Mencari tempat makan burger di Penang?

Penang atau Pulau Pinang merupakan salah sebuah negeri Utara yang kaya dengan pelbagai jenis tarikan. Baik tarikan sejarah, pelancongan atau tempat makan menarik, semuanya ada.

Ini termasuklah dengan tempat makan burger di sini. Jadi, berikut kami senaraikan 12 tempat makan burger di Penang yang wajib anda singgah. Teruskan membaca!

#1 Burger Society

Alamat: 47 & 49, Lebuh Leith, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 11.30 am – 8 pm

Burger Society merupakan antara tempat makan burger di Penang yang paling popular. Terletak di George Town, restoran ini menyediakan pelbagai jenis pilihan burger dan daging yang segar.

burger society
Imej via Foursquare

Mereka menyajikan daging lembu Australia, ayam dan juga kambing. Bagi yang ingin menikmati burger jenis vegan, restoran ini juga ada menawarkan pilihan tersebut. Berbagai dan semestinya berkualiti tinggi!

Selain daripada kualiti daging yang cemerlang, roti yang digunakan juga turut dipuji ramai. Ianya dibuat sendiri dan tekstur roti cukup gebu dan lembut.

#2 Street Grill – Burger Bakar

Alamat: 126, Jalan Sungai Pinang, George Town, 10150 George Town, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 3.30 pm – 8.30 am

Burger bakar merupakan hidangan yang semestinya digemari ramai, terutamanya pencinta makanan segera. Membayangkan kesegaran daging yang dibakar dengan sempurna sahaja sudah mampu buat ramai terliur.

tempat makan burger penang street grill burger bakar
Imej via Foursquare

Untuk itu, singgah sahaja di Street Grill – Burger Bakar untuk menikmati burger bakar yang dijamin sedap. Daging burger yang tebal di sini dibakar dengan begitu baik. Aromanya semasa dibakar juga cukup harum.

Burger ayam bakar yang disaluti dengan keju mozarela merupakan antara jenis hidangan yang menjadi pilihan ramai. Keju yang disajikan juga banyak, satu bonus buat pencinta keju di luar sana.

#3 The BRGR – Georgetown Penang

Alamat: 85, Jalan Nagor, 10050 George Town, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 – 9.30 pm

Bayangkan kelazatan burger keju bersaiz besar yang dinikmati panas-panas – satu nikmat yang semestinya anda ingin rasai. Jadi, singgah sahaja di The BRGR jika anda berkunjung ke Georgetown untuk merasai burger yang terlajak lazat.

the brgr tempat makan burger penang
Imej via Foursquare

Burger di sini bukan sahaja disajikan dengan daging, malah pilihan lain seperti ketam, sotong dan udang juga turut disediakan. Burger yang terjual laris di sini pula ialah Dirty Cheesy Chicken dan Australian Beef Burger, anda wajib cuba!

#4 Alamak

Alamat: 175, Jalan Argyll, George Town, 10050 George Town, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Khamis – Selasa, 11 am – 10 pm

Bukan mudah untuk jumpa kedai Mamak yang menyediakan burger sebagai menu utamanya. Jika anda berkunjung ke George Town, singgah sahaja di kedai Mamak ini untuk menikmati burger keju mereka sambil bersantai.

tempat makan burger penang alamak
Imej via Foursquare

Burger yang laku keras di restoran ini ialah Cheesy Zinger Burger. Ayam yang digoreng rangup, keju leleh yang berkrim dan roti ban yang lembut merupakan antara keistimewaan utama menu ini.

#5 Burger Ayam Goreng Njoy

Alamat: Lorong Kekabu 2, Taman Desa Wangsa, 11960 Batu Maung, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 6 – 11 pm

Pernah cuba burger yang roti bannya berwarna-warni? Satu tarikan yang cukup unik dan menarik, bukan? Jika berkesempatan, lekaslah singgah di Burger Ayam Goreng Njoy yang bertempat di Batu Maung.

tempat makan burger penang njoy
Imej via Foursquare

Selain daripada menyediakan roti ban berwarna-warni, pilihan daging burger di sini juga beraneka. Burger jenis goreng dan bakar merupakan antara jenis hidangan utama. Menu yang berbeza, namun kelazatannya tetap setanding.

#6 The Gunners Burger & Cafe

Alamat: Jln. Utama, 10450 George Town, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 pm – 12 am

Satu lagi tempat makan burger di Penang yang menyediakan burger berwarna-warni ialah The Gunners Burger & Cafe. Kafe yang terletak berhadapan dengan Penjara Penang ini cukup terkenal dengan sajian Barat yang berbagai.

the guners burger tempat makan burger penang
Imej via Foursquare

Antara jenis burger yang wajib anda cuba ialah Sempoi Fried Burger Special, Grilled Chicken Burger Combo, Quarter Pounder Burger Combo dan Lava Cheese Burger Combo.

Antara warna roti yang mereka tawarkan ialah merah jambu, hitam dan kuning. Jenis daging seperti ayam, ikan, kambing dan daging juga turut ada di sini. Memang bikin ramai rambang mata, rugi jika anda tak cuba!

#7 Rockstarz

Alamat: 128, Jalan Mayang Pasir, Bandar Bayan Baru, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 5 – 8 pm

Restoran burger yang bertemakan rock and roll ini merupakan tempat makan burger yang cukup tersohor namanya di Bayan Lepas. Antara keistimewaan utama burger di sini ialah dagingnya dibuat sendiri dan dijamin segar.

rockstarz
Imej via Foursquare

Memandangkan tema restoran ini ialah rock and roll, semestinya nama menunya juga unik. Metallicheeze, Heavy Metal, Soft Rock dan The Supreme Roses merupakan antara burger yang dijamin menyelerakan. Kejunya juga banyak, memang berbaloi!

#8 Man Burger Stall Sungai Dua

Alamat: Jalan Sungai Dua, Sungai Dua, 11700 Gelugor, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 5.30 – 10 pm

Untuk makan malam, semestinya anda ingin menikmati makanan berat, bukan? Alang-alang berada sekitar Sungai Dua, nikmatilah burger di warung Man Burger untuk makan malam. Bukan sahaja sedap, malah mengenyangkan!

man burger sungai dua
Imej via Facebook

Burger kambing bakar merupakan antara hidangan yang cukup laris di sini. Daging yang segar dan tebal serta sos yang menggamit selera merupakan antara tarikan utama menu ini. Jika anda penggemar burger kambing, kami yakin anda pasti akan menggemarinya!

#9 Pos Burger Jelutong

Alamat: Lebuhraya Jelutong, Taman Jelutong, 11600 George Town, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 8 – 10 pm

Bagi penggemar burger yang pedas, anda boleh cuba burger tersebut di Pos Burger Jelutong. terletak di Taman Jelutong, burger di sini bukan sahaja pedas, malah saiznya juga besar.

burger pos jelutong
Imej via Foursquare

Pilihan menu di sini juga pasti akan buat anda rambang mata. Sebut sahaja burger yang anda mahu – burger ikan, hot dog, kambing, daging, ayam, oblong, semuanya ada. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan.

#10 Hilmee Burger

Alamat: 1A, Jalan Tengah, Pangsapuri Jalan Tengah, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 5.30 – 10 pm

‘Daging yang juicy dan dimasak dengan sempurna’ – ini merupakan antara ulasan positif daripada ratusan ulasan yang diberikan oleh pelanggan Hilmee Burger. Ini jelas menunjukkan yang burger di sini bukan biasa-biasa.

hilmee burger
Imej via Foursquare

Sebaik sahaja memesan burger anda, anda perlu tunggu sekitar 15 minit atau lebih kerana burger di sini memang dimasak dengan baik. Walaupun perlu menunggu, penantian anda pasti berbaloi kerana kualiti dagingnya memang tip top.

Burger oblong merupakan jenis burger yang sentiasa menjadi buruan ramai. Anda patut juga burger oblong kambing special mereka, dijamin sedap dan bikin ketagih.

#11 Old Trafford Burger

Alamat: 325, Chulia St, Georgetown, 10200 George Town, Penang

Waktu Operasi: Jumaat – Isnin 5:30 – 8 pm, Selasa – Rabu 5:15 – 8 pm, Khamis 5 – 8 pm

Warung burger yang terletak berhadapan dengan Bing Hwa School ini mula beroperasi sejak tahun 2000 lagi. Hal ini jelas menunjukkan yang warung burger ini tetap menjadi pilhan ramai setelah lebih 20 tahun beroperasi.

old trafford burger penang
Imej via Foursquare

Burger daging dan burger ayam special adalah antara menu yang menjadi kegilaan ramai pelanggannya. Daging yang cukup juicy serta keju cheddar yang banyak merupakan antara tarikan istimewa burger di sini.

#12 Aman Burger Lambong

Alamat: Taman Gedung Heights, 11900 Georgetown, Penang

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 5.30 – 8 pm

Kedai burger yang dibuka sejak tahun 1985 iaitu Aman Burger ini juga merupakan antara tempat makan burger di Penang yang memang popular. Walaupun sudah lama beroperasi, harga yang ditawarkan di sini kekal murah.

aman burger lambong
Imej via Facebook

Anda boleh menikmati burger oblong kambing, burger ikan, burger rusa, burger hot dog dan burger daging unta di restoran ini. Sos BBQ yang digunakan juga turut mencuri hati ramai, jadi jangan lupa untuk minta sos lebih.

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat makan burger di Penang yang ingin disinggah? Jika berpeluang ke sini, singgah sahaja satu persatu kerana semuanya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.