Sukar mencari murtabak yang lazat dan penuh dengan inti? Bosan dengan murtabak pasar malam yang biasanya penuh dengan bawang?
Tak apa kami amat memahami, hari ini kami akan bawakan kepada anda Murtabak Cheese yang sangat enak di Kampung Kurnia, Johor Bahru – Majid Murtabak Cheese No.1!
Kami dapati banyak review-review yang baik tentang Majid Murtabak Cheese di laman sosial dan berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi, kami agak tertarik untuk mencuba!
Ya, sesuai dengan namanya iaitu Murtabak Cheese No.1. Kami dapat melihat ramai yang sedang beratur dan ramai juga yang sudahpun membuat pesanan untuk dibawak pulang ke rumah.
Ketika kami sedang beratur panjang, hidung kami sudahpun dijamu oleh aroma yang sangat enak dari murtabak ini. Sambil berbaris, mata kami turut melilau melihat menu yang dihidangkan disini.
Ada pelbahai pilihan murtabak dan jika dapat saya ringkaskan, mudah sahaja, anda cuma perlu memilih diantara daging, ayam atau pun kambing.
Kami memesan murtabak daging serta cheese yang bersaiz sederhana. Cheese yang digunakan adalah mozarella maka pasti anda terbayangkan ala-ala makan pizza dengan keju tarik bukan?
Yang menariknya, murtabak majid ini tidak terlalu berminyak. Kulit luar Murtabak Majid juga agak crispy. Murtabak disini juga dihidangkan dengan kuah kari sebagai pencicah.
Rasa murtabak disini mengingatkan kami akan murtabak di Singapura yang penuh dengan inti. Anda tak perlu menyeberang ke tambak untuk menikmati murtabak yang lazat dan penuh dengan inti!
Kami sangat berharap sekiranya terjumpa murtabak yang seakan-akan sama seperti Murtabak Majid ini di Kuala Lumpur.
Rasanya memang enak dan kami mengesyorkan rakan-rakan yang berada di Johor Bahru atau yang berniat untuk ke Johor Bahru agar datang, singgah dan wajib rasa sekali Murtabak Majid ni.
Murtabak Majid ini biasanya dibuka dari tengahari sehingga lewat 6 petang atau sehingga habis. Kami nasihatkan agar anda datang awal supaya tidak kempunan dan kecewa!
Ada kalanya jam 4 petang pun sudah habis! Jadi selepas ini jika anda betul-betul mengidam untuk makan murtabak yang sedap, usah fikir dua kali dan terus pandu ke sini!