.
  2. Masukkan semua kicap (boleh satukan dalam sebuah mangkuk).
  3. Masukkan air. Setelah mendidih, masukkan tomato.
  4. Masukkan ikan, biar ia mendidih selama 2-3 minit dan perasakan.
  5. Hiaskan dengan daun bawang dan cili tadi
  6. Sedia untuk dihidang.

#15 Gulai Lemak Kuning Terengganu Ikan Tenggiri

kkunyik kuwah
Imej via Facebook

Berbeza dengan masak lemak Negeri Sembilan, gulai lemak kuning Terengganu yang juga dikenali dengan nama ‘kunyik kkuwah’ ini menggunakan bawang dan bahan tambahan lain. Resepi ini dikongsikan oleh Jang Muhamad di laman Facebook

Bahan-bahan:

  • Ikan tenggiri (digoreng separuh masak atau boleh saja tidak digoreng)
  • Santan pekat
  • Garam
  • Gula
  • Asam keping

Bahan kisar:

  • 1 inci kunyit hidup
  • Sedikit lengkuas
  • 7-8 biji bawang merah kecil
  • 2 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. Tambah sedikit air degan sedikit santan pekat.
  2. Masak hingga mendidih lama dan biar bawang masak.
  3. Masukkan 2 keping asam keping.
  4. Setelah mendidih, masukkan baki santan, ikan dan sedikit air. Kalau mahu tekstur kuah yang pekat, tak perlu tambah air. Masak hingga mendidih.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Untuk sayur, boleh masukkan lada benggala, timun batang, lada hidup merah/ hijau atau kacang panjang jika suka.
  7. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan tenggiri, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.