Anda mengimpikan makan malam yang santai penuh romantis di bawah lampu berwarna warni? Diiringi dengan iringan muzik oleh busker tempatan sambil mengenakan makanan yang enak rasanya dan berpatutan harganya? Kami tahu medan selera apa yang cocok dengan citarasa anda!

Kimstone

Imej via Foursquare

Dekorasi kebanyakan medan selera selalunya biasa-biasa sahaja, namun di Kimstone, anda pasti akan terpukau dengan konsep dekor yang menarik di sini. Baharu sahaja beroperasi sekitar tahun 2017, boleh dikatakan perniagaan Kimstone memang maju kerana ia berjaya menempa nama sebagai salah satu medan selera yang namanya cukup gah di Kuantan dalam masa yang agak singkat.
Saban hari, tempahan di Kimstone sentiasa penuh, malah ada juga yang sanggup datang dari jauh! Mari kita lihat apa yang menarik di sini.

Kelapa Joget

Imej via Instagram

Coconut Shake Kelapa Joget, Rasa Kelapa Asli

Antara daya tarikan utama di Kimstone ialah salah satu gerai minuman di sini, iaitu Kelapa Joget. Salah satu menu yang mendapat tempat istimewa di hati pelanggan ialah Coconut Shake.

Coconut Shake di Kelapa Joget ni bukan biasa-biasa. Seperti nama gerainya, rasanya boleh bikin anda rasa nak joget! Rasa kelapa yang asli, anda pasti akan berpuas hati (terutamanya jika anda sedang berbuka puasa, gerenti puas)!

Jaman Tory Resepi

Imej via Instagram

Masakan Pahang Paling Enak di Jaman Tory Outlet

Orang Kuantan kalau tidak pernah dengar Jaman Tory Outlet, anda memang rugi! Jaman Tory Outlet memang tersohor di Kuantan dan terkenal dengan masakan tradisi Pahang. Sinonim dengan masakan Pahang yang popular, semestinya masakan berasaskan ikan patin ada di sini! Patin Bakar Tempoyak merupakan salah satu masakan Pahang yang wajib anda cuba jika anda ke Jaman Tory Outlet di Kimstone.

Aromanya sahaja cukup mengundang, inikan pula rasanya. Menu-menu lain yang terbaik di Jaman Tory Outlet termasuklah Patin Goreng, Set Patin Tempoyak, Set Ayam Kampung dan banyak lagi. Haa, dengar nama menu sahaja sudah terliur!

Kambing Bakar Guangzhou

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Kambing Guangzhou atau lebih dikenali dengan KBGZ yang merupakan salah satu gerai di Kimstone. KBGZ bukan sahaja menyediakan kambing bakar, malah banyak lagi lauk-lauk kegemaran anda turut disediakan di sini.

Antara menu terbaik di KBGZ termasuklah Alaska King Crab, Shrimp Grill, Lamb Shank, Lamb Boneless dan banyak lagi! Semestinya enak dicicah panas-panas dengan sos yang disediakan.

Selain itu, KBGZ juga ada menyediakan makanan Barat seperti Spaghetti Carbonara, Chicken Chop dan Mushroom Soup & Roti Arang. Macam-macam ada di sini, kalau tak cuba memang rugi!

Set Bawal Goreng

Imej via Foursquare

Siapa di sini penggemar Char Koay Teow resepi khas dari Penang? Berita baik buat anda! Brader Bob Char Koay Teow ada menyediakan char koay teow yang lain daripada biasa! Semestinya resepinya original dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang!

Antara Char Koay Teow yang popular di sini termasuklah Char Koay Teow Ketam Special dan Char Koay Teow Sotong King. Bukan Char Koay Teow sahaja, Set Bawal Goreng di sini juga apa kurangnya.

Bawal goreng yang digoreng panas-panas, dicicah bersama kari sambal belacan,dan dijamah bersama ulam-ulaman. Hidangan ini cukup sempurna untuk dicuba!

Lakukek

Imej via Facebook

Bagi yang pernah ke Kimstone, anda pasti ada terlihat satu kedai kek, di mana dekorasinya sama seperti kedai kek di negara Barat. Kagum dengan dekorasinya yang cantik dan menarik? Ya, itulah kedai Lakukek!

Baharu sahaja beroperasi di Kimstone Julai yang lepas, Lakukek bukan sahaja menyediakan kek, Lakukek juga ada menyediakan pastri dan pencuci mulut yang standing dengan kek-kek di hotel! Lakukek juga ada mengambil tempahan untuk majlis hari jadi, di mana majlis hari jadi tersebut boleh diadakan di Lakukek sendiri. Seronoknya dapat sambut hari jadi di tempat yang secantik itu!

Kimstone juga ada banyak lagi gerai yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Antaranya Satezul, Stizzers Western House, Sara Thai Kitchen dan banyak lagi! Bagi yang sudah mula berkeroncong perut tu, cepat-cepatlah buat tempahan dan serbu Kimstone. Dijamin puas!

Penulis: Nurul Hani Muhamad Sabri

Nurul Hani Muhamad Sabri

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.