Mencari resepi ikan cencaru?

Ikan cencaru merupakan antara jenis ikan yang kerap digunakan dalam masakan. Ianya juga mempunyai cara masakan yang berbagai, jadi tidak hairanlah lauk ini memang cukup popular di kebanyakan gerai.

Tiada idea untuk memasak ikan cencaru? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 aneka resepi ikan cencaru untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Ikan Cencaru Sumbat Sambal Portugis

resepi ikan cencaru sumbat
Imej via Facebook

Pernah cuba ikan cencaru sambal Portugis? Hidangan ini pasti anda biasa lihat di kedai makan semasa waktu tengah hari, bukan? Resepi ini dikongsikan oleh Una Husna di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan cencaru

Bahan sambal:

  • Daun kesum (diracik)
  • Bunga kantan (dihiris nipis)
  • 15 biji limau kasturi (diperah dan diambil airnya)
  • Gula
  • Garam
  • Bahan perasa

Bahan kisar kasar:

  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang kecil
  • 3 biji bawang putih
  • Sedikit belacan
  • 1 biji tomato
  • 15 tangkai cili kering (direbus)
  • 3 tangkai cili besar hijau
  • 10 tangkai cili api

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar kasar dengan minyak hingga naik bau dan pecah minyak.
  2. Masukkan bahan-bahan sambal.
  3. Setelah sambal sudah masak, masukkan air asam limau kasturi, bunga kantan dan daun kesum.
  4. Kacau sebati kemudian masukkn garam, gula dan bahan perasa. Kacau-kacaukan dan perasakan.
  5. Setelah sudah pekat, boleh matikan api.
  6. Belah belakang ikan cencaru dan sumbatkan bahan ini ke dalam cencaru tadi. Goreng ikan hingga garing.
  7. Angkat dan boleh letak lagi sambal tadi. Tuangkan minyak ikan goreng tadi.
  8. Sedia untuk dihidang.

#2 Acar Ikan Cencaru

acar ikan cencaru
Imej via Facebook

Pernah cuba acar ikan cencaru? Hidangan ini sesuai dijadikan hidangan utama untuk makan tengah hari. Rasanya yang masam manis pasti akan mencuri hati sesiapa sahaja yang merasainya. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Jannah Zakariar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Rempah 4 sekawan
  • Bawang merah (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Biji halba
  • Beberapa sudu cili boh atau cili mesin
  • Serbu kunyit
  • Serbuk kari ayam/daging
  • Sedikit belacan
  • Sedikit air
  • Sedikit cuka
  • Garam dan gula (gula lebih banyak dari garam)
  • Sedikit kerisik
  • Lobak merah (dihiris)
  • Timun (dibuang biji dan dihiris)
  • Bawang besar (dibelah empat)
  • Ikan cencaru (digoreng dahulu bersama serbuk kunyit dan garam, dan dibelah dua)
  • Cili merah dan cili hijau (dihiris)

Cara-cara:

  1. Tumis rempah empat sekawan, bawang merah, bawang putih dan halia hingga naik bau.
  2. Masukkan biji halba dan tumis lagi hingga naik bau.
  3. Masukkan beberapa sudu cili boh atau cili mesin diikuti dengan serbuk kunyit, serbuk kari ayam/daging, dan sedikit belacan.
  4. Setelah kelihatan pekat, tambahkan sedikit air.
  5. Setelah agak mendidih, masukkan cuka dan perasakan dengan garam dan gula.
  6. Masukkan sedikit kerisik dan kacau rata.
  7. Kemudian, masukkan lobak merah, timun dan bawang besar yang dibelah empat. Gaul rata.
  8. Tambahkan air agak tidak terlalu kering dan masak sehingga sayur sedikit layu.
  9. Masukkan ikan cencaru yang digoreng terlebih dahulu.
  10. Masukkan cili merah dan cili hijau. Gaul rata dan masak seketika.
  11. Sedia untuk dihidang.

#3 Ikan Cencaru Bakar Indonesia

resepi ikan cencaru bakar indonesia
Imej via Facebook

Ikan cencaru bakar Indonesia sememangnya kaya dengan rasa, jadi tidak hairan ianya sangat popular di sana. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Aimy di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 ekor ikan cencaru (dibelah kepada dua bahagian)

Bahan kisar:

  • 2 batang serai
  • Seinci halia
  • Sebiji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar biji ketumbar
  • 8 tangkai cili padi (boleh kurangkan)
  • 1 tangkai cili besar merah:
  • 7 sudu kicap lemak manis
  • 2 sudu gula
  • Sebiji buah keras
  • Garam secukup rasa
  • ½ sudu besar lada putih
  • Sebiji limau nipis/kasturi (diambil jus)

Cara-cara:

  1. Bakar ikan (tak kisah menggunakan kuali atau pemanggang bbq)/
  2. Sapu rempah yang dikisar tadi di atas ikan selama 2-3 kali semasa membakar ikan. Boleh sapu guna serai yang diketuk.
  3. Tutup periuk semasa membakar ikan. Sapu rempah sekali sekala dan tutupkan lagi periuk.
  4. Setelah ikan sudah separuh masak, sapu lagi rempah. Bakar hingga ikan masak.
  5. Sedia untuk dihidang.

#4 Ikan Cencaru Masak Kicap

ikan cencaru kicap
Imej via Facebook

Ikan cencaru juga sesuai dibuat masak kicap. Rasa masam dan manisnya memang menyelerakan, rugi jika anda tak cuba buat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Tengku RosElyza Raja Muhammad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 ekor ikan cencaru (dilumur kunyit dan garam dan digoreng)
  • 1 senduk cili kisar
  • Bawang putih, bawang merah dan halia (dikisar)
  • Kayu manis
  • Bunga lawang
  • Bawang merah (dihiris bulat)
  • Cili merah (dihiris dan dipotong)
  • Kicap manis
  • Sos cili
  • Sos tomato
  • Sos tiram
  • Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga naik bau atau kekuningan.
  2. Masukkan bunga lawang dan kayu manis.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis sampai pecah minyak.
  4. Masukkan semua jenis sos (jika pekat tambah air sedikit).
  5. Tumis lagi baru masukkan garam dan gula secukup rasa.
  6. Masukkan bawang hiris, cili merah dan kacau sekejap.
  7. Masukkan ikan, gaul rata dan matikan api.

#5 Ikan Cencaru Sambal Kelapa

resepi ikan cencaru sumbat sambal kelapa
Imej via Facebook

Tadi kita cuba resepi cencaru sumbat sambal Portugis, kali ini apa kata anda cuba resepi sencaru sumbat sambal kelapa pula? Pasti lazat, kami berani jamin. Resepi ini dikongsikan oleh Zarina Md Saad Nana di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan cencaru (digoreng atau dibakar)

Bahan sambal kelapa (dikisar):

  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Cili kering
  • Halia
  • Serai
  • Serbuk kunyit
  • Daun kunyit
  • 1 biji kelapa parut

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak dan perasakan.
  2. Masukkan kelapa parut dan gaul rata. Kacau dalam kuali hingga kering.
  3. Setelah kelapa kering, masukkan daun kunyit.
  4. Belahkan cencaru di bahagian belakang dan sumbatkan sambal kelapa.
  5. Sedia untuk dihidang.

#6 Ikan Cencaru Bakar

ikan cencaru bakar
Imej via Facebook

Ini pula resepi ikan cencaru bakar yang biasa kita nikmati. Bukan sahaja enak, malah ianya sangat senang untuk dibuat sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Bunda Nadiah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan cencaru

Bahan kisar:

  • 7 biji cili merah besar
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 1 biji tomato
  • 2 sudu gula
  • ½ sudu garam
  • 1 sudu serbuk perasa

Bahan air asam:

  • 10 tangkai cili padi
  • 1 biji bawang besar
  • 1 ruas belacan bakar      

*bahan di atas dikisar bersama

  • 10 tangkai cili padi
  • 1 biji tomato
  • 1 biji bawang merah besar
  • 1 tangkai cili merah besar

*bahan di atas semuanya dihiris

  • 4 biji limau kasturi (diambil airnya)
  • 4 sudu asam jawa
  • 3 sudu gula
  • Secubit garam
  • Air

Cara-cara:

  1. Lumurkan bahan kisar pada ikan. Perahkan 1 biji limau kasturi ke atasnya dan bakar ikan atas kuali sehingga masak. Ketepikan.
  2. Untuk air asam, gaulkan semua bahan.
  3. Tambahkan air mengikut kepekatan yang diinginkan.
  4. Sedia untuk dihidang.

#7 Ikan Cencaru Rebus

ikan cencaru rebus
Imej via Facebook

Ingin mencuba hidangan yang bukan sahaja menyihatkan, malah menyelerakan? Cuba sahaja resepi ini – ikan cencaru rebus. Resepi ini dikongsikan oleh Amanda Tan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 ekor ikan cencaru
  • Tapak halia (dibersihkan dan dihiris kepingan)
  • Air untuk merebus

Bahan sos:

  • 4 sudu besar sos kicap cair
  • 4 sudu kecil kecil gula
  • 4 biji limau kasturi (diambil jus)
  • 4 biji bawang merah kecil (dihiris)
  • 4 tangkai cili padi (dihiris)

Cara-cara:

  1. Siangkan ikan, keluarkan insang dan organ dalaman. Cuci bersih dengan garam.
  2. Keluarkan bisa ikan dari ekornya. Kerat ekornya tapi jangan sampai putus. Pusingkan ekornya sehingga longgar . Pegang erat badan dan tarik bahagian ekor yang longgar.
  3. Isikan separuh periuk dengan air dan masukkan hirisan halia. Panaskan air sehingga mendidih.
  4. Masukkan ikan kedalam air mendidih dan tutup periuk.
  5. Biar masak 6 ke 8 minit sehingga mata bertukar putih. Boleh keluarkan dan ketepikan.
  6. Untuk sos, gaulkan semua bahan-bahan.
  7. Sedia untuk dihidang.

#8 Ikan Cencaru Sambal Thai

cencaru sambal thai
Imej via Facebook

Tidak dinafikan, sambal Thai sangat digemari oleh orang kita. Inaya juga sesuai dinikmati dengan ikan cencaru, dijamin sedap tak terhingga! Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan cencaru (digoreng dahulu)
  • Serai (diketuk)
  • Daun limau purut
  • Daun sup atau daun ketumbar
  • Buah tomato
  • Sos cili
  • Garam
  • Gula

Bahan kisar:

  • Bawang merah
  • Cili merah
  • Cili padi
  • Halia

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar bersama serai sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan sos cili dan tomato yang dipotong.
  3. Masukkan daun sup, gula dan garam. Biarkan masak dan sebati.
  4. Setelah nampak berkilat, letakkan cencaru yang telah digoreng.
  5. Hiaskan dengan cili merah dan daun bawang.
  6. Sedia untuk dihidang.

#9 Pais Ikan Cencaru Kukus

Imej via Facebook

Ini juga resepi yang menyihatkan dan melazatkan – pais ikan cencaru kukus. Cara penyediaannya juga mudah, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Atiqah Razalli di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 ekor ikan cencaru (disiang dan dibersihkan. Dibelah tepi)

Bahan sumbat:

  • Kelapa parut
  • Belimbing buluh
  • Bawang merah (dikisar halus)
  • Bawang putih (dikisar halus)
  • Serai (dikisar halus)
  • Cili api (dikisar halus)
  • Garam
  • Serbuk kunyit / kunyit hidup
  • Daun pisang untuk mengalas

Cara-cara:

  1. Kisarkan belimbing buluh dengan kelapa parut.
  2. Masukkan garam dan serbuk kunyit ke dalam bahan-bahan kisar (termasuk bahan kisar halus) dan kisar lagi dengan kelapa.
  3. Alaskan daun pisang dan letakkan bahan kisar ke atasnya.
  4. Sumbatkan dan lumurkan sambal kelapa di dalam dan di atas ikan.
  5. Tutupkan dengan daun pisang dan kukus sehingga masak.
  6. Sedia untuk dihidang.

#10 Asam Pedas Ikan Cencaru

asam pedas ikan cencaru
Imej via Facebook

Satu lagi resepi ikan cencaru yang pasti akan buat anda ketagih ialah asam pedas ikan cencaru. Ianya bukan sahaja sedap, malah mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Yaya Hizam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ikan cencaru (dibelah dua)

Bahan kisar:

  • Cili kering (direbus)
  • 4 ulas bawang putih
  • 4 labu bawang besar
  • Kunyit
  • Halia
  • Belacan
  • Asam jawa
  • Daun kesum
  • Bendi
  • Air garam

Cara-cara:

  1. Kisarkan bahan kisar hingga hancur.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar.
  3. Masukkan perahan air asam jawa. Masak hingga pecah minyak dan garing.
  4. Setelah sambal siap ditumis dan pecah minyak, masukkan air, ikan, bendi dan daun kesum.
  5. Setelah bendi dah lembut, masukkan bahan perasa dan garam. Biarkan sekitar 5 minit.
  6. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan cencaru, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.