Bandar Baru Bangi atau juga dikenali sebagai Bandar Ilmu merupakan bandar yang sedang pesat membangun di dalam industri fashion dan makanan.

Bandar ini yang dihuni secara majoritinya oleh penduduk beragama Islam, menyajikan pilihan yang pelbagai kepada para penggemar makanan halal yang berkualiti. Kepelbagaian hidangan yang boleh didapati di sini adalah sajian Barat, Jepun, Korea, Melayu dan juga Cina.

Murah dan Sedap!

Murah, sedap dan berbaloi, merupakan pandangan peribadi saya tika menikmati sajian Nasi Goreng Ayam dari Gerai Nasi Ayam Warisan Ibunda yang terletak di Medan Selera Bangi Gateway.

Antara menu yang terdapat di sini adalah Nasi Ayam Hainan, Nasi Ayam Chicken Chop atau dikenali sebagai Nasi Ayam Rambo, Nasi Goreng Ayam dan Nasi Ayam Penyet. Antara aneka menu yang disajikan di gerai ini, Nasi Goreng Ayam menjadi menu yang paling digemari di sini.

Keenakkan hidangan ini letaknya pada nasi yang digoreng dengan tumisan cili merah di mana warnanya amat menarik pandangan mata yang melihat tambahan lagi bagi penggemar makanan bergoreng.

Dipadankan dengan ayam yang telah digoreng hingga rangup, namun isi ayam tersebut mempunyai tekstur lembut dan beraroma. Perapan ayam yang amat minimal telah berjaya menyerlahkan lagi kekuatan rasa pasangan nasinya.

Dua Jenis Sos Memukau

Bagi memberikan rasa yang lebih memukau, nasi goreng ayam ini dihidang bersama dua jenis sos yang membawa dua kekuatan rasa yang berbeza. Pertama adalah sos cili cuka di mana ianya sangat unik kerana mempunyai campuran rasa masam, manis dan masin.

Sos ini menepati citarasa mereka yang gemarkan rasa pedas di dalam makanan. Sos yang kedua adalah sos kicap manis ala-ala “Chinese style” di mana sos kicap pekat ini mempunyai rasa masin dan manis. Sos ini amat bersesuaian untuk diberikan kepada kanak-kanak yang kurang gemar akan rasa pedas.

Sos ini dicurahkan dengan banyak di atas ayam goreng yang garing, memberikan lagi lebih rasa dan aroma kepada isi ayam tersebut. Tidak dilupakan juga sedikit daun salad dan hirisan timun serta sup ayam yang melengkapi hidangan Nasi Goreng Ayam Warisan Ibunda ini. Sepinggan nasi goreng ayam berharga RM6.50.

Nasi Ayam yang dihidagkan oleh gerai ini tidak kurang hebatnya. Dengan RM6.00, nasi goreng akan digantikan dengan nasi ayam yang mempunyai aroma tumisan rempah dan halia yang kuat dan semestinya akan membuka selera para pelanggan.

Nak Yang Lebih Unik?

Namun jika anda ingin menambah sedikit kelainan di dalam hidangan anda atau lebih dikenali sebagai “food fusion” di mana set nasi ayam tersebut tidak dihidangankan dengan ayam goreng atau ayam Hainan, tetapi digantikan dengan Chicken Chop.

Menarik bukan? Kombinasi masakan Asia dan Barat yang bakal membuatkan anak-anak anda berselera sekali menjamahnya. Set nasi ayam Chicken Chop atau lebih dikenali sebagai Nasi ayam Rambo ini juga dihidangkan dengan telur goreng separuh masak. Isi peha Ayam yang disadur tepung istimewa dan digoreng garing sudah semestinya memikat selera anak-anak anda.

Selain daripada menu dan set menu yang telah disediakan, para pelanggan juga diberi pilihan untuk memilih atau menukar menu sedia ada dengan menambah kuantiti ayam, nasi, sambal atau sayur yang disedikan. Setiap pertambahan kuantiti bagi nasi dan lauk akan dikenakan cas berlainan dengan kadar yang berpatutan.

Terdapat juga beberapa hidangan sampingan yang lain, juga boleh ditambah di dalam set makanan anda seperti taugeh kicap, telur goreng mata dan sambal ayam penyet. Semestinya menu yang dihidangkan di Nasi Ayam Warisan Ibunda amat berbaloi, sedap dan bakal memikat hati anda yang mencubanya.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.