Mencari idea tentang resepi kuih-muih untuk sarapan pagi? Kami kongsikan 15 resepi kuih-muih yang boleh anda hidangkan untuk keluarga.
Kuih-muih antara pilihan utama dan menu sampingan untuk sarapan. Pasti ada suri rumah yang sering sediakan bekal sarapan untuk keluarga berbanding beli di luar. Sekiranya anda kesuntukan idea untuk menyediakan kuih muih sarapan tersebut, bolehlah cuba resepi dibawah.
Kesemua resepi memang mudah dan cepat untuk disediakan di waktu pagi. Memasak sendiri lebih puas kerana kita dapat menghasilkan kuih mengikut citarasa dan kuantiti yang kita mahukan.
Kuih Cara Manis
Hanya menggunakan enam bahan sahaja, cara penyediaan kuih cara cukup mudah. Resepi yang dikongsikan oleh Kamilah Shafie ini sedikit berbeza kerana beliau menggunakan susu cair bagi menggantikan santan. Namun rasanya masih sedap untuk dinikmati.
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 cawan susu cair / santan
1 1/2 cawan air
Sedikit garam
Sebiji telur
Beberapa titik pewarna hijau
Cara penyediaan:
Kisar semua bahan tadi atau gaul saja guna pemukul telur sehingga sebati.
Panaskan acuan atas api, sapu minyak sedikit dan tuang adunan ke dalam acuan.
Letak sedikit gula dan tutup dengan penutup periuk selama 5 minit sahaja. Kemudian angkat dan hidang. Selamat mencuba.
Kuih Ketayap
Ada penggemar kuih ketayap? Resepi milik Rahmah Rosmin ini pasti menjadi dengan tekstur kulit ketayap yang berlubang cantik. Untuk mendapatkan tekstur ini, anda perlu tuang adunan sewaktu kuali sudah cukup panas. Guna api yang besar tetapi jangan sampai hangus. Sebelum terlupa, resepi ini tidak menggunakan telur.
Bancuh semua bahan di atas kemudian kisar hingga halus.
Panaskan kuali non stick dan pastikan kuali sudah panas baru tuang adunan. Sapu sedikit minyak menggunakan tisu pada permulaan sahaja. Adunan kedua dan seterusnya tidak perlu sapu minyak.
Tuang sedikit adunan kemudian lenggangkan.
Apabila sudah masak, angkat kulit ketayap dan isikan inti kelapa.
Gulung dan kemas-kemaskan.
Bahan-bahan inti:
1 biji kelapa parut
1/2 cwn gula merah
2 sudu besar gula pasir
1/2 cwn air
2 helai daun pandan
1 sudu besar tepung gandum
Secubit garam
Cara penyediaan inti:
Masak gula bersama air dan daun pandan hingga gula larut. Kemudian tapis air gula tersebut.
Masukkan kelapa lalu kacau hingga air kering dan kelapa masak.
Masukkan tepung gandum dan kacau sebati.
Jika suka inti berwarna hitam, masukkan sedikit kicap pekat.
Bom Bijan
Nana Renoma pula berkongsikan resepi kuih bom bijan. Cara penyediaannya mudah namun perlu teliti sewaktu menggoreng. Anda perlu sentiasa kacau sewaktu menggoreng agar kuih tidak pecah. Ini bahan-bahannya:
Bahan untuk kulit:
1 paket (500g) tepung pulut
1 cawan tepung gandum
Secubit Garam
Air secukupnya
Bijan Putih
Cara penyediaan:
Campurkan tepung pulut, tepung gandum dan garam.
Gaul rata kemudian tuangkan air sedikit demi sedikit.
Uli sampai doh tidak melekat di besen.
Sebelum uli, untuk masukkan inti pastikan tangan dilumurkan dengan sedikit minyak. Ambil doh lalu masukkan inti kelapa, bulatkan dan gaulkan dengan bijan.
Bahan untuk inti:
Kelapa parut
Gula Merah
Gula Pasir
Secubit Garam
Sedikit Air
Cara penyediaan:
Letakkan sedikit air ke dalam kuali. Masukkan gula merah, gula pasir dan garam.
Kacau hingga gula cair. Masukkan kelapa parut dan masak hingga warna kelapa menjadi sedikit gelap kemudian tutup api.
Cara menggoreng:
Buka api sederhana besar.
Masukkan minyak dan apabila minyak sederhana panas, masukkan kuih bom dan kecilkan api. Pastikan minyak tidak terlalu panas sebelum masukkan bom.
Selepas bom mula mengembang dan bertukar warna, kacau kuih sehingga masak.
Popia Goreng Sira
Popia goreng sira antara kuih tradisional yang masih digemari ramai. Ikuti resepi dari Mariana Zainal untuk mendapatkan popia goreng sira yang rangup dan kerangupannya tahan lama. Untuk resepi sira, beliau tidak menumiskan sosnya.
Bahan utama:
50 pcs kulit popia
1 sdb tepung gandum ( bancuh guna air 4-5 sdb untuk jadikan pelekat)
Bahan Inti:
1/2 biji kobis (hiris nipis)
3 batang lobak merah (sagat)
3-4 biji tauhu (goreng dan potong dadu)
1 biji bawang besar (potong dadu)
Segenggam udang geragau kering (basuh dan toskan)
Sedikit isi ayam (jika suka)
Sedikit garam
Cara penyediaan:
Panaskan 1/2 senduk minyak.
Tumiskan bawang dan udang geragau.
Masukkan isi ayam. Apabila isi ayam sudah empuk, masukkan semua sayuran, tauhu dan sedikit garam.
Kacau dalam masa 10 saat dan tutup api.
Toskan untuk buang air dalam sayuran dan biarkan benar-benar sejuk.
Ambil sekeping kulit popia dan masukkan inti. Gulung dan sapu bancuhan tepung gandum pada hujung gulungan (jangan gulung terlampau padat).
Buat hingga siap. Goreng menggunakan api perlahan sehingga betul-betul garing.
Toskan kemudian biarkan popia betul-betul sejuk.
Bahan Sira:
15-18 tangkai cili kering* (ikut tahap kepedasan masing-masing)
3 ulas bawang putih*
1/2 cawan minyak masak*
1/2 cawan air*
3 sdb sos cili(nak gantikan air asam jawa pun boleh)
3 senduk gula pasir
Sedikit bijan yang digoreng tanpa minyak (jika suka)
Cara penyediaan sos:
Kisar bahan bertanda * hingga betul-betul halus.
Satukan bahan kisar ke dalam kuali. Masak menggunakan api sederhana hingga benar-benar masak.
Masukkan gula pasir dan sos cili. Masak hingga berbuih dan likat.
Masukkan bijan dan biarkan sos sira betul-betul sejuk.
Masukkan popia dan kacau hingga rata (pastikan api tutup). Pastikan sambal menyaluti popia.
Cucur Bawang Ikan Bilis Rangup
Cucur bawang atau cucur bilis antara kuih yang disukai ramai tidak kira warga emas mahupun kanak-kanak. Anna Alfah berkongsikan resepi cucur yang rangup. Antara petua untuk mendapatkan cucur yang rangup adalah menggunakan ais atau air sejuk. Berikut merupakan bahan dan cara penyediaannya:
Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
2 sudu makan tepung beras
1 biji telur
5 biji bawang besar saiz besar – di hiris nipis
1 mangkuk besar – ikan bilis (kopek memanjang)
Cili flakes
Serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Air ais yang sejuk
1/2 sudu makan – brown sugar atau gula putih (optional)
Cara penyediaan:
1. Gaul semua bahan ke dalam tepung. Air bancuhan jangan terlalu banyak. Jika terlebih air sila tambah tepung gandum.
2. Panaskan kuali dan masukkan minyak yang banyak untuk rangupkan cucur.
3. Jemput-jemputlah adunan di hujung senduk dan masukkan ke dalam kuali. Goreng sehingga masak.
Puteri Ayu
Resepi ini juga mudah namun perlu lebih teliti dalam pembikinannya. Ikut resepi dari Alina Ali pasti menjadi kerana beliau turut memberi tips agar kuih tidak mengecut sewaktu dikukus.
Bahan-bahan:
4 biji telur (saya guna telur gred C)
225 gram gula pasir
1 sudu teh ovalet
200 ml santan
250 gram tepung gandum (ayak)
1 biji kelapa setengah tua (saya parut sendiri supaya cantik seperti dalam gambar)
Pewarna hijau apple
Cara penyediaan:
Parut kelapa kemudian kukus kelapa parut dengan sedikit garam selama 15 minit lalu sejukkan.
Setelah sejuk, gaul dengan 2 sudu tepung ubi untuk mengelakkan kelapa terurai.
Rebus santan dengan sehelai daun pandan hingga mendidih, tutup api dan sejukkan.
Kocok telur, gula pasir dan ovalet hingga betul-betul kembang.
Masukkan tepung dan santan sedikit demi sedikit lalu gaul dengan cara kaup balik.
Apabila sudah betul-betul tercampur rata, baru letak pewarna hijau.
Ambil cetakan puteri ayu dan oleskan dengan sedikit minyak. Masukkan kelapa parut dan tekan-tekan dasarnya.
Masukkan adunan tepung, jangan terlalu penuh. Kukus ke dalam kukusan yang telah sedia di panaskan. Kukus selama 7 minit dengan api sederhana.
Setelah 7 minit tutup api, tunggu sekejap baru buka penutup.
Tips kuih tidak mengecut:
Pastikan tutup pengukus dibalut dengan kain supaya air tidak jatuh ke atas kuih.
2. Jangan buka penutup semasa sedang mengukus. Tunggu 7 minit siap di kukus baru tutup api dulu baru buka.
Kuih Kaswi Pandan
Adryan Hamka pula berkongsikan resepi kuih kaswi pandan yang pernah tular baru-baru ini. Tekstur kaswi lembut dan beralun tetapi tidak terlalu lembik. Adunan ini mampu menghasilkan 26 hingga 28 biji kuih kaswi. Bagi penggemar kuih manis, anda boleh cuba resepi ini!
Bahan-bahan:
1 cwn tepung gandum
1 cwn tepung ubi
1 cwn gula
1 cwn air pandan
1 cwn santan cair
1 sb air kapur
Sedikit garam
2 titik pewarna apple green
Cara penyediaan:
1. Kacau air pandan dan gula sampai larut.
2. Masukkan santan cair dan garam kemudian kacau lalu masukkan pewarna 2 titik sahaja.
3. Masukkan tepung lalu gaulkan sebati. Jika mahu lebih cepat, boleh kisar bagi tekstur lembut kemudian tapiskan.
4. Masukkan air kapur.
5. Kukuskan air hingga mendidih. Sementara itu, sapu minyak pada acuan.
6. Masak selama 17 minit dan 5 minit terakhir angkat tudung penutup supaya air atas kaswi kering dan ulang proses sampai adunan habis.
7. Letak depan kipas selama 10 minit dan boleh keluarkan dari acuan.
Bahan santan:
200 ml santan pekat (kotak)
1 cwn air
2 sb tepung beras
Sedikit garam
Cara penyediaan santan:
Masak kesemua bahan atas api dan kacau sampai pekat.
Kaswi Gula Merah
Kuih kaswi gula merah ini juga merupakan resepi yang telah dikongsikan oleh Adryan Hamka di Facebook. Cara penyediaannya lebih mudah. Nak tahu keenakkan kaswi gula merah, jom cuba resepi di bawah.
Bahan-bahan:
1 cwn gula merah*
1/2 cwn gula *
2 cwn air*
Daun pandan*
2cwn tepung gandum
1/2 cwn tepung ubi
1 cwn air
2 sb air kapur
Sedikit garam
Cara penyediaan:
Masak bahan bertanda * hingga mendidih atau sampai gula larut lalu tapis dan sejukkan.
Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas dan tuangkan air gula merah yang sudah ditapis.
Jika mahu kelihatan lebih gelap, tambahkan sedikit kicap pekat.
Masak menggunakan api sederhana selama 17 minit dan 5 minit terakhir buka tudung penutup.
Apam Susu
Kuih lembut dan gebu ini pasti digemari ramai termasuk kanak-kanak. Dengan warna yang menyerlah, pasti menarik perhatian ramai. Jom ikut resepi Siti Sarah Mohd Sapuan untuk mendapatkan apam susu yang gebu.
Bahan-bahan:
4 biji telur *
1 sudu besar ovalet*
4 sudu besar susu pekat*
3 sudu besar susu cair*
1 sudu teh esen vanilla*
1 cawan gula*
2 cawan tepung gandum
Pewarna
Cara penyediaan:
Masukkan semua bahan yang bertanda di atas ke dalam pengisar.
Kisar semua sehingga adunan bertukar warna menjadi putih.
Tuang adunan ke dalam bekas.
Masukkan tepung gandum yang telah diayak.
Sebatikan atau kacau adunan.
Masukkan pewarna mengikut kesukaan. Jika mahu tiga warna, asingkan ke dalam tiga bekas adunan tersebut.
Kukus selama 10 hingga 15 minit. Wajib sapu minyak pada acuan untuk mengelakkan kuih melekat masa dikeluarkan.
Burger Malaysia
Burger Malaysia atau ada yang memanggilnya pau sambal merupakan kuih tradisional yang masih digemari ramai. Tekstur sambal bilis haruslah pekat bagi mengekalkan kelembutan roti. Sambal bilis yang cair membuatkan roti menjadi lembik. Jom cuba resepi dari Syaa Amiruddin.
Bahan A:
1 paket yis kering
4 sb gula
4 sb susu pekat
2 cawan air suam
Bahan B:
1 kg tepung gandum
120 g majerin
1 biji telur kuning
Sedikit garam
Cara penyediaan:
Masukkan susu, gula dan air suam kemudian kacau-kacau.
Masukkan yis lalu kacau dan tunggu sampai naik.
Sementara itu, gaul bahan B hingga sebati.
Masukkan bahan A dan pastikan bahan A sudah naik. Gaul dengan air biasa.
Bahan sambal:
Cili kering (di rebus buang biji)
Ikan bilis (di rebus)
Bawang putih
Bawang merah
Gula melaka@nisan(sedikit)
Gula pasir
Sedikit garam
Timun
Cara penyediaan sambal:
Kisar cili kering, bawang putih dan bawang merah.
2. Tumis dan masukkan gula, nisan, garam dan ikan bilis.
Karipap
Berikut merupakan resepi kulit karipap turun-temurun yang telah dikongsikan oleh K-roll Kareng di laman Facebooknya. Anda bebas meletakkan inti yang anda suka sama ada inti ikan, kentang, ayam mahupun daging.
Bahan kulit:
1 kg tepung gandum
2 sdb margerin
2 senduk besar minyak masak (panaskan)
Air ais (sukatan ikut kelembutan yang anda mahu)
1 sdt garam halus
2 sdb tepung beras
Cara penyediaan:
Campur tepung gandum, tepung beras, garam dan margerin. Gaul sebati hingga menjadi seperti serbuk roti.
Kemudian masukkan minyak panas dan gaul lagi.
Masukkan air sedikit demi sedikit. Uli dan peram sekejap dalam masa sejam. Bulat-bulatkan dan boleh masukkan inti.
Donut Simple
K-roll Kareng turut berkongsikan resepi donut yang lembut dan gebu. Jika mahukan kelainan, anda boleh gantikan salutan gula dengan milo, horlicks, nestum dan sebagainya. Untuk adunan ini, anda boleh menguli menggunakan tangan. Namun jika ada penguli, ia lebih mudah.
Bahan-bahan:
4 cawan tepung gandum*
2 sdb susu pekat*
2 sdb minyak masak*
1/2 sdt garam*
2 sdt baking powder*
1 1/2 cawan air suam kuku
11g mauripan
2 sdb gula
Cara penyediaan:
Campur dan gaulkan bahan bertanda * sampai jadi seperti serbuk roti.
Campurkan bahan yang tidak bertanda dan biarkan hingga naik 2 kali ganda.
Campurkan air mauripan ke dalam campuran tepung. Jika adunan keras, campurkan sedikit air agar doh lembut. Pastikan jangan lembik sangat dan jangan keras sangat.
Uli sampai doh tidak melekat di tangan. Gunakan mixer untuk menguli dengan lebih mudah.
Untuk warna adunan, campurkan 2 penutup pewarna jenama Ayam Brand mengikut warna yang anda mahu ke dalam campuran air mauripan.
Bentukkan adunan dan biar seketika.
Goreng sehingga masak.
Kuih Koci
Jom cuba resepi kuih koci comel yang berwarna-warni ini. Roziana Zaha kali ini menggunakan kacang merah sebagai inti. Memang berbeza dari kebiasaan. Penyediaan kuih koci ini tidak mengambil masa yang lama.
Bahan-bahan:
500 g tepung pulut
1 sudu besar tepung gandum
Secawan santan cair
Secubit garam
Air secukupnya
Inti kacang merah
Daun pisang
Minyak masak
Cara penyediaan:
Panaskan santan bersama air dan garam.
2. Biarkan sejuk santan dahulu baru masukkan ke dalam tepung pulut dan tepung gandum.
3. Gaul sampai sebati dan boleh masukkan air sehingga doh tidak melekat dekat tangan.
4. Layurkan daun pisang dan sapukan minyak pada daun pisang.
5. Bulat-bulatkan inti terlebih dahulu dan asingkan doh untuk warna-warna kepada beberapa bahagian.
6. Boleh bulatkan doh bersama inti kacang merah dan balut dengan daun pisang. Pastikan daun pisang dipotong kecil untuk balutkan bahagian bawah sahaja.
7. Selepas balut, sapukan minyak pada atas permukaan kuih.
8. Kukuskan kuih koci selama 5 hingga 8 minit sahaja.
Lempeng Legend
Kuih lejen ini dapat mengimbau air tangan ibu. Dengan hanya tiga bahan sahaja, anda dapat menghasilkan lempeng kurang setengah jam. Lempeng sedap dicicah bersama sambal bilis, gula merah mahupun kari. Jom cuba resepi milik Nor Fathihah Nawi.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
3 cawan air
Garam secukup rasa
Cara penyediaan:
1. Ambil mangkuk besar dan masukkan tepung gandum, air dan garam secukup rasa.
2. Jika risau garam berketul boleh larutkan dalam air terlebih dahulu. Adun sebati hingga adunan tepung tidak berketul.
3. Jika suka, boleh satukan semua bahan ke dalam pengisar dan kisar hingga sebati.
4. Ambil kuali dan oles sedikit minyak masak.
5. Tuang 1 hingga 2 senduk adunan lempeng lalu ratakan.
6. Balikkan adunan lempeng hingga masak dan keperangan.
7. Angkat dan sedia untuk dinikmati mengikut citarasa memasing.
Note: Jika mahukan lempeng yang kelihatan mulus, masak dengan kuali yang tidak terlalu panas. Jika mahukan lempeng yang ada bubble, gunakan kuali yang panas.
Roti Sardin Cornflakes
Resepi terakhir ini pasti digemari anak-anak kerana rangup dan tidak terlalu pedas. Jadikan bekal ke sekolah juga sudah mencukupi. Nuralia Idayu mencipta sedikit kelainan dengan menyalutkan cornflakes pada roti bagi menghasilkan roti sardin yang lebih rangup.
Bahan-bahan:
Roti
Bawang besar (hiris nipis)
1-2 tangkai cili (hiris nipis)
Sardin tin
1-2 biji telur
Cornflakes (hancurkan sedikit)
Cara penyediaan:
Tumis bawang dan cili.
Masukkan sardin dan gaul rata. Tambahkan garam dan gula sebagai penambah rasa. Gaul rata dan tutup api.
Lenyekkan roti lalu letakkan sardin ditengah-tengah.
Sapu telur di bahagian tepi roti dan tekankan bahagian tepi roti menggunakan garfu (taknak bagi terbuka nanti goreng).
Celup roti ke dalam telur kemudian salut cornflakes pada roti.
Goreng sampai warna keperangan (garing).
Sudah ada resepi kuih muih sarapan pagi yang berkenan di hati? Mudahkan cara untuk membuatnya? Jom cubanya sekarang!
Sesetengah orang hanya makan kuih-muih untuk sarapan. Tidak mengapa, asalkan perut tidak kosong pada waktu pagi. Sarapan sangat penting bagi memulakan hari anda dengan lebih bersemangat kerana ia membuatkan kita lebih bertenaga untuk menjalani segala aktiviti harian.
Jika tidak mahu sarapan dengan makanan berat, makan kuih-muih juga sudah mengenyangkan. Selamat mencuba resepi di atas!
Nak cuba lebih banyak resepi menarik? Kami kongsikan lebih banyak resepi buat anda seperti: