Bayan Lepas merupakan bandar kedua terbesar di Pulau Pinang. Jika anda pernah terdengar tentang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, ianya terletak di Bayan Lepas.

Kalau dah namanya bandar kedua terbesar, semestinya ada banyak tempat makan di sini, bukan?

Masih tercari-cari tempat makan yang boleh anda singgah di sini? Jangan risau! Berikut kami senaraikan 15 tempat makan menarik sekitar Bayan Lepas. Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

#1 Cargas Cafe

Alamat: 978, Main Road, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10.30 pagi – 4 petang

Ayam goreng mungkin kedengaran biasa sahaja bagi anda. Namun, jika anda merasai ayam goreng yang luar biasa enaknya, pasti anda akan berpuas hati, bukan?

Imej via Foursquare

Di Bayan Lepas, Restoran Cargas Cafe ini sangat terkenal dengan menu tersebut. Mana tidaknya, jika pelanggan datang sedikit lambat, pasti ayam goreng mereka sudah kehabisan. Memang laku keras!

Selain ayam goreng, hidangan lain juga tidak kurang hebatnya. Kari ikan pari dan sambal sotong merupakan antara lauk terlaris di sini. Jika dimakan bersama nasi putih dibanjiri kuah campur, pasti sedap tak terhingga!

#2 Original Penang Kayu Nasi Kandar

Alamat: 15, Lebuh Nipah, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: 24 jam

Kalau dah namanya Penang, memang wajiblah ada nasi kandar! Di Bayan Lepas, restoran nasi kandar ini merupakan antara restoran mamak yang ‘top’ di sini – Restoran Original Penang Kayu Nasi Kandar!

Imej via Foursquare

Imej via Foursquare

Ada bermacam-macam lauk-pauk yang disediakan di sini. Antara yang istimewa ialah ayam madu dan ayam goreng. Jika dimakan bersama nasi briyani, kari sotong dan sayur kacang, pasti padu!

Imej via Foursquare

Bukan nasi kandar dan nasi briyani sahaja yang digemari pelanggan, malah roti canai, roti telur dan roti tisu juga turut mendapat tempias yang sama. Roti tisunya juga bukan biasa-biasa tingginya, bikin ramai terpegun!

#3 Pak Hussin Tomyam

Alamat: 14, Jalan Bayan, Kampung Tersusun Sungai Ara, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 tengah hari hingga 12 tengah malam

Menurut ramai, restoran Pak Hussin Tomyam ini ada menyediakan tomyam yang terlajak sedap. Ada juga yang mengatakan rasanya sesedap tomyam asli Thai!

Imej via Foursquare

Perkara tersebut tidak dapat dinafikan lagi, kerana tomyam memang antara menu terlaris di sini. Rasa pedas dan masamnya yang cukup seimbang serta aromanya yang harum bikin ramai terpikat!

Imej via Foursquare

Bukan itu sahaja, malah menu lain seperti Siakap Stim, Ayam Gajus, Butter Prawn, Daging Masak Merah dan aneka nasi goreng juga turut mendapat tempias yang sama.

#4 Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe

Alamat: Taman Tunas Muda, 11900 Bayan Lepas, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 11 pagi – 6 petang manakala Jumaat & Sabtu 11 pagi – 9 malam

Pernah terdengar mengenai Nasi 7 Benua? Agak-agak mengapa hidangan ini dinamakan sebegitu?

Imej via Foursquare

Nasi 7 Benua ini merupakan gabungan variasi nasi yang ada dalam hidangan ini yang kelihatan seolah-olah benua. Antara nasi yang digabungkan ialah Nasi Lemuni, Nasi Putih, Nasi Kacang, Nasi Minyak, Nasi Tomato, Nasi Lemak dan Nasi Hujan Panas.

Imej via Foursquare

Untuk lauk-pauk pula, ada berbagai jenis lauk yang disajikan di sini. Antaranya rendang ayam, ayam goreng, kari ayam dan daging hitam. Jika ditambah dengan kuah campur, pasti lebih menyelerakan!

#5 Sany Char Koay Teow

Alamat: 4, Lorong Mahsuri 2, Bayan Baru, 11950 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 6.30 petang – 3 pagi

Restoran ini merupakan antara restoran char koay teow yang terkenal di Bayan Lepas. Penduduk Bayan Lepas sendiri turut akui yang mereka juga kerap ke sini untuk menikmati char koay teow!

Imej via Foursquare

Jika dilihat sendiri, char koay teow di sini disajikan bersama udang. Kuantiti makanan juga agak banyak, memang menjamin kekenyangan di samping keenakan!

Selain char koay teow, hidangan lain seperti makanan Barat dan nasi goreng ayam juga turut menjadi kegemaran ramai.

#6 Restoran Kapitan

Alamat: 89 G, Persiaran Bayan Indah, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: 24 jam

Restoran Kapitan – satu nama restoran mamak yang cukup gah di Penang. Agak-agak menu apa yang paling istimewa di sini ya?

Imej via Foursquare

Imej via Foursquare

Antara menu yang terlaris di restoran ini ialah Chicken Milani dan Briyani Claypot. Rasa ayam yang cukup berempah dan aromanya yang memikat yang digabungkan dengan nasinya yang melengkapkan hidangan – cukup sempurna!

Selain itu, Naan Cheese dan Naan Tandoori juga mendapat tempias yang sama. Naan di sini saiznya agak besar dan teksturnya pula lembut dan empuk.

#7 Original Bangkok Tomyam

Alamat: 85, Persiaran Mahsuri 1/3, Bandar Sunway Tunas, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 tengah hari – 1 pagi

Dari namanya sahaja and boleh tahu restoran ini terkenal dengan masakan apa – semestinya masakan Thai yang asli, seolah-olah anda merasai kenikmatan makanan Thai di Bangkok sendiri!

Imej via Foursquare

Ada beberapa jenis tomyam yang disediakan di sini, namun kami cadangkan agar anda cuba Seafood Tomyam mereka. Menu lain seperti Steamed Fish dan Deep Fried Squid juga wajib anda cuba sebagai pelengkap hidangan.

#8 Fisherman’s Grill

Alamat: 300-X-1, Jalan Dato Ismail Hashim, Desa Ria, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 11.30 pagi – 2.30 petang, 6 petang – 10.30 malam (Ahad 6 petang – 12 tengah malam)

Ada penggemar makanan Barat terutamanya stik di sini? Kami ada berita baik buat anda! Restoran Fisherman’s Grill ini cukup terkenal dengan stik mereka yang bukan biasa-biasa!

Imej via Foursquare

Stik yang seringkali dipesan oleh pelanggan di restoran ini ialah Kiwi’s Prime Rib Eye Steak. Stik bersaiz besar yang dihidangkan bersama jagung bakar dan ubi kentang ini dipuji ramai dek kerana isinya yang ‘juicy’, cukup sempurna!

Anda juga boleh mencuba hidangan lain yang dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti Salad, Appetizer, Pasta dan banyak lagi. Garlic Bread with Mushroom Soup mereka juga turut menjadi kegemaran ramai, anda wajib cuba!

#9 Idrus Ikan Bakar

Alamat: No. 3,Idrus Ikan Bakar Batu Uban, Pengkalan Polis Marin Wilayah Utara Lebuh Raya, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 5 petang – 1 pagi

Imej via Foursquare

Ikan bakar sememangnya merupakan hidangan yang cukup sempurna untuk dinikmati pada makan malam. Jika anda mengidamkan ikan bakar, anda patut cuba hidangan tersebut di Idrus Ikan Bakar.

Ikan berbau dan rasa hanyir? Masalah ini anda tidak akan hadapi di sini, kerana isi ikan di sini cukup segar. Dicicah pula bersama sambalnya, pasti lebih padu!

Imej via Foursquare

Bukan itu sahaja, hidangan lain seperti sotong goreng tepung, udang goreng mentega dan ketam goreng berlada juga merupakan antara yang terlaris di sini. Wajib dicuba oleh pencinta makanan laut!

#10 Ah Basri Asian Satay

Alamat: 54, Jalan Tengah, Taman Sri Tunas, Bayan Baru, 11900 Bayan Lepas, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari, 3 petang – 11 malam

Imej via Foursquare

Sate merupakan hidangan yang cukup sesuai dinikmati semasa anda bersantai. Teringin untuk mencuba sate yang beraneka jenis dan terbaik kualitinya? Cubalah sate di Ah Basri Asian Satay!

Biasanya kita terdengar tentang sate daging dan ayam sahaja. Pernahkah anda mencuba Calamari Satay atau sate sotong? Jarang didengari, namun tidak bermaksud rasanya tidak sesedap sate yang lain.

Imej via Foursquare

Calamari Satay di sini menerima banyak pujian daripada pelanggannya. Sotongnya dibakar dengan sempurna dan aromanya pula cukup memikat, boleh bikin sesiapa sahaja kecur air liur!

#11 Streeto Pizza

Alamat: No 28, Bandar Baru Telok Kumbar, 11920 Bayan Lepas, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 tengah hari – 12 tengah malam, manakala Rabu bermula 6 petang – 12 tengah malam

Imej via Foursquare

Jika anda mengidamkan pizza, singgah sahaja di Streeto Pizza! Restoran ini menyajikan pelbagai jenis pizza, malah ada juga yang bukan senang untuk didapati di mana-mana restoran.

Antara pizza yang wajib anda rasai ialah Pepperoni Pizza, Mix Delicious Pizza, Meatball Pizza dan banyak lagi. Keju yang melapisi permukaan pizza ini agak banyak namun ianya tidak memuakkan, malah menyelerakan!

#12 Uncle Lanz Nasi Lemak

Alamat: 82, Jalan Mahsuri, Bayan Baru, 11950 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 6.30 petang – 1 pagi

Selalunya kita menikmati nasi lemak sebagai sarapan, namun jika dinikmati untuk makan malam pun ‘best’ juga, bukan?

Jika anda teringin untuk mencuba nasi lemak yang bukan sahaja enak malah berpatutan harganya, cubalah nasi lemak di Uncle Lanz Nasi Lemak!

Imej via Foursquare

Antara nasi lemak terlaris di sini ialah nasi lemak ayam goreng. Sambal nasi lemak yang pedas dan manis dan ayam gorengnya yang rangup memang menjadi kegilaan ramai!

Imej via Foursquare

Bukan nasi lemak sahaja yang popular di sini, malah Chicken Chop juga turut mendapat tempias yang sama. Berharga RM 5 sahaja sepinggan, ianya bukan sahaja sedap, malah harganya juga sangat berpatutan.

#13 Bawal Goreng Pokok Cheri

Alamat: 1284, Jalan Mahkamah, Kampung Masjid, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Sabtu, 11.30 pagi – 6.30 petang

Imej via Foursquare

Bawal Goreng Pokok Cheri merupakan antara restoran bawal yang cukup terkenal sekitar Bayan Lepas. Rata-rata pelanggan memuji bawal gorengnya yang rangup di luar dan lembut isinya.

Bawal goreng ini lebih enak jika dimakan bersama nasi putih panas dan cili kicap yang masin dan pedas. Anda pasti sudah mula terliur membayangkan keenakannya, bukan?

#14 D’Seafood Paradise

Alamat: Jalan Teluk Tempoyak, 11960 Batu Maung, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 tengah hari – 1 pagi

Imej via Foursquare

Menikmati makanan laut yang enak sambil menghayati pemandangan pantai yang cantik pasti menenangkan jiwa anda, bukan?

Singgah sahaja di D’Seafood Paradise untuk merasainya pengalaman tersebut! Terletak bersebelahan dengan pantai, restoran ini menyajikan pelbagai jenis makanan laut, hidangan Thai dan masakan panas yang enak-enak belaka.

Imej via Foursquare

Antara menu yang wajib anda rasai ialah sotong goreng tepung, tomyam, siakap tiga rasa, kerang bakar dan banyak lagi. Jika dinikmati bersama Coconut Shake, pasti lebih sedap!

#15 Arang Coffee

Alamat: 2, Persiaran Mahsuri, Bayan Lepas, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 9 pagi – 12 tengah malam manakala dibuka 24 jam pada hari Ahad

Kepada pencinta makanan Barat, anda wajib terjah kafe yang bukan sahaja popular dengan kopi ini – kafe Arang Coffee!

Imej via Foursquare

Antaranya makanan Barat yang boleh anda cuba ialah Chicken Parmigiana dan Squid Ink Spaghetti. Jika dimakan bersama kopi mereka seperti Green Tea Latte atau Salted Hazelnut Latte, pasti berganda keenakannya!

Bukan itu sahaja, pencuci mulut di sini seperti Tiramisu Crepe Cake dan Chocolate Crepe Cake juga turut menjadi kesukaan pelanggan mereka, memang wajib cuba!

Kesimpulan

Sebenarnya ada banyak lagi tempat makan yang boleh anda singgah sekitar Bayan Lepas. Jika kami senaraikan semuanya, memang tidak akan habis senarainya!

15 tempat makan pun pasti sudah bikin anda rambang mata, bukan? Singgah sahaja di restoran yang anda berkenan! Anda juga dinasihatkan untuk datang awal agar tidak kesempitan ruang di kemudian hari.

Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.