Lapar sewaktu menjelang tengah hari itu sememangnya lumrah manusia. Tak tahu hendak makan di mana yang membuatkan kita sedikit pening kepala. Takkan lah pula asyik hendak makan di tempat dan menu yang sama, bukan ?
Apa kata kali ini anda cuba pula makan tengahari di yang menyajikan pelbagai jenis nasi beriani yang enak sekali.
Pemilik restoran ini iaitu Encik Amir yang lebih mesra dipanggil Tokei Dulang adalah juga pemilik perkhidmatan katering Sinar Dulang Event & Enterprise. Sinar Dulang diberi nama kerana menurut pemiliknya ia diberi nama sedemikian agar perniagaannya terus bersinar, manakala dulang pula membawa maksud kepada perniagaan katering yang dijalankan.
Menu hidangan utama di sini merupakan nasi beriani. Antara nasi beriani yang disajikan di sini adalah nasi beriani daging, nasi beriani kambing, nasi beriani ayam dan juga nasi beriani kombo. Bagi yang ingin merasai ketiga – tiga lauk tersebut, bolehlah memesan nasi beriani kombo kerana hidangan tersebut mempunyai ayam, daging dan kambing di dalam hidangan.
Hidangan nasi beriani yang dipesan pelanggan akan disajikan bersama air asam versi utara. Air asam yang disajikan bersama nasi beriani menggunakan resepi dari utara tanahair. Ramuanya yang asli menampillkan rasa yang cukup istimewa dan sememangnya enak dimakan bersama nasi beriani.
Nasi beriani yang dihidangkan panas – panas memukau pandangan mata pelanggan yang menatapnya dari jauh. Tambahan pula aromanya yang begitu menyelerakan membuatkan pelanggan tidak sabar menanti hidangan yang dipesan tiba di atas meja.
Nasi beriani yang menggunakan beras berkualiti sememangnya amat sedap sekali. Ditambah pula dimakan bersama lauk yang sememangnya superb. Lauk daging dan lauk kambing yang dimasak sangat lembut dan sedap, tambahan pula dimasak bersama rempah yang asli.
Saiz hidangan nasi beriani juga adalah agak besar dan pasti anda merasa kenyang serta puas hati dengan hidangan yang disediakan. Harga set nasi beriani di sini juga sangat berpatutan iaitu Nasi beriani ayam + Air asam utara RM6.50, Nasi beriani daging + Air asam utara RM7.50, Nasi beriani kambing + Air asam utara RM8.50 dan Nasi beriani combo RM17.00.
Restoran ini terletak di U5 Corner Subang Bestari dan berhampiran Kompleks Pejabat – Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Mahkamah Syariah Petaling. Menjelang waktu tengahari, restoran ini sering dipenuhi dengan kakitangan kerajaan yang ingin menjamu selera di sini.
Jika hendak datang makan di sini, anda boleh lah datang seawal jam 10.00 pagi bagi mengelakkan kesesakan menjelang tengahari. Restoran ini ditutup pada jam 3.00 petang dan sekiranya kesemua menu telah habis, maka restoran ini akan ditutup lebih awal lagi.
Anda juga boleh membungkus nasi beriani tersebut sekiranya tidak sempat makan di restoran dan tidak mahu menunggu lama kerana tempat duduk yang sentiasa penuh.
Alamat : U5 Corner, Jalan Teratai Utama, Subang Bestari