Kadang – kadang pening juga memikirkan lokasi yang sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga. Kalau asyik makan di tempat yang sama, pasti membosankan.

Ada kalanya hendak juga mengubah selera dan menikmati hidangan di tempat lain. Tetapi di mana pula hendak dibawa seisi keluarga.

Situasi seperti ini hampir dihadapi oleh semua orang. Kadangkala buntu, namun zaman teknologi masa kini, pastinya memberi satu kelebihan kepada kita.

Anda tidak perlu risau kerana artikel kali ini akan membawa anda ke lokasi restoran yang best, sedap, superb yang terletak di sekitar bandar Selayang. Tunggu apa lagi, jom kita tengok di mana restoran yang best tu.

#1. Kafe Suria Station

Kafe ini menggayakan ala inggeris sebagai dekorasi ruang makan cukup menarik perhatian pengunjung. Malah, ramai pelanggan tidak menyangka kafe ini dimiliki oleh tiga orang anak muda Melayu.

Beef Steak Kafe Suria

Imej via SuriaStationCafe

Kafe Suria Station menyediakan pelbagai menu masakan Barat yang begitu menarik dengan harga yang sangat berpatutan. Ketiga – tiga pengusaha restoran ini iaitu Zulkifli Zakaria, Suhairi Hamdan dan Md Ahir Abu Hassan sama – sama berganding bahu memperkenalkan kafe ini kepada pelanggan.

Sizzling Beef Kafe Suria

Imej via SuriaStationCafe

Menu hidangan yang paling mendapat sambutan hangat di kafe ini adalah grilled trio lamb of rack, T bone steak, grilled sirloin, braised lamb shank, ayam Maryland, pan fried fillet Norwegian salmon, terderloin pasta, medallion steak dan juga old English fish & chips. Harga makanan di sini pula adalah serendah RM 10.90 sehingga RM 32.90 untuk satu set hidangan.

Alamat : No 1, Jalan 2/14, Dataran Templer, Bandar Baru Selayang

Waktu Operasi: Dibuka mulai jam 10:00 pagi hingga jam 1:00 pagi setiap hari

#2. Mael Sup Terangkat

Para penggemar sup yang pekat, melikat dan terangkat, silalah datang ke Selayang. Terdapat satu tempat yang menyediakan hidangan sup yang sedapnya sampai terangkat semasa menikmatinya.

Sup Tulang Mael

Imej via facebook

Pasti anda tertanya – tanya di mana letaknya Mael Sup Terangkat ini kan? Hidangan sup ini boleh anda rasai di sebelah Caltex Selayang, di situlah lokasi hidangan sup sedap ini.

Sup Bebola Mael

Imej via facebook

Menggunakan resepi rahsia dari nenek moyang pemilik sup ini, pastinya membuat anda datang kembali lagi untuk menikmati sup yang sedap di sini. Anda boleh mencuba bihun atau mee sup atau set nasi sup yang memang memikat lah !

Harga semangkuk hidangan cumalah RM 5.00 sahaja. Pastinya berbaloi jika makan di sini.

Alamat : Bersebelahan Caltex Selayang (sebelah Warta baru)

Waktu Operasi: Dibuka mulai jam 5.30 petang hingga jam 2.00 pagi setiap hari

#3. Seri Banjar Ikan Bakar Spicy

Seri Banjar Ikan Bakar Spicy ini berada di Medan Selera MPS. Ia antara gerai yang sangat popular di situ dan memiliki pelanggan yang ramai dan kebanyakannya merupakan pelanggan tetap dan sering menjamu selera di situ.

Ikan Bakar Seri Banjar

Imej via facebook

Gerai ini sangat terkenal dengan hidangan ikan bakarnya yang menggunakan resepi gabungan citarasa Melayu dan Cina.  Maka, tidak hairanlah jika pelanggan golongan Tionghua juga gemar menikmati hidangan di sini.

Seafood Seri Banjar

Imej via facebook

Selain menyediakan ikan bakar sebagai hidangan utama, gerai ini turut menyajikan hidangan ikan kukus buat para pelanggannya. Kedua – dua hidangan ikan ini begitu menyelerakan dan mendapat permintaan ramai.

Alamat : Medan Selera MPS, Persiaran 2, Bandar Baru Selayang (berhampiran bulatan MPS dan di atas bukit)

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari

#4. The Rack Boutique Café

Peminat – peminat Shell Out bolehlah singgah dahulu di The Rack Boutique Café kerana di sini terdapat hidangan Shell Out yang sedap sekali. Kalau nak tahu, restoran ini juga telah diviralkan oleh orang ramai kerana keenakan makanan yang terdapat di sini.

Chicken Cheese The Rack Boutique

Imej via facebook

Jangan terkejut jika datang berkunjung ke sini kerana restoran ini sentiasa dipenuhi para pelanggan. Namun, anda tidak perlu risau kerana ruan makannya agak luas dan selesa sekali. Ruang makannya pula agak unik kerana dihiasi dengan warna hitam bersama kerusi kayu.

Western The Rack Boutique

Imej via facebook

Biarpun ramai, perkhidmatan yang diberikan cukup bagus, pelayan restoran pantas melayan para pelanggan. Anda bolehlah mencuba Shell Out di sini yang memang menjadi sebutan ramai.

Selain itu, apa kata anda cuba juga roti john cheese yang begitu mengiurkan. Rasa cheese yang padu memang kena dengan tekak anda jawabnya. Untuk anda yang kehausan, apa kata cubalah pesan air coklat, myntea serta Ribena soda. Memang terbaiklah !

Alamat : The Rack Boutique Café, No 1 Jalan OS 1/4 One Selayang, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 10.30 malam setiap hari

#5. Rumpun Selera

Bagi anda yang berada di sekitar Stadium Majlis Perbandaran Selayang, panjangkan lah langkah anda ke Rumpun Selera ini. Anda boleh menikmati pelbagai hidangan yang menarik di sini dan terdiri dari masakan Thai, ikan bakar, makanan barat dan juga takoyaki yang popular.

Burger Rumpun

Imej via picpanzee

Jika anda penggemar hidangan tomyam, jangan lepaskan peluang mencubanya di sini. Selain tomyam, anda boleh mencuba ikan tiga rasa, kalian ikan masin, sotong celup tepung dan banyak lagi. Hidangan ikan patin juga ada disediakan waktu tengahari serta pelbagai lauk pauk kampung boleh anda nikmati.

Laksa Johor Rumpun

Imej via picpanzee

Grilled chicken chop yang disediakan juga agak menarik dan besar saiznya. Sesuai dengan harga yang dikenakan, memang puas hati.

Alamat : Jalan 2/12 Baru Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari

#6. Dar Hadramawt

Sedap juga kalau tekak berubah selera ke negara Timur Tengah pula kan ? Apa kata kali ini kita ke Dar Hadramawt untuk menikmati nasi Arab yang memang sedap dan menarik sekali.

Lamb Mandy Hadramawt

Imej via facebook

Antara menu yang boleh anda cuba di sini seperti chicken kabsa, chicken haneeth, mandy kambing, kebab dan banyak lagi menu Arab di sini. Rasanya memang meletop juga. Harga pula sangat berpatutan dan boleh dikatakan masih murah untuk hidangan nasi Arab yang sedap.

Muwallah Dar Hadramawt

Imej via facebook

Alamat : No. 15, Jalan 2/14, Bandar Baru Selayang, 68100, Batu Caves, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam

#7. Restoran Lagenda Maharaja Steamboat

Di kala musim tengkujuh menjelma, hidangan panas berasaskan sup atau tomyam memang sangat mengujakan. Boleh memanaskan badan tatkala menghirup kuah sup atau tomyam.

Hidangan steamboat di kalangan masyarakat masa kini bukanlah sesuatu yang asing. Rata – rata ramai peminat hidangan steamboat, dari kalangan kanak – kanak hinggalah orang dewasa.

Steamboat Maharaja

Imej via facebook

Dengan harga serendah RM12.00 untuk seorang kanak – kanak (7 – 12 tahun) dan RM 23.90 untuk dewasa, anda boleh menikmati hidangan steamboat secara buffet sepuas – puasnya. Malah terdapat menu grill juga di sini yang boleh anda nikmati pada waktu malam.

Steamboat Maharaja

Imej via facebook

Selain steamboat, anda juga boleh menjamu selera pada waktu tengahari dengan menikmati hidangan nasi bersama lauk pauk yang banyak. Antara menu yang disediakan adalah gulai ikan sembilang, asam pedas ikan kembung, pelbagai jenis sup seperti sup daging, sup perut, sup paru dan banyak lagi.

Alamat: Lagenda Maharaja Steamboat, Lot 6 Jalan 2/10, Dataran Templer, Bandar Baru Selayang

#8. Ayam Gepuk Pak Gembus Selayang

Rupa hidangan ini seperti ayam penyet tetapi ayam yang diperap untuk hidangan ini menggunakan rempah istimewa dan unik rasanya. Pedas, memang terangkat semasa menikmatinya.

Ayam Gepuk

Imej via facebook

Idea menghasilkan ayam gepuk ini apabila pemilik restoran bercuti di Jogjakarta dan merasai sendiri keenakan hidangan ayam gepuk di sana. Lalu, beliau mendapat idea untuk mengetengahkan hidangan ini kepada orang Malaysia pula.

Ayam Gepuk

Imej via facebook

Istimewa hidangan di sini kerana pelanggan sendiri akan menentukan tahap kepedasan yang diinginkan dengan skala 5, 10 atau 15. Bagi yang pertama kali mencubanya, adalah disarankan untuk mencuba tahap kepedasan di skala 5. Namun, pelanggan yang ingin menambah kepedasan, mereka boleh membuat pesanan tambahan.

Ayam Gepuk turut dihidangkan bersama sambal, tauhu dan tempe goreng sama seperti ayam penyet tetapi yang membezakan ayam gepuk ini adalah sambal serta ayamnya diperap dengan bahan berbeza.

Alamat : Jalan Sg Tua, Taman Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari (kecuali Jumaat tutup)

#9. Kafe Dapur Aneh-Aneh

Penduduk di sekitar Selayang pastinya cukup mengetahui kewujudan restoran ini. Sudah tentu tahu kerana restoran ini menyajikan makanan barat serta makanan tempatan yang sesuai dengan selera masyarakat tempatan.

Ikan Penyet Kafe Aneh Aneh

Imej via facebook

Ruang makan yang disediakan adalah sangat selesa, malah dekorasi yang digunakan sangat santai dan menarik membuatkan pelanggan menikmati hidangan dengan tenang. Menu di sini cukup banyak dan boleh buat anda rambang mata untuk memilihnya.

Anda boleh mencuba pelbagai jenis nasi penyet seperti lele penyet, kembong penyet, ayam penyet, udang penyet, tilapia penyet, ketam penyet dan banyak lagi. Masakan seperti panas juga memang menarik untuk dicuba seperti nasi goreng ketam, nasi goreng udang, sup tulang rusuk, nasi goreng shell parg aneh,laksa, bakso, soto, mee kari dan banyak lagi.

Western Kafe Aneh Aneh

Imej via facebook

Menu – menu makanan barat turut digemari ramai dan boleh anda cuba seperti burger, fish and chip, chicken chop, beef steak serta salmon grill. Harga makanan di sini sangat berpatutan. Pelayan restoran juga mesra dan sangat mudah tersenyum.

Harga makanan pula sangat berpatutan dan tidak perlu risau kerana ianya tidaklah semahal mana pun. Sambil belek – belek menu untuk dipilih, pastinya anda sudah mula kecur liur kan ?

Alamat : No 11 Jalan 2/14, Bandar Baru Selayang, 68100 Selayang, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 11.00 malam

#10. Pasta & Co. 

Kalau anda tercari – cari lagi restoran makanan western dengan harga bajet tetapi hidangan superb, marilah berkunjung ke Past & Co. Kafe Simpang yang terletak di Selayang ini. Pelbagai jenis menu terdapat di sini.

Pasta n Co

Imej via facebook

Paling ringkas dan sedap adalah pasta dah juga chicken chop. Nampak biasa tapi rasanya cukup luar biasa. Memang sedap, malah harga yang sangat murah ini membuatkan ramai datang berkunjung ke sini berulang kali.

Pasta n Co

Imej via facebook

Alamat : 3, Jalan 35A, Taman Selayang Bharu, 68100 Selayang, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 1.00 pagi

FACEBOOK PAGE : https://www.facebook.com/pastaandcokafesimpang/

#11. Restoran Tuu…Dia Pak Tam

Tuu…Dia Pak Tam memang sangat terkenal, apatah lagi rojak pasembor dan mee rebusnya begitu sedap sekali. Membuatkan ramai yang teringat – ingat terhadap rojak pasembor di sini.

Mee Rebus Pak Tam

Imej via paktam

Rusli Ibrahim atau Pak Tam memulakan perniagaan di bawah pokok sahaja, namun kini telah memiliki sebanyak 12 rangkaian restoran. Restoran ini juga turut menyediakan hidangan buffet di bulan Ramadhan dengan harga yang sangat berpatutan.

Pasembor Pak Tam

Imej via paktam

Pada sebelah tengahari, restoran ini turut menyajikan hidangan nasi campur, set nasi putih, set nasi Bukhara, sup panas, roti bakar dan coffee Pak Tam dan banyak lagi. Harga makanan di sini adalah sangat berpatutan dan semua hidangan yang disediakan adalah sedap. Gerenti puas hati !

Alamat : 3, 5 & 7, Jalan 2/10, Dataran Templer, 68100 Selayang, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 12.00 pagi setiap hari

#12. Restoran Chief Ikan Bakar

Restoran Chief Ikan Bakar ini terletak tidak jauh dari kolam renang MPS atau Dewan Beringin Selayang. Malah, terdapat papan tanda bersaiz besar pastinya mudah untuk menjejaki restoran ini.

Ketam Cili Chief

Imej via facebook

Tempat meletakkan kenderaan disediakan dengan agak banyak dan cukup memudahkan pelanggan. Ruang makan juga begitu selesa dengan dekorasi yang ringkas dan santai.

Singgang Chief

Imej via facebook

Anda boleh memilih lauk – pauk segar yang disediakan di sini untuk dijadikan sebagai hidangan mengikut menu yang anda inginkan. Harganya bergantung kepada harga pasaran namun, ia sangat berbaloi kerana semuanya masih segar.

Alamat : 11, Jalan Sungai Tua, Kampung Sungai Tua Bahru, 68100 Batu Caves, Selangor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 2.00 pagi setiap hari (kecuali Isnin tutup)

Kesimpulan

Mesti anda tidak menyangka di sekitar Selayang ini banyak tempat – tempat makan yang best dan sedap untuk dicuba. Pilihan pun banyak dan tidak susah untuk memilih menu hidangan tersebut.

Kalau anda berada di Selayang, pastikan senarai restoran ini berada di dalam simpanan anda supaya mudah untuk menjejaki tempat makan yang menarik untuk dicuba.

Penulis: Itawrah

Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

    Tinggalkan Komen!

    Langgan Info Kami

    Berkaitan

    .