Kalau anda warga Kuala Lumpur ataupun Cyberjaya mahupun Putrajaya, pasti anda sudah sedia maklum tempat ini. Ini antara restoran nasi arab yang terbaik untuk Selangor. Nasi Arab Saba di Cyberjaya tidak perlu dipersoalkan lagi. Memang sedap.

 

Menu Restoran Saba Cyberjaya

 

Restoran Saba ialah antara restoran terawal terletak di Cyberjaya. Boleh dikatakan yang ia telah melihat pembangunan di kiri dan kanannya di dalam Cyberjaya.

Oleh kerana pada waktu dahulu tidak banyak restoran yang boleh menjadi pilihan, Restoran Saba dengan mudah menarik ramai pelanggan termasuk mereka yang datang dari Putrajaya. Pelanggannya terus bertambah sehinggi hari ini.

Restoran Saba membawa selera baru di Cyberjaya. Makanan Arab menjadi taruhannya di tempat yang dipenuhi rakyat Malaysia yang biasa dengan makanan tempatan. Namun, itu tidak menjadi masalah kepada Restoran Saba. Ini hanya bermakna yang penduduk di sekitar Cyberjaya dan berhampiran boleh mencuba makanan yang berlainan.

Oleh kerana Restoran Saba membawa menu makanan Arab, maka hidangan seperti kabsah, mandi, hanith, hummus, shawarma, baklava, dan sebagainya menjadi pilihan pelanggan. Selera bertambah dengan ayam atau daging berempah yang lembut.

Makanannya yang agak kering dan tawar bagi sesetengah rakyat Malaysia, mungkin agak janggal kerana kita biasa dengan makanan berkuah dan pedas atau pelbagai rasa. Walaupun begitu, rasanya masih lazat dan tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru.

Apa yang sering menjadi perhatian dan mungkin mengejutkan mereka yang baru berjinak-jinak dengan makanan Arab ialah makanan yang dihidangkan sangat banyak. Contohnya, nasi yang dihidangkan kelihatan seperti bukit di atas pinggan. Bagi mereka yang sedang diet atau tidak makan dengan banyak, anda mungkin mahu bawa pulang sebahagian makanan atau berkongsi dengan rakan.

Mungkin bukan sahaja seorang rakan tapi dua rakan! Oleh itu, Restoran Saba sering menjadi pilihan untuk makan bersama-sama keluarga juga. Harga yang dikenakan juga berpatutan walaupun beberapa pelanggan merasakan harganya lebih tinggi berbanding restoran makanan arab yang lain.

 

Menu Restoran Saba Cyberjaya

Cakap apa sahaja makanan arab yang anda terlintas, pasti ada sahaja di sini. Tetapi kami sukankan ayamnya. Boleh sahaja pilih masakan yang anda gemar. Hanith ataupun Kabshah. Tetapi satu yang kurang bestnya di sini.

Memang ramai sesak sedikit. Hendak buat macam mana, udah tempat ini terkenal. Rasanya kena buka lagi satu cawangan tempat yang sama.

 

Restoran Saba Cyberjaya Lamb
Kebab Restoran Saba Cyberjaya

Image via Foursquare

 

Apa yang patut dicuba disini? Berdasarkan tinjauan, ramai memuji makana seperti Kambing Kabshah atau Hanith ataupun Ayam Kabshah atau Hanith. Jadi, pastikan anda memesan menu ini apabila anda datang ke sini.

Walaupun restoran ini tidak menghidangkan makanan tempatan, ia sentiasa dipenuhi pengunjung. Jika tidak bernasib baik, anda mungkin tidak mendapat tempat terutama pada waktu tengahari. Lebih-lebih lagi Cyberjaya dipenuhi dengan pejabat. Adakalanya anda terpaksa menunggu sehingga 10 minit untuk mendapatkan tempat.

Kehadiran rakyat dari negara lain yang bertugas dan belajar di Cyberjaya juga menambah lagi pelanggan di Restoran Saba. Tambahan pula, ramai yang mengatakan ia adalah restoran makanan Arab terbaik di Cyberjaya. Maka, ramai yang mahu mencuba selain mereka yang sudah menjadi pelanggan tetap di sana.

Pelayan amat berusaha melayan setiap pelanggan yang datang dan pergi tanpa henti. Restoran Saba dikenali juga dengan layanan yang pantas. Tapi, adakalanya mereka terlepas pandang dek kerana ramainya pelanggan.

Oleh itu, sekiranya makanan anda terlewat, tanya pelayan tentang makanan anda. Begitu juga sekiranya anda masih belum mengenali setiap jenis makanan.

Dapatkan maklumat daripada pelayan yang bertugas untuk membantu anda memilih menu yang sesuai. Anda tidak perlu risau dengan tahap kebersihan kerana walaupun jumlah pelanggan yang datang adalah ramai, kebersihan sentiasa terjaga.

Malah, amat sukar mendengar aduan mengenai kebersihan timbul di premis mereka. Walaupun hiasan dalaman mereka tidak sehebat restoran makanan Arab yang lain, mereka tetap mendapat tempat teratas dari segi makanan.

 

Waktu Operasi

Restoran Saba terletak di 4800 Suite 0.2, ground floor, Block A1, Jalan Perdana, CBD Perdana, Cyberjaya. Ia dibuka seawal 11:30 pagi sehingga 12 malam. Untuk tempahan bagi mengelakkan tidak mendapat tempat, sila hubungi 03-83202544.

Anda juga boleh mengikuti laman Facebook mereka untuk mendapatkan maklumat dan memberi pandangan terhadap perkhidmatan mereka.

Kesimpulannya, memang patut cuba untuk warga sekitar Selangor.

 

Baca tentang Nasi Arab Damsyik Senawang di sini

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.