Mencari resepi ikan berkuah yang sedap dan mudah?

Ikan merupakan antara sumber protein yang terbaik. Berbanding dengan ayam dan daging, kandungan lemaknya juga kurang. Jadi, boleh dikatakan ikan merupakan lauk yang menyihatkan.

Bagi yang tiada idea tentang cara masakannya, jangan risau. Berikut kami senaraikan 10 resepi ikan berkuah yang boleh anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Siakap Stim Limau

Imej via Facebook

Di restoran masakan Thai, hidangan ini merupakan antara yang terlaris. Tak perlu susah-susah ke kedai makan, kerana anda boleh cuba sendiri! Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan ikan:

  • 1 ekor ikan siakap
  • 1 sudu teh garam
  • 3 ulas bawang putih.

Bahan kuah:

  • ⅓ cawan air
  • 2 biji air perahan limau nipis
  • 2 batang serai dihiris nipis
  • ½ biji bawang holland
  • 5-6 biji cili padi hiris
  • 1 pokok akar ketumbar (diketuk)
  • Sos ikan
  • Serbuk perasa *optional

Cara-cara:

  1. Basuh ikan dengan bersih dan pastikan tiada darah yang ada di celahan tulang.
  2. Untuk hilangkan bau hanyir ikan, rendam ikan yang beku dengan perahan limau kasturi atau tepung gandum selama 30 minit
  3. Tumbuk bawang putih dan garam pastu lumur pada ikan.
  4. Perap selama 15 minit.
  5. Bungkus ikan dengan kerajang aluminium dan cucuk dengan lidi bahagian atas.
  6. Kukus selama 20 minit atau sehingga ikan masak. Semasa mengukus, buangkan air ikan.
  7. Untuk kuah stim limau, panaskan semua bahan kecuali cili, sos ikan, perasa dan akar ketumbar sehingga mendidih di dalam kuali.
  8. Kemudian, masukkan akar ketumbar dan bahan-bahan lain.
  9. Curahkan kuah yang mendidih ke atas ikan yang siap dikukus tadi . Sedia untuk dihidang.

#2 Kari Ikan

Imej via Facebook

Ingin menikmati kari ikan? Kari ikan memang cukup enak dinikmati panas-panas, maah aromanya yang harum juga pasti memikat hati anda. Memang rugi tak cuba! Resepi ini dikongsikan oleh Zara Zahara di laman Facebook.

  • 5 ekor ikan
  • santan
  • 3 ulas bawang putih (dikisar kasar)
  • 1 biji bawang besar (dikisar kasar)
  • Halia sebesar ibu jari (dikisar kasar)
  • 10 biji cili hijau kecil (dikisar kasar)
  • 1 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 biji bawang merah (dihiris)
  • Daun kari
  • 7 biji cili merah dan hijau kecil (diketuk)
  • 1 sudu besar biji sawi
  • 1 sudu besar cili kisar
  • Sedikit air asam jawa
  • 2 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 sudu besar rempah kari daging/ayam
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 biji tomato (dibelah)
  • Bendi
  • Perasa (gula + garam + ajinamoto)

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih, bawang merah yang dihiris dan biji sawi hingga kekuningan.
  2. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan kacau hingga pecah minyak.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan rempah kari ikan, rempah kari daging/ayam, serbuk kunyit, daun kari dan tambahkan sedikit air dan air asam jawa. Kacau sekali sekala hingga bahan tumisan betul-betul pecah minyak.
  5. Masukkan santan dan perasakan dengan bahan peras, biarkan hingga mendidih dan masukkan ikan (sekiranya tak mahu tambah santan, cuma tambahkan air sahaja dan jangan terlalu banyak air untuk elak kuah cair).
  6. Perasakan lagi sekali hingga secukup rasa, masukkan bendi.
  7. Setelah ikan mula masak, masukkan tomato dan cili yang di ketuk, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

#3 Patin Tempoyak

Imej via Facebook

Kami yakin pasti ada di kalangan pembaca yang merupakan peminat tegar tempoyak, tambahan pula patin tempoyak. Isi ikan patin yang segar, ditambah pula dengan aroma dan rasa tempoyak – gabungan yang padu! Resepi ini dikongsikan oleh Sawiyah Husain di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kisar:

  • Cili padi
  • Kunyit hidup
  • 1 biji bawang besar
  • 3 sudu besar tempoyak

Bahan lain:

  • Ikan patin
  • Daun kesum
  • Daun kunyit

Cara-cara:

  1. Letakkan daun kunyit di permukaan periuk.
  2. Masukkan ikan patin bersaa bahan kisar ke dalam periuk.
  3. Masukkan daun kesum dan tambahkan air hingga ikan tenggelam.
  4. Menggunakan api sederhana, biar mendidih dan kuah memekat hingga masak.
  5. Perasakan dan sedia untuk dihidang.

#4 Asam Pedas Ikan Pari

Imej via Facebook

Tadi kita masak masakan Temerloh, apa kata kali ini anda cuba masakan Melaka pula? Asam pedas memang antara menu top di sana, dan anda boleh cuba sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Cik Puan Julieta di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ketul ikan pari (potong saiz sederhana)
  • 3 biji bawang merah kecil (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 3 senduk kecil cili kering (dikisar)
  • ½ inci belacan (dikisar)
  • 1 biji buah keras (dikisar)
  • ½ sudu besar serbuk jintan manis
  • ½ sudu besar serbuk jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • ½ sudu kecil serbuk lada hitam
  • ½ sudu besar serbuk kari ikan
  • 2 batang serai (dititik)
  • 3 helai daun limau purut
  • 1 mangkuk kecil air asam jawa
  • Bendi
  • Tomato
  • Bunga kantan
  • Daun kesom
  • Minyak untuk menumis
  • ½ ketul kecil gula Melaka

Cara-cara:

  1. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumis bahan kisar hingga cili kering garing.
  2. Masukkan semua rempah termasuk serbuk lada hitam dan masak seketika hingga pecah minyak.
  3. Masukkan serai, daun limau purut dan sedikit air asam jawa.
  4. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan pari dan reneh sebentar.
  5. Kemudian, masukkan bunga kantan dan daun kesom.
  6. Perasakan dengan garam dan gula melaka.
  7. Akhir sekali, masukkan bendi dan tomato, biar reneh seketika.
  8. Setelah bendi agak lembut, padamkan api dan sedia untuk dihidang.

#5 Ikan Dori Masak Masam Manis

Imej via Facebook

Mahu menyediakan resepi ikan berkuah yang boleh dinikmati sesama ahli keluarga? Apa kata anda cuba resepi ikan dori masak masam manis ini, pasti digemari ramai terutamanya kanak-kanak. Resepi ini dikongsikan oleh Fauziah Yahya di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 800 g potongan ikan dori
  • 1 cawan tepung gandum
  • ½ biji timun
  • 1 biji bawang besar
  • 1 biji telur
  • 3 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1 sudu besar cuka
  • 6 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar cili kisar
  • ½ sudu besar serbuk black pepper
  • Nanas (dipotong dadu) *optional
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

  1. Perap ikan bersama serbuk lada hitam dan garam selama setengah jam.
  2. Gaulkan ikan yang telah diperap bersama telur. Celup isi ikan di dalam tepung dan goreng sehingga garing. Angkat dan sejukkan.
  3. Untuk kuah, panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang putih dan cili kisar sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan tomato dan kacau sehingga tomato hancur. Masukkan sos cili, nenas dan timun.
  5. Tuang sedikit air dan masak sehingga pekat. Masukkan cuka masak hingga lebih pekat.
  6. Masukkan ikan goreng tadi bersama bawang besar, garam dan gula secukup rasa.
  7. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

#6 Sardin Masak Lemak

Imej via Facebook

Ikan sardin cukup kaya dengan zat omega 3 yang membantu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Salah satu cara masakannya ialah masak lemak, memang sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Sara Bella di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Cili api (ditumbuk)
  • Kunyit hidup (ditumbuk)
  • Santan
  • Sardin (tin)
  • Kentang
  • Asam keping
  • Bahan perasa

Cara-cara:

  1. Nyalakan api dan masukkan santan dan bahan tumbuk dalam periuk.
  2. Masukkan sedikit air.
  3. Masukkan kentang. Menggunakan api perlahan, kacau empuk.
  4. Setelah empuk, masukkan sardine berserta sos.
  5. Masukkan asam keping dan garam secukup rasa. Kacau sedikit.
  6. Sedia untuk dihidang.

#7 Singgang Ikan Tenggiri

Imej via Facebook

Cara masakan singgang diakui agak menyihatkan kerana tidak menggunakan minyak dan santan. Jika kena dengan caranya, ianya juga enak. Resepi ini dikongsikan oleh Atiqah Abdullah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Air
  • 1 potong ikan tenggiri
  • 1 biji bawang besar saiz sederhana
  • 2 ulas bawang putih
  • Asam keping 2 keping (boleh tambah jika suka masam)
  • 2-3 lengkuas (dihiris)
  • Garam
  • Bendi*optional
  • Kunyit hidup/serbuk kunyit*optional
  • Ajinomoto/gula*optional

Cara-cara:

  1. Masuk semua bahan kecuali bendi.
  2. Menggunakan api perlahan, masukkan air dan pastikan air menenggelami ikan.
  3. Setelah menggelegak, masukkan bendi.
  4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

#8 Sup Ikan Jenahak

Imej via Facebook

Ikan jenahak mempunyai khasiat yang pelbagai. Antaranya ialah mengurangkan risiko dijangkiti selsema, mengubati batuk, mencegah pembentukan karang hempedu dan banyak lagi, sangat menyihatkan! Resepi ini dikongsikan oleh Cheyah Saripuddin di laman Facebook.

Cara-cara:

  1. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan halia.
  2. Tumiskan sehingga garing dan kekuningan.
  3. Kemudian, tambahkan air putih dan masukkan rempah sup ikan.
  4. Biarkan ia mendidih baru masukkan kepala ikan. Biarkan lagi sehingga ikan hampir masak.
  5. Tambah bahan perasa iaitu gula dan garam. Kacau sebati dan boleh masukkan bahan hiasan lain.
  6. Tunggu sehingga ikan masak dan sedia untuk dihidang.

#9 Ikan Percik

Imej via Facebook

Selalunya kita terdengar tentang ayam percik, kali ini apa kata anda cuba ikan percik? Jarang didengari tetapi enak sekali. Resepi ini dikongsikan oleh Afy AL Habibi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan ikan:

  • 5 ekor ikan kembung (dibasuh bersih dan dikelar)
  • 2 batang serai (dihiris nipis)
  • 5 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 inci halia (dihiris nipis)
  • 1 ½ inci kunyit hidup (dihiris nipis)
  • ¾ sudu besar garam
  • 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal atau jenama lain

Bahan kuah percik:

  • 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ halia (dihiris nipis)
  • Secubit belacan
  • ½ sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)

Bahan lain:

  • 6 senduk santan segera
  • 1 senduk air kosong
  • 1½ sudu besar cili kisar *optional
  • 1 hiris limau nipis

Cara-cara:

  1. Untuk ikan, kisarkan semua bahan ikan kecuali ikan kembung hingga lumat.
  2. Lumur rata bahan kisar pada ikan dan perap selama 20 minit.
  3. Untuk kuah percik, kisar semua bahan hingga lumat.
  4. Masukkan bahan kisar kuah percik ke dalam periuk.
  5. Tambahkan santan dan air kosong.
  6. Masukkan cili kisar jika mahu warna kuah menjadi merah.
  7. Menggunakan api perlahan, masak di atas dapur. Perahkan limau nipis.
  8. Masukkan 2½  sudu besar gula, ½ sudu besar garam dan secubit serbuk perasa Hilal atau jenama lain.
  9. Menggunakan api sederhana besat, kacaukan kuah.
  10. Tutup api setelah kuah berbuih mendidih. Siap untuk kuah percik.
  11. Bakar ikan di atas bara api. Jangan bakar hingga kering garing supaya isinya kekal juicy.
  12. Sendukkan kuah percik tadi dan ratakan atas badan ikan. Salutkan dua kali untuk hasil yang cantik.
  13. Sedia untuk dihidangkan.

#10 Ikan Masak Asam

Imej via Facebook

Ikan masak asam ini memang sesuai dinikmati sebagai menu ‘kecemasan’ kerana ianya mudah untuk disediakan. Jika anda terburu-buru sekalipun, pasti anda dapat menyediakannya. Sesuai juga dibuat bekal ke tempat kerja. Resepi ini dikongsikan oleh Zafirah Zawawi di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Bawang putih (dihiris)
  • Bawang besar (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Cili padi merah & hijau (dihiris)
  • Asam jawa
  • Garam

Cara-cara:

  1. Lumur ikan dengan garam dan kunyit dan goreng.
  2. Tumis bahan hiris dengan minyak gorengan ikan tadi hingga kekuningan.
  3. Masukkan air asam jawa dan garam.
  4. Sedia untuk dihidang.


Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan berkuah, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.