Masyarakat Bugis sebenarnya berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia. Namun, pada kurun ke – 17, setelah berlakunya penaklukan Belanda telah menyebabkan ramai yang berpindah serta berhijrah ke luar.

Suku kaum ini telah berpindah ke kawasan lain seperti Kalimantan, Sumatera, Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Masyarakat Bugis cukup dikenali sebagai pahlawan yang berani serta digeruni. Bukan sahaja terkenal dengan darah kepahlawanan, malah turut mahir dalam bidang masakan.

Maka, tidak hairanlah pelbagai resepi telah diwarisi turun temurun oleh suku kaum Bugis. Ia bukan sahaja terdiri dari pelbagai masakan, malah masakannya juga memiliki rasa, tekstur, warna serta persembahan hidangan yang begitu menarik. Antara jenis-jenis makanan tradisional kaum bugis ialah :-

#1. Burasak

Buras atau juga dikenali dengan nama burasak merupakan hidangan tradisi suku kaum Bugis. Ia merupakan nasi yang dikukus bersama santan dan dibaluti dengan daun pisang nipah.

Burasak

Imej via isyayy

Bentuk burasak ini adalah leper seperti lepat pisang namun ia agak lebar dan agak besar. Bungkusan burasak akan diikat menggunakan tali agar ia tidak terbuka semasa mengukusnya. Proses penyediaan burasak yang agak lama mebolehkan burasak ini ddisimpan lebih lama.

Burasak

Imej via isyayy

Makanan ini merupakan hidangan utama masyarakat Bugis menjelang hari raya Aidilfitri dan juga Aidiladha. Biasanya ia disajikan bersama ayam masak merah, ayam masak likku, asam pedas ikan parang dan sebagainya.

#2. Sanggar Pappek

Sanggar pappek antara hidangan pencuci mulut yang ringkas serta enak dimakan semasa minum petang atau pada bila – bila masa sahaja. Sanggar membawa maksud pisang manakala pappek pula adalah penyek atau lenyek atau ketuk atau juga penempek.

Sanggar pappek

Imej via cookpad

Hidangan ini juga turut dikenali dengan nama pisang janda kerana pisang tersebut perlu digoreng sebanyak dua kali. Ia enak dimakan bersama sambal tomato yang seakan sambal ayam penyet. Malah, ia juga boleh dimakan bersama sebarang sambal yang pedas dan mengikut citarasa masing – masing.

Sanggar pappek

Imej via kampungparis

Bagi menyediakan hidangan ini, biasanya pisang abu muda akan digunakan. Selain pisang abu, pisang lain juga boleh dijadikan sanggar pappek ini asalkan ia masih muda.

#3. Sanggar Belanda

Sanggar Belanda pula merupakan pisang goreng ala Belanda. Ia merupakan hidangan suku kaum Bugis – Makassar yang berasal dari wilayah Sulawesi selatan.

Hidangan ini menggunakan marjerin serta keju yang dahulunya hanya digunakan oleh masyarakat Belanda. Maka sebab itu ia dikenali dengan nama sanggar Belanda.

Sanggar belanda

Imej via cookpad

Kebiasaannya sanggar Belanda ini disajikan semasa majlis – majlis keramaian serta yang berkaitan adat khas Bugis – Makassar seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.

Sanggar belanda

Imej via bravoiman

Sanggar Belanda menggunakan pisang raja yang masak dan ranum sahaja. Pisang lain tidak boleh digunakan kerana rasa serta aromanya yang begitu berbeza. Pisang raja mempunyai kandungan gula yang tinggi, oleh sebab itu semasa menggoreng pisang raja, akan terjadilah proses karamelisasi yang akan menghasilkan aroma yang begitu mempesonakan.

Pisang raja akan diisi dengan kacang yang telah disangai serta dicincang, gula serta telur memberikan rasa yang begitu menyelerakan.

#4. Kapurung

Kapurung ini seakan makanan tradisi masyarakat Sarawak serta Brunei iaitu ambuyat. Ia diperbuat daripada tepung sagu.

Kapurung

Imej via resepkoki

Cara menyediakan kapurung ini juga agak berbeza di mana ia dicampurkan bersama sayuran serta ikan dan dihidangkan terus dalam mangkuk atau ikan. Hidangan ini biasanya dijadikan sebagai hidangan minum petang atau ketika bersantai.

Kapurung

Imej via abdulrauf2017

Biarpun kapurung ini merupakan makanan tradisional, namun ia semakin popular terutamanya di kalangan suku Bugis yang juga semakin memartabatkan makanan tradisi mereka kepada masyarakat luar.

#5. Bajek Canggoreng

Bajek Canggoreng merupakan salah satu kuih tradisional suku kaum Bugis. Ia terdiri daripada gula merah serta kacang tanah. Cara penyediaannya juga cukup mudah serta menjimatkan masa.

Baje canggoreng

Imej via travelingyuk 

Kacang tanah yang sudah dibuang kulit akan digoreng terlebih dahulu. Kemudiannya air, dicampurkan bersama gula merah serta sedikit garam dan dipanaskan serta dimasak sehingga gula menjadi kental.

Baje canggoreng

Imej via kabarmakassar

Setelah adunan ini pekat, kacang dimasukkan serta digaul perlahan sehingga sebati. Ia diletakkan di dalam bekas Loyang dan dibiarkan sehingga mengeras dan boleh dijadikan sebagai hidangan minum petang.

#6. Katirisala

Katirisala, juga merupakan kuih tradisonal khas orang Bugis. Ia diperbuat daripada beras pulut hitam yang dikukus. Ia kemudiannya disirami dengan adunan gula merah yang telah dicampurkan dengan santan dan juga telur.

Katirisala

Imej via cookpad

Kuih yang kelihatan seakan kuih tepung talam ini memiliki rasa yang sedikit berbeza terutama topping gula merah yang digunakan. Katirisala ini begitu popular di sekitar Tawau dan sering dijadikan hidangan sampingan semasa majlis perkahwinan dan sebagainya.

Katirisala

Imej via cookpad

#7. Barongko

Barongko merupakan kuih tradisional suku kaum Bugis yang menggunakan pisang nipah yang masak ranum. Ia dibungkus menggunakan daun pisang.

Biasanya ia disajikan sebagai hidangan penutup yang mewah untuk raja – raja seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. Namun, kini barongko telah dijadikan hidangan pencuci mulut masyarakat Bugis.

Barongko

Imej via myblogindonesiafood

Barongko boleh ditemui menjelang bulan Ramadhan dan ia begitu mendapat sambutan ramai. Keenakan kuih ini tiada tandingannya. Pisang yang merupakan bahan utama akan dikisar halus dan dicampurkan dengan gula, telur serta santan. Ia kemudiannya dibungkus dengan daun pisang dan dikukus sehingga masak.

Barongko

Imej via ksmtour

Kuih ini juga boleh ditambahkan dengan hirisan buah nangka serta kelapa muda bagi memberi rasa yang lebih enak lagi.

#8. Es pisang ijo

Es pisang ijo ini menggunakan pisang raja, pisang raja atau pisang kepok sebagai bahan utama. Ia disaluti dengan adunan tepung yang telah dicampurkan dengan santan serta air pandan sebagai pewarna hijau asli dan aroma yang lebih wangi.

Es pisang ijo

Imej via kumparan

Hidangan pencuci mulut ini disajikan bersama kuah bersantan atau bubur sum – sum, disirami dengan sirap merah, susu serta ketulan ais. Es pisang ijo ini sering menjadi permintaan menjelang bulan Ramadhan. Ia sangat ringkas namun memberi kenikmatan yang tiada tandingannya.

Es pisang ijo

Imej via resepkoki

#9. Ayam Masak Lengkuas / Likku

Ayam masak lengkuas atau likku ini sering dimakan bersama burasak. Ia antara makanan orang Bugis yang begitu terkenal.

Ayam masak likku

Imej via salamisimon1

Hidangan ini akan menjadi hidangan wajib bagi setiap masyarakat Bugis. Setiap kali tibanya hari raya Aidilfitri atau Aidiladha, hidangan ini pasti disediakan.

Ayam masak likku

Imej via salamisimon1

Ayam masak lengkuas ini mendapat nama kerana ia banyak menggunakan lengkuas di dalam masakan. Lengkuas dalam bahasa Bugis dikenali sebagai likku.

#10. Coto Makassar

Coto Makassar terhasil daripada perut lembu yang direbus dalam tempoh yang lama. Rebusan perut serta daging lembu kemudiannya dihiris halus dan dicampurkan dengan bahan – bahan khusus.

Coto Makassar

Imej via resepkoki

Hidangan ini seakan – akan sup soto namun cara penyediaan serta bahan yang digunakan adalah begitu berbeza. Ia biasanya dimakan bersama ketupat atau burasak.

Coto Makassar

Imej via wowwwfood

 #11. Baroboq atau Berobok

Baroboq atau berobok merupakan hidangan bubur jagung. Ia merupakan bubur yang dicampuri dengan jagung, ayam serta sayur – sayuran.

Barobok

Imej via steemit

Hidangan ini biasanya dijadikan sarapan pagi dan juga sering dijadikan sebagai minum petang. Malah, ia juga boleh dinikmati pada bila – bila masa sahaja.

Barobok

Imej via steemit

#12. Bahulu Pecak

Bahulu pecak ini antara pencuci mulut masyarakat Bugis yang begitu popular. Pecak bermaksud lembut dan bahulu pecak memberi makna bahulu lembut.

Bahulu pecak

Imej via facebook

Kuih ini sering dijadikan hidangan semasa majlis – majlis perkahwinan dan majlis tertentu sahaja. Bahulu ini menjadi lembut kerana ia akan direndam di dalam air gula.

Bahulu pecak

Imej via yan-yanjournal

#13. Sate Daging Goreng

Sate ini menggunakan hirisan daging yang telah diperap dengan pelbagai rempah dan bahan yang sepatutnya. Namun, penyediaan sate ini sedikit berbeza berbanding sate biasa.

Sate goreng

Imej via nova

Sate ini menggunakan kaedah gorengan, dan dagingnya hanya akan dicucuk menggunakan lidi sate setelah ia digoreng terlebih dahulu.

Sate goreng

Imej via facebook

#14. Sekaporo

Sekaporo merupakan salah satu jenis kuih yang berasal dari masyarakat Bugis. Ia seakan kuih talam namun memiliki rasa yang berbeza. Kuih ini mungkin tidak begitu popular, namun menjadi makanan tradisi masyarakat Bugis.

Sikaporo

Imej via deskgram

Proses pembuatan kuih ini juga amat mudah dan tidak jauh beza dengan kuih – kuih lain. Ia juga kelihatan seperti puding dengan bahan utamanya adalah terdiri daripada agar – agar yang digabungkan dengan tepung beras, gula pasir, santan, telur dan pewarna.

Sikaporo

Imej via timurindonesia

Kuih ini menggunakan kaedah mengukus bagi menyediakannya. Rasanya yang manis dan lemak pasti membuatkan ramai yang ketagihan.

#15. Ketiri Sala’ Pulu Bolong (Seri Muka Pulut Hitam)

Ketiri Sala’ Pulu Bolong atau juga dikenali sebagai seri muka pulut hitam adalah begitu enak sekali. Ia sering menjadi hidangan pencuci mulut masyarakat Bugis. Biasanya ia disediakan sempena menyambut sesuatu majlis.

Serimuka pulut hitam

Imej via resepimudah

Kuih ini tidak ubah seperti kuih seri muka yang terdapat di pasaran. Namun, yang membezakan kuih ini adalah kerana ia menggunakan pulut hitam di bahagian bawah kuih, tidak seperti kuih seri muka yang biasa.

Serimuka pulut hitam

Imej via bacaresep

Rasanya yang lemak manis pastinya menggembirakan ramai orang sewaktu menikmatinya.

 #16. Tapai Pulut Bolong (Tapai Pulut Hitam)

Tapai pulut hitam sememangnya begitu popular di negeri Sabah. Ia merupakan makanan tradisi yang sangat terkenal di kalangan masyarakat Bugis terutamanya bagi yang tinggal di Kampung Paris Kinabatangan, Sandakan.

Tapai pulut hitam

Imej via deskgram

Biasanya tapai ini disediakan semasa sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha. Hanya dua bahan digunakan untuk menghasilkan tapai ini iaitu pulut hitam dan ragi.

Tapai pulut hitam

Imej via deskgram

Pulut hitam yang telah dimasak dan dicampurkan dengan ragi ini akan dikepal dan dibentukkan bulat – bulat atau boleh dibuat sebarang bentuk yang kemudiannya diperam antara 3 hingga 5 hari di dalam periuk yang dibungkus dengan kain ataupun plastik.

#17. Leppe – Leppe (Lepat)

Masyarakat Bugis turut terkenal dengan kuih muih yang enak. Antara kuih tradisi yang masih diteruskan hingga ke hari ini adalah leppe – leppe (lepat). Namun, kuih ini tidak dibuat untuk dimakan pada hari – hari biasa atau semasa sambutan perayaan.

Leppe-leppe

Imej via lamuru1satu

Leppe – leppe biasanya disediakan semasa sambutan majlis – majlis tertentu seperti majlis kesyukuran, sambutan kelahiran bayi, majlis tahlil dan banyak lagi. Biarpun namanya seakan kuih lepat, namun kuih ini menggunakan beras pulut, santan dan sedikit gula untuk menyediakannya.

Leppe-leppe

Imej via dictio

Kuih ini menggunakan daun kelapa muda untuk membungkusnya dan bukannya menggunakan daun pisang. Pulut perlu dikukus terlebih dahulu. Kemudian ia akan digaul dengan santan sedikit demi sedikit sehingga kesemua pulut dan santan menyatu.

Semasa pulut masih lagi suam, ia diisi ke dalam kelongsong daun kelapa. Pulut yang sudah siap dibungkus akan direbus di dalam periuk yang berisi air panas.

#18. Nasu Puteh (Ayam Masak Putih)

Ini merupakan makanan autentik kaum Bugis yang begitu enak. Ia menggunakan bahan – bahan yang ringkas sahaja untuk menyediakannya.

Nasu puteh

Imej via deskgram

Antara bahan utama yang digunakan adalah seperti limau nipis, telur, bawang, halia serta serbuk lada putih. Malah, terdapat penggunaan santan dan suhun dalam menyediakan masakan ini.

Penggunaan santan tidak menghilangkan rasa jus limau nipis dan lada putih. Namun, kombinasi kesemua bahan yang digunakan memberikan satu rasa yang unik serta cukup berbeza.

Nasu puteh

Imej via deskgram

Hidangan ini juga sangat enak sekiranya menggunakan ayam kampung mahupun ayam tua kerana isinya yang lebih padat. Walaubagaimanapun, penggunaan ayam ini perlu mengambil masa yang lebih lama berbanding ayam biasa.

#19. Tumbu Pulut Hitam

Tumbu ini salah satu makanan tradisi kaum Bugis. Cara menyediakan tumbu ini tidak jauh beza dengan menyediakan burasak. Walaubagaimanapun, perbezaan tumbu terletak pada penggunaan pulut hitam sebagai bahan utama berbanding burasak.

Tumbu

Imej via salamisimon1

Selain, beras pulut hitam, ia juga menggunakan santan sebagai antara bahan lain. Tumbu pulut hitam ini jarang disediakan namun ia merupakan hidangan alternatif selain burasak semasa sambutan hari perayaan.

Tumbu

Imej via jolygram

 #20. Beppa Ricak Sarikaya

Beppa ricak sarikaya merupakan warisan budaya dari suku Bugis. Beppa ricak dalam bahasa Bugis bermaksud kuih basah, manakala sarikaya pula bermaksud durian belanda. Namun beppa ricak sarikaya tidak diperbuat daripada buah tersebut.

Beppa ricak

Imej via lupapulang91

Kuih ini menggunakan beberapa bahan ringkas seperti telur, santan, gula, tepung dan pewarna makanan sahaja. Beppa ricak sarikaya menggunakan kaedah mengukus sahaja di mana adunannya diletakkan di dalam loyang.

#21. Beppa Pute

Beppa pute bermaksud kuih putih. Ia dinamakan kuih putih kerana warnanya yang putih dengan taburan gula halus di bahagian atas.

Beppa pute

Imej via tokopedia

Kuih ini memiliki rasa yang manis diperbuat daripada tepung dan gula. Biasanya ia dihidangkan semasa majlis – majlis kenduri. Beppa pute ini dikatakan dapat membawa keberkatan dari Allah SWT seperti kemurahan rezeki, keselamatan dan sebagainya.

Beppa pute

Imej via tokopedia

#22. Cucuru Tekne

Kuih ini menggunakan bahan utama yang terdiri daripada tepung beras dan juga gula. Ia mempunyai rasa lemak serta manis gula merah.

Cucuru tekne

Imej via cookpad

Bentuk kuih ini sedikit lonjong dengan hujungnya sedikit tajam menjadikan ia kelihatan agak unik.

Cucuru tekne

Imej via dapurmbakanis

Kesimpulan

Pengaruh budaya serta makanan tradisi Bugis masih terdapat di negara ini. Biarpun tidak ramai mengenali makanan masyarakat Bugis, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang masih mengekalkan makanan tradisi mereka.

Jika anda yang belum pernah merasai kepelbagaian makanan Bugis, anda boleh cuba mencarinya di sekitar negeri Sabah mahupun Johor kerana terdapat suku kaum Bugis yang menetap di kawasan ini.

Penulis: Itawrah

Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.