Mencari resepi masakan India?

Masakan India merupakan jenis masakan yang cukup popular di Malaysia. Bukti popularitinya terserlah apabila restoran mamak yang menyajikan makanan India dikunjungi ramai orang daripada pelbagai kaum.

Alang-alang berada di rumah, apa kata anda cuba masak masakan India? Untuk itu, berikut kami senaraikan 12 resepi masakan India untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Nasi Beriani

resepi masakan india nasi beriani
Imej via Facebook

Siapa sahaja yang tak pernah terdengar nama hidangan ini? Aromanya sahaja mampu memikat hati sesiapa sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Puan Arma Abdul Rahman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan nasi:

  • 1 cawan beras basmathi (dibasuh, nisbah beras dan air 1:½)
  • Bawang merah (dipotong besar)
  • Rempah 4 sekawan
  • Minyak sapi
  • Ayam
  • Perencah nasi beriani
  • Lobak (dipotong mengikut kesukaan)
  • Tomato (dipotong mengikut kesukaan)
  • Daun ketumbar

Bahan acar timur:

  • Timun (dipotong)
  • Lobak (dipotong)
  • Bawang merah (dipotong)
  • Tomato (dipotong)
  • Lada merah  (dipotong)
  • 3 sudu besar gula
  • Lemon / cuka

Cara-cara:

  1. Rendam beras selama 30 minit.
  2. Tumis bawang merah dan rempah 4 sekawan menggunakan minyak sapi hingga naik bau.
  3. Masukkan ayam dan gaulkan.
  4. Kemudian, masukkan perencah nasi beriani.
  5. Masukkan lobak dan tomato yang dipotong.
  6. Setelah beras direndam selama 30 minit, masukkan bahan tumis dalam periuk nasi.
  7. Masak nasi seperti biasa.
  8. Setelah masak, masukkan daun ketumbar untuk menaikkan bau.
  9. Biarkan selama 5 minit dan kacau-kacaukan nasi.
  10. Untuk acar timun, campurkan semua bahan dan taburkan gula.
  11. Perahkan lemon atau cuka dan gaul sebati.
  12. Sedia untuk dihidang.

#2 Kentang Varuval

kentang varuval resepi masakan india
Imej via Facebook

Biasanya kita terdengar nama ayam atau kambing varuval, apa kata kali ini anda cuba kentang varuval pula? Resepi ini dikongsikan oleh Suriakumari Perumal di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Kentang (direbus)
  • Minyak untuk menggoreng
  • Kayu manis
  • Bunga lawang
  • 1 biji bawang merah
  • 1 sudu besar bawang putih (dicincang)
  • 1 sudu besar halia (dicincang)
  • 5 tangkai cili kering (dipotong)
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar serbuk kari ayam
  • 1 sudu kecil garam masala
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Goreng kentang yang direbus tadi dengan sedikit minyak. Ketepikan.
  2. Tambah sedikit minyak dan mula menumis kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau.
  3. Tambah bawang merah, bawang putih, halia, cili kering dan daun kari. Tumis hingga naik bau.
  4. Tambahkan serbuk cili, serbuk kari ayam, garam masala dan perasakan dengan garam. Tumis hingga pecah minyak.
  5. Masukkan kentang yang digoreng tadi dan gaulkan selama 5 minit.
  6. Sedia untuk dihidang.

#3 Tosai

Imej via Facebook

Tosai merupakan antara resepi masakan India yang cukup ringkas untuk anda cuba, ada beberapa jenis bahan sahaja yang diperlukan. Resepi ini dikongsikan oleh Ahlia RM di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan ulundhu
  • 2 cawan beras
  • 1 genggam nasi yang baru dimasak
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Basuh bersih beras dan rendam bersama ulundhu selama 8 jam.
  2. Ambil segenggam nasi yang baru masak dan masa campurkan dengan rendaman tadi.
  3. Masukkan air rendaman beras dan ulundhu tadi ke dalam pengisar.
  4. Kisar hingga halus sehingga tiada bij beras.
  5. Tambahkan air jika perlu. Teskturnya tidak seharusnya terlalu pekat atau terlalu cair.
  6. Setelah siap dikisar, masukkan adunan dalam bekas periuk dan tutupkan.
  7. Biarkan semalaman hingga adunan naik 2 kali ganda.
  8. Tuangkan adunan dalam bentuk membulat di atas kuali leper dan biarkan sehingga warnanya menjadi sedikit keperangan.
  9. Sedia untuk dihidang.

#4 Parpu Telur

resepi masakan india
Imej via Facebook

Parpu telur merupakan hidangan yang cukup mudah untuk disediakan. Ianya juga enak dijadikan lauk sampingan. Resepi ini dikongsikan oleh Masni Bahari di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Kacang parpu atau dhal (dibasuh dan direbus)
  • Telur rebus atau telur hancur
  • Santan
  • Ubi kentang
  • Garam dan serbuk perasa

Bahan kisar:

  • Bawang besar
  • Halia
  • Serbuk kunyit

Bahan tumis darat:

  • Bawang besar (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Cabai kering (dipotong)
  • Daun kari

Cara-cara:

  1. Rebus kacang parpu bersama air.
  2. Tuangkan bahan kisar dan rebus hingga empuk.
  3. Setelah kacang empuk, masukkan ubi kentang.
  4. Setelah ubi lembut, tuangkan santan, garam, serbuk perasa dan telur. Boleh juga pecahkan telur semasa kuah mendidih.
  5. Dalam kuali berasingan, tumis bahan tumis darat hingga kekuningan. Campurkan dengan bahan parpu tadi.
  6. Sedia untuk dihidangkan.

#5 Gulab Jamun

resepi masakan india gulab jamun
Imej via Facebook

Gulab jamun merupakan hidangan pencuci mulut atau manisan yang terkenal di negara Asia Selatan seperti India, Nepal dan Pakistan. Resepi ini dikongsikan oleh Syu Azis di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan khoya/mawa
  • ½ cawan tepung gandum
  • ½ sudu the serbuk penaik
  • 2 sudu besar ghee (bentukkan menjadi bebola)
  • Ghee atau minyak masak untuk menggoreng bebola

Bahan sirap gula:

  • 2 cawan gula (perlu pekat dan melikat)
  • 2 cawan air
  • 3-4 biji buah pelage
  • 1 sudu kecil air mawar *optional
  • ½ sudu the kesar/safron *optional
  • ½ sudu the jus lemon/jus limau nipis

Cara-cara:

  1. Campurkan khoya, tepung gandum, serbuk penaik dan ghee. Kepal kepalkan sehingga tiada ketulan. Bulat bulatkan dan letak tepi.
  2. Panaskan minyak / ghee dengan menggunakan api sederhana (apinya tak kuat dan tak perlahan).
  3. Gorengkan sehingga kecoklatan. Angkat dan ketepikan.
  4. Untuk sirap gula, masukkan kesemua bahan dan masak sehingga pekat melikat. Biarkan air gula suam terlebih dahulu.
  5. Ambil bebola ghee yang hangat dan masukkan dalam sirap gua yang suam.
  6. Biarkan ia sehingga 2-5 jam atau sehingga meresap jauh ke dalam bebola.
  7. Sedia untuk dihidang.

#6 Kheema Kambing

keema resepi masakan india
Imej via Facebook

Bagi yang tertanya-tanya, kheema bermaksud daging kisar. Ianya selalu disajikan bersama kacang pis dan enak dinikmati bersama roti. Resepi ini dikongsikan oleh Yan Rahman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg daging cincang
  • 2 sudu besar serbuk jintas manis
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • 2 sudu besar serbuk paprika
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 3 sudu besar yogurt

Bahan tumis:

  • 5 biji buah pelaga
  • 7-10 tangkai bunga cengkih
  • 4-6 helai daun salam
  • 2 labu bawang besar
  • 7 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 2 sudu besar rempah masala
  • 1 gelas besar susu masam (1 gelas susu yg diperah dengan 4 biji limau kasturi)
  • Air secukupnya untuk menumis
  • Bawang & halia (dikisar halus tanpa air / dimayang halus)
  • Minyak / minyak sapi
  • Garam secukupnya, anggaŕan 2 sudu kecil
  • 1 sudu kecil serbuk perasa
  • Daun ketumbar (dipotong)

Cara-cara:

  1. Tumis buah pelaga, bunga cengkih dqn daun salam.
  2. Masukkan pes halia dan bawang tadi.Kacau sehingga ianya bertukar keperangan.
  3. Masukkan rempah masala dan kacaukan, tapi jangan hangus. Masukkan air supaya ia pecah minyak.
  4. Kacau sebentar sampai rempah pecah minyak dan masukkan daging yang dah digaul tadi.
  5. Kacau daging  sampai sebati hingga ia bertukar warna. Setelah kering & pecah minyak, masukkan susu masam.
  6. Biarkan daging mereneh dengan susu masam. Setelah nampak pekat, masukkan garam dan serbuk perasa.
  7. Masukkan daun ketumbar.
  8. Sedia untuk dihidang.

#7 Rasam

rasam
Imej via Facebook

Rasam merupakan hidangan bersup yang berasal dari India Selatan. Rasanya yang manis, masam dan pedas pasti akan membuatkan anda menggemarinya. Resepi ini dikongsikan oleh Sheena Supramaniam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan air asam kunyit (tumbuk/kisar kasar):

  • 1 sudu besar jintan putih
  • ½ sudu besar biji ketumbar
  • 1 ½ sudu besar lada hitam
  • Air asam kunyit (Air asam jawa dicampurkan dengan ½ sudu besar serbuk kunyit, asam jawa bersaiz bola golf)
  • 6 bawang putih (bersama kulit)
  • 1 bawang kecil (ditumbuk)

Bahan tumbuk kasar:

  • Daun ketumbar
  • Cili kering
  • Daun kari
  • Akar ketumbar
  • 2 biji tomato
  • ½ sudu besar biji sawi
  • Serbuk asafoetida / rasam *optional

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak sedikit dan masukkan biji sawi.
  2. Masukkan daun kari dan cili kering (kalau tiada yang bulat, boleh guna jenis biasa).
  3. Masukkan serbuk asafoetida.
  4. Masukkan bawang putih dan bawang kecil yang ditumbuk kasar.
  5. Masukkan tomato dan sedikit air untuk memasak tomato.
  6. Masukkan akar ketumbar dan bahan tumbuk.
  7. Masukkan air asam jawa dan tambah air sedikit hingga rasa masamnya sesuai. Guna api kecil dan biar rasam masak.
  8. Kalau rasanya terlalu masam, boleh tambahkan air. Kalau kurang masam, tambah air asam jawa.
  9. Lepas 2 minit, masukkan daun ketumbar dan garam secukupnya. Kacau sebati dan biarkan.
  10. Setelah buih kecil mula kelihatan di bahagian tepi, kacau sekali dan biarkan.
  11. Bila ianya mula mendidih, matikan api.
  12. Sedia untuk dihidang.

#8 Tikka Masala

tikka masala
Imej via Facebook

Tikka masala merupakan sejenis hidangan kari dan lauk yang selalu digunakan ialah ayam. Aroma dan rasa yang berempah membuatkan hidangan ini begitu isitmewa. Resepi ini dikongsikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500 g isi ayam bahagian dada (dipotong dadu)
  • 100 ml yogurt
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar
  • 1 sudu kecil serbuk garam masala *optional
  • 1 labu bawang besar (dicincang)
  • 2 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1 inci halia (dicincang)
  • 2 susu pes/puri tomato
  • 100 ml heavy cream
  • 1 tangkai daun ketumbar
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Menggunakan separuh bahan sahaja, perap ayam dengan rempah serbuk, garam dan yogurt.
  2. Gaul bahan perapan dengan ayam, dan perap 2-3 jam. Sejukkan di bahagian chiller.
  3. Panaskan minyak dan layurkan isi ayam di atas kuali.
  4. Tumis sehingga layu dan naik bau.
  5. Masukkan lebihan rempah serbuk untuk perapan tadi. Tumis hinga rempah betul-betul masak.
  6. Kemudian, letak pes atau puri tomato. Letak sedikit dahulu untuk sesuaikan rasa masam.
  7. Tambahkan air dan biarkan mereneh.
  8. Masukkan heavy cream. Boleh gantikan dengan cooking cream.
  9. Letakkan ayam dan biarkan mereneh selama 10 minit.
  10. Perasakan dengan garam dan gula.
  11. Taburkan daun ketumbar di atasnya.
  12. Sedia untuk dihidang.

#9 Kheer

kheer
Imej via Facebook

Satu lagu resepi masakan India yang boleh anda cuba ialah kheer, sejenis puding beras. Resepi ini dikongsikan oleh Jeet Grewal di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ½ cawan beras (dicuci dan direndam 25 minit)
  • 1 liter susu
  • Gula melaka (mengikut kesukaan)
  • 1 biji lobak merah
  • Ghee
  • 3 biji buah pelaga
  • Saffron
  • Badam
  • Gajus

Cara-cara:

  1. Lepas cuci beras dan rendam, toskan air.
  2. Panaskan 1 sudu ghee dan goreng beras selama 1 minit.
  3. Masukkan susu ,gula, pelaga dan lobak.
  4. Biarkan ia masak dan selalu kacau supaya tidak melekit.
  5. Kalau susu berkurangan, boleh tambah.
  6. Lihat keadaan beras dan gula selepas masak, lebih kurang 20-25 minit.
  7. Untuk bahan hiasan iatu saffron, badam dan gajus, goreng menggunakan ghee dahulu kemudian taburkan.

#10 Bubur Kuthiraivali

bubur
Imej via Facebook

Bubur kuthiraivali ini sesuai dinikmati untuk sarapan. Bukan sahaja menyelerakan, malah mengeyangkan. Resepi ini dikongsikan oleh Kesavan Supramaniam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan kuthiraivali / bijirin
  • ½  cawan sayuran mengikut kesukaan
  • Sedikit pes halia bawang putih
  • 6 biji bawang merah (dipotong keci)l
  • Kayu manis
  • Buah pelaga
  • Daun salam kering
  • Buaga lawang
  • Bunga cengkih
  • Minyak sapi
  • Hirisan daun ketumbar dan daun kari

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak sapi dan tumis rempah ratus hingga harum.
  2. Masukkan bawang dan pes. Tumis hingga hilang bau mentah.
  3. Masukkan sayuran dan masak sekejap.
  4. Tambahkan air dan biar mendidih selama 3 minit.
  5. Masukkan bijirin dan masak selama 10 minit.
  6. Tambah garam dan serbuk lada hitam secukup rasa.
  7. Masak hingga bijirin menjadi lembut.
  8. Matikan api dan taburkan hirisan daun ketumbar dan kari.

#11 Golgapa / Pani Puri

resepi masakan india
Imej via Facebook

Bagi yang suka menonton filem Bollywood, kami yakin anda biasa melihat hidangan ini – pani puri. Ianya merupakan street food yang terkenal di India. Resepi ini dikongsikan oleh Xandria Mika di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan kentang:

  • 4-5 biji kentang (dikupas dan dipotong dadu)
  • Sedikit bawang besar (dipotong dadu)
  • Daun ketumbar (diracik halus)
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Sedikit garam
  • Nylon sev

Bahan sos:

  • 1 sudu besar pes daun pudina
  • 1 sudu besar pes daun ketumbar
  • 1 sudu besar pani puri masala
  • 1 sudu besar jal jeera
  • 3 sudu besar sos asam jawa
  • 500 ml air masak /  air tapis / air mineral suhu bilik
  • Cili padi (dipotong) *mengikut kepedasan
  • Air lemon (dari ½ biji lemon)
  • Sedikit gula
  • Boondi
  • Pani puri papad (instant/ready-to-fry)

Cara-cara:

  1. Masukkan kentang yang dilenyek bersama bawang besar.
  2. Masukkan daun ketumbar.
  3. Perasakan dengan serbuk lada hitam dan garam dan gaul sebati.
  4. Masukkan nylon sev.
  5. Dalam mangkuk lain, masukkan pes daun pudina, pes daun ketumbar, jal jeera, sos asam jawa.
  6. Masukkan air dan cili mengikut kepedasan.
  7. Masukkan air lemon dan perasakan dengan sedikit gula. Kacaukan.
  8. Sejukkan di dalam peti sejuk, kemudian taburkan boondi.
  9. Ambil bebola pani puri papad dan cucuk lubang di bahagian tengah.             
  10. Masukkan bahan kentang dan sos ke dalam setiap pani puri papad.
  11. Sedia untuk dihidang.

#12 Gula-Gula Kelapa

coconut candy
Imej via Facebook

Gula0gula kelapa atau coconut candy ini juga merupakan antara resepi masakan Indi yang pasti akan anda suka jika anda menggemari makanan manis. Resepi ini dikongsikan oleh Usha Narayanansamy di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 biji kelapa parut putih
  • 500 g gula pasir (250 g bagi sebiji kelapa)
  • 2 tin susu pekat
  • Serbuk koko atau pewarna coklat
  • Mentega / marjerin
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Sangai kelapa parut selama 10 minit dengan menggunakan api yang rendah.
  2. Menggunakan api sederhana, masukkan susu pekat ke dalam kuali bersama kelapa parut dan serbuk koko. Kacau sebati.
  3. Teruskan kacau  hingga gula larut (kira-kira 30 minit).
  4. Masukkan mentega / marjerin dan teruskan kacau..
  5. Manisan dikatakan masak sebaik sahaja ia mempunyai konsistensi seperti sebiji bola.
  6. Sapukan  mentega atau marjerin pada loyang.
  7. Pindahkan manisan ke dalam loyang sementara ia masih panas lagi.
  8. Dengan mengunakan belakang sudu yang telah disapu dengan mentega atau marjerin, ratakan manisan di dalam loyang.
  9. Potong manisan ini sementara masih panas.
  10. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi masakan India, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.