Sayur labu sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Labu bukan sahaja sedap dimakan, malah terdapat banyak khasiat yang boleh diperolehi daripada labu. Menariknya lagi, khasiat-khasiat labu adalah berbeza mengikut kepada jenis labu tersebut. Selain dari labu yang berbentuk bulat, terdapat juga labu yang berbentuk lonjong.

Selain dari bentuknya yang berbeza-beza, warna labu juga berbeza. Antara warna labu yang biasa dilihat adalah warna oren, tetapi terdapat juga warna labu seperti kuning dan hijau. Labu yang biasa dijadikan sayur adalah labu kuning atau labu air. Walaupun begitu, terdapat pelbagai lagi jenis labu yang mungkin anda tidak tahu. Jom tengok pelbagai jenis labu di bawah.

Labu Kuning

Imej via [medium]

Labu kuning merupakan labu yang biasa dilihat. Siapa yang tidak tahu dengan labu yang menjadi kereta Cinderella ini? Labu yang berwarna kuning ini kaya dengan nutrisi seperti vitamin, antioksidan dan potassium. Antara vitamin yang terdapat di dalam labu ini ialah vitamin A, C dan E. Labu kuning juga tinggi dengan serat dan rendah kalori. Disebabkan itu, sayur labu kuning sangat sesuai untuk mereka yang sedang berdiet.

Labu kuning berfungsi sama seperti ubi ungu dimana mereka yang memakan labu kuning akan merasa kenyang lebih lama. Selain itu, labu juga membantu merawat kulit. Labu kuning sangat kaya dengan pelbagai vitamin dan serat yang diperlukan tubuh. Labu kuning juga membekalkan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan.

Disamping itu, kandungan vitamin yang tinggi di dalam labu juga membantu meningkat sistem kekebalan badan untuk melawan virus serta penyakit. Sup labu juga dikatakan sangat bagus untuk mereka yang mempunyai selesema atau batuk-batuk. Labu kuning sering dijadikan sebagai sayur masak lemak, bubur dan sup.

Butternut Squash 

Imej via [loveandlemons]

Labu butternut sama seperti labu kuning. Apa yang berbeza adalah bentuk labu yang seakan labu sayong dan isinya yang lebih lembut berbanding dengan labu kuning. Terdapat pelbagai kebaikan jika memakan labu ini. Antaranya ialah menambahkan selera makan, merawat tekanan darah tinggi dan memperbaiki kulit kusam.

Disebabkan isi labu yang lembut, labu ini sering diolah menjadi pencuci mulut. Antara pencuci mulut yang biasa menggunakan labu ini ialah kek ataupun pudding. Labu ini juga sering dijadikan sebagai makanan bayi kerana teksturenya yang lembut dan khasiat yang baik untuk bayi. Labu ini juga mengandungi antioksidan yang membantu mencegah kanser.

Selain itu, labu ini kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin A dan vitamin C. Terdapat juga kandungan mineral dan serat yang baik untuk badan terkandung di dalam labu ini. Labu ini juga sangat disyorkan di dalam diet wanita hamil.

Kabocha

Imej via [ediblemichiana]

Kabocha juga dikenali sebagai labu Jepun. Rasanya yang sama seperti ubi dan isinya yang lembut menjadikan labu ini salah satu labu yang disukai ramai. Labu ini juga memiliki warna isi yang sangat unik iaitu kuning dan oren. Sama seperti labu yang lain, labu ini juga mempunyai manfaat yang baik untuk badan anda.

Antara manfaat memakan labu ini ialah dapat menyihatkan mata. Sama seperti sayur berwarna oren yang lain, labu juga mempunyai karoten yang dapat mengurangkan risiko gangguan penglihatan apabila meningkat usia nanti. Labu ini juga dapat menurunkan risiko kanser seperti kanser payudara dan kanser prostat.

Kandungan vitamin C, vitamin D dan jumlah kalori yang rendah di dalam labu ini menjadikan labu ini sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan. Disebabkan rasanya yang manis, labu ini sering dijadikan bubur, kuih, kek dan puding.

Labu Siam

Imej via [hellosehat]

Labu siam merupakan labu yang bersaiz agak kecil berbanding labu yang lain. Bentuk labunya yang berbiku-biku menjadikan labu ini agak unik jika dilihat. Labu ini juga mempunyai getah dan biasa diolah menjadi masakan sayur. Antara sayur yang biasa dimasak menggunakan labu ini ialah sambal goreng labu, sayur labu bersantan atau kudapan seperti kerepek labu.

Selain itu, labu ini mempunyai rasa yang tidak terlalu manis. Labu siam mengandungi banyak nutrisi yang baik untuk kesihatan. Labu ini juga dikatakan mampu menjaga sistem pencernaan, mengatasi penyakit anemia, mencegah kanser dan menjaga kesihatan jantung.

Selain itu, labu ini juga mengandungi folat atau vitamin B9 yang sangat baik untuk wanita yang ingin mengandung. Kandungan B9 juga sangat penting untuk perkembangan otak janin di awal kehamilan. Memakan labu ini juga membantu mencegah kelahiran pramatang.

Labu Air

Imej via [lollipop]

Labu air merupakan labu yang mempunyai kulit berwarna hijau dan isi yang berwarna putih. Labu ini sering dijadikan sayur berkuah. Kandungan getah yang terdapat di dalam labu ini lebih banyak berbanding labu-labu yang lain. Disebabkan kandungan getah yang banyak, labu ini biasanya dikupas di bawah air yang mengalir.

Sama seperti labu yang lain, labu ini juga mengandungi pelbagai khasiat seperti kalsium, zat besi, vitamin C dan sangat kaya dengan mineral. Disebabkan itu, labu ini dapat merawat demam yang tinggi dan selesema. Memakan labu yang dimasak menjadi sup juga membantu untuk membersihkan paru-paru dari pengaruh nikotin.

Menariknya lagi, sama seperti nama yang diberikan, labu ini mempunyai kandungan air yang sangat tinggi. Kandungan air di dalam labu membantu melembabkan kulit muka. Sifat diuretik dan anti-inflamasi yang terdapat di dalam labu ini juga baik untuk membantu mengurangkan peradangan dan melancarkan pembuangan air kecil. Hal ini pastinya sangat baik untuk kesihatan ginjal.

Labu Mi

Imej via [manismadu]

Labu ini dipanggil sebagai labu mi kerana isi di dalam labu yang seakan mi apabila dikeluarkan. Nama lain bagi labu mi ialah labu Squash, labu pasta dan labu spaghetti. Labu ini sama seperti labu kuning dan labu butter kerana warnanya yang kuning. Walau bagaimanapun, isi labu ini akan berubah menjadi mi apabila labu ini semakin tua.

Selain itu, labu ini mempunyai kandungan gula dan kalori yang rendah. Disebabkan itu, labu ini sesuai untuk dijadikan makanan mereka yang berdiet. Walaupun kandungan kalorinya rendah, kandungan nutrisi yang terdapat di dalam labu ini sangat tinggi.

Disebabkan labu ini lebih unik berbanding dengan labu-labu yang lain, labu ini memerlukan penjagaan yang sangat teliti. Labu ini juga mempunyai isi yang lembut dan sering diolah menjadi pelbagai masakan. Antaranya ialah pudding, kuih, sayur mahupun dipanggang bersama daging. Terdapat juga beberapa resepi yang menjadikan labu ini sebagai spaghetti panggang kerana bentuknya yang sama seperti spaghetti.

Courgette

Imej via [istockphoto]

Labu ini merupakan labu yang sangat terkenal di Eropah dan Timur Tengah tetapi jarang digunakan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bagi pecinta timun, anda mungkin akan melihat labu ini seperti timun kerana tekstur dan bentuknya yang seakan sama. Walau bagaimanapun, labu ini mempunyai isi yang sangat sedap.

Terdapat beberapa manfaat courgetti yang baik untuk kesihatan. Antaranya kandungan nutrisi yang dapat membantu untuk mencegah pelbagai penyakit yang ringan mahupun serius. Labu ini perlu dimakan tanpa mengupas kulitnya. Hal ini kerana, berbanding labu yang lain, kulit labu ini mempunyai sumber air, vitamin C, vitamin A, folat dan beta-karoten yang sangat baik.

Labu ini juga mengandungi serat yang baik untuk pengidap diabetes. Sama seperti labu yang lain, labu ini juga mampu mencegah kanser dengan kandungan antioksidan yang terdapat di kulitnya. Labu yang kaya dengan pelbagai vitamin ini juga sangat baik untuk menjaga kesihatan mata. Disebabkan itu, labu ini sesuai dimakan bersama salad, ditumis dengan makanan laut mahupun diisi dengan daging.

Oyong

Imej via [motherandbeyond]

Oyong mengandungi vitamin B1, vitamin C, kalsium, zat besi dan fosfor yang dapat mengurangkan penyakit gout. Selain itu, labu ini juga memiliki kandungan serat yang sangat tinggi. Oyong sememangnya dapat membantu mereka yang ingin berdiet untuk merasa kenyang lebih lama.

Ekstrak sayur ini juga mampu mencegah pertumbuhan bakteria. Penelitian dari International Journal of Pharma and Bio Sciences menunjukkan larutan ekstrak daunnya yang dapat melawan bakteria seperti E. coli dan bakteria lain yang menyebabkan keracunan makanan.

Tidak hanya kaya akan serat, oyong juga tinggi akan kandungan magnesium, sehingga baik dikonsumsi untuk membantu mencegah jerawat, menjaga kehalusan kulit, menjaga kelembapan kulit, hingga mengatasi masalah infeksi. Di Indonesia, oyong kerap diolah menjadi beberapa hidangan, seperti sayur soun oyong ataupun tumis oyong.

Labu Ular

Imej via [shopee]

Sama seperti nama yang diberikan, labu ini mempunyai bentuk yang panjang dan panjang labu ini boleh mencapai sehingga 60 cm. Disebabkan bentuknya yang panjang dan corak putih panjang yang terdapat di labu ini, ramai yang menyebut labu ini sebagai labu ular.

Labu ini juga mempunyai banyak manfaat yang baik untuk kesihatan. Antaranya ialah dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan kesihatan jantung, seperti menurunkan tekanan darah. Kandungan kalori di dalam labu ini juga sangat rendah dan bagus untuk mereka yang menderita penyakit diabetes.

Sama seperti labu yang lain, labu ini kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin E, vitamin A, vitamin C, vitamin B6, kalsium, natrium, zat besi, fosfor, beta karoten, lemak, protein, dan kalium. Labu ini sesuai untuk dimasak sebagai sayur sama ada sayur berkuah mahupun sayur bergoreng. Ekstrak labu ular ini juga dapat mengurangkan stress dan sakit yang berkaitan dengan jantung.

Kesimpulan

Bagi yang biasa melihat labu bulat, pastinya tidak menyangka ternyata terdapat pelbagai jenis dan bentuk labu yang unik. Warna setiap labu dan rasa labu juga berbeza-beza. Begitu juga dengan manfaat yang terdapat di setiap jenis senarai labu di atas. Labu kuning merupakan labu yang paling banyak dilihat dan diolah menjadi dessert mahupun sayur.

Jenis-jenis labu juga diolah dan dimasak secara berbeza mengikut rasa dan kesesuaian mereka. Terdapat pelbagai kelebihan dan manfaat yang berbeza di dalam setiap labu. Antaranya ialah labu ular yang baik untuk kesihatan jantung dan labu air yang membantu membersihkan paru-paru dari nikotin. Semoga maklumat di atas dapat menambahkan info anda mengenai pelbagai jenis labu.

Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti:

Penulis: kiraasla

Writing makes me happy!

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.