Terdapat pelbagai resepi bihun goreng yang menarik untuk anda cuba. Masyarakat Malaysia pasti tidak asing lagi dengan sarapan bihun goreng. Hal ini kerana, bihun goreng mengambil masa yang singkat untuk disediakan dan mudah untuk dimasak.

Walaupun begitu, pasti ada diantara anda yang pening jika bahan-bahan yang digunakan untuk memasak bihun habis. Ada pelbagai jenis resepi bihun yang pasti dapat membantu anda.

Bagi resepi bihun Singapore yang mula viral sejak kebelakangan ini juga telah dikongsikan di dalam resepi ini. Selepas ini, anda tidak perlu lagi risau mengenai rasa bihun yang sama dan dapat merasa pelbagai jenis rasa bihun yang pastinya dapat menaikkan deria makan anda.

Bihun Goreng Seafood

Imej via [facebook]

Mereka yang suka dengan makanan laut, pastinya akan menyukai resepi bihun ini. Rasa manis dan kenyal makanan laut menjadikan bihun ini disukai ramai. Jom tengok resepi bihun goreng seafood yang dikongsi oleh page Jom Memasak di laman facebook.

Bahan-Bahan:

  • 1 paket bihun 400 gm (rendam sehingga lembut dan toskan)
  • 200 gram udang (buang kepala dan kulit)
  • 200 gram sotong (dihiris)
  • 1 mangkuk kubis (dihiris)
  • 1 mangkuk kubis bunga (dipotong)
  • ¼ biji cili capsicum merah (dipotong dadu)
  • ¼ biji cili capsicum hijau (dipotong dadu)
  • 1 cawan air
  • Minyak secukupnya
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 4 ulas bawang merah (ditumbuk)
  • 3 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar sos cili
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan:

1)Panaskan minyak dan tumiskan cili kisar dan bahan yang ditumbuk sehingga wangi.

2)Masukkan udang dan sotong.

3)Masukkan air, sos tiram, sos cili dan garam secukup rasa. Kacau rata.

4)Masukkan semua sayur dan kacau.

5)Biarkan sehingga sayur layu.

6)Masukkan bihun dan kacau rata.

7)Masukkan cili capsicum dan kacau sebentar.

8)Bila bihun dah lembut angkat dan letakkan ke dalam mangkuk.

9)Taburkan daun sup, daun bawang, hirisan cili dan juga tauhu goreng.

10)Siap!

Bihun Goreng Kicap

Imej via [facebook]

Pening fikir nak masak apa untuk sarapan? Nak masak yang senang dan cepat. Jom tengok resepi bihun goreng yang dikongsi oleh Mori Said Kitchen. Bahan-bahan yang digunakan juga merupakan bahan asas seperti kicap dan bihun. Jom tengok resepi di bawah.

Bahan-bahan:

  • Bihun (rendam dengan air sejuk selama 30 minit atau lebih)
  • Toskan dan ketepikan.
  • 2 genggam taugeh
  • 3 keping fish cake di hiris nipis
  • Daun bawang di hiris seinci panjang
  • 7 ulas bawang putih di cincang
  • 5 tangkai cili kering di gunting nipis

Bahan Sos:

  • 2 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan kicap cair
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • 1 sudu makan minyak bijan
  • 1 kiub ayam
  • 1 sudu kecil gula
  • 1 sudu makan lada sulah

Cara Penyediaan:

1)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

2)Setelah minyak panas, masukkan cili dan bawang putih.

3)Kacau sebati dan masukkan fishcake.

4)Setelah bahan sebati, masukkan bihun ke dalam kuali.

5)Kacau sehingga bahan tadi sebati dengan bihun.

6)Masukkan sos yang telah disiapkan ke dalam bihun dan kacau sebati.

7)Masukkan taugeh dan daun bawang.

8)Kacau sehingga sos rata dan hidangkan ke dalam pinggan.

9)Bihun kicap siap dihidang! Selamat mencuba.

Bihun Goreng Tomyam

Imej via [facebook]

Bagi mereka yang suka makan tomyam, anda pasti akan suka dengan resepi bihun goreng ini. Bihun goreng tomyam yang lengkap dengan rasa masam dan pedas ini sememangnya akan menarik deria makan anda. Resepi kali ini dikongsi oleh Ida Shahida.

Bahan-bahan:

  • Satu bungkus bihun JASMIN (direndam dalam air biasa selama 20 minit)
  • 1 sudu besar penuh (paste tomyam botol)
  • 8 ulas bawang putih (dipotong halus)
  • Bawang besar (dihiris bulat dan tebal)
  • 2 sudu besar cili kering (dikisar)
  • 6 ekor udang besar
  • ½ dada ayam
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap cair
  • Kicap pekat 1 sudu besar
  • Sos ikan 2 sudu besar
  • 1 kiub ayam
  • 2 sudu besar gula
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 1 1/2 cawan air
  • Daun limau purut
  • Lobak merah (parut)
  • Daun kucai
  • Taugeh

Cara Penyediaan:

1)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

2)Setelah minyak panas, tumiskan bawang putih.

3)Masukkan ayam dan udang. Biarkan sehingga masak.

4)Masukkan cili, daun limau purut dan paste tomyam.

5)Gaul sehingga rata selama 2 minit.

6)Masukkan bawang besar sos tiram, kicap cair, kicap pekat, sos ikan, kiub ayam dan gula.

7)Kacau sehingga bahan sebati dan tambah 1/2 cawan air.

8)Kacau sebati dan masukkan bihun yang telah ditos.

9)Gaul bihun sehingga sebati dengan sos.

10)Masukkan lebihan air tadi.

Bihun Goreng Singapore

Imej via [facebook]

Bihun goreng Singapura tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia. Hidangan yang cukup popular ini juga telah menjadi viral dan kegemaran ramai. Sesuai untuk dihidangkan sebagai sarapan pagi mahupun makan tengah hari. Jom tengok resepi bihun goreng yang dikongsi oleh Nurul Jannah ini.

Bahan-bahan:

  • 300 gram bihun jasmine
  • 12 ekor udang
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • Sedikit udang kering
  • 1/2 sudu kecil lada hitam
  • 1/2 sudu kecil lada putih
  • 1 kiub pati ayam
  • 1/2 batang lobak merah
  • Bawang goreng
  • Sedikit air
  • Kucai
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Garam

Bahan Telur:

  • Minyak masak
  • 2 biji telur (campur dengan satu sudu kecil air dan setitis minyak)

Cara Penyediaan:

1)Rendamkan bihun ke dalam air biasa selama 20 atau 25 minit.

2)Buangkan kulit udang dan tinggalkan kulit di bahagian ekor sahaja.

3)Tumbuk halus bawang putih, bawang besar, udang kering yang telah direndam ke dalam air, lada hitam dan lada putih.

4)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

5)Tumis bawang putih dan bawang besar sehingga naik bau.

6)Masukkan udang kering dan gaul sebati.

7)Masukkan lada hitam, lada putih dan kiub pati ayam. Kacau sehingga bahan bertukar sedikit perang.

8)Masukkan sos tiram dan gaul sebati.

9)Masukkan udang dan tunggu sehingga udang bertukar oren.

10)Masukkan bihun, lobak merah dan sedikit air.

11)Kuatkan api untuk memudahkan air meresap ke dalam bihun. Gaul sebati.

12)Masukkan garam secukup rasa dan gaul sehingga bihun dan lobak merah lembut.

13)Masukkan daun kucai dan kacau sebati.

14)Setelah kuali mengeluarkan asap, tutup api dan taburkan bawang goreng serta cili yang dihiris.

Cara Penyediaan Telur:

15)Panaskan minyak ke dalam pan leper.

16)Masukkan telur dan ratakan.

17)Setelah telur menjadi garing, angkat dan sejukkan.

18)Belahkan telur di tengah-tengah.

19)Gulung telur menjadi padat dan hiris mengikut saiz yang anda inginkan.

20)Taburkan ke atas bihun dan siap untuk dihidang!

Bihun Goreng Daging Lada Hitam

Imej via [facebook]

Kalau biasa kita dengar mengenai daging lada hitam, kali ni kita cuba memasak bihun menggunakan resepi daging lada hitam. Bagi mereka yang suka dengan rasa pedas lada hitam dan daging, anda pasti akan menyukai resepi bihun ini. Jom tengok resepi Mori Said Kitchen.

Bahan-bahan:

  • 1/2 biji bawang besar (hiris nipis)
  • 1 sudu besar bawang putih (kisar)
  • 1 sudu besar halia (kisar)
  • Daging 200 gram (hiris nipis)
  • 3 sudu besar seafood sos adabi
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • Garam secukupnya
  • Carrot
  • Cili benggala
  • Cili api
  • Tauge
  • 1 bungkus bihun (celur)

Cara Penyediaan:

1)Sediakan kuali dan didihkan air.

2)Celur bihun ke dalam air panas dan toskan.

4)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

5)Setelah minyak panas, masukkan bawang merah, bawang putih, halia dan tumis hingga wangi.

6)Masukkan daging dan sos adabi. Masak hingga daging lembut.

7)Setelah daging lembut, masukkan lada hitam dan garam.

8)Masukkan carrot, lada benggala dan cili api. Gaul sebati.

9)Masukkan bihun dna gaul sebati.

10)Masukkan taugeh dan gaul sebati.

11)Hidangkan bihun ke dalam mangkuk. Siap!

Bihun Goreng Udang Kering

Imej via [siakapkeli]

Kalau cakap mengenai bihun, ramai yang fikir bihun memerlukan bahan asas seperti ayam dan udang untuk melengkapkan resepi. Kali ni, ada resepi istimewa yang dikongsi oleh Eny Abdullah. Bahan utama di dalam resepi ini ialah udang kering. Jom tengok cara penyediaannya.

Bahan-bahan:

  • Minyak masak
  • 4 sudu besar udang kering (direndam)
  • 6 ulas bawang merah (dihiris)
  • 10 ulas bawang putih (dihiris)
  • 4 sudu besar pes cili
  • 1 ½ cawan air
  • Fishcake (dipotong)
  • 5 sudu besar sos cili
  • 5 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu lada sulah
  • 4 sudu kecil garam
  • Sayur kobis (dihiris)
  • Taugeh
  • Daun bawang (dipotong kecil)

Cara Penyediaan:

1)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

2)Setelah minyak panas, masukkan udang kering yang telah direndam ke dalam kuali.

3)Setelah udang kering keperangan, masukkan bawang merah dan bawang putih.

4)Gaul sehingga bawang masak.

5)Masukkan 4 sudu besar pes cili dan gaul sebati.

6)Masukkan air dan masukkan fishcake.           

7)Masukkan 5 sudu besar sos cili dan sos tomato. Gaul sebati.

8)Masukkan 1 ½ cawan air.

9)Masukkan lada sulah dan garam. Gaul sebati.

10)Masukkan bihun yang telah direndam ke dalam kuali.

11)Gaul sehingga bihun sebati.

12)Masukkan sayur kobis dan taugeh. Gaul rata.

13)Taburkan daun bawang. Gaul sebati.

14)Letakkan bihun ke dalam pinggan.

15)Selamat mencuba!

Bihun Goreng Telur

Imej via [facebook]

Pasti ramai di antara anda yang berfikir bihun takkan lengkap tanpa fishcake atau ayam. Jangan risau, resepi bihun telur ini cukup ringkas dan sedap untuk dijadikan sarapan anda. Bahan yang digunakan juga sangat minumum. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh page resepi Shiela Rusly.

Bahan-bahan:

  • 2 keping bihun
  • 4 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • Cili padi ikut citarasa atau boleh gunakan lada hitam
  • Udang kering kalau suka
  • Telur (goreng hancur)
  • Udang
  • Sawi
  • Kobis
  • Karot

Cara Penyediaan:

1)Panaskan kuali, goreng telur hancur dan ketepikan

2)Tumis bawang merah, bawang putih, cili padi udang kering.

3)Tumis sehingga wangi.

4)Masukkan udang dan sedikit air.

5)Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.

6)Masukkan sedikit cuka. Gaul sebati.

7)Masukkan bihun, sawi, kobis dan karot.

8)Masak sehingga sayur lembut dan masukkan bihun.

9)Gaul sebati dan apabila bihun lembut, masukkan telur hancur dan gaul rata.

10)Hidangkan bihun ke dalam pinggan. Siap!

Bihun Goreng Cili Hijau

Imej via [facebook]

Pasti ramai yang tahu mengenai khasiat yang terdapat pada cili hijau. Bagi mereka yang suka dengan makanan pedas juga pastinya teruja untuk mencuba resepi kali ini. Tidak perlukan sebarang rempah tetapi perencah rahsia ini yang akan menjadikan bihun anda lebih sedap. Resepi ini telah dikongsi oleh Herda Johan.

Bahan-bahan:

  • Bawang merah (tumbuk)
  • Bawang putih (tumbuk)
  • Cili merah (tumbuk)
  • Tomato (potong dadu)
  • Fishcake
  • Fishball
  • Udang
  • Bihun (rendam dalam air biasa dan toskan)
  • Carrot (hiris memanjang)
  • Daun bawang
  • Cili hijau (hiris)
  • Telur
  • Garam
  • Gula

Cara Penyediaan:

1)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

2)Setelah minyak panas, tumis bawang merah, bawang putih dan cili merah.

3)Gaul bahan sehingga naik bau dan masukkan tomato.

4) Masukkan fishcake, fishball dan udang.

5)Setelah udang masak, masukkan garam dan gula. Gaul rata.

6)Masuk bihun dan goreng sehingga lembut.

7)Masukkan air panas sedikit dan gaul rata.

8)Masukkan carrot dan daun bawang.

9)Masukkan telur dan cili hijau.

10)Gaul sehingga telur masak dan tutup api.

11)Masukkan bihun ke dalam pinggan (bagi yang suka pedas, boleh hidangkan bersama cili potong atau sambal). Selamat mencuba!

Bihun Goreng Cili Kering

Imej via [facebook]

Kalau tadi resepi cili hijau, kali ni jom cuba resepi cili kering. Bahan asas yang selalu ada di dalam rumah setiap orang. Cara penyediaannya juga sangat mudah dan cepat. Jom tengok resepi bihun goreng yang dikongsi oleh page Masak Apa Tu.

Bahan-bahan:

  • 2 hingga 3 sudu besar minyak masak
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 atau 2 biji bawang besar
  • Sedikit ikan bilis
  • 5 hingga 6 batang cili kering (direndam dalam air panas
  • Sedikit kek ikan
  • Bihun yang direndam (kuantiti untuk 2 orang)
  • 2 biji telur
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Sedikit air
  • Sedikit sos ikan (pilihan)

Cara Penyediaan:

1)Sediakan lesung batu dan masukkan bawang merah, bawang putih, cili kering yang telah direndam dan tumbuk sehingga hancur.

2)Sediakan kuali dan panaskan minyak 2 hingga 3 sudu.

3)Tumis bahan-bahan yang telah ditumbuk ke dalam kuali. Gaul sehingga naik bau.

4)Masukkan kek ikan dan gaul sebati.

5)Masukkan garam dan gula. Gaul sebati dan ketepikan.

6)Masukkan 2 biji telur dan kacau.

7)Masukkan bihun yang telah direndam air dan masukkan sedikit air. Gaul sebati.

8)Masukkan sos ikan dan gaul sebati.

9)Masukkan bihun ke dalam pinggan dan siap!

Bihun Goreng Kampung

Imej via [facebook]

Biasa kita dengar nasi goreng kampung je, Apa kata kali ni cuba resepi bihun goreng kampung. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh Adila Razak. Resepi simple yang senang untuk di ikut.

Bahan-bahan:

  • 3 biji bawang merah (tumbuk)
  • 3 biji bawang putih (tumbuk)
  • 1 sudu besar ikan bilis (tumbuk)
  • 1/2 bungkus bihun (direndam hingga lembut dan toskan)
  • 1/2 labu bawang besar holland (dihiris dadu)
  • 10 ekor udang
  • Carrot (dihiris)
  • Kubis (dihiris)
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 4 biji cili merah (dihiris)

Bahan hias:

  • Daun bawang (dihiris)
  • Bawang goreng

Cara Penyediaan:

1)Panaskan kuali dan tumis bawang besar holland.

2)Masukkan bahan yang telah ditumbuk tadi. Gaul sehingga naik bau.

3)Masukkan cili kisar dan udang. Gaul sehingga pecah minyak.

4)Setelah pecah minyak, masukkan sedikit air. Gaul sebati.

5)Masukkan sos tiram, sos ikan dan sos tomato.

6)Setelah sos sebati, masukkan bihun yang telah ditos.

7)Gaul dan masukkan carrot dan kobis.

8)Apabila bihun sudah kering dan masak, masukkan hirisan cili.

9)Tutup api dan masukkan bihun ke dalam mangkuk.

10)Hidangkan bihun bersama taburan bawang goreng dan daun bawang.

11)Selamat mencuba!

Bihun Goreng Kosong

Imej via [facebook]

Bila bahan-bahan untuk memasak tak cukup, mesti anda akan pening kepala. Jangan risau, jom cuba resepi bihun goreng kosong ini. Bahan-bahan yang digunakan juga sangat asas dan mudah untuk dimasak. Jom tengok resepi dari page Resepi Masakan.

Bahan-bahan:

  • Bihun (rendam 1 jam guna air biasa)
  • Cili kering
  • Belacan
  • Ikan bilis
  • 1 biji bawang merah besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar pati ikan bilis
  • Sos tiram
  • Sos cili
  • Sos ikan
  • Gula
  • Garam
  • Perencah hilal

Cara Penyediaan:

1)Blend cili kering, belacan, ikan bilis, bawang merah besar, bawang putih dan pati ikan bilis.

2)Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah diblender hingga pecah minyak.

3)Masukkan sos tiram, sos cili, sos ikan dan perasa.

4)Tambah 1 cawan air. Biar mendidih.

5)Perlahankan api dan masukkan bihun yang di tos.

6)Kacau sebati sehingga bihun lembut dan air kering.

7)Angkat dan hidang ke dalam pinggan.

8)Taburkan cili merah, daun sup, daun bawang dan telur dadar yang dipotong-potong.

9)Siap!

Resepi Menarik Lain:

Selain resepi bihun di atas, anda juga dijemput untuk membaca artikel resepi menarik kami yang lain. Jangan lupa untuk tinggalkan komen dan share. Selamat mencuba!

Penulis: kiraasla

Writing makes me happy!

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.