Ada pembaca di sini yang bercadang untuk bercuti di Segamat yang merupakan salah sebuah daerah yang agak terkenal di negeri Johor? Sambil anda bercuti di Segamat, anda pasti tercari-cari tempat makan mana yang menarik di sana, bukan?

Jangan risau, kami ada senarainya! Sambil anda berjalan-jalan di sana, bolehlah anda singgah di tempat makan terbaik sekitar Segamat yang kami senaraikan ini. Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

#1 Restoran RZ

Ada penggemar masakan kampung di sini? Kami yakin pasti ramai di kalangan pembaca menggemari masakan kampung yang sudah sebati dengan diri kita sedari kecil, bukan? Singgahlah di Restoran RZ untuk menikmati masakan kampung yang terbaik kualitinya.

Lauk Pauk @ Restoran RZ

Imej via Foursquare

Antara lauk-pauk yang laku keras di Restoran RZ ialah lauk ikan patin masak tempoyak, sambal udang galah dan banyak lagi. Kesemuanya cukup enak bila dikenakan bersama sepinggan nasi panas. Sepinggan pun belum tentu cukup kerana ianya terlalu enak!

Alamat: NO. 34, Jalan Utama 2/3, Johor, 85000 Segamat District

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Selasa, bermula dari jam 8 pagi hingga 4:30 petang

#2 Selera Nasi Beringin

Anda pernah terdengar tentang Nasi Beringin? Nasi Beringin ini merupakan nasi berlauk yang kebanyakannya boleh didapati di Semenanjung Selatan sahaja, jadi anda boleh mencubanya di restoran Selera Nasi Beringin ini.

Nasi Beringin @ Selera Nasi Beringin

Imej via Foursquare

Menurut pelanggan, Nasi Beringin di sini cukup enak rasanya walaupun kelihatan ringkas sahaja. Nasi yang dihidangkan bersama sambal yang tidak terlampau pedas dan kari ayam yang pekat kuahnya ini sememangnya digilai ramai!

Alamat: Taman Utama, 85000 Segamat District, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 7 pagi hingga 11 malam

#3 Restoran Al-Rizki 786

Tidak dinafikan, Nasi Briani merupakan menu yang sememangnya popular di negara kita. Tidak kira bangsa, nasi istimewa yang dihidangkan bersama lauk pauk seperti ayam goreng mamak dan sambal sotong ini mendapat tempat yang istimewa di hati ramai.

Jadi, bagi mereka yang teringin untuk menikmati Nasi Briani bersama aneka lauk yang digemari, anda boleh singgah di Restoran Al-Rizki 786 yang terletak di Taman Utama ini.

Murtabak @ Restoran Al Rizki 786

Imej via Foursquare

Nasi Briani @ Restoran Al-Rizki

Imej via Foursquare

Lauk-pauk di restoran ini juga berbagai. Selain itu, menu istimewa yang seterusnya di restoran ini ialah murtabak. Murtabaknya tebal dan padat dengan isi daging atau ayam yang lebih enak jika dicicah dengan kuahnya yang istimewa, memang menyelerakan!

Alamat: Taman Utama, 85000 Segamat District, Johor

Waktu operasi: Setiap hari bermula dari jam 7 pagi hingga 11 malam

#4 Kedai Cendol Masjid India

Cendol @ Cendol Masjid India

Imej via Foursquare

Penggemar cendol, kami ada berita baik buat anda! Di Segamat, ada sebuah warung cendol yang terletak berhampiran dengan Masjid India yang cukup terkenal dengan  cendol  yang manis rasanya dan murah harganya iaitu Kedai Cendol Masjid India!

ABC @ Cendol Masjid india

Imej via Foursquare

Antara menu yang anda boleh cuba sendiri di sini ialah cendol pulut dan ABC. ABC di sini juga tidak kurang hebatnya. Disajikan bersama ais krim yang manis dan saiz hidangannya yang besar, tidak dinafikan ABC di sini sememangnya menjadi kegemaran ramai!

Alamat: Jalan Aji, Kampung Gubah, 85000 Segamat, Johor

#5 Warong Myra Ariana

Patin Tempoyak @ Warong Myra Ariana

Imej via Foursquare

Anda pasti pernah terdengar tentang menu Patin Tempoyak, bukan? Menu yang berasal dari negeri Pahang ini juga boleh didapati di Warong Myra Ariana di Segamat. Tak perlu susah-susah ke Pahang, Patin Tempoyak di sini juga lebih kurang hebatnya!

Chicken Chop @ Warong Myra Ariana

Imej via Foursquare

Rata-rata pelanggan memuji keenakan menu ini. Kesegaran isi ikan patin dan rasa tempoyak itu sendiri yang cukup ‘padu’ menjadikan menu ini begitu istimewa sekali. Menu lain seperti Chicken Chop juga merupakan antara menu yang terlaris, anda wajib cuba!

Alamat: 52, Jalan Putra 2/23, Bandar Putra, 85000 Segamat, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Sabtu, bermula dari jam 7 hingga 11 malam

#6 Nasi Ayam Gemas Mustaffah

Restoran ini bukan sahaja popular di daerah Segamat, malah ia mempunyai cawangannya sendiri di Melaka dan Negeri Sembilan! Hal ini jelas menunjukkan betapa enaknya nasi ayam yang disajikan di sini.

Nasi Ayam Gemas Mustaffah @ Segamat

Imej via Foursquare

Ayamnya digoreng dengan begitu sempurna, tidak terlalu garing, rangup dan manis rasanya. Keenakannya berganda jika dikenakan bersama nasinya yang lembut. Tambahan pula bersama sup, cili dan kicap sebagai pelengkap rasa, dijamin sedap!

Alamat: 17 Cengal Off Jalan, Jalan Genuang, 85000 Segamat District, Johor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, bermula dari jam 10:30 pagi hingga 6 petang

#7 Saufi Anim

Mee Hitam @ Saufi Anim

Imej via Foursquare

Restoran ini cukup terkenal dengan mi gorengnya yang lebih dikenali dengan nama Mi Hitam. Pelanggan juga boleh memilih berbagai jenis lauk-pauk seperti ikan keli, ayam goreng dan sambal sotong untuk menikmatinya bersama Mi Hitam, dijamin enak!

Nasi Berlauk @ Saufi Anim

Imej via Foursquare

Selain Mi Hitam, nasi berlauk di sini juga turut menjadi kegilaan ramai. Antara lauk yang cukup popular di sini ialah sambal sotong. Rasa pedas dan manis yang seimbang menjadikannya begitu istimewa sekali, anda wajib cuba!

Alamat: Kampung Abdullah, 85000 Segamat District, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 5 petang hingga 3 pagi manakala untuk hari Ahad bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam

#8 Warung Nasi Goreng Daging Salai

Biasanya jika sebut tentang nasi goreng, anda pasti terfikirkan tentang menu-menu yang biasa didengari seperti nasi goreng kampung, nasi goreng biasa dan nasi goreng cina. Namun, pernahkah anda terdengar tentang nasi goreng daging salai?

Nasi Goreng Daging Salai

Imej via Foursquare

Kedengaran unik, bukan? Itulah tarikan utama di Warung Nasi Goreng Daging Salai ini! Daging Salai yang lembut dan berempah rasanya menaikkan rasa nasi goreng ini. Kami yakin anda pasti akan terpikat dengan keenakannya!

Alamat: 1939, Jalan Abdullah, Kampung Chabong, 85000 Segamat, Johor

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam

Ada yang sudah mula berkeroncong perut memikirkan tentang keenakan menu-menu yang disajikan di tempat makan yang kami senaraikan ini ke tu? Jika ya, lekaslah singgah tempat-tempat makan menarik yang kami senaraikan ini. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.