Mencari tempat makan best di Georgetown? Tempat makan memang banyak, tetapi kadangkala keliru dengan status halalnya. Tambahan pula, sewaktu bercuti semestinya kita mahu mencari tempat makan yang memuaskan dari segi suasana, rasa dan harganya.

Tahukah anda, Georgetown juga merupakan destinasi pelancongan terbaik di Penang. Banyak tempat menarik dan bersejarah, dengan bangunan ikonik sehingga tersenarai dalam Warisan Sejarah UNESCO. Tempat makan juga banyak yang menarik tau!

Jangan risau, kami senaraikan antara tempat makan best dan terbaik di bandar ini. Kafe hipster mahupun warung tepi jalan, pasti memuaskan tekak anda. Senarai ini berdasarkan pilihan dan feedback kebanyakan penduduk setempat dan pengunjung yang bercuti di Georgetown. Jadi tidak perlu ragu-ragu untuk mencubanya.

Café Makan Western

Imej via Makan Burger Penang

Cafe Makan Western By Mamak Kwangsoo,Iyrman & Ba atau kini dikenali dengan Makan Burger Penang merupakan salah satu tempat makan yang perlu anda cuba. Dekorasi kafe sangat memukau dengan tema pantai. Sesuai untuk kaki ootd!

Dah nama kafe pun Café Makan Western, sudah tentu menu utama yang ditawarkan terdiri daripada masakan barat. Jika mahukan menu yang ringan, Bruschetta & Cheezy Nachos memang sesuai untuk perut anda yang hampir kenyang.

Jika anda mahu sesuatu yang mengenyangkan dengan menu terbaik di sini, anda perlu cuba Grill Salmon Spicy Lemon Sauce, Pesto dan Nasi Goreng Chicken Chop. Portion setiap menu memang mengenyangkan, sesuai dengan harganya.

Alamat: 301-1, Jalan Jelutong, Jelutong, 11600 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Rabu-Isnin (5.00 pm-12.00 am)

Café Lagenda

Imej via Cafe Lagenda

Jika sebut tentang lagenda, pasti terbayang menu-menu klasik. Ya betul, jika anda ke sini, anda dapat menikmati pelbagai menu tradisi yang dapat mengimbau kenangan lalu.

Masuk sahaja perkarangan kafe, anda pasti terpukau dengan dekorasi klasik yang mempersona. Malah ada menu yang diberikan nama sempena karya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee serta pengunjung akan didendangkan dengan lagu-lagu karya beliau.

Set Nasi Ikan Bakar, Nasi Goreng Bujang Lapok, Mee Kuah Penang dan Sotong Ala Panggilan Pulau antara menu yang mencuri tumpuan kami. Portion dan persembahan hidangan kami bagi A+.

Alamat: 2, Lebuh Carnarvon, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-11.00 pm)

Roti Bakar Hutton Lane

Imej via Roti Bakar Hutton Lane

Port sarapan ini memang lejen kerana telah mula beroperasi dari 1957. Menu utama yang dijual semestinya roti bakar. Paling menarik, mereka masih mengekalkan cara membakar roti secara tradisional iaitu membakarnya menggunakan kayu arang. Ini yang menjadikan roti lebih sedap kerana aromanya yang mengiurkan.

Datang ke sini semestinya anda perlu cuba Roti Bakar Telor Goyang. Tak cukup dengan itu, pesan juga Roti Canai Telor Goyang Cheese, Roti Bakar Butter Kaya dan Roti Canai Sarang Burung. Dengar cerita, nasi lemak di sini pun sedap!

Alamat: 300, Jalan Phee Choon, George Town, 10050 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 am-1.00 pm)

Halab Penang

Imej via Halab Penang

Mahukan suatu kelainan untuk menu anda di Penang selain nasi kandar, jom kita rasai menu dari timur tengah di Halab Penang. Restoran ini memang terkenal dan terkemuka dengan makanan arab di Penang. Anda pasti terpegun dengan dekorasi dalaman restoran yang berkonsepkan timur tengah ini.

Kebab, shawarma, falafel, nasi mendy dan kunafah antara menu yang perlu anda cuba.Untuk minuman pula, Ardani Tea antara tersedap di sini. Jadi, jangan lupa masukkan dalam pesanan anda!

Alamat: 381, Chulia St, Georgetown, 10200 George Town, Penang

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-3.00 am)

Sup Hameed

Imej via Sup Hameed

Kedai sup paling lejen di Penang semestinya Sup Hameed. Sup yang dihidangkan menepati rasa kebanyakan pengunjung. Secukup rasa dan pekat, terasa rempah supnya. Anda akan dihidangkan dengan sup panas. Cicah bersama roti benggali pasti lebih puas.

Sebut sahaja pelbagai jenis sup, sup daging, sup urat lembu, sup lidah mahupun sup ekor lembu semuanya ada di sini. Setiap portion memang tak kedekut dengan isinya. Harga pun murah. Selain boleh dicicah dengan roti, anda juga boleh makan dengan nasi.

Alamat: 48, Jln Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 pm-12.00 am)

Deens Maju

Imej via Deens Maju

Tak perlu diterangkan lagi kesedapan nasi kandar Deens Maju, anda pasti sudah tau kelazatannya. Salah satu port nasi kandar terbaik di Penang, jika anda datang pada waktu kemuncak pasti perlu beratur panjang untuk mendapatkannya.

Tapi sebaik saja merasainya, pasti merasa puas. Makan pula dengan kuah banjir, memang lagi surr! Walaupun dibuka sehingga malam, namun jika anda datang lambat, kemungkinan lauk yang anda inginkan akan habis.

Alamat: 170, Jalan Gurdwara, 10300 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-9.30 pm)

Ais Tingkap Penang Road

Berada bersebelahan Pasar Chowrasta, Ais Tingkap Viral pasti termasuk dalam pilihan food hunter jika ke Penang. Nama kedai ini diambil sempena moyang pemilik yang mula menjual air sarbat melalui tingkap rumahnya dari tahun 1919.

Bukan sekadar sirap biasa, minuman ini dicampur dengan selasih, isi dan air kelapa dan beberapa bahan istimewa yang lain. Buat pengetahuan anda, kedai ini hanya menjual air sahaja.

Sehingga kini, puluhan jenis air dijual termasuklah cendol, ais kacang, ais honey lemon dan lain-lain. Dah penat berjalan di kawasan sekitar, singgah ke sini untuk sejukkan tekak dan badan. Pasti terasa lebih segar.

Alamat: 2, Lebuh Tamil, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-7.00 pm)

The Table

Imej via The Tablepenang

Dimiliki oleh pemilik muslim dan berstatus halal, tak perlu ragu-ragu untuk ke sini pelbagai menu barat yang pasti memuaskan tekak anda. Rata-rata pengunjung yang pernah makan di sini memberikan komen memuaskan dan ada yang ingin datang semula jika ke Penang.

Dengar cerita Spaghetti Buttermilk Chicken dan Croffle memang sedap. Ada lagi banyak menu lain yang pasti memuaskan anda.

Alamat: 27, Lebuh Carnarvon, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Jumaat-Rabu (4.00 pm-11.00 pm)

Nasi Padang Minang Transfer Road

Ikan cencaru sumbat bersama bawang goreng garing merupakan salah satu lauk daripada pelbagai jenis lauk minang yang sedap. Yang pernah rasa makanan minang pasti tahu kelazatan menunya.

Menjelang makan tengah hari, restoran ini akan dipenuhi pengunjung sehingga kadang kala perlu beratur untuk mendapatkannya.

Alamat: 92, Jalan Transfer, George Town, 10050 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (11.30 am-4.00 pm)

Dapoq Schombi Heritage

Imej via Dapoq Schombi Heritage

Teringin nak makan menu dan lauk kenduri? Jom ke Dapoq Schombi Heritage kerana mereka menawarkan lauk-lauk kenduri. Cara hidangan pun ala-ala kenduri tau!

Sebut sahaja lauk kenduri, sudah pasti menunya nasi tomato, ayam masak merah, kurma kambing, kari daging mamak dan banyak lagi pilihan lauk! Setiap lauk dan gulai memang pekat dan padu. Anda boleh pilih untuk makan berhidang atau letak sahaja semua lauk dalam satu pinggan.

Alamat: 67, Jalan Irving, 10450 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Selasa-Ahad (11.00 am-7.00 pm)

Don Western & Grill Cafe

Imej via Don Western & Grill Cafe

Don Western & Grill Café antara port terbaik untuk merasai keenakan makanan barat di Penang. Ada juga pelbagai menu itali yang pasti membuatkan anda rambang mata untuk memilihnya.

Kafe ini terkenal dengan hidangan steak seperti Angus Nano Tomahawk, Don Couple Box Aglio Pasta dan Premium Wagyu Beef Burger. Bukan itu sahaja, ramai yang menggilai set shellout dengan dua jenis masakan iaitu Spicy Sambal dan Buttermilk Sauce. Tengok sahaja gambar sudah buat terliur, apa lagi bila cuba sendiri.

Mahukan kelainan dalam minuman? Jom cuba Mimosa Blue Lagoon, Barbican Pomegranate dan MnM’s Choc Candy Shake. Pasti tekak lebih segar!

Alamat: 3E, Jln Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (6.00 pm-12.00 am)

Khengsom Der

Imej via Khengsom Der

Tekak anda menginginkan makanan ala Thai? Di Georgetown, port yang kami syorkan anda untuk mencuba makanan Thai semestinya Khengsom Der. Selain di Georgetown, Khengsom Der juga mempunyai cawangan di Kangar Perlis.

Pelbagai jenis menu ditawarkan hingga pasti membuat anda rambang mata. Antara menu yang perlu anda cuba adalah Siakap Goreng Khengsom, Sotong Steam Limau, Kerabu Udang, Chicken Wings, Daging Danok dan Udang Sos Hijau.

Satu lagi perkara menarik tentang restoran ini adalah dekorasi dalaman yang cantik dan selesa. Sangat sesuai untuk kaki ootd bergambar. Restoran pula tertutup dan berpendingin hawa.

Alamat: 3, Pengkalan Weld, George Town, 10300 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-11.00 pm)

Gani Famous Pasembor

Imej via GANI Famous Pasembor

Datang ke Penang rugi jika tak makan pasembor. Jika tanya penduduk setempat, pasti mereka mengesyorkan anda untuk ke Gani Famous Pasembor yang terletak di Padang Kota. Terletak di perkarangan medan selera, sambil makan anda boleh menikmati pemandangan laut yang memukau.

Pelbagai pilihan cucur, makanan laut dan sebagainya yang boleh anda pilih. Harga mengikut kuantiti dan jenis menu yang anda ambil. Jangan terkejut jika harganya sedikit tinggi lebih-lebih lagi jika anda memilih makanan laut seperti sotong.

Alamat: 3, Medan Renong, Padang Kota Lama, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, 10200 Georgetown, Pulau Pinang

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-1.00 am)

Dim Sum Valet

Imej via Dim Sum Valet

Penang juga terkenal dengan menu Chinese dan salah satunya adalah dim sum. Dim Sum Valet antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong yang menginginkan menu-menu seperti ini. Paling penting, restoran ini halal tau!

Selain dim sum, menu yang perlu anda cuba adalah chee cheong fun, mua chee, char koay kak dan mi wantan. Rasa setiap menu unik dan sedap, berbeza dengan restoran makanan Cina yang lain kerana menggunakan resepi rahsia dan istimewa.

Alamat: 16, Lebuh Keng Kwee, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Rabu-Isnin (11.00 am-6.00 pm)

KESUM

Imej via KESUM

Apa yang ada di Kesum Art Restaurant? Mereka menawarkan pelbagai menu masakan Melayu dari Johor. Asam Pedas, Laksa Johor, Soto, Lontong, Sambal Goreng dan Sate merupakan menu yang perlu dicuba.

Sesuai jika ada yang mengidam masakan Johor. Tak perlu susah-susah untuk Johor, di Penang anda boleh dapatlan masakan yang ori!

Alamat: 104, Jln Masjid Kapitan Keling, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Selasa-Jumaat (12.00 pm-8.30 pm) \ Sabtu & Ahad (8.30 am-5.00 pm)

Aroma Eatery

Imej via Aroma Eatery

Di Aroma Eatery pula, mereka menawarkan masakan melayu dan makanan barat. Sesuai untuk anda yang datang secara berkumpulan dan mempunyai selera yang berbeza.

Dekorasi dalaman kafe memang mempersona dan kelihatan eksklusif. Selepas makan, bolehlah anda bergambar sepuasnya.

Antara menu kesukaan ramai adalah mi kari, chicken chop, macaroni dan mi udang. Beef steak with corn and roasted vegetables antara menu best seller tau!

Alamat: 28, 30, Jalan Pintal Tali, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Rabu-Ahad (12.00 pm-11.00 pm) \ Isnin, Rabu & Khamis (3.00 pm-11.00 pm)

Rumah Kacha

Imej via Rumah Kacha

Jika anda mencari tempat makan yang penuh estetik dan instaworthy, Rumah Kacha pasti menepati citarasa anda. Kafe yang berdindingkan kaca didekorasikan dengan beberapa tumbuhan menghijau. Apa yang menarik, setiap sudut kafe memang cantik untuk bergambar.

Pasta Masak Lemak Cili Api, Curly Fries, Chicken Wing dan Pesto Pasta antara menu yang perlu anda cuba. Rata-rata pengunjung yang pernah ke sini mengatakan menu tersebut memang padu. Ada banyak lagi menu sedap yang pasti mengenyangkan anda.

Alamat: 31a, Jalan Gurdwara, 10300 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Selasa-Ahad (12.00 pm-3.00 pm, 5.00 pm-9.30 pm)

Jawi House Café Gallery

Imej via Jawi House Cafe Gallery

Mahukan satu keunikan dan kelainan pada makanan apabila bercuti di Georgetown? Jom cuba hidangan yang berkonsepkan Jawi Peranakan di Jawi House Café Gallery. Kafe ini juga mempunyai dekorasai yang memukau dengan tema ala-ala klasik.

Mereka menyediakan pelbagai menu menarik dan sedap dari menu utama hinggalah pemanis mulut. Tak tahu nak makan apa? Nasi Lemuni dan Nasi Jawi Biryani antara yang terbaik di sini. Bukan itu sahaja, ada juga kuih-muih tradisional.

Alamat: 85, Lbh Armenian, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Rabu-Isnin (11.00 am-9.30 pm)

Nona Bali Restaurant

Imej via Nona Bali Restaurant

Lain pula tema hidangan di Nona Bali Restaurant. Sesekali makan-makanan Indonesia terutama dari Bali pasti dapat mengubah selera dan citarasa anda. Bukan senang nak cari menu-menu yang ada di tempat lain.

Tumpeng Nasi Kuning, Bebek Goreng dan Opor Ayam antara menu yang mencuri tumpuan kami. Tambahan hidangan sampingan seperti Dadar Bali dan Biu Gulung, pasti menjadikan set hidangan anda lebih lengkap.

Alamat: 23, Lintang Burma, Pulau Tikus, 10350 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Khamis-Selasa (11.30 am-3.00 pm, 5.30 pm-9.30 pm)

MekTii Tomyam & Kengsom

Imej via MekTii Tomyam & Kengsom

Mencari port lepak dan makan malam terbaik di Georgetown? Jom ke MekTii Tomya & Kengsom yang dibuka sehingga lewat malam. Dengar cerita, tomyam disini memang padu dan kaw!

Pesan juga Kengsom Daging, Siakap Tiga Rasa dan Telur Dadar Shiitake Mushroom untuk dimakan bersama nasi panas, pasti menjilat jari! Paling best di sini juga ada oyster segar!

Alamat: 199, Jalan Dato Keramat, 10150 George Town, Pulau Pinang

Waktu operasi: Khamis-Selasa (5.30 pm-1.00 am)

Banyakkan tempat makan best di Georgetown yang menarik? Hampir kesemua senarai ini viral dan menjadi lokasi makan kegemaran ramai, tak kira penduduk setempat mahupun pelancong.

Ada yang berkenan? Jom masukkan ke senarai tempat yang perlu anda kunjungi jika ke sini. Ajak pasangan, keluarga mahupun rakan-rakan untuk food hunting bersama anda. Selamat mencuba!

Jika anda berada di Penang dan mencari tempat makan eksklusif, kami senaraikan 3 tempat menarik buat anda:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.