Dekat mana ya tempat makan di JB waktu malam yang sedap? Tempat makan di JB memang banyak, tapi kadangkala kita mahukan menu yang lain daripada lain, harga berbaloi dan suasana tempat yang selesa.
Waktu malam merupakan waktu untuk kita meluangkan masa bersama pasangan, keluarga mahupun kawan-kawan. Meluangkan masa sambil menikmati makan malam yang menarik, pasti menjadikan malam anda lebih seronok.
Buat anda yang mencari tempat makan di JB waktu malam, kami kongsikan antara tempat makan yang menawarkan harga berbaloi, menarik dan viral serata JB! Cadangan ini juga merupakan perkongsian ramai pelancong. Ini tempat yang anda perlu terjah!
Penduduk JB pasti tahu menu yang paling popular di Bistro Papa Jenggo iaitu asam pedas claypot. Kuah asam pedasnya pekat, likat dan cukup segala rasa. Pilih sahaja ikan yang anda suka sama ada ikan mayong, jenahak mahupun pari.
Paling unik, nasi yang dihidangkan adalah dalam buluh, menaikkan lagi aroma nasi yang memikat. Menu lain pun ada seperti shellout, steamboat dan makanan barat. Pilihan minuman juga banyak dengan air berjus dan air fancy yang lain. Ini antara pilihan ramai penduduk JB untuk makan malam!
Alamat: Jalan Persiaran Tanjung Taman Desa Rahmat, Kempas Baru, 81200 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-11.30 pm)
Adam Hawa Cafe juga menjadi port makan malam di JB pilihan ramai. Apa yang ada di sini? Pelbagai menu yang pasti membuatkan anda rambang mata, terdiri daripada menu tempatan, makanan barat dan makanan Korea.
Set Siakap Crispy Sambal Dua Alam dan Siakap Steam Nyonya mesti sedap dimakan dengan nasi panas. Jika mahukan kelainan, apa kata anda cuba Butter Fried Rice Korean Chicken Wings, Mix Plate Seafood, Mix Plate K-Pop dan Marinate Chicken Grill yang pasti membuatkan anda tersandar kekenyangan dan kesedapan!
Selain makanan, pilihan minuman di sini juga menyelerakan dengan adanya minuman yang meleleh sampai tak nampak gelas! Air berasaskan aiskrim seperti Green Tea Lava, Pink Lava dan Tea Lava antara minuman pilihan ramai.
Alamat: Lot 1271 173, 171, Jalan Ngee Heng, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Setiap hari (6.00 pm-6.00 am)
Penggemar menu tradisi yang terdiri daripada masakan melayu, memang tidak kira waktu siang atau malam untuk menikmatinya. Namun jika ingin mencari menu-menu tersebut pada waktu malam memang terhad. Jika anda berada di JB, anda boleh datang ke Lauk Johor Bahru yang menyediakan pelbagai menu klasik.
Pelbagai menu unik meanti anda seperti Ketam Haruman Mangga, Kambing Tumisan Selatan, Kambing Lautan Sambal Kuning, Seafood Tebing Johor dan lain-lain. Dengar nama menu pasti ada yang terasa pelik, namun bila anda merasainya sendiri pasti menjilat jari.
Rata-rata pengunjung memang berpuas hati menikmati menu-menu tersebut. Kuantiti makanan banyak dan dihidangkan panas-panas dengan persembahan yang menarik.
Alamat: 49, Jalan Glasiar, Taman Tasek, 80200 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-4.00 pm | 6.00 pm-10.00 pm)
Ada yang mencari tempat makan di JB waktu malam yang mempunyai dekorasi cantik, menarik dan estetik? Jom ke Ashhryshoshedap yang terletak di Nongchik Riverside. Restoran paling cantik di JB dengan dua tingkat ini mempunyai dekorasi mewah, memberikan keselesaan dan kepuasan kepada pengunjung.
Nama menu di sini juga unik yang pasti membuatkan anda terpukau. Antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah Set Nasi Talapia Lempang Lempung, Miang Pla Terguris Hati Tergamak Kau Mungkiri Janji dan Set Siput Masak Lemak. Saiz hidangan besar, sesuai dengan harganya dan paling penting sedap!
Pesan sekali bersama Creamy Butter Clam yang didatangkan bersama mantao, yang pasti membuatkan anda makan sampai licin! Bukan menu utama sahaja yang ada, malah anda boleh menikmati pelbagai pilihan pemanis mulut yang terdiri daripada kek, pastri, ais krim dan lain-lain.
Alamat: No 24, Nongchik Riverside, Jalan Kolam Ayer 2, 80200 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm – 12.00 am)
Nasi Campur yang sangat terkenal di Kedah kini boleh anda rasai di JB! Sirap Selasih menyediakan nasi campur dengan pelbagai menu mengikut citarasa dari Negeri Jelapang Padi.
Restoran ini dibuka dari pagi hingga malam dengan dua set menu berbeza. Untuk makan tengah hari mereka menyediakan nasi kandar manakala pada makan malam, mereka menyediakan nasi campur. Gulai Ikan Masin, Kari Daging dan Daging Lada Hitam merupakan menu paling mantap pada waktu malam.
Rata-rata pengunjung mengatakan harga makanan sangat sesuai dengan kuantiti dan rasanya yang sedap. Berbaloi untuk menikmatinya setiap hari!
Alamat: 2 Jalan Kemajuan, Taman Desa Rahmat, 81200 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am – 10.00 pm)
Fork and Dagger terkenal dengan pelbagai menu berasaskan makanan barat. Pelbagai jenis pasta, pilihan kambing dan ayam bakar dan menu sampingan lain menanti anda! Dengar cerita Hawaii Chicken Chop sedap tau!
Jika ada diantara ahli keluarga, rakan atau pasangan yang tidak menggemari masakan barat, jangan risau di sini juga ada masakan panas, pemanis mulut dan makanan sampingan yang lain. Karipap Dinasour dan Popia Pisang menu istimewa buat anda yang ingin makan makanan yang ringan sahaja.
Restoran ini berkonsepkan ruangan terbuka, sesuai untuk mereka yang mencari tempat makan di JB waktu malam yang santai dan chill. Berada di ruang ini pasti memberikan keselesaan dengan suasana yang sejuk.
Alamat: 29, Jalan Dataran 4/7, Taman Kempas Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Selasa-Ahad (6.00 pm-1.00 am)
Kalangan remaja pasti mencari tempat makan di JB waktu malam yang dibuka hingga lewat pagi. Mood Degil merupakan port terbaik buat anda kerana anda boleh lepak sehingga pukul 3.00 pagi!
Apabila lepak beramai-ramai pasti di kalangan rakan anda yang mepunyai citarasa berbeza-beza. Di Mood Degil, anda boleh menikmati pelbagai jenis menu dari set nasi hinggalah ke menu barat. Nasi Degil, Siakap Mantul, Bakso Mercun dan Sambal Degil merupakan menu terlaris!
Jika mahukan makanan yang ringan dan simple, apa kata anda cuba Cheesy Nanchos, satey, lempeng atau jemput-jemput. Tak lupa juga pelbagai perisa ais bowl dan smoothie yang dapat menyegarkan tekak anda pada waktu malam. Sambil makan anda juga akan dihidangkan dengan persembahan dari band tempatan secara langsung.
Alamat: No 1 Jalan Padi Emas 3/2, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: 6.00 pm-3.00 am
Orang Johor kalau tak kenal port ikan bakar sedap di negeri ini memang rugi! Amysha Village Ikan Bakar sangat terkenal dan mempunyai beberapa cawangan di serata Johor. Di JB, anda boleh datang di Kempas dan Kota Masai untuk rasai sendiri ikan bakar.
Bukan ikan bakar sahaja yang ada, ada juga pelbagai jenis makanan laut yang segar. Anda boleh memilih sendiri jenis dan saiz yang anda inginkan dan chef akan memasak on the spot. Ikan bakar memang sedap digandingkan dengan sambal istimewa.
Selain ikan bakar, anda juga boleh makan bersama Udang Leleh, Sotong Sambal Thai dan asam pedas yang pekat. Ini antara menu pilihan ramai bagi pengunjung tetap. Dengar cerita, shellout di sini juga padu!
Alamat:Amysha Village PTD 78617, Jalan Kempas Baru, Mukim Tebrau, Johor Bahru
Waktu operasi: Khamis-Selasa (4.00 pm-1.00 am)
Pasti ramai yang pelik kenapa tempat makan di JB waktu malam ini dinamakan Nasi Goreng Penumbok? Rupa-rupanya mereka menyediakan menu utama nasi goreng pedas sampai rasa nak tumbuk orang! Nak tahu betul atau tidak, kenalah cuba sendiri.
Pelanggan boleh memilih tahap kepedasan yang mereka mahukan dan setiap tahap diletakkan kuantiti cili yang ditetapkan. Rata-rata pengunjung memang berpuas hati makan di sini kerana kuantiti nasi goreng banyak dan harga juga berbaloi.
Selain di Hookah 2.0 District, satu lagi cawangan berada di Tebing Bandar Dato Onn. Penggemar nasi goreng, apa tunggu lagi? Jom ke sini dan anda boleh pilih beberapa jenis nasi goreng mengikut tahap kepedasan yang anda inginkan!
Alamat: Jalan Dhoby, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: Selasa-Ahad (12.00 noon – 11.00 pm)
Warga JB pasti familiar dengan tempat makan paling santai di JB iaitu Port Hutan Cafe. Berada di sini memang tenang, segar dan santai. Mana tidaknya, kafe ini berada di kelilingi tumbuhan yang menghijau.
Apa yang ada di sini? Port Hutan Cafe sangat terkenal dengan menu utamanya iaitu pizza. Sebut sahaja pizza apa yang anda mahukan, mereka boleh buatkan untuk anda. Tak tahu nak pilih apa? Kami cadangkan anda untuk menikmati Pizza Tuna dan Pizza Beef Pepperoni. Selain itu, ada juga beberapa pilihan panini dan croissant.
Bukan itu sahaja, Port Hutan Cafe juga menjadi port untuk mengopi! Pelbagai pilihan minuman berasaskan kaffein boleh anda pilih. Minuman berkaffein kini menjadi trend di kalangan ramai.
Alamat: TMIYC, Johor Bahru
Waktu operasi: Selasa-Ahad (3.00 pm-11.00 pm)
Berada di Food Fashion pasti membuatkan anda rambang mata untuk memilih menu yang bakal dinikmati. Pelbagai pilihan makanan laut, makanan barat dan paling penting menu tempatan pun ada! Nasi Goreng Cina, Grilled Lamb dan Set Super Queen antara yang menjadi pilihan ramai.
Restoran luas, berpendingin hawa dan sangat selesa. Dekorasi kafe nampak simple tapi eksklusif. Pengunjung juga boleh mengadakan sebarang majlis seperti sambutan hari jadi di sini.
Alamat: Larkin, Johor Bahru
Waktu operasi: Rabu-Isnin (4.00 pm-12.00 am)
Tiga menu yang anda perlu cuba disini adalah Sweet Chilli Chicken Wings, Japanese Chicken Waffle dan Korean Daebak Ramen Platter. Kebanyakan menu yang ditawarkan adalah makanan barat.
Berada di Rooftop Swan Garden Hotel, anda perlu memasuki perkarangan hotel dan menaiki lift terus ke tingkat empat untuk sampai ke restoran ini. Konsep restoran adalah terbuka dan sesuai untuk dijadikan port healing atau dating bersama pasangan! Lebih menarik, anda juga boleh bermain snooker secara percuma!
Rock & Roar menyediakan kemudahan yang lengkap iaitu tandas dan surau yang bersih dan selesa. Permandangan memang cantik lebih-lebih lagi jika anda datang waktu matahari terbenam. Sambil makan, boleh chill bersama yang tersayang.
Alamat: N0 26-4 Jalan Suria 7, Bandar Baru Seri Alam, 81750 Masai, Johor
Waktu operasi: 4.00 pm-12.00 am
Kadangkala ada yang mencari tempat makan di JB waktu malam yang mempunyai pelbagai pilihan makanan lebih-lebih lagi buat mereka yang ingin datang dalam kumpulan yang ramai. D’Kunyah merupakan tempat yang sesuai kerana berkonsepkan vendor atau gerai-gerai kecil yang menjual aneka makanan.
Ada makanan Indonesia, makanan Thai, makanan barat, menu tempatan dan ada juga menu dari timur tengah. Antara menu yang menarik perhatian kami adalah pizza, bubur berlauk, satey kambing, char kuey teow, lamb shank dan nasi rawon. Apa yang lebih menarik, konsepnya unik iaitu ada yang memasak menggunakan kayu api untuk meningkatkan lagi aroma masakan dan ada juga yang menghidangkan menu dalam buluh!
Tempat makan terbuka dan banyak meja serta kerus disediakan buat pengunjung. Surau dan tandas turut disediakan dengan selesa. Tak tahu nak lepak mana? Datang sahaja ke sini dan anda boleh lepak sampai larut malam!
Alamat: Jalan Kemboja, Kampung Dato Sulaiman Menteri, 81100 Johor Bahru, Johor.
Waktu operasi: 5.30 pm-2.30 pm
Dalam banyak-banyak port makanan barat, Abu & Co antara port yang terkenal dan menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi mereka yang mencari menu barat dengan harga yang murah tetapi sedap. Saiz hidangan memang mengenyangkan!
Chicken Chop dan Lamb Grilled antara menu yang menjadi pilihan ramai. Kuah Blackpaper sedap, pekat dan memikat. Selain menu barat ada juga menu lain seperti nasi ayam penyet, nasi lemak dan masakan panas yang lain.
Tempat makan memang selesa, bersih, luas dan cantik. Yang mana suka akan ‘food photography’ pasti puas berada di sini.
Alamat: 47 Persiaran Tanjung Susur 1, Taman Bukit Alif, 81200 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: 11.00 am-11.00 pm
Terletak di Eco Palladium, Shang Bar & Restaurant merupakan tempat makan yang paling eksklusif, istimewa dan penuh privasi lebih-lebih lagi buat pelanggan yang ingin mengadakan makan malam khas buat pasangan. Siapa sangka dari luar kedai yang kelihatan seperti kedai bunga rupa-rupanya mempunyai sebuah restoran yang cantik.
Makan malam di sini akan menjadi lebih romantis dengan latar dan tempat khas tersebut. Pada belah malam disini lebih menarik kerana restoran ini dihiasi dengan lampu neon, seakan-akan berada di taman bunga dalam kebanyakan cerita fantasi.
Ramly Chicken Don, Creamy Spicy Squid Ink Harmony with Barramundi dan Grilled Salmon Rice Bowl antara menu yang mendapat pujian ramai terhadap kelazatannya. Tak ketinggalan, Seaweed Croissant, Corn Cheese Cutles dan Taco sebagai menu sampingan.
Alamat: Blok B, 01-19, Jalan Ekoflora 7, Taman Ekoflora, 81100 Johor Bahru, Johor
Pasti rambang mata untuk memilih tempat makan yang ingin dikunjungi. Ada pilihan lauk pauk tempatan, makanan barat, makanan Thai dan sebagainya. Pilihlah mengikut citarasa dan bajet yang anda ada.
Dah ada tempat makan di JB waktu malam yang mencuri tumpuan anda?
Jom ajak yang tersayang untuk turut merasai keenakan makanan di daerah yang terkenal di Johor ini. Selamat menjamu selera!
Banyak lagi pilihan tempat makan best di Johor Bahru termasuklah tempat makan terbaik di Johor Bahru, tempat makan sate Johor Bahru dan kedai kopi Johor Bahru.