Bila ditanya tentang Brazil, selalunya apa yang terfikir oleh anda? Ronaldo, samba, bola sepak, Rio de Janeiro, World Cup, sukan Olimpik. Itu sahajalah bukan? Pernah tidak anda tertanya-tanya bagaimana makanan orang Brazil?
Hah,tergaru-garu kepala fikirkan soalan ini bukan? Itulah keunikan Vistra Brasserie by Chef Zubir – restoran pertama di Malaysia yang menghidangkan makanan Brazil halal.
Chef Zubir, siapa tidak kenal Chef Zubir? Salah satu chef tersohor di Malaysia, beliau pernah menjadi juri masakan di dalam rancangan realiti Masterchef Malaysia. Peramah dan mesra, beliau mempunyai 5 restoran di Malaysia, dan salah satunya adalah Restoran Vista Brasserie by Chef Zubir di Vista Alam Shah Alam.
Anda tahu Darul Ehsan Medical Centre (DEMC)? Vista Alam berhadapan dengan DEMC, dan Vista Brasserie terletak di tingkat bawah; tidak susah pun untuk cari restoran ini. Kalau tidak jumpa juga, sahabat karib anda, waze, pasti dapat membantu.
Okay, mari kita kembali kepada topik asal, iaitu makanan yang lazat. Vista Brasserie Shah Alam bukan sahaja menghidangkan makanan Brazil, tetapi mereka juga menjamu pelanggan dengan Japanese Teppanyaki, Turkish Adana Kebab, Southwest BBQ Brochette, Korean Bulgogi dan macam-macam lagi!
Cumanya, malam itu kami dijemput khas untuk merasa buffet dan Brazilian Churrasco, yang hanya diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Jadi, kalau nak datang makan tu jangan datang hari yang salah pula!
Churrasco (disebut “Shoo-Has-Co”) merupakan makanan tradisi orang koboi Brazil sejak turun temurun. Mereka akan perap daging hasil tangkapan mereka, kemudian cucukkan pada pedang tajam dan kemudian bakar makanan itu di atas bara api. Ala-ala sate kalau versi Melayu, tetapi kita guna pencucuk lidi je.
Jadi bayangkan, daging lembu bahagian kaki contohnya, setelah disiat dan diperap semalaman kemudian digrilkan di atas api. Bunyinya menggoda nafsu makan betul bukan? Itulah yang Chef Zubir sediakan di restoran beliau, konsep makanan skewers diguling atas barbeku khas iaitu “churrasquiera” dengan arang; anda tak perlu terbang ke Brazil semata-mata untuk merasainya, pergi ke Vistra Brasserie dah boleh perasan macam orang koboi Brazil.
Tetapi yang paling menarik adalah cara Churrasco skewers itu dihidangkan. Setelah skewers habis diguling dan agak-agak dah masak (ini jawapan Chef sendiri, mereka tidak ada masa tetap untuk tempoh pembakaran skewers!), Chef yang bertanggungjawab akan keluar dengan skewer tersebut dan hidangkan terus kepada pelanggan.
Daging kambing ada, lembu ada, ayam pun ada. Si pelanggan boleh pilih bahagian mana nak makan, dan juga pilih tahap masakan, samada nak well done ke, medium ke dan sebagainya. Menarik, kan? Bak kata orang putih, fresh from the grill!
Antara buah kegemaran penulis adalah buah nenas, dan pada malam itu, nenas juga merupakan salah satu Churrasco skewer. Chef menjelaskan ia dipanggil caramelized pineapple dan apabila chef potong untuk hidang, nampak dengan jelas sos caramelized pineapple itu menitis, tanda ia diperap dengan baik.
Chef tersebut turut berkongsi bahawa ada 5 bahan yang dimasukkan dalam perapan nenas ini, termasuklah gula (Semestinya ada gula. Maaf ye penulis tak ingat yang lain, terlopong melihat nenas dihidang sebegitu rupa!) Seperti daging, nenas juga diperap semalaman sebelum ia diluluskan untuk digril ke atas churrasquiera.
Chef-chef akan keluar menghidangkan satu persatu Churrasco kepada setiap pelanggan sehingga pelanggan sendiri kata berhenti atau sudah terbaring kekenyangan. Jangan risau, hospital DEMC ada di sebelah sahaja. Nama pun all-you-can-eat buffet kan?
Kalau tidak berminat dengan skewers, banyak lagi pilihan makanan Brazil yang ada, seperti chicken piccata, nasi, pasta dan lain-lain lagi. Selain itu, mereka juga tidak kedekut dengan pelbagai jenis salad dan dessert, sampai kami semua tak tahu nak pilih yang mana satu. Kalau anda tengok gambar pun dah terliur, kan? Memang semua sedap-sedap belaka!
Restoran ini juga merupakan satu tarikan untuk para pelanggan membuat sambutan hari jadi di Vista Brasserie. Makanan dah pelbagai dan menjilat jari; suasana dah meriah; tempat pun besar dan selesa; siap ada surau lagi untuk solat. Apa lagi, serbulah Vista Brasserie, pasti tidak mengecewakan!
Untuk sebarang tempahan, boleh hubungi di talian: 010-861 2448 atau 03-5524 7779. Waktu operasi: 8.00am – 10.30pm; Dinner 6.30pm – 10.30pm; ala carte 12.00pm – 10.30pm. Alamat: B-LG-6 Vista Alam, Jln Ikhtisas 14/1, Seksyen 14 Shah Alam, Selangor, MALAYSIA. Berapa harga semua ini? Hanya RM59.90, satu pelaburan yang berbaloi.
Selamat mencuba!