Negara kita ini sememangnya kaya dengan makanan. Tidak hairanlah jika ramai penduduk Malaysia bersaiz besar. Pelbagai makanan mempunyai keunikannya yang tersendiri, tiada istilah lapar jika berada di Malaysia.
Bendang atau sawah biasanya terdapat di negeri sebelah utara, seperti di Kedah. Tetapi Bendang yang penulis maksudkan di sini merupakan sebuah restoran. Menghidangkan menu utara dari Kedah, Pulau Pinang dan juga Perlis.
Nama restoran ini diilhamkan oleh Farah Jamiah Fikri yang berasal dari negeri jelapang padi,maka terhasil lah nama Restoran Bendang yang begitu unik. Pada awalnya restoran ini beroperasi di Klang Sentral, namun disebabkan ruang yang sempit dan terhad, lokasi baru telah dipilih iaitu di Setia Alam.
Lokasi baru restoran adalah lebih strategik dan selesa untuk para pelanggan menjamu selera. Memandangkan restoran ini merupakan satu – satunya restoran Melayu yang menawarkan hidangan nasi campur, maka ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
Restoran Bendang ini terletak di Setia Alam dan telah beroperasi lebih dari lima tahun. Ia menyajikan hidangan asli dari sebelah utara dan anda mesti mencubanya. Bagi yang merindui hidangan dari utara, boleh lah datang menjamu selera di sini. Sekurang – kurangnya terubat kerinduan pada kampung halaman yang jauh di sana.
Qi Razali semasa menjadi hos rancangan Jalan – Jalan Cari Makan pernah membuat review di restoran ini pada tahun 2013. Ternyata hidangan di sini sememangnya asli dan cukup memuaskan hati.
Bendang menyediakan hidangan sarapan pagi buat para pelanggan. Antara menu sarapan yang menjadi pilihan ramai adalah ubi rebusnya yang dimakan bersama kelapa parut. Ia mula beroperasi seawal jam 7.00 pagi setiap hari kecuali hari Jumaat. Kemudian, ia diikuti pula dengan hidangan makan tengahari mulai jam 11.00 pagi.
Kebanyakan hidangan yang tersedia di sini berkonsepkan selera tradisional Kedah. Antara hidangan yang boleh anda cuba adalah seperti gulai kawah, kensom, telur sotong, keli bakar, ketam, udang sambal, kari kepala ikan, ikan goreng dan bermacam lagi. Pastinya anda tidak tahu hendak pilih yang mana satu.
Sayuran yang bervariasi disajikan untuk menarik pelanggan masyarakat Cina yang lebih menggemari sayuran dalam hidangan. Setiap hari menu yang dihidangkan akan berubah bagi mengelakkan pelanggan bosan dengan menu yang sama setiap hari. Sebanyak 40 jenis lauk pauk disediakan dan disusun di dalam tray makanan berbentuk L bagi memudahkan pelanggan mengambil lauk pauk.
Tukang masak restoran ini pula didatangkan khas dari Kedah. Sudah pastinya, hidangan yang disajikan terhasil dari air tangan orang utara yang begitu asli. Rasanya sudah tentulah asli seperti hidangan di negeri Kedah.
Sebaik sahaja hidangan tengahari siap dihidang, pelanggan sudah mula memenuhi restoran ini. Tanpa perlu menunggu sehingga jam 1.00 tengahari, baru sahaja jarum mencecah jam 12.30 tengahari, lauk pauk mulai berkurangan. Kalau lambat, tinggal kuah kosong sahaja jawabnya.
Pada sebelah malam pula, restoran ini menyajikan hidangan masakan panas. Pelbagai menu masakan Thai disediakan oleh tukang masak yang berpengalaman. Hasilnya sudah tentulah mengujakan. Makanan Barat juga turut disediakan di restoran ini.
Restoran ini turut menyediakan pakej hidangan steamboat buat para pelanggan dengan harga bermula RM 12.90 seorang. Ia sebagai alternatif kepada pelanggan yang tidak mahukan nasi sebagai santapan mereka. Pakej steamboat bermula dari jam 6.00 petang hingga 10.00 malam setiap hari.
Harga makanan di sini juga sangat berpatutan dan mengikut standard pasaran di sini. Jangan pula anda membandingkan harga makanan di sebelah utara yang sememangnya lebih murah. Bahan mentah di sini sudah tentu berbeza harganya dengan di sana.
Alamat : Jalan Setia Indah X U13 X, Setia Alam, Shah Alam