Jika sebut tentang tempat makan malam best di Cameron Highland, pasti steamboat menjadi pilihan menu yang terlintas di fikiran. Mana tidaknya, dengan cuaca yang sejuk ini, hirup sup panas dengan aneka makanan laut memang mengasyikkan.

Namun ada juga yang memilih untuk makan di restoran yang menyajikan masakan panas kerana harganya lebih murah dan pelbagai menu boleh dipilih.

Disebabkan steamboat menu terkenal di Cameron Highland, ramai yang masih terpinga-pinga mencari tempat makan yang menyajikan masakan panas yang sedap. Oleh itu, kami senaraikan tempat makan menarik dan menu istimewa yang perlu anda cuba.

Highland Steamboat Cheese & Grill

Antara lokasi steamboat terkenal dengan keenakannya di Cameron Highland, Highland Steamboat Cheese & Grill kini mempunyai dua cawangan di sini. Walaupun begitu, kedua-duanya sering dipenuhi pengunjung walaupun bukan cuti sekolah.

Lebih 50 jenis lauk yang turut terdiri dari makanan laut pasti membuat anda rambang mata memilihnya. Bukan itu sahaja, terdapat lebih 20 jenis sayur yang pastinya segar untuk gandingan steamboat anda.

Jangan lupa untuk add on cheese pada set steamboat anda kerana ia menambahkan lagi keenakan pada daging perap yang di grill. Memang syahdu makan steamboat dengan cuaca yang sejuk di sini.

Alamat: Persiaran Dayang Endah, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang

Waktu operasi: Rabu – Isnin (5.00 pm-12.00 am)

Highlands Tomyam

Nak cari port masakan panas yang sedap di Tanah Tinggi Cameron, datang sahaja ke Highlands Tomyam. Kemudahan memang lengkap termasuk ruang makan yang bersih, cantik dan selesa. Memang meriah dengan lampu berwarna warni.

Menu yang wajib anda cuba jika ke sini semestinya tomyam yang pekat, terasa rempahnya dan secukup rasa! Antara menu lain yang mendapat tempat di hati pelanggan adalah nasi lemak ayam, set family dan maggie udang tomyam.

Kedai ini juga sering dipenuhi pengunjung. Namun tak perlu risau, rata-rata pengunjung memang berpuas hati kerana mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan menu yang dipesan.

Alamat: Jalan Pekan lama, Brinchang, 39100 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (5.30 pm-12.15 pm)

Restoran Ferm Nyonya

Bukan sahaja masakan nyonya yang ada, malah menu Cina, Melayu dan Eropah pun ada. Jangan risau, restoran ini mempunyai sijil halal tau! Ramai yang suka makan di sini kerana servisnya yang cepat, portion makanan yang banyak serta harga yang berpatutan.

Tak tahu nak makan apa? Kami cadangkan anda untuk merasai keenakan ayam salted egg, bincurd garlic oil, sotong butter dan ikan stim soy garlic untuk dimakan bersama nasi putih panas.

Di sini juga ada steamboat dengan pelbagai pilihan lauk dan sayur. Harga yang dikenakan juga antara yang termurah di Cameron Highland.

Alamat: 78A-D, Persiaran Camelia 4, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-3.30 pm | 5.30 pm-9.30 pm)

Opah Steamboat & Grill

Opah Strawberries & Jams kini turut dibuka pada waktu malam dengan killer menunya steamboat. Antara kelainan steamboat di sini, mereka turut menawarkan daging shabu-shabu bersama sos istimewa yang perlu dicampurkan sendiri!

Untuk mendapatkan sos yang sedap, kami cadangkan anda untuk campurkan 2 senduk sos misotare, 1 senduk sos gamotare, 1 sudu bawang putih, 1 senduk sesame oil dan 1 senduk chili oil. Nak lebih sedap, tambahkan cili hijau, daun bawang dan ketumbar. Gaulkan semua ramuan ini dan anda akan rasai keenakan sos yang dicicah bersama daging panggang!

Anda boleh makan dengan puas dan jika daging sudah habis, anda boleh minta lagi! Aneka pilihan makanan laut, fish ball dan sayur-sayur memang segar belaka! Harga untuk dewasa adalah RM 35 manakala kanak-kanak RM 15 dan RM 30 untuk warga emas.

Alamat:  No 30 Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 pm-11.00 pm)

Anis Tomyam

Imej via Anis Tomyam

Satu lagi tempat makan malam best di Cameron Highland yang boleh anda cuba adalah Anis Tomyam. Anis Tomyam terletak di medan selera iaitu gerai nombor 6. Jika mahu makan malam yang sedap, portion yang banyak dengan harga murah, anda memang perlu datang ke sini.

Jika datang beramai-ramai, pilih set yang bersesuaian. Selain itu, ada juga makanan barat  dan masakan panas. Menu utama yang perlu dicuba semestinya tomyam. Rasanya sama seperti tomyam Bangkok.

Alamat: 24, Jalan Besar, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang

Y.A.Z Steamboat N’’ Grill

Bagi anda yang berada di Golden Hills, anda boleh makan malam di Y.A.Z Steamboat N’’ Grill. Harga steamboat untuk dewasa adalah RM 39.90 manakala kanak-kanak RM 25 sahaja. Di sini anda boleh makan dengan puas kerana tiada had masa, tiada had makanan dan semuanya free flow!

Uniknya di sini terdapat 6 jenis perapan bersama 13 jenis sos. Kanak-kanak pasti suka kerana banyak hidangan yang sesuai untuk mereka seperti ais krim, popcorn, waffle dan potongan buah.

Alamat: S1-G-15 / S1-G-16 Somer Square,Golden Hills, Tanah Rata, 39000, Pahang

Waktu operasi: Khamis-Selasa (5.00 pm-12.00 am)

Sinar Hijjaz

Sekiranya anda mencari kedai steamboat termurah di Cameron Highland, datang saja ke Sinar Hijjaz kerana mereka menawarkan pakej steamboat serendah RM 30 untuk dewasa manakala RM 20 untuk kanak-kanak.

Walaupun harganya murah, namun banyak juga pilihan makanan laut, fishball dan sayur. Sinar Hijjaz kini mempunyai tiga cawangan iaitu di Cameron Centrum, Kea Garden dan Brinchang Square.

Bukan sekadar steamboat, ada juga aneka nasi ayam, sizzling dan masakan panas. Jika makan masakan panas, anda wajib cuba ikan bakar Borneo!

Fauzi Bistro Cameron Highland

Di Restoran Fauzi Bistro, lebih banyak pilihan menu yang ada. Bukan sekadar steamboat, tomyam dan masakan panas malah ada juga shell out! Penggemar makanan laut, korang memang perlu datang  ke sini seisi keluarga.

Dengar cerita, shellout antara menu killer di sini! Hanya serendah RM 35 untuk seorang, ianya sangat berbaloi dengan portion yang banyak. Rasa sedikit pedas dan manis pasti membuat anda menjilat jari.

Antara menu lain yang menjadi tumpuan termasuklah Mi Sizzling, Set Asam Pedas dan Tomyam Ayutthaya. Jangan lupa minuman istimewa seperti Longan Lime Soda, Strawberry Lemonad dan Tropical Punch Mojito yang pasti menyegarkan badan.

Alamat: 24, Jalan Angsana 1, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-12.30 am)

M Cafe Steamboat & Grill

Mencari tempat makan malam di Cameron Highland untuk sambut sebarang majlis? Kami cadangkan anda untuk ke kafe ini yang menawarkan perkhidmatan untuk dekorasi tersebut. Lebih istimewa, ia diadakan di ladang strawberi.

Banyak pilihan makanan laut yang besar dan segar. Bukan itu sahaja, lebih 10 jenis daging dengan perapan berbeza dan pasti mengiurkan.

Banyak kemudahan disediakan termasuklah tandas, surau, taman permainan kanak-kanak dan parkir. Tempat makan juga luas dan cantik, jangan lupa untuk ootd di bawah lampu yang berkelipan.

Alamat: Lot 15-20, Taman Tema Smurf Inn, 1, Jalan Kamunting, Brinchang, 39100 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 pm-12.00 am)

FZ Cameron Highland

Imej via Fz Cameron

Berada sebaris Old Town di Tanah Rata, restoran ini mudah untuk diakses. FZ Cameron menawarkan masakan panas yang terdiri dari masakan panas, ala Thai dan makanan barat.

Anda perlu cuba menu terbaru dan pertama di Cameron Highland iaitu Ikan Bakar Strawberi. Ikan bakar yang digandingkan bersama sambal strawberi memang memberikan satu rasa yang unik tetapi sedap! Walaupun begitu, rempah perapan masih terasa.

Bagi yang mempunyai tekak Kelantan, anda pasti suka makan di sini. Somtam strawberi, pad kra pao dan sup urat keting antara menu lain yang mendapat sambutan ramai.

Alamat: Cameron Fair, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-11.00 pm)

Dah ada tempat makan malam best di Cameron Highland yang menarik perhatian anda? Masukkan dalam senarai tempat yang perlu dikunjungi pada waktu malam.

Sebenarnya banyak lagi tempat makan menarik di Cameron Highland. Bukan sahaja ada steamboat, malah ada juga masakan panas dan menu barat. Rata-rata menawarkan harga yang berpatutan.

Apa tunggu lagi? Mudahlah anda untuk merancang percutian ke Tanah Tinggi Cameron selepas ini. Selamat mencuba!

Kami juga ada menulis tempat makan menarik yang lain di sekitar Cameron Highland seperti tempat makan tengah hari di Cameron Highland, Restoran Abang Strawberry Cameron Highland dan KHM Strawberries & Jam.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.