Pernah dengar tentang medan selera yang menjual pelbagai makanan yang memang kena dengan tekak dan selera orang Malaysia dan pelancong?

Medan selera yang bukan sahaja mempunyai gerai makanan tetapi juga kedai gunting rambut, tempat membasuh kereta dan mart mini? Dan yang menyediakan pandu lalu? Menerujakan, bukan? T’station merupakan medan selera yang menyediakan pelbagai jenis makanan tak kira makanan tempatan dan makanan luar.

Bertempat di Kuantan, Pahang, T’station mula beroperasi pada 8 April 2016. Bagi orang Kuantan ataupun sesiapa sahaja yang singgah di Kuantan, memang rugi kalau anda tak pernah singgah di T’station ni.

SateZul Antara Satay Best Di Kuantan

T'station Kuantan

Satezul

Imej via Instagram

Antara gerai makanan yang terdapat di T’station ialah Satezul. Di Kuantan, nama Satezul memang tidak asing lagi dan ia boleh bikin kecur air liur kepada sesiapa sahaja yang pernah merasai satenya.

Terkenal dengan berbagai jenis sate yang lembut dagingnya, kuah kacang yang cukup rasa manis, masin dan lemaknya, aroma sate yang dibakar yang menusuk kalbu, memang tak hairanlah Satezul dapat menempa namanya di Kuantan.

Antara sate yang disediakan di Satezul ini ialah sate daging, sate ayam dan sate rusa. Dihidangkan bersama kuah kacang dan nasi impit, anda pasti akan berpuas hati dengan kualiti sate yang dihidangkan di Satezul ini!

YUSU Dimsum Wajib Cuba

Yusu Dimsum

Imej via Instagram

Bagi penggemar dimsum, ini berita baik buat anda! Yusu Dimsum, merupakan salah satu gerai makanan yang bertempat di T’station. Di Yusu Dimsum, antara dimsum yang disediakan ialah prawn dumplings, chicken siew mai, mushroom siew dan banyak lagi!

Aneka dimsum yang disediakan ini memang lembut dan kenyal di luar tetapi rangup di dalamnya. Yang istimewanya, sos dimsum di Yusu Dimsum ini dibuat secara homemade dan bukannya diproses. Harganya juga tidak terlalu mencekik darah dan sangat berpatutan. Terdapat diskaun untuk pelajar juga, sangat berbaloi!

T’station juga ada menyediakan masakan Kelantan yang namanya tidak asing lagi di negara kita iaitu nasi kerabu. Gerai Zawaniey Enterprise ada menyediakan nasi kerabu. Nasi kerabu yang dijual di sini memang sangat sedap, dan hidangannya juga banyak.

Banyak Lagi

Selain itu, makanan Indonesia iaitu nasi ayam penyet juga ada dijual di sini. Nasi Arab dan nasi lemak juga ada dijual di Zawaniey Enterprise. Boleh dikatakan, memang banyak makanan dari pelbagai negara yang memang menarik yang disediakan di sini. Haaa, telan air liur ke tu?

KudapKudap Cafe

Imej via Instagram

Ada penggemar makanan Korea di sini? Atau anda teringin merasai makanan Korea? Jika ya, ini peluang anda untuk mengisi perut anda dengan makanan Korea yang popular dan semestinya, enak!

KudapKudap Cafe menyediakan Bibimbap, hidangan istimewa Korea berisi segumpal nasi panas yang selalunya disajikan mangkuk dan dihidangkan bersama hirisan daging, sayur yang ditumis atau lebih dikenali sebagai namul yang digaul dengan pes cili Korea iaitu gochujang dan di atasnya terdapat telur.

Selain itu, ramen Samyang yang merupakan mee segera yang terkenal dengan kepedasannya juga turut dijual di sini.

Athif Sup Utara

Imej via Facebook

Di T’station, gerai Athif Sup Utara ada menyajikan makanan bersup dan hidangan istimewanya, ikan bakar. Antara sup yang disediakan termasuklah sup daging, sup ekor, sup perut dan sup yang menjadi kegemaran ramai, sup tulang. Sup di sini memang boleh buat anda tak puas.

Bukan tak puas kerana tak sedap, tetapi anda akan rasa ketagih dengan kelembutan dagingnya, rasa kuah sup yang tidak terlalu masin namun tidak pula tawar. Bersebelahan dengan gerai Athif Sup Utara, gerai Athif Masakan Panas ada menyediakan masakan panas seperti nasi goreng, mee goreng dan kuey tiaw goreng. Harganya juga sangat murah!

Tstation Barbershop

Imej via Instagram

Anda percaya tak kalau saya cakap yang kedai gunting rambut juga ada di T’station? Ya, memang agak mengejutkan tapi di T’station, memang wujud kedai gunting rambut iaitu T’station Barber Shop. Rata-rata pelanggan yang memotong rambut di sini memang berpuas hati dan ketelitian penggunting rambutnya.

Selain daripada kedai gunting rambut, mart mini juga ada disediakan di sini. Bukan itu sahaja, di T’station pun ada tempat membasuh kereta dan pandu lalu juga ada disediakan!

Anda boleh menggunakan pandu lalu dengan menelefon T’station, membuat pesanan anda dan seterusnya anda boleh mengambil makanan yang dipesan. Mudah dan menarik bukan? Apa lagi, cepatlah serbu T’station!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.