Suku kaum Bajau merupakan masyarakat yang menetap di negeri Sabah sejak ratusan tahun yang lalu. Ia terdiri dari dua kumpulan yang menetap di Pantai Barat dan Timur Sabah telah mendapat pengiktirafan sebagai antara penduduk asli serta bumiputera terbesar di Sabah.

Kebanyakan suku kaum Bajau menjadi petani serta nelayan di pesisir pantai barat serta menunggang kuda. Malah, ada juga yang menjadi penyelam yang mahir. Selain itu, ada juga yang menjadi penternak, pesawah serta pembuat parang.

Masyarakat Bajau juga boleh dikenali sebagai Orang Bajau Samah (Darat) serta Orang Bajau Laut. Penempatan Orang Bajau Samah biasanya di Kota Belud, Tuaran dan Papar manakala Orang Bajau Laut pula menetap di Sempoerna, Kudat, Lahad Datu, Pitas dan Kota Marudu.

Umumnya, makanan tradisional masyarakat Bajau berasaskan makanan laut dan makanan berasaskan ubi, serta tanaman huma yang lain. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu makanan yang dimasak dan makanan yang dimakan secara mentah (inta’an).

Makanan yang dimasak pula disediakan sama ada digoreng, direbus, dibakar dan dipanggang. Makanan yang dimakan secara mentah terdiri daripada makanan laut seperti bantunan, ballog-ballog, tayum, tehe – tehe, kilau, lato’, baat atau timun laut, kima, tehe-tehe kabboggan atau nasi putih yang direbus bersama isi tehe tehe dalam cangkerang tehe-tehe dan sebagainya.

Antara makanan tradisional masyarakat Bajau di Sabah adalah seperti :

#1. Putu

Putu merupakan makanan tradisional masyarakat Bajau di daerah Sempoerna. Makanan ini berasaskan ubi kayu yang diparut, airnya diperah dan dikukus atau stim sehingga masak.

Piutu

Imej via salamisimon1

Masyarakat Bajau menjadikan putu ini sebagai pengganti nasi. Ia biasanya dimakan bersama kima, tayum, tehe-tehe, sagol, ikan bakar serta beberapa makanan laut yang lain. Hidangan ini dikatakan mampu membuka selera makan bagi yang menghadapi masalah kurang selera makan.

Piutu

Imej via nurhasanahbaqiah

Rasa putu seakan ubi yang dicampurkan dengan tepung. Teksturnya sedikit kenyal dan melekit. Semasa makan putu ini adalah tidak digalakkan untuk minum air jenis berkarbonat kerana akan berlaku tindak balas selepas makan putu. Perut mungkin terasa kembung dan tidak selesa.

#2. Tompek Atau Tinompek

Tompek atau juga dikenali sebagai tinompek merupakan makanan yang juga berasaskan ubi kayu. Walau bagaimana pun, cara penyediannya pula adalah berbeza.

Tompek

Imej via tebetbarat

Ubi kayu yang telah siap diparut juga akan dibuang airnya terlebih dahulu. Kemudian, ia akan digoreng tanpa minyak sehingga warna kekuning – kuningan.

Tompek

Imej via salamisimon1

Ia juga selalu dijadikan sebagai makanan pengganti nasi dan boleh dimakan bersama lauk-pauk seperti ikan dan sayur-sayuran. Sesetengah masyarakat Bajau di daerah lain turut menggelar hidangan ini sebagai anggang.

#3. Sagol Atau Senagol

Hidangan bernama sagol atau senagol ini merupakan masakan berasaskan isi ikan yang dimasak dengan kunyit. Biasanya untuk menyediakan hidangan ini, ikan yang digunakan adalah terdiri dari ikan yu, buntal, tombad, pari, kat, peteg, ulapai, banggak – banggak atau tabullung.

Sagol

Imej via groupsempornamari

Ikan yang digunakan perlu dicelur atau direbus separuh masak bagi memudahkan membersih lapisan kasar pada kulit ikan yu, atau duri pada ikan buntal. Ia juga memudahkan isi ikan hancur supaya mudah dicampur dengan kunyit yang telah dihiris.

Sagol

Imej via facebook

Hati ikan pula akan dicincang bagi mengeluarkan minyak yang terdapat pada hati ikan. Minyak dari hati ikan ini akan memberi rasa kepada sagol.

#4. Kilau atau Kinilau

Sushi versi Borneo adalah antara makanan tradisional Bajau yang dikenali sebagai kilau atau kinilau. Ia digelar sebagai sushi kerana hidangan ini menggunakan ikan mentah sebagai bahan utama.

Kinilau

Imej via facebook

Biarpun isi ikan yang digunakan adalah mentah, namun ianya selamat dan bersih dimakan kerana turut dicampurkan dengan perahan limau serta cuka. Selain isi ikan, ia juga boleh dicampurkan dengan hirisan cili, bawang, tomato, halia dan mangga.

Kinilau

Imej via akuman999

#5. Lato’

Lato’ merupakan sejenis tumbuhan laut di Sabah dan ianya kelihatan seperti buah anggur hijau kerana bentuknya yang bulat. Namun, saiznya agak kecil berbanding buah anggur. Ia merupakan makanan wajib suku kaum Bajau Pantai Timur untuk hidangan makan tengahari atapun malam.

Latok

Imej via salamisimon1

Ia turut dikenali sebagai Caulerpa lentillifera atau juga dikenali sebagai kaviar hijau. Lato’ sangat terkenal di Filipina dan banyak diternak di kawasan persisiran pantai Filipina dan juga di Kepulauan Okinawa, Jepun.

Latok

Imej via authenticworldfood

Rasa lato’ ini sedikit masin dan boleh dimakan bersama sambal, ikan bakar serta nasi putih. Ia tidak perlu dimasak, hanya dengan mencampurkan perahan jus limau serta cili dan garam sahaja. Keunikan lato’ ini dapat dirasai sewaktu ia memasuki mulut anda dan setiap kunyahan anda memberi sedikit letupan yang mengasyikkan.

#6. Tehe -Tehe

Tehe-tehe merupakan sejenis makanan laut yang terkenal di kalangan masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah. Ia merupakan landak laut yang boleh dijadikan sebagai hidangan dan nama saintifiknya adalah Echinoidea atau buluh babi. Selain rasanya yang sedap, ia juga amat berkhasiat dan juga baik untuk kesihatan.

Nasi Tehe Tehe

Imej via sayangsabah

Untuk menyediakan hidangan ini juga cukup mudah. Anda terlebih dahulu perlu mencuci tehe-tehe tersebut, kemudian masukkan beras ke dalamnya dan rebus sehingga masak. Beras tersebut perlu dicampurkan dengan halia, garam serta makanan laut lain seperti udang, sotong dan lain – lain.

Nasi Tehe Tehe

Imej via akuman999

Setelah siap dimasak, tehe-tehe dipotong dan boleh dihidangkan. Ia juga digelar sebagai Nasi Himpit Tehe’-Tehe’. Rasanya pula seakan – akan telur telur ikan dan memang enak. Ia antara salah satu hidangan wajib bagi suku kaum Bajau Sempoerna.

#7. Bamban atau Bianbam

Bamban merupakan makanan yang dimasak menggunakan tepung panggih. Tepung ubi yang diparut lalu diperah airnya sehingga menjadi seakan – akan tepung ini dipanggil tepung panggih.

Bianbam

Imej via istaringridz

Untuk menyediakan bamban, tepung panggih perlu dimasukkan ke dalam daun samada daun pisang atau daun pokok kelapa. Ia kemudiannya di kukus sehingga masak.

Hidangan ini boleh dimakan bersama lauk pauk lain seperti ikan, sayuran dan sebagainya.

#8. Tayum (Landak Laut)

Tayum yang juga merupakan makanan tradisi kegemaran masyarakat Bajau turut dikenali sebagai landak laut. Ia mudah ditangkap kerana pergerakannya yang agak perlahan.

Tayum

Imej via slkdivelodge

Namun, ia perlu ditangkap dengan berhati – hati kerana durinya yang tajam. Isi tayum boleh dikeluarkan dengan pelbagai cara dan berwarna sedikit kuning seakan warna kunyit. Ia boleh dimakan begitu sahaja dan juga boleh dimakan bersama nasi. Rasanya juga sedap dan tidak mengecewakan.

Tayum

Imej via foodrepublic

#9. Kahanga

Kahanga merupakan makanan tradisional yang berasaskan makanan laut. Malah, hidangan ini boleh didapati di hampir ke semua restoran makanan laut sekitar negeri Sabah.

Kahanga

Imej via watiefatin2707

Cara untuk makan kahanga ini adalah dengan menggunakan lidi pencungkil gigi bagi mengeluarkan sesungutnya. Ia enak dimakan bersama sambal pencicah atau kuah, malah enak dimakan bersama nasi putih.

Kahanga

Imej via hobimumemasak

#10. Kuih Penjaram

Kuih penjaram ini sering disediakan semasa meraikan majlis – majlis kesyukuran atau kenduri di kalangan masyarakat Bajau. Rasa kuih ini sedikit manis dan lemak.

Penjaram

Imej via facebook

Penjaram juga turut dikenali dengan nama penyaram atau kuih UFO. Selain masayarakat Bajau, ia juga begitu popular di kalangan orang Melayu Brunei di negara Brunei.

Penjaram

Imej via food.detik

#11. Loho

Hidangan ini merupakan makanan masyarakat Bajau yang begitu mudah untuk disediakan. Loho kelihatan seakan asam pedas mahupun singgang jika di semenanjung Malaysia.

Biasanya loho ini dimakan bersama tompek atau putu. Namun, ianya juga boleh dimakan bersama nasi putih.

Loho

Imej via salamisimon1

Bahan – bahan yang digunakan terdiri dari ikan segar, halia, serai, bawang besar, tomato serta kunyit, limau serta cili hijau.  Kesemuanya dicampur dan direbus sehingga masak. Namun, ianya juga boleh ditumis terlebih dahulu.

Loho

Imej via salamisimon1

Ikan segar yang sering digunakan untuk memasak hidangan ini adalah ikan batu yang dikatakan isinya agak sukar hancur jika dimasak lama. Nama lain bagi ikan batu ini adalah ikan kutambak / ikan temparing atau ikan nek da’im.

Biarpun hidangan ini mudah disediakan namun ianya tetap memiliki rasa yang enak dan menyelerakan.

#12. Kerabu Kampung atau Pisuk Ubi Kayu

Kerabu kampung atau juga dikenali sebagai pisuk ubi kayu merupakan hidangan makan tengahari yang sangat terkenal di kalangan masyarakat Bajau. Cara menyediakannya begitu mudah serta menggunakan bahan – bahan yang ringkas.

Kerabu Kampung

Imej via resepikakza

Bagi menyediakan kerabu kampung ini, ianya memerlukan pucuk ubi kayu yang direbus serta ditos sehingga kering. Ia kemudiannya dicampurkan dengan hirisan bawang kecil, halia serta kelapa parut lalu digaul mesra sehingga sebati.

Kerabu Kampung

Imej via myresepi

Kerabu kampung yang begitu mudah disediakan ini memberi rasa dan aroma yang cukup mengliurkan.

#13. Kabau Kukus

Kabau dikenali sebagai ketam oleh masyarakat Bajau. Hidangan ini begitu ringkas untuk disediakan.

Kabau Kukus

Imej via anggerikdesazainihasan

Memandangkan negeri Sabah begitu terkenal dengan makanan laut, maka tidak hairanlah masyarakat Bajau di Sabah banyak menjadikan hidangan makanan laut sebagai makanan tradisi mereka. Malah, kebanyakan masyarakat Bajau pula terdiri daripada nelayan yang menjadikan lautan sebagai sumber makanan mereka.

Kabau Kukus

Imej via monalizah-rais

Kabau kukus hanya menggunakan air untuk mengukus ketam tanpa sebarang perisa tambahan mahupun secubit garam. Ia supaya kabau yang dikukus masih memiliki rasa manis asli dan begitu enak dinikmati secara segar.

#14. Tiyula Itum

Hidangan ini berasal dari Tawi – tawi Filipina, namun telah menjadi makanan tradisi kaum Bajau di Pantai Timur, Sabah. Tiyula bermaksud sup atau rebus manakala itum pula membawa maksud hitam, oleh sebab itu hidangan sup ini berwarna hitam mengambil nama sempena tiyula itum.

Tiyula Itum

Imej via thecuriousmorena

Biasanya hidangan ini dihidangkan semasa majlis perkahwinan dan majlis keraian. Warna sup yang hitam diperolehi daripada isi kelapa yang dibakar di atas api sehingga hitam. Tiyula itum ini mempunyai rasa yang unik sepertimana warnanya.

Tiyula Itum

Imej via waytogo

#15. Piyassak

Piyassak antara hidangan istimewa di kalangan masyarakat Bajau. Ia seakan – akan hidangan tradisi negara Perancis iaitu foie gras namun, masyarakat Bajau menggunakan hati lembu sebagai bahan utama.

Piyasak

Imej via facebook

Hati lembu tersebut dipotong menjadi kiub dengan saiz yang kecil. Ia digoreng bersama halia, kunyit, halia, lada hitam, serai dan kelapa yang telah dibakar. Santan kelapa juga turut dimasukkan dan dimasak bersama hati lembu sehingga ia benar – benar diserap oleh hati lembu tersebut.

#16. Ayam Piyanggang

Ayam piyanggang sering dijadikan hidangan semasa majlis – majlis keraian. Hidangan ini disediakan dengan cara memanggang ayam dan menambahkan santan sebagai krimmer.

Ayam Piyanggang

Imej via umnoha

Ayam tersebut diperap bersama campuran bawang merah dan bawang putih, serai, garam, rempah hitam. Biasanya hidangan ini dimasak untuk pengantin lelaki semasa majlis perkahwinan diadakan.

Ayam Piyanggang

Imej via yummy

#17. Ikan Liking

Ikan liking antara makanan yang menjadi kegemaran masyarakat Bajau. Biasanya ia hanya boleh diperolehi di daerah Kota Belud sahaja.

Ikan Liking

Imej via gramha

Ikan ini merupakan ikan masin yang dijeruk serta diperam bersama garam. Untuk menghasilkan ikan liking ini, biasanya ikan talang digunakan. Ikan talang tersebut perlu dibiar buruk terlebih dahulu sebelum diperap dengan garam selama satu malam atau lebih.

Ikan Liking

Imej via facebook

Ikan yang digunakan tidak boleh terkena ais dan mestilah menggunakan ikan yang segar. Sekiranya ikan talang tersebut telah terkena ais atau telah dibekukan, isi ikan tersebut akan menjadi agak keras dan tidak sedap.

Terdapat dua jenis ikan liking iaitu ikan yang dijerukkan bersama cili, atau ikan yang dijeruk biasa sahaja. Ikan liking ini boleh digoreng, dimasak lemak bersama buah labu kuning, masak sambal tumis pedas dan sebagainya.

#18. Kuih Pasung

Kuih pasung ini antara kuih tradisi suku kaum Bajau di Pantai Timur Sabah. Ia sering disajikan semasa majlis – majlis kenduri dan boleh juga didapati di pasar.

Kuih Pasung

Imej via chefgunawanmalaysia

Kuih ini berbentuk kon aiskrim dengan dibaluti daun pisang, malah kuihnya pula berwarna hijau. Kuih pasung juga terkenal sebagai hidangan pencuci mulut di negeri Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu.

Kuih Pasung

Imej via facebook

Antara nama lain bagi kuih ini adalah tepung serunai kerana bentuknya yang seakan – akan serunai. Bagi menyediakan kuih ini, ia perlu dikukus sahaja sehingga masak.

Kesimpulan

Kedudukan masyarakat Bajau yang tinggal di kawasan persisiran pantai memudahkan mereka mendapat bekalan makanan laut dengan mudah. Oleh sebab itu, kebanyakan makanan tradisi mereka berasaskan makanan laut.

Selain itu juga, makanan yang menjadi tradisi mereka turut dipengaruhi oleh orang Filipina kerana kedudukan Filipina yang begitu hampir dengan negeri Sabah. Walaubagaimanapun, mungkin makanan tradisi kaum Bajau telah mengalami sedikit olahan berbanding makanan dari negara tersebut.

Namun, masyarakat Bajau masih tetap meneruskan legasi makanan tradisi mereka sehingga ke hari ni.

Penulis: Itawrah

Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.