Mencari resepi ayam goreng untuk dicuba?

Ayam goreng adalah hidangan yang memang digemari ramai. Cara masakannya juga ada perbagai, ada yang menggunakan rempah, ada juga yang digoreng begitu sahaja. Tidak hairanlah ianya mencuri hati ramai.

Masih kekeringan idea memikirkan tentang cara masakannya? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 resepi ayam goreng beraneka cara untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Ayam Goreng ala Ikea

ayam goreng ikea - resepi ayam goreng
Imej via Facebook

Ayam goreng ala Ikea merupakan hidangan yang viral beberapa tahun lepas. Cara penyediaannya cukup mudah, rugi jika tak cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 9 keping kepak ayam atau 1 kg kepak ayam
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar kicap soya cair
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 sudu serbuk perasa
  • 1½ sudu besar gula pasir
  • 2 sudu besar all purpose seasoning
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 5 sudu besar air
  • 4 sudu besar tepung kanji
  • 3 sudu besar tepung gandum
  • Minyak masak (untuk menggoreng )

Cara-cara:

  1. Untuk memerap, cuci ayam bersama 1 sudu besar garam. Cuci sehingga bersih dan toskan.
  2. Masukkan semua bahan kecuali minyak masa.
  3. Gaul sebati dan simpan di dalam plastic atau bekas tertutup.
  4. Perap selama 8 jam atau lebih (lebih baik semalaman) dan sejukkan dalam peti sejuk.
  5. Setelah diperap, keluarkan ayam dari peti sejuk dan biarkan pada suhu bilik selama 30 minit.
  6. Panaskan minyak dan goreng ayam menggunakan api sederhana (suhu 150°C) atau celupkan lidi (jika buih di permukaan lidi keluar di pertengahan minyak panas, maksudnya suhu sudah tepat).
  7. Masukkan 3-4 keping kepak ayam dan goreng selama 3 minit pada setiap bahagian.
  8. Angkat dan toskan ayam menggunakan tisu.
  9. Biarkan rehat selama 6 minit dan goreng semula ayam untuk menggaringkannya selama 3-4 minit.
  10. Angkat dan toskan.
  11. Sedia untuk dihidang.

#2 Ayam Goreng Mamak

resepi ayam goreng
Imej via Facebook

Ayam goreng Mamak merupakan hidangan tempatan yang sememangnya kena dengan citarasa ramai. Jika teringin, cuba sahaja buat sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Eina Eryna Osman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ayam (dipotong 8)
  • 6 sudu besar tepung serbaguna pedas
  • 8 sudu besar tepung jagung
  • 3 sudu besar serbuk kari
  • Segenggam daun kari
  • Sedikit serbuk pewarna makanan
  • Secubit garam
  • Sesudu teh MSG
  • Secubit gula

Cara-cara:

  1. Gaul sebati ayam dengan semua bahan.
  2. Perapkan ayam.
  3. Panaskan minyak dan goreng sehingga masak.
  4. Sedia untuk dihidang.

#3 Ayam Goreng Berempah

ayam rempah - resepi ayam goreng
Imej via Facebook

Satu lagi resepi ayam goreng yang cukup menggamit selera ialah ayam goreng berempah. Sangat sesuai dinikmati semasa makan tengah hari bersama nasi kukus. Resepi ini dikongsikan oleh Umi Watie di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Telur
  • Serbuk kunyit
  • Serbuk Kari
  • Daun kari
  • Tepung jagung
  • Garam

Cara-cara:

  1. Gaulkan semua bahan sampai sebati. 
  2. Perapkan di dalam peti sejuk.
  3. Panaskan minyak dan gorengkan ayam yang diperap tadi sehingga masak.
  4. Sedia untuk dihidang.

#4 Ayam Goreng Rangup

resepi ayam goreng rangup
Imej via Facebook

Melihat gambarnya sahaja pasti sudah cukup untuk buat anda terliur. Alang-alang terliur, cubalah buat ayam goreng rangup ini sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Nrl Intan Syafinas di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Tepung serbaguna Bestari
  • Air
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan bancuhan tepung serbaguna selama setengah jam atau lebih.
  2. Gaulkan atau tekapkan ayam dengan tepung serbaguna (kering) di dalam bekas berasingan.
  3. Sediakan bekas atau mangkuk, isikan air di dalam bekas tersebut dan letakkan penapis.
  4. Masukkan ayam yang bersalut tepung ke dalam bekas berisi air selama 2 saat.
  5. Angkat ayam yang direndam dan toskan.
  6. Gaulkan semula ayam tadi dengan tepung kering sehingga rata.
  7. Menggunakan minyak panas yang banyak, gorengkan ayam.
  8. Sedia untuk dihidang.

#5 Ayam Goreng Serai Thai

resepi ayam goreng serai thai
Imej via Facebook

Tadi anda cuba resepi ayam goreng tempatan, apa kata kali ini anda cuba resepi dari Thai pula? Resepi ini dikongsikan oleh Khadijah Jaafar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  •  ½ ekor ayam (dipotong sederhana kecil)
  • 3 batang serai
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 akar ketumbar
  • 2 sudu kecil lada hitam
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu kecil gula
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • Daun limau purut (dihiris halus)
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Potong serai panjang lebih kurang 4 cm. Tumbuk kasar.
  2. Tumbuk (jangan terlalu hancur) bawang putih, akar daun ketumbar dan lada hitam.
  3. Masukkan semua bahan kecuali daun limau purut bersama ayam ke dalam mangkuk.
  4. Carik-carikkan serai supaya tidak bergumpal.
  5. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga garing.
  6. Angkat dan toskan.
  7. Sedia untuk dihidang.

#6 Ayam Goreng Madu Bawang Putih ala Korea

ayam goreng korea
Imej via Facebook

Ayam goreng madu bawang putih ala Korea ini merupakan hidangan yang tular pada beberapa tahun lepas. Memang sedap dimakan panas-panas, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Syarah Amanina di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Kepak ayam dipotong 2 ( drumet + kepak )
  • Tepung serbaguna Bestari pedas
  • 2 sudu cili kisar
  • 2 sudu sos cili/sos tomato
  • Serbuk cili *optional
  • Cili api/padi
  • Bawang putih
  • Madu
  • 4 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Gaul ayam dengan tepung Bestari hingga rata.
  2. Setelah rata, celupkan ayam dalam air sejuk dan gaul kembali dalam tepung.
  3. Panaskan minyak dan masukkan ayam. Jangan sesekali kacau. Setelah 2 minit, balikkan ayam. Pastikan ayam tenggelam. Angkat dan ketepikan.
  4. Untuk sosnya, kisarkan bawang putih, cili kisar, sos cili, sos tomato dan cili api.
  5. Tuang sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bahan kisar. Kacau-kacaukan.
  6. Letakkan sedikit serbuk cili dan kacau-kacaukan.
  7. Selepas itu, tuangkan gula dan madu. Sesuaikan rasa.
  8. Setelah sos sejuk, gaulkan dengan ayam tadi.
  9. Sedia untuk dihidang.

#7 Ayam Goreng Kunyit

ayam kunyit
Imej via Facebook

Ayam goreng kunyit ini cukup lazat dinikmati bersama nasi putih panas-panas, ditambah pula dengan sambal kicap, pasti memikat hati! Resepi ini dikongsikan oleh Nina Mahdar di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ketul dada ayam (dipotong kecil)
  • 1 sudu besar tepung serbaguna Bestari (boleh tambah sesudu lagi jika mahu lebih garing)
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 biji bawang merah – di hiris tebal
  • 1 inci halia (dihiris halus)
  • Lada merah (dihiris halus)
  • Lobak merah (dihiris halus)
  • Bunga kobis
  • Kacang panjang

Cara-cara:

  1. Gaul rata ayam yang dipotong kecil bersama tepung, garam, serbuk kunyit dan serbuk kari.-
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam. Jika ayam melekat, biarkan seketika.
  3. Tunggu ayam sedikit garing, kemudian lerai-leraikan isi ayam yang melekat tadi.
  4. Goreng sehingga ayam garing. Kemudian, masukkan sayur yang keras dulu seperti lobak dan bunga kobis.
  5. Masukkan bahan lain dan goreng sehingga semuanya masak.
  6. Angkat dan toskan minyaknya. Sedia untuk dihidangkan.

#8 Ayam Goreng Tomyam

ayam tomyam
Imej via Facebook

Bagi yang menggemari tomyam, anda pasti akan jatuh cinta dengan hidangan ini – ayam goreng tomyam. Semestinya rangup dan kaya dengan rasa. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam (dipotong dan dibersih)
  • 5 sudu besar cili kisar
  • 1 atau 2 paket perencah tomyam
  • 8 batang cili padi merah
  • 8 batang cili padi hijau
  • 1 batang serai(dihiris serong)
  • 4 helai dawn limau purut
  • 1 biji tomato (dibelah 6)
  • 1 labu bawang besar (dipotong bulat)
  • 5 ulas bawang putih(dihiris)
  • 2 cm lengkuas (dipotong)
  • Lobak merah (tambahan)
  • ½ cawan air
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar sos ikan
  • Serbuk perasa (jika perlu)
  • Garam dan gula (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Masukkan minyak masa secukupnya untuk menggoreng ayam.
  2. Lumurkan sedikit kunyit dan garam pada ayam, kemudian goreng ayam hingga masak. Ketepikan.
  3. Menggunakan minyak yang sama (keluarkan sedikit minyak untuk menumis), tumiskan bawang putih, bawang merah, serai, daun limau purut dan lengkuas. Masak sehingga naik bau dan kekuningan.
  4. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga masak dan pecah minyak.
  5. Kemudian, masukkan perencah tomyam, cili padi, sos tiram, sos ikan dan tambahkan garam dan serbuk perasa (jika perlu). Gaul rata.
  6. Masukkan lobak merah, ayam yang telah digoreng dan ½ cawan air. Biar mereneh dan sedikit kering.
  7. Sedia untuk dihidang.

#9 Ayam Lemon

ayam lemon
Imej via Facebook

Ayam lemon merupakan antara masakan Cina yang kerap disajikan di kebanyakan restoran. Resepinya juga cukup mudah untuk dicuba. Resepi ini dikongsikan oleh Mohamad Firdaus di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500 g dada ayam (dipotong dadu)
  • Bawang putih (ditumbuk)
  • Sedikit lada sulah
  • Tepung jagung

Bahan sos lemon:

  • 1 biji lemon (dihiris dan dibuang biji)
  • 1 cawan air
  • 1 kiub pati ayam
  • 5 sudu besar gula
  • Sedikit pewarna kuning atau kunyit

Cara-cara:

  1. Perap dada ayam bersama bawang putih dan tambahkan lada sulah.
  2. Celup dengan tepung jagung dan goreng. Ketepikan.
  3. Untuk sos lemon, campurkan semua bahan sos dalam kuali. Kemudian, hidupkan api.
  4. Setelah sos sebatii, masukkan tepung jagung untuk memekatkan sos.
  5. Siramkan sos di atas ayam yang digoreng tadi.
  6. Sedia untuk dihidang.

#10 Ayam Goreng Hatyai

ayam lemon
Imej via Facebook

Pernah cuba ayam goreng Hatyai? Jika belum, apa kata anda cuba buat sendiri di rumah? Aroma yang harum serta kerangupannya pasti akan buat anda ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg ayam
  • 1 sudu besar akar ketumbar
  • 1.5 oz bawang putih
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • ½ cawan bawang merah
  • 1 sudu kecil garam
  • ¼ cawan kicap
  • 1 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 sudu besar gula
  • 2 sudu kecil biji ketumbar
  • ¼ cawan tepung beras
  • 1 sudu besar akar ketumbar

Bahan bawang goreng:

  • 5-6 biji bawang merah (dihiris nipis)
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Kisar semua bahan kecuali ayam dan tepung.
  2. Perapkan ayam bersama bahan yang dikisar selama 2 jam atau lebih.
  3. Masukkan tepung beras dan gaul ayam bersama tepung ini hingga sebati.
  4. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  5. Untuk bawang goreng, alaskan bawang di atas tisu dan taburkan garam di atasnya.
  6. Panaskan minyak dan goreng bawang hingga keperangan. Ketepikan dahulu.
  7. Taburkan bawang di atas ayam yang digoreng tadi.
  8. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ayam goreng, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.