Biasanya kalau kita ke Kuala Sepetang, mee udang adalah salah satu hidangan yang sangat sinonim dengan kawasan tersebut.

Boleh dilihat sepanjang jalan Matang menuju ke Kuala Sepetang, bermacam gerai makan menawarkan hidangan mee udang yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Tarikan ini menjadikan Kuala Sepetang sebagai salah satu tarikan destinasi pelancongan di Taiping, Perak.

Mee Udang

Imej via facebook

Populariti Mee Udang

Populariti mee udang ini semakin meningkat sehinggakan kawasan Matang sentiasa sesak dengan pengunjung.
Disebabkan dek populariti mee udang ini di Kuala Sepetang, ia turut menjadi popular di tempat lain termasuk di Tanjung Piandang yang juga merupakan kawasan nelayan di Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak.

Menjelajah ke Tanjung Piandang, terdapat sebuah restoran menghidangkan mee udang yang popular.
Ia dikenali sebagai Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru yang terletak berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru dan Balai Belia Sungai Baru, Batu 12, Jalan Pantai, Sungai Baru.

Dua Rakan Bergabung Tenaga

Restoran ini telah diusahakan sejak tujuh tahun lalu oleh seorang ibu tunggal iaitu Rosnah Mohd Noor bersama rakan kongsinya Che Saad Omar. Rakan kongsi ini tidak menyangka keputusan mengusahakan bersama restoran ini telah mendapat sambutan hebat daripada penduduk tempatan dan juga pengunjung luar.

Seiring dengan nama restorannya, Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru ini menampilkan hidangan mee udang di dalam periuk tanah (claypot) yang masih panas dan berasap memberikan satu kepuasan kepada para pelanggan yang menikmati hidangan tersebut.

Inilah antara kelainan serta tarikan istimewa yang terdapat di restoran ini.

Mee Ketam

Imej via facebook

Hanya Udang Segar

Demi menjaga kualiti, hanya udang – udang segar sahaja yang digunakan sebagai hidangan mee udang di sini. Udang – udang segar tersebut diperolehi melalui nelayan yang berada di kawasan sekitar.

Biarpun mee udang merupakan hidangan utama, namun sebagai memenuhi permintaan pelanggan, pemilik restoran ini turut menyajikan pelbagai hidangan lain.

Antara hidangan lain yang turut menjadi pilihan pelanggan adalah seperti mee rebus, mee jawa, mee sotong, mee ketam, stimbot, masakan ala Thai dan bermacam lagi.Namun, pilihan utama pelanggan yang datang ke sini adalah mee udang yang dihasilkan menggunakan resepi tersendiri.

Mee Udang

Imej via facebook

Jenis Mee Udang

Mee udang yang dihidangkan mempunyai tiga jenis hidangan yang berbeza iaitu mee udang biasa, mee udang sederhana dan mee udang istimewa dengan harga yang turut berbeza.

Sebagai pelengkap hidangan mee udang, anda juga boleh  memesan pelbagai jenis minuman yang ditawarkan.Air minuman yang terdapat di sini mempunyai pelbagai pilihan unik seperti minuman cokat tiga musim, air batu campur serta jus buah – buahan segar.

Anda yang ingin mencuba mee udang di sini datanglah awal jika berkunjung di hujung minggu atau cuti umum kerana ternyata pelanggan yang datang adalah ramai dan bertali arus.

Selain menjaga kualiti masakan yang sedap, kebersihan restoran juga sentiasa di jaga demi menjaga kesejahteraan serta keselesaan para pelanggan.Bagi mereka yang mengunjungi kawasan Parit Buntar, bolehlah singgah makan di Ros Mee Udang Berasap Sungai Baru untuk mencuba keunikan masakan mi udang di restoran tersebut yang harganya lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.

Alamat : Kampung Sungai Baru, 34250 Kuala Kurau, Perak

Penulis: Harwati Rukari

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.