Langkau ke kandungan

10 Resepi Sayur Kailan Sedap & Mudah

Bagi masyarakat Malaysia, sayur kailan merupakan salah satu sayur kegemaran ramai. Pada asasnya, sayur kailan biasanya digunakan di dalam masakan Cina.…

Dikemas kini 31 Oktober 2026oleh kiraasla8 minit bacaan
Pilih resipi
Gambar masakan kailan ikan masin yang sedap
Kandungan

Bagi masyarakat Malaysia, sayur kailan merupakan salah satu sayur kegemaran ramai. Pada asasnya, sayur kailan biasanya digunakan di dalam masakan Cina. Hal ini kerana sayur kailan mempunyai pelbagai jenis khasiat yang baik untuk badan. Sayur ini juga mengandungi banyak jenis vitamin seperti vitamin K, A, C, E dan banyak lagi.

Selain itu, sayur kailan ini kebiasaannya dimasak dengan menggunakan resepi kailan ikan masin. Menu kailan ikan masin ini juga sangat banyak di order di kedai-kedai masakan Thailand. Walaupun begitu, terdapat banyak lagi masakan yang sesuai diolah dengan menggunakan sayur kailan. Jom tengok 10 resepi kailan yang menarik di bawah.

Kailan Ikan Masin

Kailan tumis bersama ikan masin
Imej via facebook

Sayur ini sememangnya sangat sedap untuk dijadikan menu tambahan bagi lauk tengah hari. Lagi-lagi resepi kailan ikan masin yang menjadi pilihan ramai suri rumah. Resepi yang dijamin sedap. Resepi kali ini dikongsi oleh Bunga Dhiaa di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ikat sayur kailan (ambil pucuk kalian yang berbunga sahaja)

  • 2 cm ikan masin sebaik-baiknya ikan tenggiri

  • 2 biji bawang merah

  • 2 ulas bawang putih

  • 2 biji cili api (ditumbuk)

  • 2 sudu besar sos tiram

  • 1 sudu besar sos ikan Thai

  • Minyak bijan

Cara Penyediaan:

1)Sayur yang telah dibersihkan dan dipotong kecil-kecil mengikut citarasa anda.

2)Ambil bawang merah dan putih. Potong halus.

3)Bersihkan ikan masin terlebih dahulu dan potong kecil-kecil.

4)Goreng ikan masin di dalam minyak yang panas sehingga betul-betul garing.

5)Masukkan semua bawang dan goreng bawang tersebut sehingga layu.

6)Setelah bawang layu, masukkan sos tiram dan kacau sehingga sebati.

7)Setelah bahan betul-betul sebati masukkan pula sos ikan thai dan terus kacau.

8)Setelah sos sebati, masukkan sayur. Kacau sehingga sayur sebati.

9)Setelah sayur sebati, tambahkan sedikit air agar tidak terlalu kering.

10)Goreng sehingga sayur layu dan masak sepenuhnya.

11)Masakan kailan ikan masin anda telah pun siap untuk dihidangkan.

Nota: Penggunaan garam tidak perlu di dalam resepi ini kerana ikan masin sudah cukup untuk memasinkan masakan ini.

Kailan Goreng Belacan

Sayur kailan goreng belacan
Imej via youtube

Kalau biasa sayur goreng belacan menggunakan sayur kangkung, kali ni kita guna sayur kailan. Bagi masyarakat Melayu, memasak dengan menggunakan belacan sememangnya satu kemestian. Bau belacan yang unik ditambah dengan rasa yang sedap pastinya menjadi pilihan menu tengah hari. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh Put3 Nayli di laman facebook miliknya.

Bahan-bahan:

  • Sayur kailan

  • 2 biji bawang besar

  • 4 ulas bawang putih

  • 3 batang lada merah

  • Belacan

  • 2 sudu besar sos tiram

  • Garam

  • Gula (secukup rasa)

  • Minyak untuk menumis

Cara Penyediaan:

1)Sediakan kuali dan panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih, lada merah, belacan dan sos tiram. Kacau sebati.

2)Masukkan sayur apabila bahan tumisan garing. Kacau sehingga sayur layu.

3)Masukkan sayur ke dalam mangkuk dan siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba!

Kailan Goreng Sos Tiram

Hidangan kailan goreng sos tiram
Imej via facebook

Masak sayur apa-apa pun memang sedap kalau tambahkan sos tiram. Lagi-lagi masak guna sayur kailan yang segar. Memang sedap sangat. Bagi yang suka masakan pedas, boleh tambahkan cili di dalam masakan sayur. Resepi kali ini dikongsi oleh page Dapur Ana.

Bahan bahan:

  • 300g kailan atau baby kailan

  • 2 ulas bawang putih (ketuk dan cincang halus)

  • 1/2 cawan sos tiram (tambah 1/3 cawan air)

  • 1 sudu kecil gula

  • 1 sudu kecil lada sulah

  • 1/3 cawan minyak untuk menumis

  • Bawang goreng (untuk hiasan)

Cara Penyediaan:

1)Panaskan minyak dalam kuali (pastikan guna api yang kuat). Tumis bawang putih hingga naik bau.

2)Masukkan sos tiram yang sudah dicampur air. Kacau rata.

3)Masukkan gula dan lada sulah. Kacau goreng hingga pecah minyak.

4)Masukkan sayur dan kacau rata seketika hingga masak tetapi jangan sampai layu.

5)Padamkan api dan terus hidangkan ke dalam pinggan. Taburkan bawang goreng. Siap!

Kailan Sos Tiram Mabelesss

Sayur kailan goreng sos tiram

Resepi kailan ini adalah resepi milik Rohani Ahmad yang telah dikongsikan melalui laman Facebooknya. Kali ini beliau berkongsi resepi kailan dengan sos tiram. Kuantiti resepi di bawah cukup untuk seorang atau dua orang makan sahaja. Beza dengan versi tumis di atas, kailan di sini dicelur dahulu dan kuah sos tiramnya dituang selepas itu.

Bahan-bahan:

  • 1 genggam kailan
  • 3 Ulas bawang putih dicincang halus
  • Cili api (potong)
  • ½ sudu teh ajinomoto
  • ½ sudu makan gula
  • 1 senduk sos tiram
  • Air sedikit

Cara-cara memasak:

1. Masak air dalam periuk dan titiskan sedikit minyak masak.

2. Celur sayur kailan namun jangan biarkan terlalu lama. Angkat, toskan dan susun di atas pinggan.

3. Di dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga naik baunya dan masukkan sos tiram, cili padi, ajinomoto dan gula. Garam tak perlu diletakkan kerana sos tiram sudah masin.

4. Biarkan mendidih seketika dan masukkan sedikit air.

5. Apabila kuah agak pekat sedikit, angkat dan curah keatas sayur tadi.

6. Siap untuk dihidangkan.

Kailan Goreng Biasa + Suhun

Kailan goreng dicampur suhun
Imej via facebook

Bagi mereka yang bujang, resepi satu ini pastinya menarik perhatian anda. Bahan yang ringkas dan memerlukan masa yang singkat untuk menyediakan resepi ini. Resepi kali ini dikongsi oleh Elisa Rose di laman facebook miliknya.

Bahan-bahan:

  • Sawi

  • Kailan

  • Suhun (direndam dengan air dan toskan)

  • Ikan bilis (di goreng)

  • Lada merah (di hiris)

  • Bawang besar (di hiris)

  • Bawang putih (di hiris)

  • 1 sudu besar sos tiram

  • Sedikit garam

Cara Penyediaan:

1)Panaskan minyak tumis bahan-bahan yang di hiris semua hingga layu.

2)Kemudian masukkan sos tiram, garam dan suhun. Kacau rata.

3)Masukkan sawi dan kailan. Kacau hingga sedikit layu.

4)Letakkan sayur ke dalam pinggan. Taburkan ikan bilis goreng atas sayur semasa di hidang.

Baby Kailan Masak Tumis

Baby kailan masak tumis
Imej via facebook

Resepi kali ini menggunakan baby kailan yang rangup dan sedap untuk dimakan. Menggunakan bahan-bahan yang ringkas dan mudah didapati. Cara penyediaannya juga sangat mudah. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh page Resepi Enak di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 biji bawang merah

  • 1 ulas bawang putih

  • 1 genggam udang kering (direndam sekejap)

  • Sayur baby kailan

Cara Penyediaan:

1)Bersihkan sayur baby kailan dan di carikkan daun sekeping demi sekeping.

2)Rendam udang kering dalam air panas sehingga lembut dan toskan.

3)Tumbuk semua udang kering dengan bawang putih dan bawang merah.

4)Panaskan minyak secukupnya dan tumis bahan ditumbuk sampai wangi.

5)Masukkan semua sayur baby kailan dan masukkan sedikit air supaya sayur tidak kering. Kacau hingga sebati. (Jika sayur tidak masin, tambahkan garam)

6)Bila sayur dah masak dan sedikit layu, tutup api.

7)Masukkan sayur ke dalam pinggan dan siap untuk dihidangkan.

Daging Goreng Kailan

Daging goreng bersama sayur kailan
Imej via facebook

Pening fikir menu tengah hari? Jangan risau, masak je daging goreng kailan. Lengkap dengan daging sekali sayur. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh page Resepi Enak. Mudah dimasak dan sedap dimakan.

Bahan-bahan:

Bahan Perapan Daging:

  • 300gm daging (hiris nipis)

  • 1 sudu teh kicap

  • 2 sudu teh minyak sayur

  • 1 sudu teh tepung jagung

  • Sedikit garam dan gula

Bahan Sos:

  • 2 sudu makan air

  • 1 sudu teh minyak bijan

  • 1 sudu the tepung jagung

Bahan Tumis:

  • 3 pokok anak kailan (potong 3 hingga 4cm dan celur angkat)

  • 2 sudu makan minyak

  • 1 biji cili merah (hiris serong)

  • 2 biji bawang merah (hiris)

  • 6 ulas bawang putih (cincang kasar)

  • 3 sudu minyak masak

  • Garam dan perasa secukupnya

Cara Penyediaan:

1)Masukkan daging bersama semua bahan perapan ke dalam mangkuk. Gaul dan perap lebih kurang 30 minit.

2)Sambil itu sediakan sos. Di dalam mangkuk kecil campurkan semua bahan sos. Kacau rata dan ketepikan.

3)Panaskan air dalam periuk, kemudian celur anak kailan lebih kurang satu minit, angkat dan toskan.

4)Untuk menumis daging, panaskan sedikit minyak masak, masukkan bawang putih dan bawang merah. Kacau hingga wangi.

5)Kemudian masukkan daging yang telah diperap tadi. Gaul rata hingga daging masak dan bertukar warna keperangan.

6)Setelah daging masak, masukan hirisan cili dan kailan yang telah dicelur tadi. Kacau seketika.

7)Masukkan sos yang telah disediakan tadi, sos tiram, garam dan gula secukup rasa.

8)Angkat dan sayur sedia dihidangkan.

Kailan Pekasam Daging

Sayur kailan goreng pekasam daging

Pernah dengar atau cuba kailan pekasam daging? Jika tidak pernah, apa kata anda cuba resepi unik yang dikongsikan oleh Yatt Aurora Gold. Agak sukar untuk mencari pekasam daging di kedai-kedai biasa. Jika tiada, anda boleh membelinya di Shopee. Ini resepi mudah buat anda!

Bahan-bahan:

  • 250 gram pekasam daging
  • 2 genggam kailan
  • 2 biji bawang merah (dipotong)
  • 2 ulas bawang putih (dipotong)
  • 2 biji cili padi (diketuk)
  • 1 biji cili merah (dipotong)
  • 1 sudu sos tiram
  • 1 sudu sos ikan

Cara-cara memasak:

1. Tumis daging pekasam sehingga sedikit garing.

2. Masukkan semua bahan lain dengan satu persatu.

3. Perasakan mengikut citarasa anda.

4. Siap untuk dihidangkan.

Kailan Ikan Masin dan Udang

Kailan goreng ikan masin dan udang
Imej via facebook

Kalau sayur kailan ikan masin dan biasa dengar. Apa kata kali ni cuba resepi sayur kailan ikan masin dengan udang. Rasa udang yang manis ditambah dengan rasa masin asli dari ikan masin pastinya membuatkan anda menambahkan nasi. Resepi kali ini dikongsi oleh page Resepi Enak.

Bahan-bahan:

  • Sayur kailan (dipotong)

  • 5 ekor udang (buang kulit)

  • 1 keping ikan tenggiri jeruk (potong kecil)

  • 1 sudu kecil air dari botol ikan masin jeruk

  • 1 biji bawang besar (dimayang bulat)

  • 1 inci halia (diketuk)

  • 3 ulas bawang putih (diketuk)

  • 1 sudu besar sos tiram

  • 1 sudu besar sos ikan

  • Sedikit air asam limau nipis

  • Sedikit serbuk lada sulah

Cara Penyediaan:

1)Panaskan minyak dan tumis ikan masin tenggiri hingga naik bau sambil dikacau rata.

2)Kemudian masukkan bawang putih, bawang besar dan halia. Selepas itu, masukkan udang dan sos tiram.

3)Masukkan batang sayur dulu dan tambah air dr botol ikan masin tadi. Akhir sekali, masukkan daun sayur, sos ikan dan dikacau rata.

4)Masukkan dalam 2 sudu besar, biarkan seketika dan angkat. Semasa dihidangkan, tabur sedikit lada sulah dan perah air asam limau.

Sup Sayur Kailan

Sup sayur kailan

Pasti ada yang tak tahu bahawa kailan juga sedap dimasak dengan sup. Resepi yang dikongsikan oleh Sumayyah Basir ini memang sangat mudah dan lain daripada yang lain. Mana tidaknya, beliau yang mengolahkan masakan kailan dengan sendiri. Nak tahu rasanya? Jom cuba!

Bahan-bahan:

  • Bawang putih
  • Ikan bilis
  • 5 cawan air
  • Sos tiram
  • Sos ikan
  • Suhun
  • Garam
  • Lada Hitam

Cara memasak:

1. Tumis bawang putih dan ikan bilis.

2. Masukkan air lima cawan.

3. Masukkan sos tiram dan sos ikan sedikit.

4. Masukkan suhun dan sayur kegemaran anda.

5. Perasakan dengan garam dan lada hitam.

6. Siap untuk dihidangkan.

Resepi Menarik Lain:

Selain resepi sayur kailan di atas, anda juga dijemput untuk membaca artikel resepi menarik kami yang lain. Jangan lupa untuk tinggalkan komen dan share. Selamat mencuba!

Resipi seterusnya

Gambar sayur bayam goreng dengan lemon yang sedap dan sihat10 Masak Resepi Sayur Bayam Simple Dan Sedap →