Menggunakan moto bukan biasa – biasa, pemilik D’Western Corner ini menampilkan hidangan yang tampak biasa, tetapi bukan biasa – biasa. Terasa janggal kedengaran moto sedemikian, namun itulah yang cuba ditampilkan oleh Rosardi Awang pemilik restoran ini.

D’Western Corner ini terletak di Medan Feri, Tanah Putih, Kuantan menyajikan hidangan makanan barat yang berbaloi untuk poket anda. Hidangan yang begitu menarik perhatian adalah chicken chop bersama sos lada hitamnya yang begitu membahagiakan.

Pemilik restoran ini sangat berpengalaman dalam bidang perniagaan makanan iaitu selama 20 tahun pengalaman. Rosardi mempunyai pengalaman dalam penyediaan hidangan chicken chop, lamb chop, black pepper steak, chicken grill dan juga mix grill.

Chicken Chop

Imej via zaranfamily

Antara menu sampingan lain yang turut disediakan adalah sup cendawan, kentang goreng, wedges, keropok lekor dan juga jagung manis. Harga makanan di sini adalah sangat berpatutan iaitu antara RM 11.00 hingga RM 38.00 sahaja. Bagi harga minuman pula hanyalah RM 4.00 segelas.

40 Kilogram Kepingan Ayam Setiap Hari

Setiap hari, kira – kira 40 kilogram daging termasuk kepingan ayam diperlukan bagi memenuhi permintaan serta pesanan pelanggan. Bagi mengelakkan pelanggan menunggu lama bagi setiap pesanan yang dibuat, hanya daging yang segar sahaja digunakan untuk menjimatkan masa.

Apabila hanya daging segar yang digunakan, tempoh memasak hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja untuk hidangan siap. Oleh sebab itu, restoran ini sentiasa menerima kunjungan pelanggan yang ramai kerana tempoh masa penyediaan hidangan yang sangat singkat dan pantas.

Setiap penyediaan bahan mentah serta ramuan yang digunakan untuk membuat sos lada hitam disediakan sendiri oleh gabungan tiga orang chef. Chef yang menjadi tulang belakang restoran ini dikenali sebagai Angah, Joni dan juga Udin.

Mushroom Soup

Imej via zaranfamily

Resepi rahsia gabungan ketiga orang chef ini menghasilkan aroma yang begitu mengasyikkan tiap kali mereka menyediakan hidangan yang dipesan pelanggan. Kejujuran serta keikhlasan dalam masakan membuat hidangan di restoran ini sering mendapat sambutan hangat.

Menjelang cuti persekolahan dan juga cuti hujung minggu juga restoran ini telah mendapat kunjungan ramai. Malah, ada juga pelanggan yang datang dari Kuala Lumpur semata – mata ingin menjamu selera di sini. Biarpun hidangan yang disajikan di sini nampak biasa sahaja namun keenakannya hidangannya mempunyai gaya yang tersendiri.

Suasana menjamu selera di restoran ini kelihatan begitu romantik oleh kerana kedudukan restoran ini yang menghadap Sungai Kuantan. Ia memberi ketenangan buat para pelanggan yang datang makan di sini. Restoran ini sesuai dijadikan restoran untuk bersama – sama keluarga serta insan yang tersayang.

Cheese Cake

Imej via zaranfamily

Dessert Yang Mencairkan Hati

D’ Western Corner turut menghidangkan dessert yang sangat mengiurkan. Potongan mango cheesecake dari Kula Cakes yang super sedap sememangnya membuatkan anda pasti tertawan. Hidangan kek yang tidak terlalu manis membuatkan ia disukai ramai.

Waktu operasi restoran ini adalah mulai jam 5.00 petang hingga jam 1.00 pagi setiap hari. Kebiasaannya restoran ini mula dipenuhi pelanggan mulai jam 8.00 malam atau sesudah berlalunya waktu solat Maghrib.

Alamat : D’ Western Corner, Medan Warisan, Kuantan

Penulis: Harwati Rukari

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.