Kulai merupakan salah satu daerah di negeri Johor yang mungkin kurang dikenali sebagai pusat pelancongan tapi itu tidak bermaksud tiada yang menarik di sini.

Mungkin anda pernah dengar Johor Premium Outlet iaitu pusat membeli barangan berjenama, bukan? Ya, ia terletak di Kulai! Di Kulai juga letaknya Hutan Lipur Gunung Pulai, tempat kegemaran ramai untuk bermandi-manda yang cukup cantik!

Selepas membeli-belah atau mandi-manda, pasti perut anda mula berkeroncong, bukan? Berikut kami senaraikan tempat-tempat makan sekitar Kulai yang wajib anda terjah, teruskan membaca ya!

#1 Nasi Lemak Wak Kentut

Namanya mungkin kedengaran lucu tetapi percayalah yang ia amat terkenal kerana nasi lemaknya yang sedap tau! Nasi Lemak Wak Kentut bukan sahaja dikenali di kalangan rakyat tempatan, malah mereka yang datang dari negara jiran seperti Singapura juga mengenali tempat ini.

Nasi Lemak Wan Kentut

Imej via Foursquare

Mereka menyediakan nasi lemak biasa, nasi lemak bersama telur goreng dan juga nasi lemak dengan tambahan ayam goreng pada harga bermula RM1.50 sahaja. Nasi tambahan juga boleh dipesan mengikut kemahuan pelanggan.

Menurut ramai pelanggan, nasi lemak di sini betul-betul cukup rasa, setanding dengan beberapa tempat yang lain. Ayam gorengnya pula digoreng rangup bersama rempah yang menambah kelazatan bila digandingkan dengan nasinya, sedapnya!

Alamat: 2130, Jalan Susur Kulai 2, Taman Kulai Besar, 81000 Kulai

Waktu Operasi: Setiap hari, bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam

#2 Restoran Lapan Kati

Menu @ Restoran Lapan Kati

Imej via Foursquare

Restoran Lapan Kati in menghidangkan makanan laut citarasa masakan Cina yang halal. Bagi ramai pelanggan beragama Islam, ini adalah salah satu restoran masakan Cina pilihan mereka.

Banyak sebenarnya hidangan yang pelanggan gemari tapi yang selalu menjadi sebutan ialah Butter Prawn dan Salted Egg Crab. Restoran yang terletak berhampiran AEON Kulai ini menyajikan makanan yang tidak terlalu pedas, memang kena dengan citarasa ramai pelanggannya!

Alamat: No.161, Jalan Kenanga 29/4, Indahpura, 81000 Kulai

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam (10am- 10pm)

#3 Nasi Ayam Angah

Bagi yang tercari-cari lokasi restoran ini, Nasi Ayam Angah terletak bersebelahan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim. Tanda yang lain ialah McDonald yang membelakanginya. Mudah sahaja untuk mencarinya, bukan?

Nasi Ayam Angah tidak dibuka untuk tempoh yang lama iaitu sehingga petang atau sehingga makanan habis. Oleh itu, anda kenalah datang awal sedikit terutama pada waktu makan tengah hari yang biasanya penuh sesak dengan pelanggan.

Nasi Ayam Angah

Imej via Foursquare

Nasi Goreng @ Nasi Ayam Angah

Imej via Foursquare

Tiga jenis nasi ayam dalam pilihan iaitu nasi ayam biasa, nasi ayam sambal dan nasi ayam goreng. Turut dijual di sini ialah nasi goreng dan aneka mee. Menu yang wajib anda cuba ialah semestinya nasi ayam mereka yang sudah menjadi kegemaran ramai!

Alamat: No. 1212, Jalan Kasturi 36/45, 81000 Kulai

Waktu Operasi: Setiap hari, bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang

#4 Joe Western Station

Joe Western Station

Imej via Foursquare

Bagi penggemar makanan Barat seperti Chicken chop dan Grilled Beef, inilah tempat yang anda boleh singgah sekiranya anda berada di Kulai! Dengan harga serendah RM5 untuk Chicken Chop, ia boleh dikatakan tempat yang sesuai untuk merasai hidangan Barat yang murah!

Bagi yang masih inginkan makanan tempatan, Joe Western juga menjual masakan Melayu dan juga Thailand yang lebih sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia yang menjdi pujian ramai!

Alamat: Jalan Kenanga 29/18, 81000 Kulai

#5 Der’ Cabin Bistro

Der' Cabin Bistro

Imej via Foursquare

Menu @ Der' Cabin Bistro

Imej via Foursquare

Suasana yang cukup santai di restoran ini membuatkan ia menjadi pilihan ramai untuk melepak. Hidangan seperti burger, kentang goreng, spaghetti dan sup cendawan amat sesuai untuk berehat-rehat dan berbual-bual bersama rakan-rakan, bukan?

Pelanggan di sini juga cukup menyukai kawasan restoran yang bersih walaupun pelanggan datang dalam jumlah yang ramai. Hidangan yang dipesan pula dipersembahkan dengan cantik dan menarik.

Ditambah pula dengan ruang makan terbuka dengan set kerusi dan meja gaya moden disusun agak jauh antara satu sama lain, serta dinding berhias doodle, menjadikan restoran makanan barat ini menyerlah, anda wajib terjah!

Alamat: Taman Kulai Permai, 81000 Kulai

Waktu Operasi: Setiap hari (bermula dari jam 5:30 petang hingga 12:30 tengah malam)

Banyak juga tempat makan yang boleh anda serbu jika berkunjung ke Kulai, bukan? Jika anda ingin mengisi perut sambil anda melancong di daerah Kulai, singgahlah di tempat-tempat yang kami senaraikan ini ya. Dijamin puas hati!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.