Banyak ladang strawberry Cameron Highland yang ada sehingga pening untuk memilihnya sebagai lokasi mencari buah-buahan kegemaran ramai ini? Jangan risau, kami senaraikan 10 ladang strawberi terbaik yang boleh anda kunjungi.

Rugi jika bercuti di Cameron Highland tetapi tidak membeli strawberi. Lebih menarik jika buah yang dibeli dipetik sendiri di ladang. Namun bukan semua ladang di Cameron Highland yang menawarkan perkhidmatan ini.

Aktiviti memetik strawberi bukan sahaja memberi pengalaman indah buat dewasa, malah kanak-kanak juga pasti seronok melakukan aktiviti unik dan menarik ini.

Tak kira di Brinchang, Tanah Rata, Ringlet mahupun Kea Farm, pasti ada ladang yang membuatkan anda berpuas hati untuk mengunjunginya. Ini antara ladang terbaik buat anda!

Big Red Strawberry Farm

Imej via [ Cameron Highland Net ]

Antara ladang strawberi terbesar dan popular di Cameron Highland semestinya Big Red Strawberry Farm. Bukan sahaja ladang strawberi, malah ada juga tanaman lain seperti sayuran dan pokok bunga.

Tiga aktiviti menarik dalam satu tempat ini pasti disukai oleh golongan wanita. Jika anda mencari tempat masuk menarik yang percuma di Tanah Tinggi Cameron, ini salah satu pilihan tempat yang sesuai untuk anda. Anda hanya perlu membayar produk yang dibeli sahaja.

Pengunjung yang membawa warga emas, OKU dan sebagainya digalakkan parkir di atas kerana laluan berbukit dan panjang pasti menyukarkan serta memenatkan bagi sesetengah orang.

Lokasi: Brinchang

Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-6.00 pm)

Aidilbadri Strawberries

Aidilbadri Strawberries terkenal dengan port sarapan yang menyediakan menu berasaskan strawberi. Antara menu terlaris dan perlu dicuba semestinya Roti Jala dan Nasi Lemak Strawberi.

Bukan sahaja nasi lemaknya yang berperisa strawberi, malah sambal dan lauk lain juga diolah dengan strawberi. Namun begitu, memang sedap dimakan dan kena dengan tekak ramai pengunjung.

Terletak di Taman Sedia, disebalik tempat makan popular ini, tahukah anda di sini juga mempunyai tempat untuk memetik strawberi. Kedai ini ditutup setiap Rabu kecuali pada cuti sekolah.

Lokasi: No 36, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, 39000 Tanah Rata, Pahang

Waktu operasi: Khamis-Selasa (8.00 am-6.30 pm)

Raju’s Hill Strawberry Farm

Ladang strawberry antara yang lejen dan terkenal di Cameron Highland. Di sini juga pengunjung berpeluang untuk memetik buah yang segar dari ladang. Pihak ladang akan menyediakan bakul kecil dan pengunjung boleh memetik sebanyak mana yang dimahukan. Harga akan dikenakan mengikut berat buah yang dipetik.

Terletak bersebelahan Kea Farm, ia merupakan satu destinasi yang mesti dikunjungi terutama buat pengunjung yang menginap berdekatan. Seperti di kebanyakan ladang strawberi, di sini juga mempunyai kedai yang menjual makanan dan minuman berasaskan strawberi. Selain itu, terdapat kedai cenderamata dan makanan kering.

Lokasi: 129 59, Jalan Tapah, Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (8.30 am-6.00 pm)

Kasimanis Strawberry Farm

Walaupun kawasan ladang strawberi di sini tidak sebesar ladang strawberi lain yang terkenal, namun lebih selesa dan tenang berada di sini. Seperti biasa, pengunjung boleh memetik strawberi yang segar dan harga yang ditawarkan juga sedikit rendah berbanding tempat lain.

Selepas memetik buah, bolehlah anda ‘mengopi’ di kedai ini. Pelbagai jenis dessert seperti waffle, ais krim dan sebagainya yang pasti membuatkan ramai terliur. Banyak menu unik tetapi sedap yang berasaskan strawberi seperti Teh Tarik Strawberri.

Tiket masuk untuk ke Kasimanis Strawberry Farm adalah percuma. Namun bayaran dikenakan terhadap produk yang anda ambil atau beli di sini.

Lokasi: Brinchang

Waktu operasi: Setiap hari (8.45 am-6.30 pm)

Healthy Strawberry Farm

Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke ladang strawberi ini kecuali untuk memetik dan membeli produk yang ada.  Healthy Strawberry Farm terletak bersebelahan Rumah Rehat Persekutuan. Memang mudah diakses.

Bukan strawberi sahaja yang banyak, kaum ibu pasti terpukau melihat pelbagai jenis pokok bunga berwarna-warni, segar dan mekar. Nak memilih yang berkenan pasti mengambil masa yang lama.

Ramai yang berpendapat harga di sini lebih murah dan berbaloi. Strawberi pula besar belaka dan manis. Jangan lupa beli jem strawberi di sini, laris dan digemari ramai.

Lokasi: Jalan Rumah Persekutuan, Cameron Highland, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (7.30 am-7.00 pm)

YZ Agro Farm

Imej via [ YZ Agro Farm ]

YZ Agro Farm merupakan salah satu ladang strawberi Muslim yang berada di Kampung Taman Setia. Kebanyakan ladang di kawasan ini adalah milik orang Muslim. Di sini, pengunjung juga berpeluang memetik buah merah ini sendiri.

Selepas penat memetik buah, terus ke kedai makan yang berada di bawah. Dengar cerita mee kari, scone, nasi lemak ayam dan waffle sangat sedap di sini. Pekena pula dengan ais krim atau smoothie, sejuk dan segar tekak setelah kehausan.

Lokasi: No 22, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, 39000, Pahang

Waktu operasi: Rabu-Isnin (8.30 am-5.30 pm)

AyahMan Strawberry Farm

Ramai yang sedia maklum bahawa Ayahman Strawberry Farm mempunyai kafe yang menjual pelbagai makanan lokal yang sedap. Antara yang terlaris adalah Nasi Lemak Pandan Sambal Strawberri, Mee Rebus Johor, Nasi Kukus Ayam Berempah dan soto. Bukan itu sahaja anda perlu cuba scone dengan pelbagai jenis perisa.

Namun tak ramai yang tahu di sini juga boleh memetik strawberi. Sambil itu, rugi jika tidak bergambar dengan latar seperti taman bunga walaupun berada di ladang strawberi.

Lokasi: No 44, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, 39000 Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-5.00 pm)

Royal Berry Strawberry Park & Cafe

Ladang yang berada di tepi jalan ini mudah diakses dan dicari. Bukan sahaja ada ladang, malah terdapat kafe untuk anda berehat sambil menikmati beberapa menu sedap seperti aneka pemanis mulut.

Turut dikenali sebagai Royal Berry Laman Kak Engku, ia merupakan tempat terkenal untuk mendapatkan strawberi yang murah, buah segar, besar dan manis.

Pengunjung juga boleh mendapatkan beberapa produk sedap berasaskan strawberi seperti jem, cordial dan lain-lain.

Lokasi: Lot 89, Jalan Besar Kea Farm, Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Khamis-Selasa (9.00 am-5.00 pm)

Lavender Garden

Imej via [ Lavender Garden ]

Masih ramai yang tak tahu di Lavender Garden juga menawarkan aktiviti memetik buah strawberi. Mana tidaknya, sebut sahaja Lavender Garden pasti ramai yang terbayangkan tempat yang dipenuhi landskap bunga yang cantik berwarna-warni.

Tempat ini juga menjadi port untuk ootd kerana di setiap penjuru mempunyai latar yang memukau. Tempatnya memang sangat luas dan terdapat banyak kemudahan disediakan termasuk kafe, tandas, surau dan sebagainya.

Tiket masuk pula RM 20 untuk dewasa manakala RM 10 untuk kanak-kanak. Memang puas jika berada di dalam kawasan ini.

Lokasi: Brinchang

Waktu operasi: Isnin-Khamis (9.00 am-6.00 pm) | Jumaat-Ahad (9.00 am-7.00 pm)

EQ Strawberry Farm

Di EQ Strawberry Farm, pengunjung dikenakan bayaran RM 30 untuk 3 orang termasuk tiket masuk serta aktiviti memetik strawberi sebanyak 500 gram. Strawberi di sini mempunyai rasa manis yang berganda berbanding di tempat lain kerana ditanam secara organik.

Pengunjung juga akan diberi penerangan atau tips untuk memetik strawberi agar tidak cepat busuk dan bertahan lama. Buahnya juga besar dan segar belaka.

Lokasi: No 78, Jalan Kuari, Brinchang, 39100 Brinchang, Pahang

Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-6.00 pm)

Dah ada port memetik strawberi Cameron Highland yang berkenan di hati? Rancang sebaiknya perjalanan anda ke tempat-tempat berikut untuk mengelakkan kesesakan.

Tak sah ke Cameron Highland tetapi tidak memetic strawberi segar dari ladang. Bawa anak-anak pasti lebih seronok dan mereka dapat didedahkan dengan pelbagai ilmu berkenaan buah ini. Secara tidak langsung, ia bakal menjadi memori manis serta pengalaman unik bersama keluarga.

Nak tahu lebih banyak tempat menarik di Cameron Highland? Jangan lupa untuk singgah ke tempat-tempat ini!

Tak tahu nak makan di mana jika berada di Cameron Highland? Ini beberapa pilihan buat anda:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.